Saturday, 29 July 2023

Laser mata (Photocoagulation)

 Semalam mata CikYong di’laser’. Dalam bahasa Inggeris dipanggil Laser Surgery. Dalam bahasa perubatan dinamakan Photocoagulation.

Bermula kisahnya, seminggu yang lalu, ketika CikYong berbasikal di kawasan bendang yang tak jauh pun dari rumah. Cuaca pagi tu, cerah dan baik-baik saja. Dalam CikYong tengah mengayuh dalam perjalanan balik ke rumah, sambil mata melihat permandangan sawah-sawah yang terbentang luas di hadapan CikYong, tiba-tiba CikYong terlihat pancaran cahaya kilat dari arah atas kanan pandangan CikYong. 

“Cuaca baik ni, tak kan ada kilat kut” detik hati CikYong.

Pada mulanya, CikYong abaikan saja. Tapi beberapa ketika kemudian, CikYong ternampak lagi kilat tersebut. Hati CikYong dah terasa tak sedap hati. Terfikir pulak CikYong, mungkin sebab penat kut. Kebetulan hari itu, CikYong dan suami mengayuh jauh sikit jaraknya daripada kebiasaan. CikYong pun cuba perlahankan sikit kayuhan. CikYong kayuh santai sahaja sehingga sampai ke rumah. Dalam perjalanan pulang tu, kejadian kilat tu terjadi lagi untuk beberapa kali.

Ketika di rumah, kilat tu tak kelihatan dah, pada pandangan CikYong ler. Namun bila CikYong berada di luar rumah, macam masa di dalam kereta, pancaran kilat itu akan kelihatan lagi, ianya berlaku secara rawak. Setiap kali ianya timbul, ianya akan berada di kedudukan yang sama, iaitu di sebelah atas kanan ruang pandangan CikYong. 

CikYong dah semakin risau. CikYong cuba gak tanya Mr Google dan chat ngan GPT. Apa yang CikYong jumpa, agak merisaukan. Dah beberapa hari, CikYong memikirkannya, CikYong ambik keputusan untuk wassap rakan sekolah CikYong, seorang doktor pakar mata. CikYong terangkan secara terperinci yang boleh pada dia. Maklumlah secara wassap jer, takut susah lak dia nak diagnose nya. Satu ayat dalam mesej dia yang buat CikYong semakin risau. “i urge u urgent seek eye doctor. It can be nothing but it can be sign of something sinister.”

CikYong dah tak tanya lanjut dah kat dia. CikYong macam dah dapat agak dah apa bendanya. Keesokan harinya, CikYong pergi ke klinik kesihatan di pekan. Doktor bagi CikYong surat refer ke klinik mata di hospital kerana katanya, di klinik kesihatan tak de alat untuk nak periksa bahagian retina mata. Kena pergi klinik mata. Oleh kerana, masa tu dah petang, klinik mata pun dah tutup, jadinya, CikYong kena pergi keesokan paginya.

Dalam pukul 9 pagi keesokkannya, suami CikYong tolong hantarkan ke klinik mata di hospital. Masuk saja ke dalam klinik, CikYong terus menuju ke meja di tepi pintu masuk. CikYong hulurkan surat rujukan doktor kepada petugas yang berada di situ. Setelah membaca surat tersebut, petugas bertanya pada CikYong samada nak jumpa doktor pada hari itu jugak atau nak datang hari lain.

“Kalau boleh hari ini jugak” ujar CikYong walaupun ketika itu CikYong lihat ruang menunggu di klinik itu memang penuh sehingga ada yang menunggu di luar klinik. CikYong bersedia jer untuk kena menunggu lama. Bak kata org putih “mentally prepared”.

Petugas arahkan CikYong untuk mendaftar dahulu di pejabat bersebelah, selepas itu, datang semula ke klinik itu dan letakkan surat rujukan dikaunter untuk mendapatkan nombor giliran. Tidak lama kemudian nombor CikYong dipanggil ke bilik 5. Di situ, CikYong perlu buat ujian penglihatan yang sama macam di kedai cermin mata. Kena baca huruf2 dari saiz besar sampai yg kecil-kecil tu. Petugas bertanyakan perihal penglihatan CikYong. CikYong terangkan mengenai kilat yang CikYong nampak. Respon dari petugas juga agak merisaukan.

“Orang yang pakai cermin mata, nampak flash light, ada kemungkinan retina tear”.

Petugas arahkan CikYong tunggu di depan bilik 3 dan tunggu nombor dipanggil. Masuk ke bilik 3, doktor bertanya perihal yang sama, dan CikYong terangkan lagi. Doktor masukkan ubat titik ke dalam dua-dua mata CikYong. Doktor tanya datang dengan apa. CikYong bagitau, suami hantar. Doktor bagitahu, ubat titik tu akan buatkan anak mata membesar, jadinya masa balik nanti, kena ada orang yang ambik, tak boleh drive sendiri. Lepas tu Doktor bagi fail dan arahkan CikYong pergi semula ke kaunter untuk daftar buka fail dan dapatkan nombor giliran yang baru. 

Sementara menunggu nombor dipanggil semula, pandangan CikYong terasa semakin kabur. Pada mulanya, sambil menunggu CikYong baca buku yamg memang CikYong dah ada bawa, maklumlah dah jangka akan lama menunggu. Tapi bila pandangan dah semakin kabur, CikYong terpaksalah tutup jer buku. Bila CikYong masuk semula ke dalam bilik doktor, doktor titikkan lagi ubat buis ke dalam mata. CikYong diarahkan diduduk di hadapan alat untuk doktor periksa mata (CikYong tak tau apa nama alat tu). Doktor pesan jangan takut dan bergerak masa doktor tengah periksa mata. Doktor nak lihat keadaan retina mata. Retina nie terletak di bahagian belakang dalam mata. Kali pertama doktor guna alat tersebut, satu cahaya amat terang menyuluh ke dalam mata. Memang teramat terang. CikYong boleh lagi bertahan walaupun mata kurang selesa dengan cahaya tu. CikYong kena buka kedua-dua mata dan pandang hadapan. 

Selesai doktor memeriksa mata CikYong, doktor arahkan CikYong untuk ikut doktor ke bilik doktor yang bersebelahan. Rupa-rupanya, doktor nak dapatkan kepastian, doktor rujuk pada doktor lain di bilik sebelah. Doktor ini pun buat perkara yang sama menggunakan alat serupa. Kali ini, CikYong diarah untuk mengubah-ubah pandangan dari kanan, ke kiri, ke atas, ke bawah, atas kanan, bawah kanan, atas kiri dan bawah kiri.

Selesai diperiksa oleh doktor yang kedua ni, CikYong ikut semula doktor yang pertama. Doktor suruh CikYong duduk di salah sebuah kerusi di tepi bilik doktor, sementara doktor pergi ke bilik lain yang terletak di hujung laluan ke bilik-bilik doktor. Beberapa minit kemudian, doktor datang semula ke CikYong dan maklumkan yang mata CikYong perlu di’laser’. 

Hasil dari pemeriksaan retina tersebut, doktor maklumkan yang ada lubang di retina. Jadinya, doktor akan laser di sekeliling lubang utk lekatkan retina ke soket mata. Ianya umpama nak ‘welding’, supaya air tak masuk melalui lubang tu. Kalau air masuk, air akan mengisi ruang antara retina dan soket. Bila banyak air yang masuk, air itu akan tolak retina menyebabkan retina tertanggal dari soket, maka mata boleh jadi tak nampak. Atau dalam makna lainnya buta. Begitulah yang CikYong faham dari penjelasan doktor.

“Kami perlukan tandatangan puan untuk nak buat laser ni” ujar doktor sambil mencapai sehelai borang dari rak dokumen di tepinya.

“Bila nak buat ni, doktor?” tanya CikYong.

Di masa itu CikYong masih lagi cuba menghadamkan maklumat yang baru didengari itu.

“Kami nal buat sekarang la”

“Sekarang, doktor!” terkejut sungguh CikYong.

Mungkin nampak sangat muka tak percaya CikYong, maka doktor menambah,

“Ini dah dikira kecemasan dah, memang kena buat sekarang. Macam apa yang diterang tadi, retina boleh tertanggal kalau air masuk ke bahagian belakang retina.” Doktor terangkan semula bagi CikYong memahami keadaan sebenar.

“Oh! Ok doktor”, CikYong pun turunkan tandatangan di borang tersebut. Doktor maklumkan juga yang laser akan dibuat untuk kedua-dua belah mata.

Kemudian CikYong diarahkan masuk ke bilik hujung. Doktor lain yang berada di bilik tersebut arahkan CikYong duduk di kerusi berhadapan dengan alat untuk pembedahan laser. Di ketika itu. CikYong tak ada idea bagaimana ianya akan dilakukan, maklumlah itulah kali pertama nak di’laser’ mata. CikYong ikut saja arahan dari doktor.

Doktor minta CikYong berikan kerjasama. Ikut arahan yang diberi. Sempat juga CikYong tanyakan berapa lama prosesnya. Doktor kata bergantung samada kedudukan lubang tu mudah dijumpai atau tak. Oh! Ok.. 

Masa tu memang rasa berdebar, tapi CikYong cuba tenangkan hati. CikYong ingat pada Allah, yakin semua ini adalah ketentuan Allah. Bukankah dengan mengingati Allah, hati akan tenang. InsyaAllah, CikYong boleh lakukan.

Doktor mula dengan mata kanan CikYong. Doktor letakkan satu alat dimata kanan CikYong. Doktor arahkan mata melihat ke arah lampu merah yang di pancar di sisi alat laser tersebut, saiznya sebesar lampu LED begitu. Kemudian Doktor arahkan pandang ke arah bawah. Setelah doktor jumpa kawasan yang perlu di’laser’, kedengaran doktor seperti menekan sesuatu butang, satu kerlipan pancaran yang teramat terang kelihatan di mata kanan CikYong. Dalam hati, “Oh! Macam tu rupanya laser tu”. Doktor pancarkan laser pada kadar satu dalam beberapa saat. Mungkin dalam 40-50 kali. Setelah itu selesai mata kanan.

Kemudian doktor beralih ke mata kiri. Agak sukar jugak doktor nak jumpa lokasi lubang, ambik masa yang lama sikit. Akhirnya jumpa setelah doktor arahkan CikYong menghalakan mata ke arah atas. Selepas itu doktor mula me’laser’ di sekitar lubang itu. Tetapi kali ini, kadar laser nya lebih banyak, pancaran laser berterusan buat beberapa ketika, kemudian berhenti sekejap, dan diulang lagi. 

Setelah kesekian kalinya, CikYong dah rasa macam tak dapat nak tahan dah. Pancarannya yang teramat-amat terang dan berpanjangan. Mula terasa berbahang panas, berpeluh. Tempat pemegang dikiri kanan, rasanya tangan CikYong genggam sekuat-kuatnya, menahan sakit. Rasa nak pitam pun ada. Tapi otak masih lagi paksa pertahan, tak benarkan badan terutama kepala bergerak. Terasa cahaya laser tu sampai ke otak. Kepala dah sakit yang amat. CikYong masih cuba bertahan, bertanya dalam hati bila nak habis ni. Hanya Allah yang tahu. Akhirnya doktor berhenti, kelihatan doktor keletihan. Doktor tak kata apa-apa. Dalam kesakitan, CikYong nampak doktor kumpulkan alat-alat yang digunakan untuk letak di mata tadi, doktor bawa ke sinki untuk dibasuh. Doktor masih lagi tak berkata apa-apa. Doktor duduk semula di kerusi tadi, sambil membawa alat-alat yang dah dibersihkan.

CikYong pun keliru, tak pasti samada dah selesai ke atau doktor akan sambung semula. 

“Dah habis ke doktor” akhirnya CikYong tanyakan jugak pada doktor.

“Ya, dah selesai”

Lega CikYong memdengar jawapan doktor.

“Kepala saya sakit, doktor”

Doktor mengiyakan prosedur laser tu boleh buatkan sakit kepala. Doktor bagi ubat tahan sakit (2biji paracetamol)

Doktor terangkan bahagian mata kiri, lubangnya besar, itu yang perlu banyak di’laser’.

CikYong dibenarkan balik. CikYong perlu datang dua minggu lagi untuk temujanji dengan doktor.

Suatu pengalaman yang menguji ketahanan fizikal dan mental buat CikYong. Semoga Allah kurniakan kekuatan buat CikYong. Setinggi-tinggi kesyukuran CikYong panjatkan ke hadrat Ilahi atas ujian ini. Kekaguman diatas kehebatan Allah mencipta makhlukNya dengan begitu halus dan terperinci. Lihat sahaja akan kejadian mata yang mempunyai retina yang merupakan saraf-saraf mata yang begitu halus tapi berkebolehan memberi penglihatan kepada manusia untuk menyaksikan kehebatan alam semesta yang pastinya ciptaan Allah jua. Alhamdulilah. Astargfirullahil azim… kami selalu lupa Ya Allah, akan segala nikmat yang Engkau limpahi.. ampuni lah kami, Ya Allah yang Maha Pengampun.



 

No comments:

Post a Comment

Psikologi mendidik anak2

Mendidik anak2 penuh dengan seribu harapan dan tidak terkecuali diiringi bersama seribu kerisauan. Rasa tenangnya sedikit, rasa kekecewaanny...