Thursday, 5 January 2023

Hobi III : Motosikal

Suasana sunyi di perpustakaan awam di pagi itu membuatkan mata CikYong terlelap seketika. Keadaan dingin daripada pendingin hawa turut menyumbang kepada beratnya mata CikYong. Bagi mengelakkan daripada CikYong terus terlena dibuai mimpi, CikYong perlu bangun dari kerusi yang telah lama didudukinya. CikYog melangkah ke troli buku bersebelahan kaunter perpustakawan.

Satu per satu buku di troli dibelek-belek. CikYong mencari-cari buku yang menarik perhatian CikYong.

 

"Hah! Macam menarik jer buku ni.."

 

CikYong mencapai buku berjudul "Global Dream Ride (Siri 4)". Kelihatan illustrasi muka hadapannya memaparkan gambar seorang penunggang motosikal di hadapan Menara Eiffel Paris. Tangan CikYong pantas membalikkan buku itu, untuk membaca sinopsis buku di muka belakang buku tersebut.

 

"Oh! Lady biker rupanya."

 

CikYong tahu CikYong perlu meminjam buku tersebut. CikYong ingin mengetahui lebih lanjut kisah lady biker ini.

 

Membaca kisah lady biker ini membuatkan CikYong teringat kepada salah satu hobi CikYong yang telah lama CikYong tinggal.

 

CikYong tidak pasti bila sebenarnya CikYong mula berminat dengan motosikal. Mungkin ianya bermula ketika CikYong di bangku sekolah menengah. Pengalaman pertama CikYong menunggang motosikal ialah ketika salah satu cuti sekolah. CikYong belajar sendiri menggunakan motosikal ayah. Kali pertama, CikYong terbabas ke dalam semak, disebabkan tidak tahu bagaimana untuk menekan brek. CikYong hanya tahu memulas throttle, tetapi lupa untuk bertanya bagaimana untuk menekan brek.

 

 Setelah CikYong pandai menunggang, mulalah CikYong berani memboncengkan orang. Kakak CikYong membonceng di belakang. Throttle CikYong pulas lebih sedikit, terasa seronok apabila motosikal mula meluncur laju. Di hadapan kelihatan selekoh. Kelajuan tidak dikurangkan. CikYong yakin boleh mengawal pergerakan motosikal ketika membelok nanti. Tanpa CikYong sedar, di atas jalan tanah di dalam estet itu, berkumpulnya pasir betul-betul di bahagian selekoh. 

 

Maka malang tidak berbau. Tayar motosikal C70 itu, tidak dapat membelok dengan baik di atas pasir. Motosikal hilang kawalan. Tersembam CikYong ke atas jalan tanah. Dalam keadaan panik, tangan CikYong masih memegang throttle, ianya terlebih pulas. Kedudukan tayar yang telah terbaring itu, menyebabkan kaki kanan CikYong termasuk ke celah jejari roda. Roda masih berputar. CikYong seperti tidak terasa apa-apa pada kaki seolah-olah kaki telah tercabut. Sepintas otak CikYong dapat memahami situasi. Tangan dilepas dari throttle. Pusingan roda mula berkurangan. Kelihatan merah kaki kanan yang penuh disaluti darah. Terdapat luka besar di bahagian atas kaki kanan. Hampir enam bulan CikYong tidak dapat memakai kasut sekolah.

Bak kata orang, naik motor tak sah kalau tak pernah jatuh.

 

Begitu jugalah kehidupan, dalam mengharungi kehidupan, akan ada kesilapan dilakukan. Perlu belajar dari kesilapan dan teruskan kehidupan. Tetapi jangan sampai kesilapan sama berulang kali terjadi. Itu namanya, tidak belajar dari pengalaman.

 

Rupa-rupanya pengalaman pertama jatuh motor itu, tidak melemahkan semangat CikYong. Minat CikYong tetap diteruskan. Setelah habis sekolah, ayah menyarankan CikYong ambil lesen motosikal. Pucuk dicita ulam mendatang. CikYong lulus dengan jayanya.

 

Setelah CikYong menyambung pelajaran ke peringkat ketiga, CikYong memohon jasa baik ayah untuk membelikan motosikal terpakai. Alasan yang diberi, jarak asrama dengan tempat belajar sangat jauh. Mengenangkan susah payah anak untuk menimba ilmu, maka ayah CikYong bersetuju. Dengan syarat, motosikal hanya boleh digunakan di dalam kawasan tempat pengajian. CikYong bersetuju asalkan hasrat dipenuhi. Ayah belikan motosikal terpakai dari rakan ayah di kampung. Motosikal dihantar melalui keretapi ke stesen keretapi utama di ibukota.

 

Maka bermulalah kisah CikYong bersama C70 ABK1433. Atas desakan rakan baik CikYong, tidak sampai dua minggu, janji yang telah dimenterai dengan ayah terpaksa CikYong mungkiri. CikYong telah membawa C70 sambil rakan baik CikYong membonceng di belakang, keluar dari kawasan pengajian. Selepas itu, janji itu hanya tinggal sejarah.

 

Lumrah manusia, akan menyalahkan orang lain walhal pilihan itu terletak pada diri sendiri. Janji yang dimenterai, ditanggung oleh yang tuan punya diri. Mana boleh dipindahkan kepada orang lain.

 

Hampir semua jalan di ibukota telah CikYong lalui, bersama rakan karib yang setia membonceng. Langkah CikYong semakin panjang. Menciluk di jalanraya telah menjadi kebiasaan. Bersaing dengan bas-bas mini juga tidak dapat dielakkan. Tersesat jalan juga telah biasa. CikYong dan C70 menumpang lori untuk ke bengkel juga ada, apabila C70 rosak di tengah jalan.

 

Di tempat pengajian, sempat lagi CikYong meminjam motosikal rakan sepengajian. Sekadar ingin merasa menunggang motosikal selain daripada C70. CikYong meminta jasa baik rakan yang sekuliah dengan tuan punya motosikal Kawasaki Kips, motosikal yang boleh dikira rare dikalangan pelajar pelajar peringkat ketiga ketika itu. Dapat juga CikYong merasa menunggang Kawasaki Kips sekitar kawasan pengajian. Dan juga dengan motosikal yang trending ketika itu, RXZ. Kepunyaan rakan yang sama-sama menjalani kursus praktikal di salah sebuah syarikat di bandaraya itu.

 

Setelah habis pengajian, CikYong mula berkerja. C70 masih lagi berjasa kepada CikYong untuk berulang alik ke tempat kerja. Walaupun di ketika itu, C70 telah semakin uzur keadaannya. Suatu yang pastinya, CikYong tidak perlu menempuh kesesakan jalanraya di ibukota. Ketika itu, motosikal adalah kenderaan yang lebih praktikal untuk orang berkerja berbanding dengan kereta. Di waktu itu, belum ada lari pengangkutan transit ringan seperti sekarang. CikYong tetap memerlukan khidmat C70 sehingga ke suatu masa apabila C70 acapkali menjenguk bengkel dari ke tempat kerja. Akhirnya, CikYong akur untuk berubah kepada memandu kereta ke tempat kerja. C70 dihantar pulang ke kampung halaman semula. Seperti datangnya ke ibukota, pulangnya juga melalui keretapi.

 

Walaupun CikYong sudah tidak lagi menunggang motosikal, tetapi minat terhadapnya masih lagi menebal di hati CikYong. Di masa terluang, CikYong mengambil kesempatan untuk belajar dan mengambil lesen motosikal berkuasa besar. Dengan hasrat, jika diberikan rezeki, CikYong ingin mendapatkan sebiji motosikal berkuasa besar buat diri CikYong. Setelah beberapa tahun berkerja, akhirnya CikYong dapat mengumpul sedikit simpanan dari hasil pendapatan. Hasil simpanan itu CikYong gunakan untuk membeli sebuah motosikal idaman. Kawasaki Ninja ZXR250.

 

Maka bermulalah episod baru CikYong bersama Ninja250. Motosikal itu sebenarnya dikategorikan sebagai motosikal dari kumpulan pertengahan, disebabkan cc nya hanyalah 250. Ianya tidak tergolong di dalam motosikal berkuasa besar, yang c.c. nya 500 dan ke atas. Namun, CikYong cukup berpuashati memandangkan saiz CikYong yang agak kecil, maka model ini sudah memadai. CikYong menggunakan Ninja250 untuk pergi berkerja. Di hujung minggu, CikYong akan menunggangnya ke sekitar ibukota atau ke pinggir ibukota.

 

Walaupun ada rakan-rakan yang menyarankan agar CikYong menyertai kelab-kelab motosikal yang memang banyak ketika itu, tetapi CikYong kurang berminat. CikYong lebih gemar menunggang secara solo. CikYong lebih selesa begitu. Mungkin juga CikYong termasuk dalam individu yang introvert. Istilah yang biasa digunakan di masa kini. Bagi CikYong, ianya bukanlah suatu kekurangan pada diri CikYong. Ianya hanyalah kepelbagaian personaliti. Ia adalah sunnatulllah. Pengaturan yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kehidupan di dunia ini.

 

Akhirnya, kebersamaan CikYong dengan Nija250 tidak bertahan lama juga. CikYong tidak pasti punca sebenarnya. Mungkin juga disebabkan sifat introvert CikYong. CikYong tidak selesa apabila CikYong menjadi tumpuan orang. Di ketika itu, lady biker tidak seramai sekarang. Maka, ke mana-mana sahaja CikYong menunggang Ninja250, pasti ada orang sekeliling yang akan memandang. Walaupun, CikYong memakai topi keledar full-face, yang membolehkan muka CikYong berselindung di dalamnya. Terutamanya ketika CikYong berhenti mengisi minyak di steten minyak. Jika CikYong hendak meletakkan Nija250 di tempat letak motosikal, CikYong akan mengelak dari tempat letak motosikal yang dihadapan kedai makan. CikYong tidak mahu orang-orang yang sedang makan dan lepak di dalam kedai itu memerhatikan CikYong. Begitulah low profile nya CikYong.

 

CikYong juga menyedari bahawa kos penyelenggaraan motosikal berkuasa besar juga adalah agak tinggi. Ini juga merupakan sebab CikYong mengambil keputusan untuk menamatkan hobi CikYong ini. Ninja250 CikYong bertukar milik. CikYong serahkan kepada abang CikYong dengan harapan Ninja250 dapat meneruskan baktinya. 


CikYong titipkan doa. 

"Selamat tinggal Ninja250. Terima kasih Ninja250 diatas baktimu. Terima kasih Allah diatas rezeki dan pengalaman yang dilimpahkan kepada hambaMu ini."



p.s.: Nanti CikYong cari photo lama Ninja250. Kalau jumpa, nanti CikYong tempek di sini.


No comments:

Post a Comment

Psikologi mendidik anak2

Mendidik anak2 penuh dengan seribu harapan dan tidak terkecuali diiringi bersama seribu kerisauan. Rasa tenangnya sedikit, rasa kekecewaanny...