Bismillah...
CikYong mulakan dengan nama Allah yang Maha Berkuasa..
Semoga apa yang akan dicatatkan ini, memberi manfaat kepada diri CikYong dan juga kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
Setelah beberapa hari CikYong tidak menyentuh papan kekunci dan menjenguk ruang penulisan ini, insyaAllah CikYong akan mencoretkan serba sedikit perjalanan kehidupan ini.
Sebenarnya, terdapat beberapa perkara yang asyik berlegar-legar di pemikiran CikYong. Ada masanya dek terlalu memikirkan sesuatu perkara akan mengakibatkan perkara lain yang ingin dilakukan akan tertunda. Itulah apa yang terjadi kepada CikYong sejak kebelakangan ini.
Kerisauan akan kesihatan anak kedua CikYong. Anak CikYong sakit mata semenjak seminggu yang lalu. Suami CikYong telahpun membawa anak berjumpa doktor empat hari yang lalu. Doktor telah berikan ubat bengkak, ubat antibiotik dan ubat tahan sakit. Menurut kata doktor, mata kirinya bengkak. Namun sakit masih belum lagi surut. Maka semalam , CikYong pula membawa anak ke klinik kerajaan untuk mendapatkan doktor memeriksanya sekali lagi. Doktor menyarankan ubat yang telah diambil, diteruskan sahaja. Saranan supaya memantauan kesihatan anak selama seminggu sebelum berjumpa semula dengan doktor pada hari jumaat minggu hadapan. Anak diberi sijil sakit untuk dua hari.
Seperkara lagi, yang agak merumitkan adalah kerana minggu ini masih lagi minggu peperiksaan. Semalam anak CikYong tidak dapat hadir ke sekolah disebabkan sakit matanya. Namun pagi tadi, suami CikYong memujuk anak agar pergi juga ke sekolah setelah melihat kesihatannya ada menampakkan sedikit penyembuhan. Setelah selesai peperiksaannya untuk hari ini, suami CikYong telah pergi ke sekolah. Suami CikYong memohon dari guru untuk membawa balik anak kerana anaknya masih lagi di dalam tempoh cuti sakit. Setelah tibanya anak CikYong ke rumah, dia memaklumkan peratus keyakinannya dalam menjawab soalan peperiksaan hanyalah lima puluh peratus. CikYong reda sahaja kerana mengambil kira dia masih lagi belum sihat sepenuhnya. Walaupun CikYong tahu akan kurangnya persediaan menghadapi peperiksaan turut disumbangkan oleh kelekaan dengan penggunaan gajet.
Menurut anak CikYong lagi, esok mungkin dia perlu membuat kertas peperiksaan ganti untuk dua mata pelajaran. Kertas peperiksaan yang sepatutnya dilakukan semalam, iaitu hari yang dia tidak hadir. Itu bermakna, CikYong perlu mengingatkan anak CikYong dari semasa ke semasa agar dia mengulangkaji matapelajaran tersebut. Pada peringkat umur sebegini, CikYong hanya akan mengingatkan sahaja. CikYong mahu anak CikYong mengambil inisiatif sendiri untuk belajar. Bukan cara CikYong untuk menggunakan cara paksaan. Dari semasa ke semasa, CikYong memang sentiasa mengingatkan anak-anak akan kepentingan ilmu.
Peperikasaan perlu dilakukan untuk mengetahui tahap pemahaman terhadap sesuatu ilmu. Jika markah yang diperolehi adalah lapan puluh peratus, itu bermakna, dua puluh peratus daripada ilmu yang disampaikan itu tidak difahaminya. Itulah konsep yang CikYong mahu anak-anak memahaminya. Peperiksaan bukan untuk menentukan siapakah yang lebih pandai dan siapakah yang kurang pandai. Peperiksaan bukan untuk membandingkan pencapaian diantara pelajar. Namun begitu, pencapaian seseorang di dalam peperiksaan perlu diperbaiki. Perbandingan diantara keputusan di dalam peperiksaan yang terkini dengan peperiksaan yang sebelumnya boleh dijadikan panduan untuk memperbaiki diri. Keputusannya haruslah lebih daripada yang sebelumnya. Itulah cara untuk memastikan motivasi untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik sentiasa ada di dalam diri pelajar.
Konsep ini telah acap kali CikYong terangkan kepada anak-anak. CikYong tahu anak-anak telahpun memahaminya. Untuk perlaksanaan, CikYong tahu masih jauh lagi perjalanannya. Walaupun pemahamannya telah ada, CikYong perlu mendorong sedikit demi sedikit agar anak-anak boleh melaksanakan apa yang mereka fahami. Masih banyak lagi dorongan yang perlu dilakukan oleh CikYong. CikYong tidak mahu anak-anak berada di zon selesa. Keputusan yang agak baik di masa lampau tidak akan menjanjikan perkara yang sama akan dikecapi di masa akan datang. Jika tidak disertakan dengan usaha yang gigih yang datang dari kesedaran di dalam diri masing-masing.
Kerapkali kelekaan dengan dunia teknologi masa kini, membuatkan anak-anak terlalai dari tanggungjawab sebenar. Leka dengan permainan elektronik, menonton pelbagai video dari pelbagai influncer & youtuber. Betapa banyaknya masa yang terbuang melayari sosial media, membaca komen-komen netizen yang tidak membawa apa-apa manfaat kepada diri yang membacanya. Memang setiap ibubapa berkongsi kerisauan yang sama. CikYong sedaya upaya ingin menarik kembali minat anak-anak kepada pembelajaran ilmu yang bermanfaat. Walaupun anak-anak ada juga menyuarakan pendapat mereka yang menyatakan di dunia internet juga terdapat banyak ilmu yang boleh dipelajari. Tetapi pastinya ada kerisauan akan kesahihan dan kebenaran ilmu yang dicapai di platform internet tersebut. Perlu disandarkan kepada kebenaran yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul.
Itulah perjuangan CikYong dan juga buat setiap ibubapa yang amat mengambil berat perihal masa depan anak-anak. Cabaran yang terbentang adalah untuk diharungi. Sesuatu yang tidak dapat dielak. Tiada pilihan, ibubapa perlu menghadapinya. Ada masa usaha seperti tidak menghasilkan keputusan yang diharapkan. Putus asa tidak boleh dijadikan alasan atau sebagai batu penghalang. Ada masa kebuntuan menjentik minda. Di saat itulah, doa dipanjatkan agar dikurniakan panduan untuk mendidik anak-anak mengikut keadah yang mematuhi kehendak syariat. Dan tidak sekali-kali tertinggal permohonan agar anak-anak juga dibukakan hati dan minda mereka untuk memahami sebaik-baiknya kehendak agama. Semoga permohonan dari hati yang merintih ini dimakbulkan. Amin...



