Thursday, 5 October 2023

NILAM: Konfesi Prebet Adam

 Hari ini CikYong ingin mengulas perihal buku yang baru saja CikYong habiskan pembacaannya.

Tajuk bukunya ialah Konfesi Prebet Adam. Penulis adalah Syahril A.Kadir. Sementara penerbitnya adalah Garasi Republik, cetakan 2022.

Kisah ini begitu menyayat hati. Begitu jauh pemikiranCikYong apabila merenung perihal kisah kehidupan arwah Prebet Adam ini. Bagi CikYong terdapat beberapa topik yang boleh direnung-renungkan sebagai pengajaran dan sempadan buat kita semua.

1. Perkara yang amat jelas lagi bersuluh, buli adalah merupakan pencetus kepada tragedi amuk Prebet Adam. Sifat ketidakmanusiaan oleh sebilangan senior di kem tersebut memang tidak dapat masuk diakal bagaimana mereka boleh memperlakukan orang lain sebegitu teruk. Maaf kata berkemungkinan merekalah yang sebenarnya mempunyai sakit mental.
2. Apa yang telah pembuli-pembuli itu lakukan telah menghancurkan bukan satu kehidupan tetapi sebenarnya menghancurkan masyarakat kesemuanya. Ada pengajaran yang mesti kita ambil di atas kejadian yang berlaku. Fikir fikirkanlah.
3. CkiYong amat tidak bersetuju dengan kaedah latihan mental yang digunakan di dalam bidang ketenteraan,yang pada hemat CikYong bertentangan dengan prinsip agama. Untuk melatih kekuatan minda para tentera bukanlah dengan cara membuli. Dari dapatan yang CikYong fahami melalai bacaan CikYong terhadap kes-kes lain yang berlaku di dalam kem tentera, kejadian buli dianggap kemestian untuk membina ketahanan mental. Ditambah burukkan apabila kejadian-kejadian tersebut acap kali dipandang ringan oleh pihak atasan. Itulah apa yang berlaku terhadap Prebet Adam, satu kesilapan besar oleh pihak pentadbiran tentera dan seharusnyalahlangkah-langkah pembaikkan diambil dengan serius olehtunjak pentadbiran ketenteraan.
4. CikYong mengambil iktibar di atas keceraluan minda Prebet Adam dan kekurangan panduan dari masyarakat sekeliling merupakan ujian buat Arwah Prebet Adam. Sudah pasti ujian dari Allah, tidak kuasa kita mengelak seperti kes kebakaran yang menimpa keluarga arwah Prebet Adam. Apabila respon terhadap ujian yang mendatang tidak menghala kepada panduan agama, ianya akan menjerumuskan seseorang semakin jauh ke dalam gaung  kemelut kehidupan.
5. Tidak dapat dinafikan, akan ada sahaja yang ingin menangguk di air yang keruh. Fitnah disebarkan tanpa ada rasa ketakutan azab yang menanti. Mungkin ini juga merupakan jalan yang Maha Mengetahui aturkan agarmangsa yang difitnah mendapat ganjaran bonus di akhirat nanti. Tambahan lagi, yang difitnah tidak melatah dengan segala ujian fitnah yang disebarkan. 
6. Apabila melihat secara keseluruhan mungkin di ketika peristiwa itu berlaku, ia merupakan saat yang begitu mencemaskan buat semua pihak. Namun, daripada penjelasan Tann Sri Zaman Khan, di hari-hari sebelum kejadian tersebut, pihak berkuasa sebenarnya berada didalam keadaan berjaga-jaga disebabkan adanya ura-urakemungkinan akan berlakunya pergolakan perkauman, tetapi ianya telah digantikan oleh Yang Maha Mengatur dengan kejadian amuk tersebut. Jika dilihat dari segi impak kepada negara secara menyeluruh, kejadian amuk ini jauh lebih kecil daripada kejadian yang satu lagi jika ianya terjadi. Siapa yang boleh menemui jawapan mengapa Prebet Adam mengamuk di Chow Kit dan bukan pula di Ipoh atau Pulau Pinang? Hanya Allah yang Maha Mengetahui
7. Tabik hormat patut juga diberikan kepada hero-hero penyelamat seperti Datuk Abdul Ghani yang bukan sahaja mempunyai keberanian yang tinggi, malah mempunyai keperihatinan yang tinggi dalam memahami keadaan Prebet Adam di saat-saat genting tersebut.
8. Stigma masyarakat terhadap banduan dan bekas pesakit mental tetap menjadi batu penghalang yang besar untuk seseorang itu kembali menjalani kehidupan yang normal. Akibat tekanan dan tiada sokongan dari masyarakat, akhirnya Prebet Adam menjerumuskan dirinya lebih dalam lagi apabila jalan keluar yang diambil adalah dengan mengambil dadah hingga ke pengakhiran hidupnya.
9. Walau bagaimanapun, kasih sayang seorang ibu dan ikatan kekeluargaan yang erat tidak boleh diketepikan. Kasih sayang tanpa syarat jelas terpancar di dalam kisah ini. Ianya membuatkan kita tersedar akan pentingnya menjaga silaturrahim, hubungan yang suci yang dihubungkan dari rahim yang sama.
10. Akhir kata, pengajaran besar yang perlu diambil adalah agar kita kembali kepada panduan agama dan jalanilah kehidupan berTuhan yang Esa. Segala kecelaruan di dalam hidup ini, mengadulah kepada yang Maha Pencipta, agar kebahagiaan kehidupan di dunia ini dapat membantu kita mencapai kebahagiaan di akhirat nanti. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment

36 hari menuju kemabruran haji

Assalamualaikum warahmatullahiwabakotuh... Semakin mendekati ke kemabruran haji.. اللهم  kurniakanlah haji mabrur buat semua duyuffurahman 1...