Saturday, 20 May 2023

Pengurusan Pusaka

Bismillahir Rahman nir Rahim...

Segala puji-pujian bagi Allah Tuhan sekelian alam.

CikYong ingin mengucapkan berbanyak-banyak kesyukuran terhadap Allah yang mengizinkan pengurusan pembahagian pusaka arwah abah telah hampir selesai.

Awal-awal lagi di pagi hari Rabu itu, CikYong telah sibuk di dapur untuk menyiapkan bekal makanan anak sulungnya ke sekolah. Di pagi itu, CikYong menyediakannya lebih awal daripada hari-hari biasa. Setelah selesai semuanya, CikYong pun segera bersiap kerana hari itu CikYong akan bergerak ke Ipoh. Jam telah menunjukkan pukul 9:30am. Beg sandang yang telah CikYong sediakan sejak malam semalamnya, terus CikYong capai. Sempat juga CikYong bersalam dengan anak sulung CikYong sambil meninggalkan pesanan agar belajar baik-baik. 

Suami CikYong telah menunggu di dalam kereta. Pagi itu, suami CikYong akan menghantar CikYong ke stesen keretapi Tapah Road, yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan kereta dari kampung CikYong. CikYong akan menaiki keretapi ETS ke Ipoh untuk urusan tanah pusaka arwah abah. Oleh kerana urusan tersebut perlu dilakukan di Pejabat Tanah Ipoh, CikYong perlu pergi ke sana pada hari bekerja. Memandangkan anak-anak bersekolah, maka CikYong hanya boleh pergi seorang diri sahaja. Sementara suami akan menguruskan hal-hal mengambil dan menghantar anak-anak ke sekolah. Setelah CikYong fikir-fikirkan, inilah medium pengangkutan yang paling sesuai. Tambahan pula, lokasi pejabat tanah tersebut hanya berjarak 1.3km dari Stesen Keretapi Ipoh, setelah CikYong melihat di dalam aplikasi Google Map.

Suami CikYong perlu menghantar CikYong lebih awal ke stesen disebabkan suami perlu tiba semula di rumah sebelum pukul 10.30pagi. Pukul 10:40, suami akan menghantar anak sulung ke sekolah. Maka CikYong tiba sejam lebih awal dari jadual ketibaan ETS. Di stesen keretapi Tapah Road, kelihatan hanya tiga orang penumpang yang sedang menunggu. Stesen Tapah Road yang terletak di pekan kecil Tapah Road memang tidak ramai penumpang. Kemungkinan penumpang-penumpang yang menggunakan stesen tersebut datangnya dari pekan Tapah yang terletak kira-kira 15minit perjalanan kereta atau dari daerah Hilir Perak iaitu dari Teluk Intan seperti CikYong. Sambil menunggu, sempat juga CikYong meninjau kawasan disekitar stesen tersebut. Masih kelihatan tinggalan bangunan lama di tepi bangunan baru stesen. Terdapat bangunan seperti menara diperbuat dari batu-bata merah dan juga pejabat dan kuarters lama berdindingkan papan dan kelihatan usang. Kira-kira 20minit sebelum ketibaan keretapi, pegawai di gate masuk, telah membenarkan penumpang untuk masuk ke platform. Oleh kerana keretapi akan tiba di platform ke2, CikYong perlu memanjat jejantas untuk ke platform di seberangnya. Tepat pada pukul 10.52pagi, telah kelihatan sayup-sayup kepala keretapi ETS bergerak ke arah stesen. Memang CikYong cukup berpuashati dengan ketepatan masa keretapi ETS. Itulah juga sebabnya CikYong memilih menggunakannya untuk perjalanan CikYong ke Ipoh untuk kesekian kalinya. Sebenarnya, CikYong telah pernah 2 kali menaiki ETS sebelum daripada itu.

Perjalanan dari Tapah Road ke Ipoh mengambil masa 36minit sahaja. Sempatlah juga CikYong duduk berehat di dalam perjalanan dengan hawa dingin di dalam koc yang sungguh menyelesakan. Sempat juga CikYong mengelamun mengimbau balik turutan-turutan masa yang CikYong lalui untuk menguruskan permohonan pembahagian harta pusaka.

Sebenarnya, pengurusan harta pusaka ini bukanlah terlalu rumit sehingga membuatkan orang merasakan sesuatu yang amat berat untuk dilakukan. Jika segala proses diikuti satu persatu seperti yang telah ditetapkan, insyaAllah boleh diselesaikan oleh waris itu sendiri. Adalah sebaik-baiknya pengurusan pusaka dilakukan lebih awal adalah lebih bagus. Sementara waris-waris lapisan pertama masih ada lagi. Pengumpulan dokumen-dokumen juga akan lebih mudah. Dan sudah pastinya, jika harta yang ditinggalkan adalah sedikit, maka ianya adalah lebih mudah diuruskan daripada harta yang bertimbun. Ianya juga sebagai peringatan buat CikYong juga. Dari aspek teknikal untuk pengurusan dokumentasi, ianya akan lebih mudah. Dan tidak dilupakan juga dari satu lagi aspek yang lebih penting, iaitu persetujuan waris dalam pembahagian harta.

Pembahagian harta kepada waris-waris memerlukan persetujuan dari semua waris. Oleh kerana itu, sebaik-baiknya, pertolongan dari Allah dipanjatkan agar semua waris dapat berlapang dada untuk mencapai kata sepakat. Perlu disemat di setiap pemikiran waris-waris, bahawa disebalik kaedah pembahagian harta pusaka terdapatnya ujian dari Allah. Yang telah pergi, telah terputus baginya manfaat dari harta kepunyaannya ketika hidup dahulu. Maka, di saat sekarang, harta-harta tersebut merupakan ujian buat waris-waris yang masih hidup. Sewajarnya, hati perlu diingatkan selalu agar dijauhkan daripada bisikan syaitan dan tujahan nafsu, agar ketamakkan dipadamkan. Kemurahan hati dibajai agar hak yang ditentukan boleh diterima seadanya atau dikongsi bersama atau boleh juga dilepaskan sahaja. Harta pusaka yang didapati tidak dapat menjamin kebahagiaan dan keberkatan hidup yang mendatang. Hanya ketakwaan dan keimanan yang boleh menjamin kejayaan di dalam kehidupan di dunia ini dan di sana nanti.

Setakat pengalaman CikYong dalam menguruskan pembahagian pusaka samada untuk arwah mak sebelumnya dan untuk arwah abah yang masih lagi di dalam proses untuk diselesaikan, Alhamdulillah ianya berjalan lancar. Memang tidak dinafikan masih terdapat juga beberapa kesukaran yang perlu dilalui, walau bagaimanapun, setakat hari itu, ianya dapat juga diselesaikan dengan izin pertolongan dan izin Allah. Kerjasama yang diberikan oleh adik beradik CikYong juga begitu mantap. Masing-masing berusaha memberikan sebarang dokumentasi yang diperlukan dengan kadar segera. Apa yang lebih CikYong hargai adalah kesefahaman adik beradik di dalam membincangkan cara pembahagian harta. Kata sepakat dapat dicapai dengan telus dan mudah. Sekali lagi CikYong panjatkan kesyukuran kepada Allah yang menguasai hati-hati manusia. Allah kurniakan rasa keterbukaan hati buat setiap daripada CikYong dan adik beradik dalam menyelesaikan urusan pusaka tersebut. Alhamdulillah.

Keretapi ETS meluncur perlahan memasuki laluan di bawah bumbung bangunan stesen keretapi Ipoh. Tepat 36minit masa yang diambil seperti yang telah dijadualkan. CikYong segera melangkah keluar menuju ke gate keluar dan seterusnya menuju kearah keluar daripada bangunan stesen. CikYong berjalan terus menghala ke kiri bangunan menuju ke deretan pejabat-pejabat kerajaan. Perjalanan CikYong mengambil masa sekitar 15minit. Cuaca diketika itu, agak mendung, memudahkan lagi perjalanan CikYong. Ketika memasuki kawasan berpagar pejabat tanah, titik-titik hujan telah mula turun. Mujurlah CikYong sudah hampir tiba ke bangunan pejabat tanah. Selamat CikYong daripada dhujani dengan air hujan yang lebat turun selepas itu. 

Setelah berurusan di kaunter, rupa-rupanya dokumen tambahan diperlukan. Makanya masih belum selesai lagi urusan di pejabat tanah. CikYong perlu meminta bantuan dari abang sulong CikYong untuk menyediakan dokumen tersebut. Seusai urusan di kaunter, kedengaran bunyi hujan lebat di luar pejabat. "Oh! Kena lepak dulu di sini sampai hujan berhenti" bisik hati CikYong. Terdapat beberapa orang lain yang sedang duduk kerusi menunggu, mungkin mereka juga seperti CikYong, menunggu hujan reda. Alhamdulillah, hampir ke tengahari, cuaca di luar perlahan-lahan berubah menjadi panas. Hujan juga sedah hampir reda. CikYong pun mengatur langkah meninggal pejabat tanah. CikYong menyelusuri semula laluan yang sama. Tiba di hadapan stesen keretapi, CikYong melencong ke seberang jalan untuk menuju ke masjid negeri. Sempat juga CikYong berjemaah solat zohor di situ. Usai solat, perut CikYong sudah terasa lapar. Medan selera yang terletak betul-betul di hadapan masjid, memudahkan CikYong memenuhi keperluan jasmani.

Kemudiannya, CikYong kembali semula ke stesen keretapi utk perjalanan pulang bersama ETS ke Tapah Road. Sempat juga CikYong duduk di ruang menunggu sambil memerhatikan keadaan sekeliling dan gelagat manusia. Alhamdullilah, keretapi bertolak tepat masanya seperti yang dijadualkan. Selamat tinggal Ipoh. InsyaAllah, CikYong akan datang lagi untuk menghantar dokumen yang selanjutnya.

Urusan pembahagian pusaka ini tidaklah terlampau rumit, selagi diikuti setiap satu persatu arahan yang diberi, insyaAllah ianya dapat diselesaikan sebaik-sebaiknya. Sudah pastinya dengan izin Allah yang Maha Mengatur.

Wednesday, 3 May 2023

Haji yang tak kesampaian

Assalamualaikum...

Sedar tak sedar, rupanya sudah hampir genap tiga bulan CikYong tidak menjenguk ke laman blog CikYong nie...

Alahai, susah juga nak istiqamah dengan penulisan nie.. Semoga Allah kurniakan kekuatan dan masa untuk CikYong meneruskan perjuangan menulis dan menulis...

Sebenarnya dalam masa tiga bulan ini, banyak peristiwa telah berlaku di dalam perjalanan kehidupan CikYong..

Mungkin perkembangan terbaru yang berlaku semalam membuatkan terlintas di hati CikYong untuk menyambung menulis.. menitipkan peristiwa-peristiwa yang singgah di dalam perjalanan kehidupan yang sementara ini.. 


9hb Februari, adik CikYong berkongsi berita bertajuk 

"Kembali dapat kouta haji penuh, jemaah 2020 diberi keutamaan".

Berita tersebut turut menitipkan ulasan dari pihak Tabung Haji (TH), 

"TH menyambut baik keputusan Kerajaan Arab Saudi untuk memberi kouta penuh sebanyak 31,600 kepada Malaysia untuk musim haji tahun 1444H/2023M." 

Adik CikYong berkemungkinan besar terpilih pada tahun ini, disebabkan gillirannya tertangguh disebabkan pendemik COVID19 sebelum ini. Adik turut mengajak CikYong untuk membuat rayuan memandangkan tahun haji CikYong yang telah diberikan oleh TH adalah tujuh tahun lagi. 

"Cubalah, mana tau ada rezeki" 

Teks yang dihantar oleh adik melalui Whatsapp membuatkan CikYong terus menyelusuri apps THijari yang telah sedia ada di telefon CikYong. Rupa-rupanya rayuan masih belum dibuka lagi di ketika itu.

Tanggal 4hb April, adik CikYong telah maklumkan bahawa beliau telah mendapat tawaran haji. Beliau mengingatkan sekali lagi agar CikYong menghantar rayuan. Pada kali ini, CikYong dapati, permohonon melalui dalam talian telah pun dibuka. Tanpa berlengah lagi, terus CikYong hantar permohonan rayuan. Di dalam proses permohonan tersebut, TH telah menyatakan bahawa untuk permohonan rayuan, kos bayaran haji perlu dibayar penuh. Pemohon perlu menyatakan kesanggupan untuk membayar kos penuh sebelum permohonan tersebut boleh dihantar. Tanpa berfikir panjang, CikYong terima sahaja syarat yang telah dinyatakan.

Dari sehari ke sehari, pasti CikYong akan menyemak status permohonan CikYong di dalam applikasi THijari. Akhirnya, yang ditunggu-tunggu pun tiba. Didalam kesibukan menyediakan persiapan menyambut hari raya yang bakal menjelang dalam dua hari lagi, CikYong terpandang mesej yang baru terpapar di telefon. Mesej dari TH menyatakan permohonan rayuan haji CikYong telah diterima. Untuk lebih menyakinkan, CikYong terus menyemak di dalam aplikasi THijari. Alhamdulillah, akhirnya hajat CikYong tercapai, untuk pergi menunaikan haji. Tanpa sedar, airmata gembira turut menitis. CikYong panjatkan kesyukuran diatas kurniaan Allah.

Memandangkan di ketika itu, Hari Raya Aidil Fitri hampir tiba, dan bersambung pula dengan cuti perayaan yang panjang, CikYong hanya dapat mengunjungi pejabat TH pada minggu yang berikutnya. Tarikh akhir yang diberikan oleh TH untuk melengkapkan penerimaan tawaran haji tersebut adalah pada 5hb Mei. CikYong perlu segera menyelesaikannya. Maka bermulalah ujian yang tidak diduga dan tidak terfikir lansung oleh pemikiran CikYong. Sesungguhnya Allah Maha Perancang. 

27hb April, seawal 8:30pagi, CikYong telah terpacak di hadapan pejabat TH walaupun, pejabat hanya mula beroperasi pada 8:45pg. Di sinilah, bermulanya ujian buat CikYong. Adalah merupakan prosedur TH menghendaki jumlah penuh bayaran haji perlu berada didalam akaun TH sebelum buku rekod kesihatan boleh diberikan. Diketika itu, jumlah yang berada di dalam TH CikYong hanyalah separuh daripada yang dikehendaki. Proses untuk CikYong mencukupkan bayaran haji tersebut mengambil masa hampir separuh hari. CikYong perlu mengunjungi pejabat SSPN dan Bank Islam untuk menguruskan pindahan wang. Akhirnya selesai juga isu bayaran, buku rekod kesihatan telah ada ditangan. CikYong bersegera ke klinik kesihatan. Ketika tiba di klinik, rupa-rupanya telah tiba waktu rehat tengahari. CikYong perlu datang semula pada pukul dua petang.

Di waktu petang tersebut, CikYong teruskan pemeriksaan kesihatan. CikYong perlu menjalani ujian gula dlm darah. Diambil sampel air kencing, darah dan ECG. Setelah selesai semua ujian, CikYong telah dipanggil masuk ke bilik pemeriksaan untuk berjumpa dengan doktor. Apa yang disampaikan oleh doktor, membuatkan hati CikYong berasa gusar. Keputusan gula dalam darah, agak tinggi sehinggakan doktor mengarahkan diuji sekali lagi. Alhamdullillah, bacaan kali kedua adalah normal. 

Namun ada seperkara lagi yang menggusarkan apabila doktor memberitahu CikYong, bacaan ECG CikYong tidak cantik. Daripada graf bacaan ECG, seperti pernah ada mini stroke pada masa lampau. Bacaan ECG juga perlu diulang sekali lagi, namun bacaannya masih lagi sama. Untuk lebih menyakinkan, doktor telah menyarankan agar ujian darah yang lebih terperinci perlu diambil pada keesokannya harinya. Dan begitu juga, ujian ECG perlu dilakukan sekali lagi pada minggu berikutnya.

Pada minggu hadapannya, 2hb Mei, CikYong kunjungi lagi klinik untuk ujian ECG dan temujanji dengan doktor. Ujian ECG berjalan lancar. Lama juga CikYong menunggu untuk bertemu dengan doktor disebabkan ramai pesakit lain pada hari itu. Akhirnya tiba juga masa CikYong berjumpa dengan doktor. Doktor memaklumkan keputusan darah, tekanan darah semuanya ok. Tetapi, rupa-rupanya bacaan EGC CikYong masih juga sama seperti yang pertama dan kedua. Keputusan kesihatan CikYong gagal. CikYong tidak dibenarkan untuk mengerjakan haji.

Tidak dapat CikYong luahkan perasaan CikYong di ketika itu. Hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Bermacam-macam yang difikirkan ketika itu. Pelbagai perasaan datang bersilih ganti. Akhirnya, berderai juga airmata, tidak tertahan-tahan. CikYong berusaha menahan perasaan, tapi jiwa begitu lemah ketika itu. CikYong perlukan ruang dan masa untuk menerima ketentuan Ilahi. Sebagai seorang hamba yang serba kekurangan, CikYong berusaha sedaya mungkin untuk menenangkan hati, berlapang dada dan menepis fikiran-fikiran negatif. Sejujurnya, sehingga di saat coretan ini ditintakan, soalan demi soalan masih lagi datang menerjah pemikiran CikYong. Sebahagiannya dapat CikYong abaikan, walaupun ada juga yang masih menagih jawapan walaupun telah CikYong noktahkan.

Kehidupan perlu diteruskan, walaupun ianya telah membuka lembaran baru. Persoalan kesihatan CikYong diketika ini masih lagi di dalam tanda tanya. Menurut doktor, temujanji susulan akan diberitahu kemudian. Ujian jantung diperlukan untuk mengenal pasti keberadaaannya situasi mini stroke tersebut. Sehingga ke ketika itu, doa akan sentiasa menemani CikYong, memohon kekuatan dari Allah, agar Allah limpahi kesabaran di hati CikYong. Dengan tekad, perjuangan akan CikYong teruskan sehingga pengakhiran kehidupan CikYong. CikYong panjatkan doa agar pengakhiran yang semakin hampir ini dikurniakan husnul khatimah. Amin amin ya rabbal alamin....





Psikologi mendidik anak2

Mendidik anak2 penuh dengan seribu harapan dan tidak terkecuali diiringi bersama seribu kerisauan. Rasa tenangnya sedikit, rasa kekecewaanny...