Pertama sekali, CikYong mengucapkan kesyukuran ke hadrat Ilahi yang mengizinkan CikYong berkesempatan mencoret secebis pengalaman CikYong di sini. Coretan ini sebagai muhasabah diri yang serba kekurangan agar dapat memperbaiki diri dari semasa ke semasa.
CikYong akui walaupun CikYong telah Islam sejak dari lahir, tapi pemahaman terhadap agama yang dianuti ini boleh dikatakan dengkel. Disebabkan kekurangan ilmu dan pemahaman, ianya membuatkan beberapa kali perasaan rasa diri kosong telah mengetuk hati dan minda CikYong. Semoga apa yang dikongsikan ini mungkin dapat dijadikan sebagai sempadan.
1. Kebergantungan kepada manusia melebihi kebergantungan pada Allah. Di kala menghadapi masalah, CikYong akan pasti berusaha menyelesaikannya. Jika tidak berjaya, CikYong akan memohon pertolongan dari sesiapa disekeliling, yang difikirkan boleh membantu. Memohon dari Allah merupakan langkah terakhir bagi CikYong. Pengharapan yang tinggi terhadap diri sendiri dan pada manusia, sebenarnya seringkali melahirkan rasa kecewa dan rasa tidak puas hati dalam diri ini. Rasa kosong akan menyelebungi hati ini, yang membuatkan rasa mengalah dengan ujian kehidupan.
2.Tidak memahami konsep berdoa yang sebenarnya. Pernah CikYong merasa keliru apabila cuba memahami maksud sesuatu doa yang dianjurkan sebagai doa yang mustajab. Mengapa maksud doa tiada pun menyatakan hajat yang dipohon, ianya penuh dengan pujian keatas kebesaran Allah swt. Allah! Jahil sungguh rasanya diri CikYong ketika itu. Doa hanya dijadikan medium untuk mendapatkan apa yang dihajati. Tiada rasa kehambaan semasa berdoa. Seolah-olah mengharapkan Allah sepatutnya menunaikan permintaan yang dipinta. Bila tidak dimakbulkan seperti yang diharapkan, mulalah rasa hampa menghantui diri. Mengapakah hidup ini kosong? Impian tidak kesampaian, merasakan itulah titik akhir diatas segala usaha selama ini.
3. Mempersoalkan ujian yang menimpa diri. Pernah sehingga CikYong mempersoalkan mengapa CikYong yang ditimpa musibah. Merasakan diri CikYong tidak pernah melakukan kesalahan sehingga menyebabkan ujian datang menimpa diri. Sombong sungguh diri CikYong ketika itu. Memang bila hanya memikirkan mengapa dan mengapa, mulalah timbul fikiran apakah tujuan hidup ini? Rasa tiada arah tujuan. Allahuakbar!
Alhamdulillah, dari sehari ke sehari, sedikit demi sedikit, CikYong mula belajar dan memahami konsep dan prinsip untuk menjadi seorang Islam yang sejati. Semoga segala usaha CikYong dalam memahami tuntutan Allah terhadap hambaNya ini mendapat keredhaanNya dan diri CikYong juga redha dengan apa yang telah Allah atur buat CikYong di kehidupan disini dan disana.
Wallahualam.
Terima kasih saudara/saudari kerana sudi meluangkan sedikit masa membaca coretan CikYong ini. CikYong mohon agar saudara/saudari semua mendoakan CikYong, agar CikYong dan keturunan CikYong dapat istiqamah di jalan yang benar, dapat memperbaiki diri ini sehingga ke saat terakhir di dunia ini.
Syukran jazillan.
No comments:
Post a Comment