Allah humma solli'ala Muhammad, wa'la aalihi sayyidina Muhammad.
Alhamduillah. Kesyukuran dipanjatkan kepada Allah s.w.t. yang mengizinkan segala perkara berlaku.
CikYong ingin merakamkan perjalanan projek Ramadhan 1444 di lembaran blog ini buat tatapan di masa akan datang, insyaAllah.
Idea tercetus ketika CikYong sedang leka melayari tatapan demi tatapan yang dihantar oleh rakan-rakan lama di dalam kumpulan kawan-kawan lama di whatsup. Di ketika itu, ada rakan yang menghantar tatapan berkaitan baju-baju lamanya, jika lebih enam bulan tidak dipakai, beliau akan meletakkannya di Rumah Mahabbah. Rumah Mahabbah merupakan usaha murni tiga orang rakan lama CikYong di suatu bandar di pantai timur. Mereka telah mengusahakannya hampir sembilan tahun yang lalu. Ianya merupakan pusat kebajikan yang membantu pengagihan pakaian-pakaian terpakai. Ruang lingkup kebajikan telah diperluaskan juga kepada bantuan makanan dan keperluan asas kepada golongan yang memerlukan.
Apa yang menarik perhatian CikYong, adalah berkaitan pengumpulan dan pengagihan pakaian terpakai. Pakaian terpakai yang masih di dalam keadaan yang baik akan dikumpulkan dari pelbagai lapisan masyarakat. Mereka telah menyewa sebuah rumah yang dijadikan tempat pengumpulan. Pakaian tersebut akan digantung seperti yang terdapat di kedai-kedai pakaian. Mereka mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk datang ke situ, untuk mengambil pakaian secara percuma.
Konsep yang sama, ingin CikYong lakukan di kampung CikYong. Idea ini CikYong kongsikan bersama keluarga. CikYong ingin mendapatkan pandangan daripada yang lain. CikYong ingin menjadikan bulan Ramadhan sebagai pemula projek pakaian terpakai ini. Buat ketika ini, CikYong masih belum lagi memikirkan nama yang sesuai untuk projek ini, maka buat sementara waktu sehingga nama itu ditemui, CikYong akan memanggilnya sebagai Projek 1444.
Fasa pertama Projek 1444 pun bermula. Maka bermulalah pencarian tempat yang sesuai untuk dijadikan tempat pengumpulan dan pengambilan pakaian. Di ketika, sibuk berusaha mencari-cari tapak sesuai, suatu hari CikYong ternampak kain rentang telah dipasang di simpang utama di kampung CikYong. Kain rentang mengenai pendaftaran untuk permohonan tpaak bazar Ramadhan telah dibuka oleh Majlis Bandaran tempatan. CikYong dan suami mula terfikir untuk memohon satu tapak di bazar Ramadhan untuk Projek 1444. Pada hari pendaftaran, CikYong dan suami menjenguk ke pejabat jawatan kuasa kampung untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.
Pada mulanya, CikYong berasa sedikit risau apabila melihat harga menyewa tapak yang agak tinggi. Namun kerisauan itu terubat apabila suami CikYong menyuarakan hajat untuk mendapatkan tapak untuk Projek 1444. Maklum balas daripada AJK Kampung di ketika itu, boleh dikatakan agak positif. Tetapi oleh kerana di hari pendaftaran tersebut, terdapat ramai peniaga-peniaga yang datang, maka CikYong dan suami mengambil keputusan untuk datang kembali pada masa yang lain.
Setelah dua lagi pertemuan dalam minggu yang berikutnya, AJK Kampung telah memahami hasrat CikYong dan suami, mereka juga menyokong cadangan yang diusulkan. Mereka juga telah bersetuju untuk memanjangkan usul tersebut kepada Penghulu untuk mendapatkan kebenaran bagi pihak CikYong dan suami. Akhirnya, kelulusan lisan telah diberikan oleh Penghulu untuk Projek 1444. Alhamdulillah. AJK bersetuju untuk membenarkan Projek 1444 menggunakan ruang kaki lima di salah satu kedai kosong di simpang kampung.
Alhamdullillah. Tapak telah ditemui. Maka Projek 1444 akan melangkah ke fasa kedua. Semoga semua urusan akan dipermudahkan oleh Allah. Aminn..
Semoga dipermudahkan segala urusan.
ReplyDeleteterima kasih
ReplyDelete