Setiap kali berlakunya suatu kematian, pasti ianya meninggalkan kesan yang amat mendalam buat hati CikYong. Pasti ruang pemikiran diselang seli dengan bayangan di saat sakratul maut, bagaimana roh akan tersedar telah beralih ke dunia lain, di ketika itu tiada apa yang dapat dilakukan, hanya menunggu ketentuan Ilahi menentukan ke arah mana yang akan ditujui. Perasaan berbaur mengenangkan keluarga tersayang yang ditinggalkan, bagaimana hidup harus diteruskan, ujian kehidupan yang harus ditelusuri tanpa peneraju keluarga disisi.
Di pagi Ahad itu, seperti kebiasaan CikYong semenjak dari awal tahun ini, CikYong akan ke kelas melukis. (InsyaAllah, di lain masa, CikYong akan coretkan kisah CikYong dengan hobi baru melukis ni). Kali ini, anak-anak CikYong ingin ikut serta disebabkan anak sulong CikYong telah berjanji dengan kawan sekolahnya, A untuk datang ke kelas melukis ini. Sebenarnya anak CikYong baru saja kenal dengan A, yang juga merupakan anak kepada guru lukisan CikYong, Puan N. A telah menegur anak CikYong ketika di sekolah, dan mengajaknya untuk datang ke kelas melukis.
Setibanya di kelas, kelihatan anak-anak lain telah pun tiba. Kelas melukis ini terbahagi kepada dua kategori, iaitu kelas melukis dan kraf untuk kanak-kanak dan kelas melukis untuk dewasa. Di hari itu, terdapat empat orang anak-anak, salah seorangnya merupakan anak Puan N sendiri, H.
“A tak datang ke hari nie?” tanya CikYong kepada Puan N, setelah CikYong perhatikan kelibat A tidak kelihatan.
“Oh! Pagi ni dia ade latihan senamrobik di sekolah, lepas habis latihan nanti, baru dia datang sini” ujar Puan N.
CikYong mula menyediakan peralatan melukis dan menyambung lukisan minggu sebelumnya yang masih belum disiapkan lagi. Anak-anak CikYong juga masing-masing diberikan tugasan melukis yang telah disediakan oleh Puan N untuk hari itu.
Kelas berjalan seperti biasa, keriuhan anak-anak sambil tangan ligat mewarna telah menjadi lumrah. Masing-masing leka menyiapkan tugasan, Puan N pula sibuk menyelia dan melayan kerenah anak-anak. Sekali-sekala CikYong akan bertanya kepada Puan N, untuk mendapatkan tunjuk ajar untuk mendapatkan bancuhan warna yang sepatutnya dan juga cara yang tepat untuk dilorekkan warna ke atas kanvas.
Kedengaran telefon Puan N berbunyi. Apabila Puan N menjawab panggilan tersebut, kedengaran seseorang di hujung talian seperti di dalam kecemasan. Puan N seperti mengarahkan sesuatu kepada orang di dalam talian itu. Setelah Puan N, menamatkan panggilan, segera CikYong bertanyakan perihal panggilan yang baru diterima.
“Anak telefon tadi. Katanya, ayah tak sedar di dalam kereta.”
“Dah suruh anak panggil ambulan” ujar Puan N lagi.
Riak muka penuh kerisauan, walaupun kelihatan Puan N masih cuba berkeadaan tenang.
Tiba-tiba anak Puan N, H terus meraung dan berlari keluar dari bilik lukisan dan terduduk diatas tanah sambil memanggil “Abah! Abah!!”
Salah seorang anak datang cuba memujuk H, tetapi raungannya semakin kuat. Anak yang memujuk pula turut menangis. CikYong tidak cuba memujuk H dan anak itu, CikYong terkedu. CikYong ingin membiarkan anak-anak melepaskan rasa kerisauan yang terbuku di hati masig-masing. Mungkin begitu juga bagi Puan N.
Puan N meminta tolong dari CikYong untuk menghantarkannya ke hospital. Malangnya, pada hari itu, CikYong tidak datang sendiri, suami CikYong yang menghantar ke kelas.
“Saya tak ada kereta pulak. Nanti saya telefon suami, suruh dia datang”, ujar CikYong.
Segera CikYong menelefon suami. CikYong bertanyakan lokasi suami. Suami di dalam perjalanan ke rumah mak mertua, yang terletak berhampiran dengan sekolah anak. Lalu terus CikYong menyaran suami untuk singgah di sekolah untuk melihat keadaan di sana.
Pada masa yang sama, Puan N sibuk menelefon ke sana sini. Setelah itu, Puan N meminta agar barang-barang perlu dikemaskan, barulah CikYong tersedar untuk mengemas semua peralatan melukis. Segera CikYong mengajak anak-anak CikYong untuk mengemas semua peralatan.
Di kala hampir siap semuanya, suami CikYong telah pun tiba. Segera CikYong masukkan semua barang-barang ke dalam bonet kereta. Ibu kepada salah seorang anak juga tiba pada masa yang hampir sama. Ibu itu membantu untuk menghantar pulang dua orang lagi anak-anak. Puan N dan H, dan kami semua segera memasuki kereta. Pada mulanya, Puan N meminta suami CikYong menghantarkannya ke hospital. Namun, menurut suami, ambulan telah tiba di sekolah dan ambulan masih lagi berada di sana. Maka kami buat keputusan untuk terus ke sekolah.
Di ketika membelok ke jalan di hadapan sekolah, kelihatan ambulan masih lagi berada di tepi gate sekolah. Di tatkala kereta diberhentikan di belakang kereta hitam kepunyaan suami Puan N, terus Puan N dan H meluru keluar menuju ke keretanya. Terus Puan memeluk suaminya yang terbaring kaku di kerusi pemandu yang telah direndahkan bahagian sandarnya. Anak Puan N, A sedang menangis disisi ayahnya. Tangisan kedengaran begitu sayu dari isteri dan anak-anak.
Terdapat beberapa orang individu lain telah berada di tempat kejadian. Masing-masing diam, memberikan ruang kepada ahli keluarga meratapi orang tersayang.
Beberapa ketika selepas itu, barulah tuan doktor yang telah tiba bersama dengan ambulan, datang menghampiri Puan N. Tuan doktor memperkenalkan dirinya, penjelasan diberikan kepada Puan N mengenai pemeriksaan yang telah dilakukan ke atas suami Puan N. Di ketika ambulan tiba dan doktor memeriksa suami Puan N, beliau telah pun meninggal dunia.
Oh! Sungguh berat untuk menerima kejutan sebegini. Tatkala itu hanya tangisan demi tangisan yang mampu digagahi. Walaupun sekuat mana cuba dikejutkan, namun ayah tidak akan bangun lagi.
Di pagi itu, sempat lagi...
menghantar isteri tercinta ke kelas seni
Di pagi itu, sempat lagi...
menghantar anak tersayang ke sekolah untuk latihan senamrobik
Di pagi itu, sempat lagi...
bersarapan bersama rakan-rakan rapat di kedai kegemaran
Di pagi itu, sempat lagi...
meninggalkan pesanan kepada tuan kedai kegemaran, agar disimpankan sedikit kuah kari untuk dimakan di tengahari nanti
Di pagi itu, sempat lagi...
datang semula ke sekolah anak , menunggu di dalam kereta sehingga anak habis latihan
Namun di pagi itu juga, sudah tidak sempat lagi..
bertemu dengan anak yang telah selesai latihan
Namun di pagi itu juga, sudah tidak sempat lagi..
mengambil isteri tercinta selepas kelas seni
Namun di pagi itu juga, sudah tidak sempat lagi..
bertemu semula dengan rakan-rakan rapat di kedai kegemaran
Namun di pagi itu juga, sudah tidak sempat lagi..
menjamah kuah kari yang telah disimpankan oleh tuan kedai untuknya
Di tatkala ajal telah datang menjemput, tiada sesaat awal dan tiada sesaat lewat
Innalilllahi wainna ilaihi rojiun...
Allahumma fir lahu war hamhu wa afini wa'fu anhu...
No comments:
Post a Comment