Wednesday, 13 September 2023

Aktiviti di hujung minggu

 Assalamualaikum w.r.b.t..

Lama sungguh CikYong tak menjenguk ke teratak blog nie..

Hari ini CikYong terinspirasi sikit untuk menitipkan sesuatu di dalam blog CikYong ini disebabkan CikYong tengah membaca buku perihal Anne Frank.

CikYong belum lagi habis membacanya. InsyaAllah jika CikYong diberikan semangat untuk membuat serba sedikit ulasan berkaitan buku tersebut di dalam post CikYong yang akan datang.

Sebelum ini, CikYong telah menghabiskan pembacaan CikYong untuk buku-buku lain yang tidak kurang juga menginspirasikan CikYong. Ada buku anekdot kehidupan, kisah pendek dari pelbagai profession. Buku Dato’ Rani, mantan VAT69, buku kisah seorang expetriate. CikYong dah juga habis membaca buku berjudul ‘Malaikat bertali leher’ yang mengkisahkan seorang graduan bidang kedoktoran di bumi Mesir, ianya dikisahkan di dalam bentuk anekdot. Satu lagi buku anekdot perihal pelbagai pengalaman guru-guru sekolah, buku ini pun menarik juga. Buku ‘The Good Mothers’ menceritakan perjuangan pendakwaraya di negara Calabria dalam menjatuhkan empayar mafia terbesar di negara tersebut di dalam tahun 2010-an.

Sekitar itu dahulu berkaitan buku-buku yang baru selesai dan sedang CikYong baca.

Hari ini, awal pagi lagi, anak sulung CikYong dihantar ke sekolah untuk program Kadet Remaja. Masa hujung minggu anak sulung CikYong kali ini diisi dengan aktiviti sekolah selama dua hari. Sibuk sikit dah dia nampaknya. 

Seusai suami balik dari menghantar anak sulung, kami pergi berbasikal pula. Kami bertiga bersama anak kedua, berbasikal ke kawasan sawah padi yang berhampiran. Terasa damai ketika mengayuh di jalan kecil dikiri kanan sawah yang menghijau. Kabus nipis masih lagi kelihatan di persekitaran sawah.

Di tengahari, anak sulung CikYong balik sekejap dari program Kadet Remaja nya. Selepas solat Zuhur dan makan tengahari, dia pergi semula ke sekolah untuk menyambung aktiviti programnya.

Petang itu, CikYong menyambung pembacaan buku Anne Frank. Anak kedua pula sedang leka menonton youtube. Sedang CikYong menekuni pembacaan, kelihatan anak kedua CikYong tergesa-gesa mengambil tualanya dan bergegas ke bilik air. Mungkin dia sakit perut agaknya, bicara CikYong di dalam hati.

Tidak lama kemudian, anak CikYong keluar dari bilik air dan terus dia berkata

“Ibu, adik rasa adik dah baligh dah.”

Oh! Betul ke apa yang CikYong dengar. CikYong bertanya lanjut kepadanya macam mana dia tahu dia dah baligh. Daripada apa yang diterangkannya, CikYong mengiyakan apa yang difikirkan itu.

Alhamdulillah, Allah berikan kesempatan buat CikYong melihat anak-anak dah membesar. Anak-anak sudah mula dipertanggungjawabkan diatas setiap tindakan masing-masing.

Sebenarnya, dua minggu sebelumnya, anak kedua CikYong ini telah pun berkhitan. Alhamdulillah sempat dia bersunat sebelum baligh. Macam yang pernah CikYong guraukan dengan anak-anak, kalau lambat berkhitan, ianya dah tak jadi bersunat, ianya dah jadi berwajib. (bukan pihak berwajib ye.. 😉)

CikYong pun ingatkan dia supaya mandi wajib sebelum solat Maghrib nya nanti. Bila ayahnya balik dari mengambil anak sulong di sekolah, CikYong maklumkan juga pada ayahnya. Suami CikYong pun ajarkan juga cara mandi wajib.

Selepas bertadarus malam itu, CikYong ambil kesempatan untuk mengingatkan kedua-dua anak CikYong perihal kepentingan solat dan jangan sekali-kali tinggalkan solat. Semoga anak-anak menjadi anak yang soleh, musleh dan musoleh. Amin amin ya rabbal alamin..

Oh! Petang itu juga, bila anak sulong CikYong balik dari program Kadet, dia bagitahu yang dia dinaikkan pangkat ke Lans Koperal. Alhamdulillah, syukur Allah izinkan di atas usahanya mengorbankan dua hari hujung minggunya.


No comments:

Post a Comment

Psikologi mendidik anak2

Mendidik anak2 penuh dengan seribu harapan dan tidak terkecuali diiringi bersama seribu kerisauan. Rasa tenangnya sedikit, rasa kekecewaanny...