(Alhamdulillah, CikYong panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana masih lagi diberi peluang untuk bernafas untuk kesekian kalinya. Masih lagi dikurniakan nikmat mata, telinga, tangan dan kaki yang masih berfungsi seadanya. Tidak lupa juga kesihatan segala organ dalaman dan mental yang masih beroperasi seperti sediakala. Dan yang pastinya semuanya dengan izin Allah. Alhamdulillah…
Kali ini CikYong akan berkongsi lagi secebis kisah kehidupan CikYong yang tiada apa yang perlu dibanggakan, hanya sekadar perkongsian pengalaman harian CikYong sahaja)
Hobi melukis bermula tanpa dirancang. Ianya bermula apabila Puan N yang merupakan perpustakawan di perpustakaan awam di bandar kecil, tempat tinggal CikYong, mengajak CikYong untuk menyertai kelas melukis yang dianjurkan oleh Puan N sendiri. Sebelum daripada itu, CikYong memang telah maklum bahawa Puan N merupakan artis seni lukis tempatan di bandar kecil ini. CikYong pernah melihat lukisan-lukisan Puan N yang telah dipamerkan di perpustakaan tersebut pada suatu ketika dahulu. CikYong masih ingat lagi, lukisan permandangan senja di tepi sungai hasil tangan Puan N, dari pendapat CikYong, memang tahap profesional. Pelawaan Puan N, tidak CikYong berikan jawapan yang segera. Ianya bukan kerana CikYong tidak berminat, sebenarnya ianya lebih kepada keyakinan CikYong samada CikYong boleh melukis ataupun tidak.
Walaupun ketika belajar dahulu, CikYong telah mengambil subjek Seni semasa tingkatan 4 & 5, dan menduduki peperiksaan lukisan ketika SPM, CikYong masih tidak ada keyakinan yang tinggi di dalam bidang seni lukis. Di ketika itu, lukisan Cikong hanyalah biasa-biasa sahaja jika dibandingkan dengan hasil lukisan rakan-rakan sekelas yang jauh lebih hebat.
Setelah mempertimbangkan pelawaan Puan N, akhirnya CikYong mengambil keputusan untuk menyertai kelas seni tersebut. Maka bermulalah sesi CikYong menimba ilmu dari cikgu seni lukis. Pada mulanya, CikYong menyangkakan terdapat murid lain yang akan turut serta. Rupa-rupanya hanya CikYong seorang sahaja untuk kelas dewasa. Walau bagaimanapun, untuk kelas kanak-kenak, terdapat beberapa orang murid yang turut serta. Menurut cikgu, terdapat juga beberapa orang lain yang ingin turut serta, tetapi semuanya tidak dapat memberikan komitmen untuk hadir ke kelas disebabkan tuntutan kerja dan tiada kelapangan masa. Begitulah kisahnya, sehingga kini, sudah hampir enam bulan CikYong mengikuti kelas, hanya CikYong seorang sahaja murid dewasa. Dari satu segi, bolehlah Cikong mendapat tunjuk ajar yang lebih dari cikgu, namun jika terdapat murid lain, suasana akan menjadi lebih meriah, lebih seronok. Mungkin di masa akan datang, akan ada pertambahan murid dewasa, insyaAllah.
Di kelas pertama CikYong, cikgu mengajarkan CikYong teknik capan. Belon yang bersaiz kecil digunakan untuk mengecop corak bunga di kertas lukisan. Menarik juga teknik ini, mudah tetapi dapat menghasilkan lukisan yang menarik. Selain daripada belon, daun juga digunakan sebagai alatan mengecop. Hasilnya sungguh memotivasikan CikYong untuk hadir ke kelas-kelas yang seterusnya.
Di kelas kedua, cikgu mula memperkenalkan CikYong dengan kanvas. Lukisan pertama di kanvas merupakan lukisan sampan di persisiran pantai. Walaupun CikYong masih lagi merasa takut-takut untuk melorekkan warna-warna di kanvas, tetapi dengan bantuan cikgu, dapat juga CikYong menconteng serba sedikit. Selebihnya cikgu yang menyiapkannya. Rasa takut silap yang masih terpahat di pemikiran tidak membantutkan rasa ingin belajar CikYong. Pelbagai tips CikYong pelajari dari cikgu. Semangat semakin kuat untuk berusaha.
Begitulah CikYong meniti pembelajaran seni lukis dari kelas pertama ke kelas kedua, ketiga dan seterusnya. Sedar tak sedar, rupa-rupanya telah hampir enam bulan CikYong mengikuti kelas seni lukis. Kelas setiap Ahad selama dua jam, CikYong manfaatkan sepenuhnya. Banyak lagi yang perlu CikYong pelajari. Terdapat juga beberapa hasil lukisan CikYong yang mendapat pujian dari cikgu, cukup untuk membakar semangat untuk terus mencuba mempertingkatkan keupayaan CikYong menghasilkan sesuatu yang lebih baik.
Lukisan air terjun menggunakan pensel warna di atas kertas lukisan merupakan antara lukisan yang menarik perhatian. CikYong hasilkan video yang memaparkan peringkat-peringkat bagaimana lukisan tersebut dihasilkan dan CikYong kongsikan di media sosial. Alhamdulillah rakan-rakan sukakannya.
Ada kalanya, lukisan tidak sempat disiapkan. Cikgu akan meminta CikYong menyiapkannya di rumah. Pada mulanya, timbul juga kegusaran di hati CikYong, bimbang ianya bagai tikus membaiki labu. Walau bagaimanapun, CikYong teruskan mencuba menyiapkannya. Hasilnya, walaupun tidak seratus peratus menjadi, tetapi masih boleh diterima seadanya. Bak kata cikgu, tidak ada yang salah di dalam melukis.
InsyaAllah jika direzekikan dan diizinkan Allah, CikYong akan terus menyambung kelas seni lukis ini. Sesuatu yang CikYong pelajari tanpa sedar. Apabila CikYong melihat persekitaran, samada langit, awan, matahari, rumah, lampu dan apa sahaja, penglihatan CikYong akan lebih peka dengan warna-warna yang terdapat pada setiap objek-objek tersebut. Tona warna yang berbeza disebabkan pencahayaan akan lebih jelas di penglihatan CikYong. Perincian lebih ketara. Subhanallah, keindahan alam dunia ini, dicipta dengan begitu terperinci sekali oleh Allah yang Maha Terperinci. Agar manusia mengambil pengajaran dan peringatan daripada semua kejadian ini, dan akhirnya manusia mengakui sepenuhnya tiada lain selain Allah, Tuhan yang Maha Pencipta dan Maha Menguasai.
No comments:
Post a Comment