Wednesday, 8 February 2023

Apa itu Rezeki...

 Sudah hampir tiga minggu rupanya, CikYong tidak menulis apa-apa di ruang blog ini. Begitulah lumrah kehidupan. Di masa semangat begitu tinggi, ingin sahaja menulis setiap hari. Hajatnya, satu hari satu 'post'. Tetapi apabila semangat menurun, dalam tempoh tiga minggu pun, belum tentu lagi boleh menulis walaupun satu 'post'.

Beberapa hari yang berlalu, CikYong banyak memikirkan hal-hal berkaitan rezeki. CikYong baru sahaja membaca buku 'Makan gaji tetapi kaya', hasil tulisan Tuan Shamsuddin Kadir. Di dalam bukunya, beliau banyak menyentuh perihal rezeki. Konsep rezeki yang betul dan sepatutnya difahami oleh semua orang yang masih bernyawa dan sedang menjalani kehidupan di atas mukabumi ini.

Semalam pula, CikYong singgah di pejabat JKK kampung CikYong. Semalam merupakan hari pertama pembukaan pendaftaran tapak bazar Ramadhan bagi kampung CikYong. Dalam CikYong memerhatikan peniaga-peniaga sibuk membuat pendaftaran sambil bertanya dan berbincang isu-isu berbangkit, banyak perkara yang dapat CikYong ambil sebagai peringatan dan pengajaran buat diri sendiri. Isunya banyak berkaitan usaha-usaha dalam mencari rezeki.

Terkadang manusia secara amnya, orang Islam khususnya, begitu fokus dalam mencari rezeki sehingga terlupa kepada pemberi rezeki. Terlampau yakin dengan usaha diri sendiri sehingga menyangkakan dialah yang menentukan berapa banyak rezeki yang akan dapat dikautnya. Oleh kerana itu, manusia lebih mudah tertekan dalam perit jerih mencari rezeki. Rezeki perlu dikejar, sehingga ada yang tersadung dan jatuh bergolek. Diusahakan seboleh mungkin, sehingga larangan agama dilanggar begitu sahaja. Itulah perkara yang amat membimbangkan.

Sibuk mencari rezeki sehingga perintah ibadah wajib boleh diabaikan atau ditangguhkan. Jangan disebabkan sibuk mencari rezeki, solat diabaikan, dilewat-lewatkan, dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa. Padahal, Pemberi rezekilah yang memerintah kewajipan solat. Sifir mudahnya, lakukan sahaja apa yang disuruh oleh Pemberi rezeki. Ikut perintahnya. Di samping, berusaha mendapatkan rezeki sambil disusuli dengan doa dan tawakal. InsyaAllah, setiap usaha akan diganjari di dunia dan terutamanya di akhirat nanti.

Walaupun takrifan sebenar rezeki adalah lebih luas, namun dari segi kefahaman dan kepercayaan bagi kebanyakan orang, penyumbang utama rezeki adalah di lihat di dalam bentuk wang ringgit dan harta benda. Itulah yang seseorang muslim sering terlupa dan tersilap. Ia dikatakan rezeki apabila ianya boleh dilihat dan dipegang. Rezeki di dalam bentuk kesihatan, ketenangan, kegembiraan, tidak diambil kira. Dan yang paling dilupai secara sedar atau tanpa sedar adalah rezeki iman. Ramainya, tidak menghiraukan kemana perginya rezeki iman masing-masing diketika sibuk meraih rezeki berbentuk wang dan harta.

Mungkin kita tahu tetapi kita masih belum yakin. Kita tahu bahawa rezeki itu daripada Allah, tetapi pada masa yang sama kita tidak yakin yang rezeki itu sepenuhnya daripada Allah. Sebenar-benarnya hanya dengan izin Allah, rezeki itu akan sampai kepada kita. Keimanan seseorang perlu diperhalusi jika keyakinan tersebut masih belum meresap ke dalam hati. Bagaimana ianya perlu diperhalusi? Jalannya adalah dengan menambah ilmu di dada. Ilmu tentang keimanan yang jitu terhadap kekuasaan Allah. Yang Maha Mengatur dan Pemberi rezeki kepada segala makhluk ciptaanNya. Diatas usaha menimba ilmu dalam mempertingkatkan keimanan, dengan keizinan Allah, insyaAllah rezeki iman akan muncul di dalam hati kita. 

Dengan iman terbuku di dada, kefahaman tentang konsep kehidupan yang sebenar akan mula menyinari pemikiran. Segala tingkah laku dan percaturan dalam meraih rezeki yang telah ditentukan akan terarah mengikut peraturan Yang Maha Pemberi Rezeki. InsyaAllah seseorang muslim itu akan dikurniakan rezeki yang diberkati dan keselamatan di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment

36 hari menuju kemabruran haji

Assalamualaikum warahmatullahiwabakotuh... Semakin mendekati ke kemabruran haji.. اللهم  kurniakanlah haji mabrur buat semua duyuffurahman 1...