Tuesday, 3 January 2023

Anak III : Anak orang anak kita

 Pagi itu, emosi CikYong agak terganggu. CikYong agak kurang berpuashati dengan adik ipar CikYong. Suami CikYong baru sahaja selesai bercakap dengan adiknya melalui talian telefon. Suami ingin mendapatkan kepastian samada adik dan keluarganya akan turut serta ke majlis kenduri perkahwinan saudara mereka. Kenduri itu akan diadakan di bandaraya P. Selepas kenduri itu nanti, CikYong berhasrat untuk mengajak anak-anak adik iparnya pergi bermain go-kart saing dengan anak-anaknya.

Namun, suami CikYong memberitahu bahawa adiknya akan hadir ke majlis tersebut. Tetapi anak-anaknya tidak dapat pergi bermain go-kart. Alasan yang diberikan adalah kerana anak-anaknya perlu menyiapkan kerja cuti sekolah mereka. Itulah hal yang membuatkan CikYong kurang berpuashati.

CikYong cuba memahami kesukaran iparnya dalam mendidik anak-anak. CikYong sedar akan kesibukan iparnya dalam mengatur masa di antara kerjaya dan keluarga. Mungkin juga iparnya menghadapi masalah lain yang perlu disantuni. Pada masa yang sama, CikYong juga cuba memahami naluri anak-anaknya. Dari pergaulan CikYong bersama anak-anaknya, CikYong dapat menyelami isi hati mereka. CikYong dapat merasakan mereka inginkan lebih perhatian daripada ibubapa mereka. Apabila keperluan asas ini tidak diperolehi dari ibubapa sendiri, CikYong perhatikan, mereka berusaha untuk mencarinya dari sumber lain.

Sebenarnya, CikYong memang menganggap anak-anak saudara seperti anak-anak CikYong juga. Didikan yang CikYong berikan kepada anak-anak CikYong, perkara yang sama juga CikYong didik mereka. Namun, kegusaran timbul di hati CikYong, apabila cara didikan CikYong berbeza dengan cara didikan iparnya terhadap anak-anaknya. Situasi ini boleh menimbulkan konflik pemahaman di dalam diri mereka. Itulah yang membuatkan CikYong buntu. CikYong ingin membantu. Tetapi pada masa yang sama, CikYong tidak mahu timbul ketidak sefahaman di antara CikYong dan iparnya.

Bukan CikYong tidak pernah cuba memberi cadangan kepada iparnya. CikYong pernah cuba bertanya keadaan anak-anaknya dan CikYong cuba memberikan sedikit pandangan CikYong. Tetapi usaha CikYong itu terus ditegur oleh isteri ipar CikYong, iaitu biras CikYong. CikYong menerima pesanan mesej yang berbaur kemarahan. CikYong berusaha juga mengajak ipar dan biras CikYong untuk bertemu untuk berbincang perihal anak-anak mereka. Namun, ipar membatalkan pertemuan tersebut di atas sebab dia mempunyai urusan lain yang perlu dilakukan.

CikYong di dalam dilema. CikYong tahu adanya kecelaruan di dalam perhubungan bapa dan anak-anaknya. CikYong ingin membantu di atas dasar rasa kasih sayang kepada anak-anak orang lain yang sama seperti anak-anak CikYong sendiri. Daripada apa yang diluahkan dan perlakuan yang digambarkan, CikYong tahu mereka inginkan orang dewasa memahami mereka. Hati CikYong terasa sayu acapkali mengenangkannya. Pada masa yang sama, CikYong juga cuba menyelami hati seorang bapa. Pastinya dia juga merasakan dia telah melakukan sehabis baik untuk menjadi seorang ayah yang bertanggungjawab. Untuk CikYong memberikan cadangan penambahbaikan di dalam didikan anak-anak, mungkin sedikit sukar untuk dia menerimanya.

Tidak dapat dinafikan juga, ia tidak bermakna CikYong sentiasa betul dan sibuk hendak mengajar orang lain.. Ada ketikanya, orang luar lebih nampak kekurangan seseorang itu berbanding dengan orang itu sendiri. Begitulah ajaran Islam yang menganjurkan umatnya berpesan-pesan di antara satu sama lain dengan kebenaran dan kesabaran. Maka menjadi tanggungjawab setiap umat Islam membantu saudaranya agar jika ada yang kesalahan dan kesilapan, ianya dapat diperbetulkan.

Pada masa yang sama, CikYong juga perlu menjaga hubungan kekeluargaan agar kekal harmoni, tidak terganggu disebabkan usaha CikYong yang cuba membantu. Ianya bagaikan menarik benang di dalam tepung. Benang tidak putus, tepung tidak berserakan. CikYong kebuntuan idea mencari solusi yang terbaik. Hanya kepada Allah CikYong panjatkan doa. Memohon Allah limpahkan rahmat ilmu dan pemikiran yang pernuh hikmat buat CikYong. Agar CikYong dapat melakukan sehabis baik dalam menyantuni kedua belah pihak. Ayah dan anak-anaknya. CikYong memohon ke hadrat Ilahi agar insan-insan yang akan CikYong santuni, dikurniakan hidayah dan dibukakan hati untuk menerima nasihat dan teguran dem kebaikan bersama.

p.s:

Di antara penambahbaikan yang ingin CikYong cadangkan kepada ibubapa di luar sana.

1. Meletakkan diri ibubapa ke dalam diri anak-anak mereka. Cuba selami bagaimana keadaan dan perasaan anak-anak. Bayangkan waktu dan ketika situasi yang kurang menyenangkan yang pernah dilalui bersama anak-anak. Bayangkan bagaimana penerimaan anak-anak, apabila ibubapa memarahi mereka. Bagaimana perasaan kita sendiri jika kita dimarahi setiap hari? Bagaimana perasaan kita apabila setiap perkara yang kita lakukan, semuanya salah?

2. Adakah (mungkin tanpa sedar), telah ada perlabelan terhadap anak-anak? Dia ini memang degil, tidak mahu mendengar kata. Dia ini malas. Dia ni suka bergaduh dengan adik-beradik. Jika ada, ianya merupakan virus yang sedang menular di minda anak-anak. Ianya akan merosakkan pertumbuhan dan perkembangan personaliti anak-anak. Anak-anak akan menjadi kurang keyakinan diri. 

3. Anak-anak bukan suatu beban. Walau bagaimanapun, ianya adalah tanggungjawab. Perbezaan diantara keduanya ini, perlu jelas di dalam pemikiran ibubapa. Agar pergaulan seharian ibubapa dengan anak-anak akan terarah kepada hubungan yang positif. Jika, anak-anak merasakan mereka adalah beban kepada ibubapanya, ia akan menimbulkan perasaan bersalah di dalam diri mereka. Ianya tidak membantu di dalam perkembangan emosi mereka untuk merasai mereka dihargai dan diperlukan.

4. Menasihati anak-anak dengan mindset untuk memperbaiki dan bukan menghukum. Mindset yang betul ini akan membantu cara ibubapa berinteraksi dengan anak-anak. Mengawal emosi marah ketika situasi yang tidak dijangka juga perlu buat ibubapa. Ibubapa perlu berusaha memastikan emosi mereka dapat distabilkan secepat mungkin. Perlu dipelajari kaedah untuk bertenang. Agar di ketika nasihat atau teguran yang diberikan, ianya dapat disampaikan dalam keadaan yang paling optimum dan diterima baik oleh anak-anak. Objektifnya adalah nasihat tersebut dapat terima dengan sebaiknya. Bukan sekadar meluahkan perasaan marah dan geram yang terbuku di hati.


No comments:

Post a Comment

Psikologi mendidik anak2

Mendidik anak2 penuh dengan seribu harapan dan tidak terkecuali diiringi bersama seribu kerisauan. Rasa tenangnya sedikit, rasa kekecewaanny...