Allahuakbar Allahuakbar…
Lailahaillallah…
Kedengaran azan dari corong pembesar masjid. Suara bilal dari masjid yang jaraknya dalam 500m dari rumah CikYong begitu jelas dan terang.
CikYong bersegera ke bilik air utk berwuduk. Lantas ditunaikan solat sebaik mungkin. Begitulah rutin CikYong . Nampak seperti mudah. Tetapi hanya diri sendiri yang mengetahui. Perit jerih melawan hawa nafsu agar CikYong dapat beristiqamah. Di dalam perjuangan solat di awal waktu.
Seusai solat dan berdoa, CikYong hadiahkan Al-Fatihah buat mak dan abah CikYong yang telah berhijrah ke alam seterusnya. Ianya membuatkan Cik Yong mengimbau kenangan semasa arwah abah...
Kenangan dalam dua dekad yang lalu. Ketika CikYong masih lagi jahil dengan solat di awal waktu. Abah memang begitu menjaga waktu solatnya. Di rumah, abah sentiasa melihat ke arah jam. Abah ingin memastikan abah telah bersiap sebelum azan dilaungkan. Bila azan mula saja dilaungkan, abah akan mengambil kunci motor dan bersegera ke masjid. Bagi CikYong, ianya tidak mengganggu apa-apa pun pada CikYong.
Cuma ianya menimbulkan sedikit masalah apabila kami sekeluarga keluar berjalan-jalan, menziarahi saudara mara. CikYong akui masalahnya lebih kepada diri CikYong sendiri. Yang selalu memberontak dalam diam. Abah akan pastikan abah akan dapat singgah di mana-mana masjid sebelum masuk waktu solat. Pernah sekali, ketika itu CikYong yang memandu kereta. Terlewat sedikit sampai ke masjid. Bilal dah iqamat, imam baru hendak memulakan solat. Terus CikYong kena tegur dengan abah. Sebab lambat. Terasa hati CikYong. Tapi CikYong pendam saja. Rasa tak puas hari terbuku. Masa tu, terasa lecehnya nak keluar berjalan dengan abah.
Hanya baru sekarang, setelah usia CikYong melangkaui separuh abad. Barulah CikYong memahami pentingnya solat diawal waktu. CikYong faham. Ianya umpama bila suatu hari, Sultan dah panggil utk mengadap sekarang. Tak kan kita berani nak menjawab
"Tunggu ya Tuanku, patik ada urusan lain yang lebih penting."
Inikan pula pangggilan daripada Raja dari segala raja. Kita hambanya. Sepatutnya menurut saja lah perintahNya. Jangan banyak soal! Jangan nak tangguh-tangguh!