Alhamdulillah syukur dipanjatkan ke hadrat Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Mengatur.
Sebenarnya telah banyak kali CikYong melahirkan rasa kurang puas hati CikYong akan semakin kurangnya fokus anak CikYong di dalam pembelajarannya.
Dari apa yang CikYong perhatikan sikapnya di rumah, memang amat merisaukan CikYong. Kerja sekolah selalu sahaja bertangguh ke saat-saat akhir. Ada kalanya, tidak sempat disiapkan di rumah, dibawa semula ke sekolah, katanya, akan disiapkan di sekolah nanti. Ulangkaji pelajaran lagilah jauh sekali. Hari peperiksaan sama saja seperti hari-hari biasa. Ulangkaji di saat-saat akhir. Ada yang tidak sempat diulangkaji. Masa ada masa lagi untuk bermain games. Memang CikYong risau. Minat belajarnya semakin berkurangan.
CikYong tekad untuk ‘slow talk’ dengannya. Setelah CikYong kongsikan harapan dan kerisauan CikYong, CikYong pinta anak CikYong luahkan apa yang ada didalam fikirannya.
Akhirnya, CikYong dapat jawapan yang selama ini CikYong cari. Rupa-rupanya selama ini anak CikYong merasa tertekan dengan keputusan akademiknya. Ianya berlaku semenjak dari sekolah rendah lagi. Kebiasaannya, cerita yang didengar adalah kerana keputusan akademik yang kurang memberangsangkan menyebabkan timbulnya masalah buat seseorang. Namun perkara yang sebaliknya juga boleh terjadi. Buat anak CikYong, keputusan akademiknya yang sentiasa mendapat nombor pertama di kelas semasa sekolah rendah dan mendapat nombor pertama juga semasa di tingkatan satu, telah menyebabkan beliau merasa tertekan. Pengharapan yang tinggi oleh guru-guru terhadapnya juga menambah rasa tertekan tersebut.
Tidak boleh disangkal, gesaan dari CikYong sendiri yang amat mementingkan anak-anak CikYong menguasai ilmu, rupa-rupanya menyumbang tekanan terhadapnya. Anak CikYong juga menyuarakan rasa kecewa kerana dia merasakan ramai ingin berkawan dengannya hanya disebabkan oleh dia dianggap sebagai budak pandai. Senang untuk dipinjam kerja sekolah untuk ditiru. Mungkin anak terasa dia dipergunakan oleh rakan-rakannya. Dia merasakan kawan-kawanya hanya berkawan untuk mendapatkan kelebihan yang ada. Dia inginkan seseorang berkawan dengannya hanya kerana dirinya yang seadanya, bukan disebabkan kepandaiannya di dalam bidang akademik.
Susah juga CikYong memikirkannya. CikYong ingin anak-anak CikYong menguasai ilmu tetapi pada masa yang sama CikYong tidak mahu anak-anak memberontak di dalam diri merasakan keterpaksaan untuk menuntut ilmu ini. Anak-anak perlu memahami akan pentingnya ilmu. Tidak boleh diambil mudah dalam mempelajari ilmu dan menguasainya.
Ya Allah, permudahkan insan ini menyantuni anak-anak. Berikanlah taufik dan hidayah dalam diri ini untuk memdidik anak-anak yang telah Engkau per tanggungjawabkan pada ku ini. Dan bukakanlah hati dan minda anak-anak untuk menerima tunjuk ajar yang baik dari sesiapa saja. Amin amin ya rabbal alamin.
No comments:
Post a Comment