Di pagi hari minggu itu, CikYong telah nekad untuk menyelesaikan kerja yang telah lama CikYong tangguh-tangguhkan untuk kesekian lamanya. Di satu ruang sudut di hadapan bilik belakang kelihatan timbunan barang-barang dan buku-buku lama. Telah lama timbunan itu terperap di situ, menunggu seseorang untuk mengemaskannya. Rumah yang CikYong duduki merupakan rumah pusaka arwah ayah. Sudah pastinya barang-barang di dalam rumah itu terdiri daripada barang-barang lama. Di tambah pula dengan barang-barang CikYong yang dipindahkan dari rumah CikYong sebelumnya. Maka boleh dibayangkan akan banyaknya barang di dalam rumah itu. Ianya amengandungi barang-barang untuk dua buah rumah!
Sebelum ini, barang-barang tersebut telah disumbatkan ke dalam bilik belakang. Bilik belakang seolah-olah telah menjadi stor sementara. Namun, di ketika cuti hari raya yang lalu, bilik tersebut perlu dikosongkan. Adik-beradik CikYong balik ke kampung untuk menyambut hari raya. Maka bilik itu perlu digunakan. Oleh kerana tiada ruang lain di dalam rumah, maka barang-barang tersebut dikumpulkan di sudut ruang kecil di luar bilik tersebut. Disitu lah ianya bermukim sehingga ke saat itu. CikYong tahu kebanyakan barang-barang itu sudah boleh dilupuskan, cuma CikYong perlukan masa untuk memeriksa satu persatu.
Buku-buku pengajian agama dan kitab-kitab lama arwah abah dan arwah ibu, CikYong kumpulkan dan simpan di dalam kotak penyimpanan yang tertutup dan beroda. CikYong ingin pastikan ianya tidak rosak dan elok terjaga. CikYong akan maklumkan pada adik-beradik CikYong, jika ada sesiapa yang berminat untuk mengambilnya. Sementara buku-buku sekolah anak-anak tahun-tahun sebelumnya, CikYong masukkan kedalam beg-beg plastik dan CikYong simpan di dalam kotak penyimpanan yang bertutup. Ianya mungkin akan diperlukan oleh anak CikYong untuk mengulangkaji di waktu peperiksaan tahun enamnya nanti. Ada juga barang-barang elektronik yang perlu dilupuskan kerana sudah tamat tempoh khidmatnya. Terdapat juga barang-barang lama arwah ayah dan ibu yang terpaksa CikYong lupuskan. Itupun setelah CikYong war-warkan kepada adik-beradik, dan tiada sesiapa yang berminat untuk memiliknya. Barang-barang peningggalan arwah adalah merupakan harta pusaka. Maka perlukan kebenaran daripada semua waris, sebelum dilakukan sesuatu keatasnya.
Komik-komik anak CikYong, CikYong kumpulkan dan susun ke dalam rak buku. Agar mudah diambil oleh anak-anak CikYong atau anak-anak saudara ketika mereka balik bercuti nanti. Sedang CikYong sibuk menyusun komik-komik tersebut, CikYong terjumpa sebuah beg kain yang terikat rapi. CikYong buka ikatan beg kain tersebut, dan terlihatlah di dalamnya, tersusun rapi beberapa buah komik lama CikYong. Komik Anak-anak Sidek. Barulah CikYong teringat akan keberadaan koleksi komik tersebut. Sebenarnya, CikYong memang terlupa langsung perihal koleksi komik Anak-anak Sidek itu. Begitulah kebiasaannya, ketika mengemas barang-barang lama, pada masa yang sama, ianya akan mengimbau kenangan lama.
Di ketika itu, CikYong baru mula bekerja. CikYong tinggal menyewa di sebuah pangsapuri lama di bandar J. Berhampiran rumah sewa CikYong, terdapat kedai runcit yang kerap CikYong kunjungi untuk mendapatkan keperluan barang-barang harian. Di hadapan kedai tersebut, terdapat meja yang dibentangkan luas yang dipenuhi dengan surat khabar, majalah-majalah dan komik-komik. Menjadi kebiasaan, setelah mengambil barang keperluan yang perlu dibeli, CikYong akan menjenguk di meja tersebut. Melihat-lihat jika ada bahan bacaan yang menarik perhatian CikYong. Disitulah, CikYong mula membeli komik Anak-anak Sidek.
Di zaman itu, pemain-pemain badminton terkenal yang telah mengharumkan nama Malaysia di mata dunia adalah merupakan adik-beradik. Misbun, Razif, Jailani, Rahman dan Rashid. Merekalah anak-anak Sidek. Setelah mereka menjadi juara badminton, penghasilan komik Anak-anak Sidek merupakan salah satu inisiatif yang telah mereka lakukan. Kisah-kisah mereka semasa kecil bersama dengan ayah mereka, diabadikan didalam komik tersebut.
Oleh kerana jalan cerita yang menarik di dalam komik tersebut, maka CikYong mula mengikutinya dari satu siri ke siri berikutnya. Secara sedar tidak sedar CikYong telah mempunyai tiga puluh satu buah naskah komik tersebut. Itulah yang terpampang di hadapan CikYong kini, tersusun rapi di dalam beg kain itu. CikYong mula berfikir, apakah yang akan CikYong lakukan kepada koleksi komik tersebut? Adakah CikYong masih ingin menyimpannya. Anak-anak CikYong tidak berminat untuk membacanya. Mungkin perbezaan zaman, minat mereka terarah kepada permainan di komputer. Komik-komik masakini lebih menarik perhatian mereka. Mereka tidak dapat menghubung kaitkan pengalaman di dalam komik lama ke zaman mereka sekarang.
Dalam CikYong masih tidak mempunyai idea untuk koleksi komik tersebut, tangan CikYong mencapai telefon bimbit CikYong. CikYong buka Google, dan jemari CikYong pantas menaip pada paparan kekunci, 'Anak-anak Sidek'. CikYong sentuh butang 'Search'. Dengan pantasnya senarai pencarian dipaparkan. Mata CikYong tertumpu pada paparan dan terhenti pada satu paparan yang menarik perhatian CikYong. Lantas jemari CikYong menyentuh 'link' yang menghubungkan ke aplikasi 'Shopee'. Rupa-rupanya terdapat komik Anak-anak Sidek dijual disana. Alangkah terkejutnya CikYong apabila melihat harga yang ditawarkan.
"Ada harga rupanya komik lama ni" getus hati CikYong.
CikYong amat teruja dengan penemuan yang diluar jangkaan itu. CikYong kongsikan penemuan tersebut dengan ahli keluarga CikYong. Mereka juga turut teruja. CikYong mula berkongsi pengetahuan mengenai terdapatnya permintaan terhadap barang-barang lama. Mungkin disebabkan adanya pengumpul tegar yang inginkan barang-barang lama yang sudah semakin sukar didapati. Atau mungkin masih ada orang yang ingin mengimbau kenangan lama. Siapa sangka komik yang hanya berharga dua ringgit pada dua puluh tujuh tahun yang lalu, kini masih lagi ada permintaan, masih ada peminatnya. Disebabkan komik tersebut sukar didapati dimasa kini, mereka yang berminat akan sanggup mendapatkannya pada harga yang tinggi.
Otak CikYong mula ligat berfikir. Maka timbul idea di minda CikYong untuk menjual semula komik Anak-anak Sidek. Tanpa berlengah, CikYong mula menggodek-godek aplikasi Shopee. CikYong cuba memahami cara-cara untuk menjadi penjual di platform atas talian tersebut. Beberapa jam seterusnya, CikYong habiskan untuk melakukan pendaftaran kedai atas talian di dalam platform tersebut. Keesokannya pula, CikYong mula memasukkan maklumat komik Anak-anak Sidek yang akan dijual. CikYong mula memikirkan harga yang patut diletakkan bagi setiap komik tersebut. CikYong mengambil contoh daripada penjual-penjual yang sedia ada di dalam applikasi tersebut sebagai panduan CikYong untuk meletakkan harga yang bersesuaian. Akhirmya, CikYong mengambul keputusan untuk meletakkan harga yang pertengahan dari harga pasaran. Ianya tidak terlalu rendah dan tidak juga terlalu tinggi.
Oleh kerana, pada hari-hari sebelumnya, CikYong amat jarang menggunakan aplikasi Shopee, maka tidak menjadi kebiasaan CikYong untuk menyemak status akaun CikYong. Setelah seminggu selepas CikYong meletakkan produk jualan CikYong, barulah CikYong terperasan akan adanya notifikasi di dalam email CikYong, mengatakan senaskah komik Anak-anak Sidek CikYong telah terjual. Sekali lagi CikYong amat teruja! Tidak CikYong sangka bahawa ada juga yang ingin membelinya. Terkial-kial juga CikYong pada mulanya, untuk menguruskan penghantaran pertama jualan CikYong. Alhamdulillah komik pertama terjual telah selamat sampai kepada pemilik baru. Pembeli telah memberi penilaian empat bintang. Ianya sudah cukup baik untuk penjualan pertama CikYong.
Seminggu kemudian, CikYong teruja lagi, apabila senaskah lagi komik terjual. Kali ini, CikYong berjaya menyelesaikan penghantaran lebih awal dari tarikh yang ditetapkan. Dan CikYong menerima lima bintang dari pembeli. Gembira sungguh hati CikYong. Dua hari kemudian, CikYong menyemak lagi status pembelian di dalam platform jualan. Terdapat satu lagi pembelian yang baru. CikYong menekan maklumat terperinci pembelian, untuk menyemak siri komik yang dibeli. Alangkah terkejutnya CikYong, untuk kesekian kalinya, pembeli tersebut telah membeli sembilan buah naskah. CikYong teruja lagi! Untuk pembelian kali ketiga itu, CikYong sudah lebih cekap dalam menguruskan penghantaran. Dua hari kemudian, pembeli yang sama, telah membeli dua lagi naskah.
Setakat hari itu, satu per tiga dari stok komik CikYong telah terjual. CikYong cukup berpuas hati. Siapa sangka, di celah-celah timbunan barang-barang yang telah lama tidak digunakan itu, rupa-rupanya ada barang berharga. CikYong panjatkan kesuyukuran ke hadrat Ilahi diatas rezeki yang dilimpahkan. Di kala sumber kewangan yang agak terhad, Allah datangkan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar.
p.s:
Surah At-Talaq (65:3) Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakinya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.




No comments:
Post a Comment