Bismillahir Rahman nir Rahim...
Segala puji-pujian bagi Allah
Tuhan sekelian alam.
CikYong ingin mengucapkan
berbanyak-banyak kesyukuran terhadap Allah yang mengizinkan pengurusan
pembahagian pusaka arwah abah telah hampir selesai.
Awal-awal lagi di pagi hari
Rabu itu, CikYong telah sibuk di dapur untuk menyiapkan bekal makanan anak sulungnya
ke sekolah. Di pagi itu, CikYong menyediakannya lebih awal daripada hari-hari
biasa. Setelah selesai semuanya, CikYong pun segera bersiap kerana hari itu
CikYong akan bergerak ke Ipoh. Jam telah menunjukkan pukul 9:30am. Beg sandang
yang telah CikYong sediakan sejak malam semalamnya, terus CikYong capai. Sempat
juga CikYong bersalam dengan anak sulung CikYong sambil meninggalkan pesanan
agar belajar baik-baik.
Suami CikYong telah menunggu di
dalam kereta. Pagi itu, suami CikYong akan menghantar CikYong ke stesen
keretapi Tapah Road, yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan kereta dari
kampung CikYong. CikYong akan menaiki keretapi ETS ke Ipoh untuk urusan tanah
pusaka arwah abah. Oleh kerana urusan tersebut perlu dilakukan di Pejabat Tanah
Ipoh, CikYong perlu pergi ke sana pada hari bekerja. Memandangkan anak-anak
bersekolah, maka CikYong hanya boleh pergi seorang diri sahaja. Sementara suami akan
menguruskan hal-hal mengambil dan menghantar anak-anak ke sekolah. Setelah
CikYong fikir-fikirkan, inilah medium pengangkutan yang paling sesuai. Tambahan
pula, lokasi pejabat tanah tersebut hanya berjarak 1.3km dari Stesen Keretapi
Ipoh, setelah CikYong melihat di dalam aplikasi Google Map.
Suami CikYong perlu menghantar
CikYong lebih awal ke stesen disebabkan suami perlu tiba semula di rumah
sebelum pukul 10.30pagi. Pukul 10:40, suami akan menghantar anak sulung ke
sekolah. Maka CikYong tiba sejam lebih awal dari jadual ketibaan ETS. Di stesen
keretapi Tapah Road, kelihatan hanya tiga orang penumpang yang sedang menunggu.
Stesen Tapah Road yang terletak di pekan kecil Tapah Road memang tidak ramai
penumpang. Kemungkinan penumpang-penumpang yang menggunakan stesen tersebut
datangnya dari pekan Tapah yang terletak kira-kira 15minit perjalanan kereta
atau dari daerah Hilir Perak iaitu dari Teluk Intan seperti CikYong. Sambil
menunggu, sempat juga CikYong meninjau kawasan disekitar stesen tersebut. Masih
kelihatan tinggalan bangunan lama di tepi bangunan baru stesen. Terdapat
bangunan seperti menara diperbuat dari batu-bata merah dan juga pejabat dan kuarters lama berdindingkan
papan dan kelihatan usang. Kira-kira 20minit sebelum ketibaan keretapi, pegawai
di gate masuk, telah membenarkan penumpang untuk masuk ke platform.
Oleh kerana keretapi akan tiba di platform ke2, CikYong perlu memanjat jejantas
untuk ke platform di seberangnya. Tepat pada pukul 10.52pagi, telah kelihatan
sayup-sayup kepala keretapi ETS bergerak ke arah stesen. Memang CikYong cukup
berpuashati dengan ketepatan masa keretapi ETS. Itulah juga sebabnya CikYong
memilih menggunakannya untuk perjalanan CikYong ke Ipoh untuk kesekian kalinya.
Sebenarnya, CikYong telah pernah 2 kali menaiki ETS sebelum daripada itu.
Perjalanan dari Tapah Road ke
Ipoh mengambil masa 36minit sahaja. Sempatlah juga CikYong duduk berehat di dalam
perjalanan dengan hawa dingin di dalam koc yang sungguh menyelesakan. Sempat
juga CikYong mengelamun mengimbau balik turutan-turutan masa yang CikYong lalui
untuk menguruskan permohonan pembahagian harta pusaka.
Sebenarnya, pengurusan harta
pusaka ini bukanlah terlalu rumit sehingga membuatkan orang merasakan sesuatu
yang amat berat untuk dilakukan. Jika segala proses diikuti satu persatu
seperti yang telah ditetapkan, insyaAllah boleh diselesaikan oleh waris itu
sendiri. Adalah sebaik-baiknya pengurusan pusaka dilakukan lebih awal adalah
lebih bagus. Sementara waris-waris lapisan pertama masih ada lagi. Pengumpulan
dokumen-dokumen juga akan lebih mudah. Dan sudah pastinya, jika harta yang
ditinggalkan adalah sedikit, maka ianya adalah lebih mudah diuruskan daripada
harta yang bertimbun. Ianya juga sebagai peringatan buat CikYong juga. Dari
aspek teknikal untuk pengurusan dokumentasi, ianya akan lebih mudah. Dan tidak
dilupakan juga dari satu lagi aspek yang lebih penting, iaitu persetujuan waris
dalam pembahagian harta.
Pembahagian harta kepada
waris-waris memerlukan persetujuan dari semua waris. Oleh kerana itu,
sebaik-baiknya, pertolongan dari Allah dipanjatkan agar semua waris dapat
berlapang dada untuk mencapai kata sepakat. Perlu disemat di setiap pemikiran
waris-waris, bahawa disebalik kaedah pembahagian harta pusaka terdapatnya ujian
dari Allah. Yang telah pergi, telah terputus baginya manfaat dari harta
kepunyaannya ketika hidup dahulu. Maka, di saat sekarang, harta-harta tersebut
merupakan ujian buat waris-waris yang masih hidup. Sewajarnya, hati perlu
diingatkan selalu agar dijauhkan daripada bisikan syaitan dan tujahan nafsu,
agar ketamakkan dipadamkan. Kemurahan hati dibajai agar hak yang ditentukan
boleh diterima seadanya atau dikongsi bersama atau boleh juga dilepaskan
sahaja. Harta pusaka yang didapati tidak dapat menjamin kebahagiaan dan
keberkatan hidup yang mendatang. Hanya ketakwaan dan keimanan yang boleh
menjamin kejayaan di dalam kehidupan di dunia ini dan di sana nanti.
Setakat pengalaman CikYong
dalam menguruskan pembahagian pusaka samada untuk arwah mak sebelumnya dan
untuk arwah abah yang masih lagi di dalam proses untuk diselesaikan, Alhamdulillah
ianya berjalan lancar. Memang tidak dinafikan masih terdapat juga beberapa
kesukaran yang perlu dilalui, walau bagaimanapun, setakat hari itu, ianya dapat
juga diselesaikan dengan izin pertolongan dan izin Allah. Kerjasama yang
diberikan oleh adik beradik CikYong juga begitu mantap. Masing-masing berusaha memberikan sebarang dokumentasi yang diperlukan dengan kadar segera. Apa yang
lebih CikYong hargai adalah kesefahaman adik beradik di dalam membincangkan
cara pembahagian harta. Kata sepakat dapat dicapai dengan telus dan mudah.
Sekali lagi CikYong panjatkan kesyukuran kepada Allah yang menguasai hati-hati
manusia. Allah kurniakan rasa keterbukaan hati buat setiap daripada CikYong dan
adik beradik dalam menyelesaikan urusan pusaka tersebut. Alhamdulillah.
Keretapi ETS meluncur perlahan
memasuki laluan di bawah bumbung bangunan stesen keretapi Ipoh. Tepat 36minit
masa yang diambil seperti yang telah dijadualkan. CikYong segera melangkah
keluar menuju ke gate keluar dan seterusnya menuju kearah keluar daripada
bangunan stesen. CikYong berjalan terus menghala ke kiri bangunan menuju ke
deretan pejabat-pejabat kerajaan. Perjalanan CikYong mengambil masa sekitar
15minit. Cuaca diketika itu, agak mendung, memudahkan lagi perjalanan CikYong.
Ketika memasuki kawasan berpagar pejabat tanah, titik-titik hujan telah mula
turun. Mujurlah CikYong sudah hampir tiba ke bangunan pejabat tanah. Selamat
CikYong daripada dhujani dengan air hujan yang lebat turun selepas itu.
Setelah berurusan di kaunter,
rupa-rupanya dokumen tambahan diperlukan. Makanya masih belum selesai lagi
urusan di pejabat tanah. CikYong perlu meminta bantuan dari abang sulong
CikYong untuk menyediakan dokumen tersebut. Seusai urusan di kaunter,
kedengaran bunyi hujan lebat di luar pejabat. "Oh! Kena lepak dulu di sini
sampai hujan berhenti" bisik hati CikYong. Terdapat beberapa orang lain
yang sedang duduk kerusi menunggu, mungkin mereka juga seperti CikYong,
menunggu hujan reda. Alhamdulillah, hampir ke tengahari, cuaca di luar
perlahan-lahan berubah menjadi panas. Hujan juga sedah hampir reda. CikYong pun
mengatur langkah meninggal pejabat tanah. CikYong menyelusuri semula laluan yang
sama. Tiba di hadapan stesen keretapi, CikYong melencong ke seberang jalan
untuk menuju ke masjid negeri. Sempat juga CikYong berjemaah solat zohor di
situ. Usai solat, perut CikYong sudah terasa lapar. Medan selera yang terletak
betul-betul di hadapan masjid, memudahkan CikYong memenuhi keperluan jasmani.
Kemudiannya, CikYong kembali
semula ke stesen keretapi utk perjalanan pulang bersama ETS ke Tapah Road.
Sempat juga CikYong duduk di ruang menunggu sambil memerhatikan keadaan
sekeliling dan gelagat manusia. Alhamdullilah, keretapi bertolak tepat masanya
seperti yang dijadualkan. Selamat tinggal Ipoh. InsyaAllah, CikYong akan datang
lagi untuk menghantar dokumen yang selanjutnya.
Urusan pembahagian pusaka ini tidaklah terlampau rumit, selagi diikuti setiap satu persatu arahan yang diberi, insyaAllah ianya dapat diselesaikan sebaik-sebaiknya. Sudah pastinya dengan izin Allah yang Maha Mengatur.
No comments:
Post a Comment