Petang hujung minggu itu, anak baru teringat, dia ada berjanji nak jumpa kawan-kawan. Rupa-rupanya dia dan kawan-kawannya dah berjanji masa di sekolah hari sebelumnya. Mereka hendak pergi ke rumah salah seorang dari kawan-kawan. Janji nak berjumpa pukul 4:15ptg di gerai bakso yang terletak di taman perumahan kawannya.
Kami terlewat sedikit keluar dari rumah. Sampai di taman perumahan tersebut, kereta kami berlegar-legar mencari gerai bakso yang dimaksudkan. Mengikut maklumat yang anak CikYong tahu, kedai bakso tu tak ada tertulis nama kedainya. cuma penduduk taman tersebut memanggil gerai itu gerai bakso saja. Emmm.. ok..
Kami jumpa ada satu gerai dihujung bahagian taman, tapinya, gerai tersebut tutup. Tiada kelihatan kelibat orang pun di gerai dan sekitarnya. Nak tanyapun tak ada orang. Menurut anak CikYong, maklumat yang dia ada hanyalah gerai bakso, tak tau alamat rumah, tak ada nombor telefon.
Kami ambil keputusan untuk berpusing-pusing di sekitar perumahan, kut boleh terjumpa sesiapa yang boleh ditanya. Kami jumpa taman permainan, terdapat seorang kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki. Mungkin kakak dan adiknya. CikYong suruh anak CikYong cuba tanyakan samada mereka kenal dengan kawannya. Malangnya, mereka tak kenal.
Suami CikYong cadangkan untuk balik saja. Tapi CikYong minta pusing sekali lagi, kut boleh terjumpa sesiapa yang lain. Kami berhenti di tepi gerai bakso. Kelihatan sebiji basikal di parking di tepi gerai, tapi tidak ada tuannya. Kami tunggu. Beberapa minit kemudian, kelihatan seorang budak perempuan berjalan ke arah basikal tersebut. Segera CikYong suruh anak keluar dari kereta dan tanyakan pada budak perempuan tu. Rupa-rupanya rakan sekelas dengan anak CikYong.
Akhirnya berjaya juga dapatkan alamat rumah kawannya. Tiba di rumah kawan, tiada sesiapa di luar rumah, tetapi pintu rumahnya terbuka. Di ketika anak baru keluar dari kereta, kelihatan kawan-kawannya keluar dari rumah. Oh! Rupa-rupanya kawan-kawannya telah pun tiba lebih awal. Mungkin mereka terlihat kereta kami yang berhenti di hadapan rumah, maka mereka keluar menjenguk.
Setiap perkara ada pertama kalinya. Ini merupakan kali pertama anak CikYong dan kawan-kawannya berjanji untuk bertemu. Mungkin di lain kali, mereka akan merancang dengan lebih baik lagi. Mungkin boleh berkongsi maklumat penting seperti alamat yang lebih tepat atau pun nombor telefon ibu bapa agar mudah untuk berhubung.
No comments:
Post a Comment