Thursday, 5 October 2023

NILAM: Konfesi Prebet Adam

 Hari ini CikYong ingin mengulas perihal buku yang baru saja CikYong habiskan pembacaannya.

Tajuk bukunya ialah Konfesi Prebet Adam. Penulis adalah Syahril A.Kadir. Sementara penerbitnya adalah Garasi Republik, cetakan 2022.

Kisah ini begitu menyayat hati. Begitu jauh pemikiranCikYong apabila merenung perihal kisah kehidupan arwah Prebet Adam ini. Bagi CikYong terdapat beberapa topik yang boleh direnung-renungkan sebagai pengajaran dan sempadan buat kita semua.

1. Perkara yang amat jelas lagi bersuluh, buli adalah merupakan pencetus kepada tragedi amuk Prebet Adam. Sifat ketidakmanusiaan oleh sebilangan senior di kem tersebut memang tidak dapat masuk diakal bagaimana mereka boleh memperlakukan orang lain sebegitu teruk. Maaf kata berkemungkinan merekalah yang sebenarnya mempunyai sakit mental.
2. Apa yang telah pembuli-pembuli itu lakukan telah menghancurkan bukan satu kehidupan tetapi sebenarnya menghancurkan masyarakat kesemuanya. Ada pengajaran yang mesti kita ambil di atas kejadian yang berlaku. Fikir fikirkanlah.
3. CkiYong amat tidak bersetuju dengan kaedah latihan mental yang digunakan di dalam bidang ketenteraan,yang pada hemat CikYong bertentangan dengan prinsip agama. Untuk melatih kekuatan minda para tentera bukanlah dengan cara membuli. Dari dapatan yang CikYong fahami melalai bacaan CikYong terhadap kes-kes lain yang berlaku di dalam kem tentera, kejadian buli dianggap kemestian untuk membina ketahanan mental. Ditambah burukkan apabila kejadian-kejadian tersebut acap kali dipandang ringan oleh pihak atasan. Itulah apa yang berlaku terhadap Prebet Adam, satu kesilapan besar oleh pihak pentadbiran tentera dan seharusnyalahlangkah-langkah pembaikkan diambil dengan serius olehtunjak pentadbiran ketenteraan.
4. CikYong mengambil iktibar di atas keceraluan minda Prebet Adam dan kekurangan panduan dari masyarakat sekeliling merupakan ujian buat Arwah Prebet Adam. Sudah pasti ujian dari Allah, tidak kuasa kita mengelak seperti kes kebakaran yang menimpa keluarga arwah Prebet Adam. Apabila respon terhadap ujian yang mendatang tidak menghala kepada panduan agama, ianya akan menjerumuskan seseorang semakin jauh ke dalam gaung  kemelut kehidupan.
5. Tidak dapat dinafikan, akan ada sahaja yang ingin menangguk di air yang keruh. Fitnah disebarkan tanpa ada rasa ketakutan azab yang menanti. Mungkin ini juga merupakan jalan yang Maha Mengetahui aturkan agarmangsa yang difitnah mendapat ganjaran bonus di akhirat nanti. Tambahan lagi, yang difitnah tidak melatah dengan segala ujian fitnah yang disebarkan. 
6. Apabila melihat secara keseluruhan mungkin di ketika peristiwa itu berlaku, ia merupakan saat yang begitu mencemaskan buat semua pihak. Namun, daripada penjelasan Tann Sri Zaman Khan, di hari-hari sebelum kejadian tersebut, pihak berkuasa sebenarnya berada didalam keadaan berjaga-jaga disebabkan adanya ura-urakemungkinan akan berlakunya pergolakan perkauman, tetapi ianya telah digantikan oleh Yang Maha Mengatur dengan kejadian amuk tersebut. Jika dilihat dari segi impak kepada negara secara menyeluruh, kejadian amuk ini jauh lebih kecil daripada kejadian yang satu lagi jika ianya terjadi. Siapa yang boleh menemui jawapan mengapa Prebet Adam mengamuk di Chow Kit dan bukan pula di Ipoh atau Pulau Pinang? Hanya Allah yang Maha Mengetahui
7. Tabik hormat patut juga diberikan kepada hero-hero penyelamat seperti Datuk Abdul Ghani yang bukan sahaja mempunyai keberanian yang tinggi, malah mempunyai keperihatinan yang tinggi dalam memahami keadaan Prebet Adam di saat-saat genting tersebut.
8. Stigma masyarakat terhadap banduan dan bekas pesakit mental tetap menjadi batu penghalang yang besar untuk seseorang itu kembali menjalani kehidupan yang normal. Akibat tekanan dan tiada sokongan dari masyarakat, akhirnya Prebet Adam menjerumuskan dirinya lebih dalam lagi apabila jalan keluar yang diambil adalah dengan mengambil dadah hingga ke pengakhiran hidupnya.
9. Walau bagaimanapun, kasih sayang seorang ibu dan ikatan kekeluargaan yang erat tidak boleh diketepikan. Kasih sayang tanpa syarat jelas terpancar di dalam kisah ini. Ianya membuatkan kita tersedar akan pentingnya menjaga silaturrahim, hubungan yang suci yang dihubungkan dari rahim yang sama.
10. Akhir kata, pengajaran besar yang perlu diambil adalah agar kita kembali kepada panduan agama dan jalanilah kehidupan berTuhan yang Esa. Segala kecelaruan di dalam hidup ini, mengadulah kepada yang Maha Pencipta, agar kebahagiaan kehidupan di dunia ini dapat membantu kita mencapai kebahagiaan di akhirat nanti. InsyaAllah.

Tuesday, 3 October 2023

HALA TUJU

Di dalam perjalanan kehidupan ini, matlamat haruslah dipastikan

Diyakini akan kebenaran yang hakiki

Setelah itu, diselusuri pula jalan-jalan menuju matlamat 

yang telah diperakui oleh hati dan akal


Namun apabila dilihat ke hadapan

Terdapat banyaknya jalan-jalan yang berselirat

Yang mana satu patut diikuti?

Sungguh mengundang gundah di hati

Inilah ujian di akhir zaman


Walaupun kemajuan di taja di merata tempat

Teknologi AI dikagumi teramat

Maklumat mudah dicapai di hujung jari

Nikmat dunia semakin dikejari

Kemahsyuran infulencer diangan-angankan

Keghairahan viral digilai sakan


Tapi hakikat sebenar kehidupan masih lagi tergapai-gapai

Yang masa satu betul

Yang mana satu salah

Jalan mana yang penghujungnya di syurga

Jalan mana yang menyebabkan terkandas di neraka


Pencarian harus diteruskan

Mungkin berjaya ditemui apa yang dicari

Atau tidak berkesempatan diketemukan

Di kala masih meraba, mungkin ajal telah memanggil

Tetapi yakinlah setiap usaha sebagaimana kecilnya

Akan tetap dapat memberatkan timbangan


Doa sentiasa dipanjat ke hadrat Ilahi

Usaha walaupun hanya setapak demi setapak

Akan tetap diteruskan sehingga ke titik peluh yang terakhir

Ya, teruskan pengembaraan ini 

Jika tersesat, balik semula ke pangkal

Berbekalkan ilmu dan pengalaman

Teruskan mencari jalan yang hakiki

Membawa ke kehidupan yang abadi

Di destinasi yang selamat bukan yang dikesali

 

Monday, 2 October 2023

NILAM: KEMBARA MENJEJAK BAYANG

Kali ini CikYong ingin mengulas buku bacaan yang baru sahaja CikYong selesai membacanya.

Tajuk bukunya ialah Kembara Menjejak Bayang. Penulisnya pula adalah Fahmi Faiz. Terbitan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan pada tahun 2016.


Buku ini merupakan travelog  penulis ke tiga daerah yang di ketika itu iaitu dalam tahun 2014 di kategorikan kawasan yang tidak selamat dikunjungi. Daerah-daerah tersebut berada di negara jiran iaitu Thailand, iaitu Pattani, Narathiwat & Yala. Berita-berita yang kerap tersiar di media massa di ketika itu menggambarkan isu keselamatan yang kritikal. Kerajaan Malaysia juga turut menasihatkan sebarang kunjungan ke daerah-daerah tersebut perlu ditangguhkan.


Kesukaran penulis untuk mendapatkan bantuan dan sokongan dari kenalan dan pihak berkuasa secara tidak lansung membenarkan isu keselamatan yang disebarkan. Namun begitu, kesungguhan semangat penulis amat dikagumi. Kesanggupan penulis meneruskan usaha pengembaraannya memang memerlukan kekentalan hati dan semangat yang teguh.


Gaya penceritaan penulis yang mudah dan terperinci memudahkan pembaca menghayati perjalanan dan merasai kegusaran dan kerisauan penulis sepanjang pengembaraannya.

Kemuncak pengembaraan penulis apabila diizinkan Allah mencapai matlamat objektif pengembaraan iaitu bertemu dengan pejuang (jawae) dan berjaya memasuki kawasan yang paling ‘panas’ atau dikenali juga sebagai zon hitam iaitu Dusun Nyior. Mungkin diatas niat murni penulis untuk memahami keadaan sebenar yang dilalui oleh penduduk tempatan di daerah yang bergolak tersebut, maka ianya dipermudahkan untuk penulis. 


Pertemuan penulis dengan Baba Malik juga boleh dianggap sebagai penemuan yang membuka mata untuk memahami situasi sebenar pergolakan yang berlaku.


Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada penulis diatas perkongsian pengalamannya yang amat berharga dan dtitipkan dengan gaya penceritaan yang amat menarik. Semoga usaha penulis diganjari dengan setimpalnya.


p/s: Cuma CikYong kurang setuju apabila penulis menyelitkan juga perihal merokok di dalam penceritaan.

 

Sunday, 1 October 2023

Mendidik hati

 بسم الله الرحمن الرحيم 

Masih lagi di dalam proses mendidik hati agar dapat berdamai dengan takdir Ilahi. 

Terasa amat sukar untuk memujuk hati agar boleh berlapang dada. 

Desakan hati sentiasa mengarah meletuskan rasa tidak puas hati. 

Namun masih ada lagi sekelumit akal yang sering mengingatkan tentang kesabaran.

Diharapkan kewarasan akal ini dapat menekan-nekan rasa yang mendesak untuk diluahkan. 

Agar penyesalan tidak menghantui diri di kemudian hari.

Oh hati! Bersabarlah

Betapa perit rasa yang ditanggung

Sedarlah ianya adalah ujian dari Ilahi

Janganlah terlampau mengikut perasaan

Tenangkan fikiran

Agar ia boleh mendidik hati

Supaya hati tidak meronta-ronta

Bertenanglah jiwa

Luaskan jiwa dengan mengingati rahmat yang dikecapi

Ya Allah berikanlah kekuatan di dalam hati ini

Semoga ianya tidak merintih meminta difahami


Memahami anak

 Alhamdulillah syukur dipanjatkan ke hadrat Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Mengatur.

Sebenarnya telah banyak kali CikYong melahirkan rasa kurang puas hati CikYong akan semakin kurangnya fokus anak CikYong di dalam pembelajarannya.

Dari apa yang CikYong perhatikan sikapnya di rumah, memang amat merisaukan CikYong. Kerja sekolah selalu sahaja bertangguh ke saat-saat akhir. Ada kalanya, tidak sempat disiapkan di rumah, dibawa semula ke sekolah, katanya, akan disiapkan di sekolah nanti. Ulangkaji pelajaran lagilah jauh sekali. Hari peperiksaan sama saja seperti hari-hari biasa. Ulangkaji di saat-saat akhir. Ada yang tidak sempat diulangkaji. Masa ada masa lagi untuk bermain games. Memang CikYong risau. Minat belajarnya semakin berkurangan.

CikYong tekad untuk ‘slow talk’ dengannya. Setelah CikYong kongsikan harapan dan kerisauan CikYong, CikYong pinta anak CikYong luahkan apa yang ada didalam fikirannya.

Akhirnya, CikYong dapat jawapan yang selama ini CikYong cari. Rupa-rupanya selama ini anak CikYong merasa tertekan dengan keputusan akademiknya. Ianya berlaku semenjak dari sekolah rendah lagi. Kebiasaannya, cerita yang didengar adalah kerana keputusan akademik yang kurang memberangsangkan menyebabkan timbulnya masalah buat seseorang. Namun perkara yang sebaliknya juga boleh terjadi. Buat anak CikYong, keputusan akademiknya yang sentiasa mendapat nombor pertama di kelas semasa sekolah rendah dan mendapat nombor pertama juga semasa di tingkatan satu, telah menyebabkan beliau merasa tertekan. Pengharapan yang tinggi oleh guru-guru terhadapnya juga menambah rasa tertekan tersebut. 

Tidak boleh disangkal, gesaan dari CikYong sendiri yang amat mementingkan anak-anak CikYong menguasai ilmu, rupa-rupanya menyumbang tekanan terhadapnya. Anak CikYong juga menyuarakan rasa kecewa kerana dia merasakan ramai ingin berkawan dengannya hanya disebabkan oleh dia dianggap sebagai budak pandai. Senang untuk dipinjam kerja sekolah untuk ditiru. Mungkin anak terasa dia dipergunakan oleh rakan-rakannya. Dia merasakan kawan-kawanya hanya berkawan untuk mendapatkan kelebihan yang ada. Dia inginkan seseorang berkawan dengannya hanya kerana dirinya yang seadanya, bukan disebabkan kepandaiannya di dalam bidang akademik.

Susah juga CikYong memikirkannya. CikYong ingin anak-anak CikYong menguasai ilmu tetapi pada masa yang sama CikYong tidak mahu anak-anak memberontak di dalam diri merasakan keterpaksaan untuk menuntut ilmu ini. Anak-anak perlu memahami akan pentingnya ilmu. Tidak boleh diambil mudah dalam mempelajari ilmu dan menguasainya. 

Ya Allah, permudahkan insan ini menyantuni anak-anak. Berikanlah taufik dan hidayah dalam diri ini untuk memdidik anak-anak yang telah Engkau per tanggungjawabkan pada ku ini. Dan bukakanlah hati dan minda anak-anak untuk menerima tunjuk ajar yang baik dari sesiapa saja. Amin amin ya rabbal alamin.

Sukan sekolah dan rombongan sekolah

 Hari Rabu lepas merupakan hari yang sibuk buat anak-anak CikYong.

Yang sulong ada sukan sekolah.

Sementara yang kedua ada rombongan sekolah. Ke Pulau Pangkor.

Yang sulong perlu pergi awal pagi, pukul 7:30pagi perlu hadir di padang trek sekolah.

Yang kedua perlu berkumpul di kantin sekolah pukul 7:00pagi.

CikYong sempat sediakan nasi lemak untuk sarapan pagi.

Yang sulong pada mulanya tak mahu ambil sarapan, tapi kemudiannya berubah fikiran. Dia jamah sedikit nasi lemak buat lapik perut. Itupun, selepas CikYong katakan kena makan sikit, takut nanti pengsan pulak masa perbarisan. Yang sulong nie, terlibat di dalam perbarisan untuk rumah sukannya. Rumah biru, rumah Jebat.

Yang kedua, katanya tak nak makan berat, jadinya dia cuma ambik koko crunch dan susu untuk sarapan ringannya.

Suami hantar dulu Yang kedua ke sekolah, selepas solat subuh di masjid. Tiba di rumah, suami kata, anak tertinggal kasut sekolah. Suami pergi semula ke sekolah untuk hantarkan kasutnya. Suami hantarkan jugak air kotak dan twiggies untuk di bagi-bagikan pada kawan-kawan yang akan se’bas’ dengan Yang kedua.

Suami terlewat sedikit menghantar Yang sulong. Usai menghantar, suami balik ke rumah. Semasa suami bersarapan, CikYong pun bersiap sebab kami hendak ke padang trek semula. Hendak melihat perbarisan Yang sulong.

Setibanya di hadapan sekolah, kelihatan di tengah padang, di hadapan astaka, perbarisan sedang berlangsung. Kelihatan dari kejauhan, pasukan perbarisan berwarna biru sedang membuat persembahan.

“Oh! Terlambat kita nie..!”

CikYong hanya dapat merakam dari jauh persembahan yang telah hampir selesai.

CikYong dan suami bergerak ke astaka menyertai penonton-penonton yang lain. Kelihatan ibubapa-ibubapa yang telah tiba lebih awal mengambil tempat di astaka. Kami berada di sana sehingga selesai acara sukan sekitar pukul 2ptg. Kami sempat balik sebentar ke rumah dalam pukul 10 pagi dan pergi semula ke padang.

Apabila keputusan pertandingan perbarisan diumumkan oleh pengaraca majlis, rumah biru diumumkan sebagai juara. Tahniah buat anak Yang sulong dan rakan-rakan. Terasa rugi pula terlepas menonton persembahan mereka. Tidak ada rezeki.

Rombongan Yang kedua berjalan lancar. Dari awal sebelum bertolak, guru sekolah yang terlibat, telah kongsikan link untuk ibubapa melihat gambar-gambar yang di’upload’ oleh guru-guru sepanjang rombongan tersebut. Terima kasih banyak-banyak diatas usaha guru-guru menyantuni hasrat ibubapa ini.

Dapatlah ibubapa ambil tahu keberadaan anak-anak. Ada gambar-gambar anak-anak berkumpul di sekolah, di dalam bas, menaiki feri, bersarapan nasi lemak, menaiki van, melawat masjid 1000selawat dan di tempat kunjungan yang lain.

Rombongan selamat pulang dan tiba di sekolah dalam pukul 6ptg. Alhamdulillah. Nampak begitu keletihan Yang kedua. CikYong pun tidak banyak bertanya perihal rombongannya. Ada juga anak bawa balik coklat Beryl dan Daim yang dibelinya di Kedai coklat di Pangkor.

Malam itu, tidur awal anak-anak, mungkin masing-masing keletihan dengan aktiviti sepanjang hari.

Semoga anak-anak dapat menimba pengalaman yang berguna dan bermanfaat. InsyaAllah.

Psikologi mendidik anak2

Mendidik anak2 penuh dengan seribu harapan dan tidak terkecuali diiringi bersama seribu kerisauan. Rasa tenangnya sedikit, rasa kekecewaanny...