Wednesday, 31 January 2024

Hari ke-30 di tahun 2024



 Selepas subuh, CikYong di dapur menyediakan bekal untuk anak. CikYong masakkan pulut dan rebus telur. Lebihan kari ayam tempoh hari, CikYong panaskan sahaja. Suami belikan nasi lemak, kami bersarapan sebelum keluar berbasikal. CikYong turut mengajak anak teruna sulong, namun dia keberatan untuk turut serta.

Anak teruna sulong bersenam sebelum ke sekolah. Sebenarnya telah lama juga dia tidak bersenam disebabkan tangan kirinya yang sakit. Iaitu semenjak tangannya terkena bola yang ditendang oleh kawan ketika pendidikan jasmani di sekolah.

Untuk makan tengahari, suami belikan nasi ayam untuk anak teruna kedua. Sementara CikYong makan nasi bersama lauk ikan goreng lebihan semalam sahaja.

CikYong mengarang surat rasmi untuk memohon kebenaran dari pihak pengurusan hospital di tempat CikYong. Ia adalah untuk mendapatkan kebenaran untuk mengagihkan makanan di wad hospital di bulan Ramadhan yang akan datang.

Sebelah petang, CikYong menyambung lukisan yang baru. CikYong telah mula mewarna.

CikYong juga telah selesai memghabiskan bacaan buku “R.O.Windstet: Orientalis atau Sarjana?”. Buku ini telah dua kali CikYong perbaharui tarikh pemulangannya yang bermaksud telah hampir sebulan setengah untuk CikYong menghabiskannya. 

Hari ke-117 perang di Palestine. Di antara yang viral apabila Hamas berkongsi operasi memusnahkan kereta kebal. Apa yang menarik perhatian ialah aksi mujahid yang melancarkan roket tersebut. Beliau mendapat gelaran ‘the elegant fighter’ disebabkan beliau membedil kereta kebal IDF dengan berpakaian seperti model yang memperagakan kot labu. Aksi beliau berlari dengan kot labuhnya terkuak ke tepi, penuh dengan gaya kegagahan. Ada juga yang menggelakannya Batman.

Sementara itu, Amerika telah mengeluarkan arahan akan memulakan perang di Timur Tengah.


Tuesday, 30 January 2024

NILAM: CIKGU, BAWALAH SAYA KE SYURGA

 Hari ini setelah sekian lama tidak mengulas buku di post Nilam. Buku bertajuk “Cikgu, bawalah saya ke syurga’, penulisnya terdiri daripada 7 orang guru yang penyayang dan berdedikasi dalam mendidik anak2 muridnya. Terdiri daripada Cikgu Ahmad Safar Aman, Cikgu Noor Illyati Mohd Ruslly, Cikgu Nordin Hashim, Nordaliyana Abdullah, Cikgu Zurhan Bakar, Cikgu Nor Fadhilah Che Azhar & Cikgu Izzatul Husna Rahaman. Terbitan Rimbunan Publishing House, cetakan 2022.

Pelbagai kisah pengalaman guru dicoretkan di dalam buku setebal 426 mukasurat ini. Terdapat kisah cikgu mengajar di sekolah luar bandar, di mana kemiskinan merupakan cabaran yang menghalang minat murid untuk meneruskan pembelajaran di sekolah. Usaha dan keperihatinan yang tinggi dizahirkan oleh cikgu demi memastikan anak2 ini didorong untuk terus belajar.

Kisah cikgu mengajar anak2 murid orang asal juga memaparkan pengalaman yang unik bersama mereka. Keakraban dan memahami budaya sesuatu komuniti dijadikan intipati perjuangan seorang cikgu dalam mendekati dan memahami anak muridnya.

Pengalaman seorang cikgu dalam mendidik anak2 yang memerlukan pembelajaran khas juga dikongsi dengan penuh rasa kasih sayang. Kesungguhan dan cabaran cikgu dalam memahami hati naluri anak2 ini sungguh menyentuh hati.

Kisah di sepanjang pengajaran seorang cikgu selama berpuluh tahun mengajar juga dikongsikan. Sudah pasti ada sahaja kisah2 lucu di dalam kelas yang tetap diingati oleh cikgu dan murid2nya walaupun ianya telah lama berlalu.

Tidak ketinggaln kisah2 seram dan suam suam suku seram dirakamkan juga melalui pengalaman cikgu dan murid2.

Seorang cikgu kaunselor yang berdepan dengan masalah psikologi murid, keterlibatan konflik keluarga merupakan asam garam yang perlu ditangani dengan sebaik-baiknya.

Seorang cikgu muda mengajar di sekolah swasta berkongsi cerita manis dan lucu di sepanjang pengajarannya. Ada yang begitu mencuit hati, mengundang bibir mengukir senyuman tanpa disedari.

Secara keseluruhannya, CikYong menganggap ia adalah sebuah buku yang padat dengan cerita yang menambah kefahaman asam garam di dalam dunia pendidikan.




Hari ke-29 di tahun 2024

 Hari ini CikYong, suami dan anak teruna kedua berpuasa sunat. Kami bersahur ringkas sahaja. Nasi dan telur dadar. Anak teruna sulong tidak turut berpuasa kerana dia ada pendidikan jasmani hari ini. 

Anak teruna kedua hanya bersekolah petang sahaja. Sekolah kebangsaannya bercuti peristiwa sempena hari kecemerlangan pada sabtu yang lepas.

CikYong sediakan bekal untuk anak teruna sulong. CikYong mengajak anak teruna kedua untuk menyediakan sandwich telur. Semalam dia telah bersetuju untuk belajar membuat sandwich pada hari ini. Namun hari ini, dia telah bertukar fikiran, tidak jadi pula hendak belajar, mungkin dia rasa berat untuk meninggalkan masa bermain game nye. 

Sebelah petang, CikYong ke pekan bersama suami untuk mengambil lukisan di kedai bingkai. Dalam perjalanan pulang ke rumah, kami singgah di hipermarket berdekatan untuk membeli bahan2 untuk memasak acar. Ianya dipesan oleh ibu saudara.

Kami berbuka puasa dengan menu ringkas sahaja. CikYong masak nasi dan ikan goreng sahaja. Suami belikan sup dan pajeri nenas.


Hari ke-116 perang di Palestine. Pengeboman di selatan Gaza semakin mengganas. Kematian semakin meningkat. Dua hari selepas ICJ mengeluarkan keputusannya, Israel menunjukkan kedegilannya apabila mengadakan perjumpaan dengan pendatang haram yang dijanjikan penempatan haram di Gaza. Sementara itu, penunjuk perasaan Isreal menghalang bantuan kemanusiaan memasuki Gaza melalui Keren Shalom.

Monday, 29 January 2024

Hari ke-28 di tahun 2024

 Di hujung minggu, CikYong bersarapan di rumah bersama dengan anak2 sementara suami pergi ke pekan menemami bonda ke pasar pagi.

CikYong berkebun sebentar menyantuni pokok2 bunga yang tepi rumah. CikYong juga meneruskan projek lukisan yang seterusnya. Hari ini CikYong hanya membuat lakaran kasar sahaja.

Di tengahari, CikYong di dapur menyediakan makan ye tengahari. CikYong mengajak anak teruna sulung untuk membantu. Anak CikYong menolong memasak nasi dan belajar menumis sayur sawi sementara CikYong memasak kari ikan.

Sebelah petang, CikYong habiskan membaca buku “Cikgu, bawalah saya ke syurga.”

Suami dan anak teruna sulung keluar ke kedai DIY untuk membeli hadiah. Pada Jumaat depan, kelas anak akan mengadakan jamuan dan akan diadakan juga acara bertukar hadiah.

Hari ke-115 perang di Palestine. Negara2 EU memberhentikan bantuan kepda UNRWA Palestine apabila dikatakan terdapat dua belas orang kakitangan UNRWA terlibat di dalam serangan 7hb Oktober. Semakin bertambah kesempitan rakyat Palestine. Satu lagi berita buruk, seorang aktivitis Mansour warga negara Kanada Palestine telah hilang semenjak seminggu yang lalu. Terdapat berita yang mengatakan beliau telah diculik oleh tentera IDF. Warganet melancarkan petisyen menuntut beliau dibebaskan.

Ya Allah kami mohon pertolongan Mu agar umat Islam dikurniakan kekuatan untuk melawan penindas uang bermaharajalela. Aminn aminn ya rabbal alamin..

Sunday, 28 January 2024

Hari ke-27 di tahun 2024

 Hari ini seawal pagi, selesai sahaja azan subuh dari masjid, suami dan anak2 CikYong bersegera ke masjid untuk bersolat subuh. Hari ini, mereka pergi awal daripada biasanya kerana menjangkakan akan ramai jemaah yang hadir. Masjid di kampung dan juga masjid2 lain di sekitar mengadakan kempen solat subuh macam solat jumaat. Program kempen solat subuh di masjid kampung CikYong ini turut menyediakan sarapan pagi selepas kuliah subuh dan juga cabutan bertuah.

Namun suami dan anak2 balik setelah selesai solat subuh kerana anak teruna kedua CikYong perlu pergi ke sekolah agak awal pagi ini. Sekolah anak CikYong menganjurkan majlis appresiasi. 

Setelah selesai bersarapan, CikYong, suami dan anak teruna sulung pula menyusul ke sekolah anak teruna kedua untuk meraikannya. Usai sesi untuk anak CikYong, anak CikYong mengajak untuk pulang ke rumah. Walaupun pada niat awal CikYong hendak menunggu sehingga majlis selesai, namun CikYong turutkan sahaja ajakan anak CikYong.

Oleh kerana kami balik awal, CikYong mencadangkan untuk membawa bonda ke kenduri doa selamat saudara. Pada asal perancangan, adik ipar yang akan bawakan bonda, tetapi memandangkan adik ipar masih di dalam mesyuarat di sekolahnya, maka kami membuat keputusan untuk membawa bonda ke kenduri tersebut.

Alhamdulillah kami sempat tiba di ketika majlis doa selamat baru hendak di mulakan. Hidangan yang disajikan kepada tetamu sungguh menyelerakan. Sebenarnya tuan rumah merupakan katerer dan  merupakan perniagaan keluarga. Oleh kerana itulah, sajian yang disediakan sedap-sedap belaka.

Balik dari kenduri, CikYong terasa sedikit keletihan, mungkin disebabkan cuaca agak panas hari ini. Selepas asar, suami mengajak ke hypermarket yang berhampiran untuk membeli barang keperluan rumah.

Pada lewat petang, setelah seharian cuaca begitu panas, tiba-tiba bertukar ke hujan lebat. Disertai juga kilat dan guruh yang silih berganti. Di kampung CikYong dan kawasan sekitarnya adalah merupakan kawasan yang banyak berlakunya kilat dan guruh yang kuat dan kadang2 sambung menyambung. Oleh kerana hujan yang lebat, terdapat juga di beberapa tempat di bumbung rumah yang bocor. Beginilah keadaannya rumah lama ini.

Hari ke-114 perang di Palestine. Orang awan di Khan Yunis dikerah oleh Israel untuk keluar meninggal bandar tersebut. Malangnya, Israel bertindak kejam apabila menembak mereka yang bergerak keluar dari bandar tersebut. 

Saturday, 27 January 2024

Cuti-cuti Malaysia di Perlis (Bhgn I)

Perancangan untuk bercuti di Perlis sebenarnya dicetuskan oleh adik ipar CikYong. Adik ipar (adik ipar ke-2) bercadang untuk bercuti ke Perlis bersama keluarganya. Adik ipar juga berhasrat untuk mengajak Bonda untuk turut serta. Namun disebabkan kereta adik ipar hanya dapat menampung keluarganya sahaja, maka adik ipar mengajak kami sekeluarga agar Bonda boleh menaiki kenderaan kami. Hasrat adik ipar itu telah diajukan kepada suami CikYong dalam beberapa minggu sebelum percutian tersebut. Di ketika itu, suami dan CikYong telah bersetuju dengan pelawaan tersebut.

Seminggu sebelum tarikh yang telah dirancang, berlaku pula kemalangan kereta masuk rumah (seperti yang CikYong rakamkan di post yang lain). Di ketika itu, kami berasa berbelah bagi untuk menyertai percutian tersebut disebabkan kemalangan yang terjadi. Kami memikirkan akan banyak perkara yang perlu diuruskan dan juga agak kepenatan membersihkan rumah adik ipar (adik ipar yang ke-4).

Namun akhirnya kami tidak jadi membatalkannya setelah adik ipar memujuk agar kami turut serta untuk meraikan bonda. Pada hari perjalanan, adik ipar dan keluarga telah bertolak awal pagi dari rumahnya di ibukota terus ke Perlis. Sementara CikYong dan keluarga bertolak lewat sedikit disebabkan CikYong ada temujanji di hospital di sebelah pagi. Usai urusan di hospital, kami pun bersiap-siap lalu bergerak ke rumah Bonda. Di rumah Bonda, adik ipar (adik ipar yang ke-5) dan keluarga sudah sedia menunggu. Mereka sekeluarga juga turut serta di dalam percutian ini. Bonda menaiki kenderaan kami.

Maka dua kenderaan  kami mula bertolak ke Perlis. Kami berhenti di R&R untuk makan tengahari dan solat Zuhur. Kami tiba di Perlis pada lewat petang. Kami terus menuju ke Homestay yang telah disewa. Keluarga adik ipar (ke-2) telahpun tiba pada waktu tengahari. 

Homestay yang disewa merupakan rumah teres dua tingkat. Keadaan rumah sunggu selesa. Terdapat empat bilik tidur, sebuah di tingkat bawah dan tiga di tingkat atas. Ruang tamu dan dapur yang luas dan selesa. CikYong dan keluarga duduk di salah sebuah bilik di tingkat atas. Biliknya juga selesa, terdapat katil saiz queen dan toto disediakan. Adir ipar (ke-2) yang mengurus dan menaja penginapan homestay ini. Jazakallahu khairan.

Usai solat Maghrib, semua bersiap-siap untuk keluar makan malam di sekitar bandar Kangar. CikYong tidak ikut serta disebabkan anak teruna kedua CikYong mengadu sakit kepala. Anak teruna sulung CikYong juga turut tinggal ditinggal di homestay untuk menemani CikYong dan adiknya. Sementara menunggu yang lain balik dari makan malam, anak teruna kedua CikYong tidur di bilik. CikYong dan anak teruna sulung pula menonton tv sambil bersembang.

Setelah semua pulang, merek bawakan makanan bungkus untuk CikYong anak beranak. Rupa-rupanya ada juga yang turut serta beli makanan bungkus disebabkan pesanan makanan lewat tiba. Makanya, kami pun makan bersama-sama termasuklah suami CikYong. Menurut suami CikYong, diapun rasa tidak seronok dan risau perihal anak yang sakit kepala, lalu diapun meng’order’ bungkus juga.

Keesokan paginya, kami keluar awal untuk bersarapan awal di salah satu tempat makan yang viral. Kebiasaannya tempat tersebut seawal pagi telah dipenuhi pelanggan Kedai makan terletak di tepi sawah. Permandangan sekeliling memang sungguh menarik dan mendamaikan, melihat kehijauan sawah yang terbentang luas. Bangunan kedai makannya terdapat tiga tingkat dan terdapat banyak meja makan dan ruang yang selesa. 

Namun seperti yang telah dimaklumkan, seawal pagi, pelanggan telah tiba, beratur panjang untuk membeli makanan. Kami mengambil tempat di meja makan di tingkat tiga. Ketika kami tiba, ruang tersebut masih lagi kosong. Tidak lama selepas kami mula bersarapan, semua meja ruang tersebut telah dipenuhi. Kami bersarapan dengan pelbagai jenis makanan yang semuanya sedap-sedap belaka. Menu yang kami ambil termasuklah roti canai, soto, bakso, nasi impit, nasi lemak, dan lain-lain.

Usai sarapan, sesi bergambar adalah kemestian. Dalam masa yang sama, kelihatan pelanggan yang datang semakin ramai. Setelah selesai sesi bergambar, kami mula bergerak ke destinasi pertama untuk hari pertama percutian di Perlis. Kami menuju ke Wang Kelian. 




(akan disambung di post yang seterusnya, insyaAllah..)

Hari ke-26 di tahun 2024

 Hari ini kedua-dua anak CikYong bersekolah pagi. Mereka hanya dibekalkan dengan makanan yang dibeli iaitu nasi lemak dan bihun goreng. Namun, selepas pulang dari sekolah di tengaharinya, anak teruna sulung CikYong memberitahu bahawa dia tidak sempat untuk memakan bekalannya. 

Menurutnya, sebelum waktu rehat merupakan kelas pendidikan jasmani. Anak CikYong bermain bila di padang sekolah yang becak. Ya, sejak kebelakangan ini, hampir setiap petang hujan. Oleh kerana itu, hampir separuh daripada masa rehatnya digunakan untuk membersihkan baju, seluar dan kasut. Katanya lagi, semasa bermain tersebut, dia siap terjatuh ke dalam becak tersebut.

CikYong dan suami berbasikal selepas anak2 telah pergi ke sekolah. Kali ini, kami lajak sedikit laluan berbasikal, lebih sedikit dari sepuluh kilometer tetapi masih kurang daripada lima belas kilometer. Pagi ini cuaca lebih cerah, sinar matahari pagi berwarna kejinggaan kelihatan di ufuk timur. Kelihatan di langit yang terbentang luas, terletaknya gumpalan-gumpalan awan yang melintang, berwarna putih dan terdapat calitan warna jingga dan merah jambu menghiasi awan seindah-indahnya. Sesungguhnya di setiap ciptaan Allah, terdapat peringatan bagi orang yang berfikir.

Selepas balik dari berbasikal, CikYong segera memasak nasi goreng menggunakan nasi yang tidak habis semalam. Maka kami bersarapan dengan nasi goreng sahaja. 

Kelas mingguan bahasa arab komunikasi berjalan seperti biasa. Hari ini juga merupakan tarikh rayuan haji dibuka oleh Tabung Haji. CikYong mengambil kesempatan menghantar rayuan permohonan haji untuk tahun ini. Permohonan dilakukan melalui applikasi THjari. Semoga Allah menjemput CikYong menjadi tetamu Allah tahun ini. Amin amin ya rabbal alamin.

Untuk makan tengahari, anak2 CikYong makan nasi ayam yang dibeli.

Pada sebelah petang, selepas suami CikYong menghantar anak teruna kedua ke sekolah agamanya, kami pergi pula ke pekan. Destinasi pertama, ke kedai membuat bingkai. CikYong menghantar lima keping lukisan termasuk yang lukisan yang CikYong baru sahaja siapkam untuk dibuatkan bingkai. CikYong memilih cara bingkai yang paling murah sahaja. Destinasi ke dua ialah ke Lotus’s untuk membeli kupon Lotus’s. Destinasi ketiga ke kedai kek bersebelahan Lotus’s untuk membeli sebiji kek. Destinasi keempat, le sekolah agama anak CikYong, untuk menyerahkan kek tersebut kepada ustaz dan ustazah sebagai ucapan terims kasih diatas segala usaha murni ustaz dan ustazah membantu anak2 murid menjalani UPKK tempoh hari.

Di sebelah malam, CikYong mula membaca buku berjudul ‘Cikgu, bawalah saya ke syurga’. Kisah pengalaman guru-guru dalam mendidik anak bangsa. Terdapat tujuh orang guru yang menyumbang hasil tulisan mereka di dalam buku ini.

Hari ke-113 perang di Gaza. Keputusan dari Mahkamah  Antarabangsa dikeluarkan hari ini. Keputusan yang CikYong anggap sebagai play safe. Dari satu sudut, tidak menyebelahi Israel sepenuhnya kerana tidak mahu masyarakat dunia hilang kepercayaan terhadap undang-undang antarabangsa. Ianya boleh mengakibatkan kewibawaaan mahkamah antarabangsa tersungkur dan dipijak-pijak oleh masyarakat dunia. Dari sudut yang sebaliknya, tidak mahu menghukum Israel dengan hukuman yang berat apabila mahkamah masih memberi ruang kepada Israel untuk meneruskan genocide. Apabila mahkamah tidak menyarankan ceasefire serta merta, ternyata mahkamah tidak mengakui bahawa genocide benar-benar sedang berlaku di Palestine. Sesungguhnya pemikiran pemegang utama undang-undang dunia turut berada di bawah kekuasaan kuasa-besar yang sedang membawa dunia kepada kerosakan yang teramat buruk. Di situasi beginilah yang secara paksa membuatkan manusia memerlukan kuasa yang lebih besar dari perosak2 dunia ini agar manusia kekal siuman dan berpijak di bumi yang penuh rahmat ini. Inilah masanya manusia perlukan kebergantungan seratus peratus kepada tuhan yang mencipta manusia dan segala yang ada di langit dan bumi dan apa yang diantaranya. Ya Allah, ampunilah dosa hamba mu ini yang telah melakukan pelbagai kerosakan di muka bumi ini. Amin amin ya rabbal alamin…

Friday, 26 January 2024

Hari ke-25 di tahun 2024

 Hari cuti awam. Anak2 bangun awal untuk solat subuh di masjid.

CikYong dapat menyambung pengajian hadith 40 yang telah ketinggalan lima sesi kelas. Namun masih berbaki dua kelas lagi. Sementara kelas bahasa arab al Quran masih ada satu lagi sesi yang perlu ditonton. Kelas bahasa arab bersama ustazah dibatalkan hati ini.

Sarapan bersama keluarga dengan sarapan yang dibeli sahaja. Nasi lemak dan bihun goreng. Untuk tengahari, CikYong sediakan masak lemak kuning udang, sayur taugeh tumis kicap, ikan goreng. Suami belikan lauk tambahan ayam goreng berenpah. Sebelah petang, suami belikan pizza local (sebagai ganti domino’s pizza yang diboikot).

Akhirnya, CikYong dapat menyiapkan lukisan CikYong seadanya. Juka CikYong tidak berhenti dari menyambungnya lagi, ada kemungkinan CikYong akan mencemar lukisan ini.

CikYong juga telah habis menbaca buku ‘Aku terima nikahnya’. CikYong juga telah mula membaca buku yang lain.

Anak teruna kedua CikYong pergi ke kedai gunting, di temani oleh suami.

Petang hujan lebat seperti beberapa hari sebelum ini

Hari ke 112 perang di Palestine. Rakyat Palestine sedang menghadapi kebuluran. Bantuan makanan dari luar disekat oleh Israel. Pengeboman di Khan Yunis semakin mengganas. Kematian semakin meningkat. Ya Allah, kami memohon kekuatan fizikal, mental dan spiritual untuk menghadapi tangan2 manusia yang merosakkan peradaban manusia. 

Thursday, 25 January 2024

Hari ke-24 di tahun 2024

 Hari ini anak teruna sulung CikYong bersekolah sesi pagi. Terdapat program simulasi sesi pagi untuk semua tingkatan di sekolahnya. Ianya diadakan untuk dua hari iaitu hari ini dan hari Jumaat. Terdapat sedikit kekeliruan oleh anak CikYong akan waktu permulaan pembelajaran. Di ketika anak tiba di sekolah, rupa2nya semua murid telah berkumpul di dewan, perhimpunan telah pun bermula. Selain daripada sedikit kelewatan tersebut, perjalanan kelas sesi pagi berjalan dengan lancar. Menurut pendapat anak CikYong, persekolan sesi pagi lebih teratur jadual hariannya.

Anak teruna kedua CikYong menduduki hari terakhir peperiksaan UPKK iaitu mata pelajaran Sirah. Alhamdulillah selesai juga akhirnya.

Untuk bekal ke sekolah, suami CikYong belikan nasi lemak dan bihun goreng. Sarapan CikYong dan suami juga merupakan nasi lemak. Selepas bersarapan, CikYong dan suami menyambung lagi menerangkan parit dihadapan rumah. Timbunan pokok yang telah hampir kering masih belum dapat dibakar disebabkan sejak kebelakangan ini, hampir setiap petang hujan.

Untuk tengahari, CikYong hanya memasak ikan masak tauchu dan ayam goreng tepung.

CikYong masih menyambung lagi catan di lukisan CikYong. Masih ada sedikit lagi yang boleh dibuat penambah baikkan.

Hari ini CikYong habiskan menonton video podcast thinking muslim. Kesimpulan dari panelnya Sami Hamdi, setiap muslim perlu berbuat sesuatu untuk turut serta di dalam perjuangan memartabatkan agama Islam. Setiap muslim sepatutnya menjadikan dirinya sebagai kenderaan untuk usaha ke arah tersebut. Tindakan adalah apa yang ada di dalam kawalan kita, kemenangan Allah yang tentukan.

Telah memasuki hari ke 111 perang di Palestine. Genjatan senjata masih belum dicapai kata sepakat. Penyeksaan yang dilalui oleh rakyat Palestine masih lagi berterusan. Perjuangan harus diteruskan walaupun hanya sekecil menekan emoji like sebagai usaha CikYong, ia merupakan manifistasi CikYong masih mempunyai rasa kemanusiaan.

Wednesday, 24 January 2024

Hari ke-23 di tahun 2024

 Pagi ini CikYong sediakan bekal pulut, kari ayam dan telur rebus untuk anak2. CikYong kemudiannya berbasikal bersama suami di laluan biasa. Cuaca pada awalnya kelihatan agak mendung. Namun di dalam perjalanan pulang, kelihatan pancaran matahari pagi menyinar berwarna kekuning2an. Gumpalan awan berwarna merah jambu mula menghiasi langit di ufuk timur. Kami juga bertembung dengan pengayuh basikal lain yang juga berkayuh sambil menikmati kedamaian pagi.

Pulang ke rumah, CikYong dan suami bersarapan nasi lemak dan bihun goreng yang telah dibeli sebelum kami keluar berbasikal. Sementara anak teruna sulung telah pun bersarapan lebih awal.

Untuk makan tengahari, CikYong cuma memasak tumis sawi. Kari ayam telah di masak semasa awal pagi. Namun anak teruna kedua hanya makan nasi lemak yang telah di beli di awal pagi.

Peperiksaan UPKK untuk mata pelajaran Bahasa Arab telah anak CikYong duduki pada sebelah petang.

CikYong telah berjaya menyiapkan lukisan CikYong. Namun, input daripada pengkritik dalaman (suami dan anak2), lukisan itu masih boleh ditambah lagi, ada bahagian2 yang boleh ditambah baik. Nampaknya CikYong perlu menyambung lagi usaha mencalit. Jika tidak silap CikYong telah hampir sebulan CikYong menghadap lukisan yang sama ini.

Perang di Palestine telah 110 hari. Perasaan CikYong berbaur memikirkannya. Semakin ramai manusia menjadi semakin jahat. Pemikiran bahawa yang jahat itu adalah betul telah tertanam di dalam manusia-manusia di akhir zaman. Perjuangan untuk memastikan diri kita berada di dalam jalan kebenaran terasa amat sukar. Di tambah dengan usaha untuk mengajak orang lain turut mencari kebenaran adalah amat mencabar. Ya Allah di keadaan huru hara dunia ini, aku memohon keselamatan agama bagiku, generasiku dan umat Islam keseluruhannya teguh dan tidak goyah.

Berita yang menggembirakan apabila Pejuang Palestine berjaya menyerang tentera IDF di tengah dan selatan Gaza. Daripada berita yang tidak dapat dipastikan, dikatakan yang kekalahan paling buruk yang di alami oleh tentera IDF sejak 7 Oktober. Ramai tentera IDF yang terkorban.

Tuesday, 23 January 2024

Hari ke-22 di tahun 2024

 Hari pertama persekolan buat minggu ini.

Anak teruna kedua masih ada peperiksaan yang perlu dihadapi iaitu untuk mata pelajaran Adab. Hari ini anak CikYong dapat balik awal dari sekolah kebangsaan kerana ibu bapa perlu hadir ke sekolah untuk menerima wang bantuan awal persekolahan. Setelah ibu bapa selesai urusan tersebut, ibu bapa dibenarkan untuk membawa pulang anak-anak.

Anak teruna sulung pergi ke sekolah seperti biasa. Walaupun, pada awalnya, dia berhasrat untuk ponteng sekolah. Namun guru pengiring ke lawatan sambil belajar, telah mengingatkan semua murid yg pergi ke Melaka supaya menghadirkan diri ke sekolah hari ini. Ianya agar tidak menyebabkan sebarang aktiviti di masa akan datang terjejas disebabkan murid yang ponteng selepas menghadiri aktiviti.

Sebelah pagi, CikYong di dapur memasak cupcake coklat. Untuk tengahari, suami CikYong belikan lauk, tidak perlulah CikYong memasak untuk makan tengahari.

Sebelah petang, CikYong menyambung lukisan. Sambil melukis CikYong pasangkan video rakaman kelas Tadabbur. Dapat juga CikYong habiskan mendengar tiga sesi rakaman berbaki satu. CikYong juga telah mula membaca buku bertajuk ‘Aku terima nikahnya’ tulisan Ustaz Hasrizal.

Hari ke-109 perang di Palestine. CikYong tonton podcast Thinking Muslim bercerita perihal sejarah Zionis. Satu pencerahan yang baik. Israel telah mula menarik balik batalion IDF dari Gaza, tetapi pada masa yang sama Israel meningkatkan pengeboman di Gaza semakin ganas.

Monday, 22 January 2024

Hari ke-21 di tahun 2024

 Alhamdulillah masih berbaki lagi hari yang perlu dimanfaatkan untuk agama, diri dan keluarga.

Pagi di santuni dengan bersarapan di kedai bersama suami dan anak teruna ke dua CikYong. Anak teruna sulung masih berada di Melaka. 

Selepas menghantar CikYong dan anak pulang ke rumah, suami keluar semula untuk membawa Bonda ke pasar pagi.

Anak teruna kedua CikYong menghadiri kelas tambahan secara talian. CikYong pula merumput di ruang pokok ros tepi rumah. Kemudian CikYong sambung pula mengemas rumah. Sebelum mula memasak tengahari, sempat juga CikYong mencoret warna-warna di kanvas. CikYong sambung lagi coretan di waktu lapang sebelah petang.

Sebelah petang, adik ipar yang tinggal serumah dengan Bobda, kongsikan di group wassap bahawa dia disahkan positif influenza A. Dia maklumkan agar suami tidak datang ke rumah Bonda untuk beberapa hari yang akan datang.

Anak teruna sulung tiba dari Melaka dalam pukul 9 lebih. Suami ambilnya di sekolah.

Perang di Palestine memasuki hari ke-108. Angka kematian telah melepasi angka 25,000. Tetapi ianya bukan sekadar angka biasa. Di sebaliknya terungkai segala kesengsaraan, kehilangan, kesedihan, trauma, keazaman, kesabaran, kekuatan, semangat yang tidak pernah luntur. 

Sunday, 21 January 2024

Hari ke-19&20 di tahun 2024

 Hari ke-19

Alhamdulillah masih berbaki lagi kouta oksigen CikYong untuk hari yang mulia ini, penghulu segala hari. Di awal pagi, hasrat CikYong untuk menyediakan juadah untuk bekal anak ditangguhkan kerana dapur kehabisan gas. Anak teruna kedua CikYong berbekalkan nasi lemak bungkus yang di beli sahaja.

Selepas suami CilkYong pulang dari menghantar anak ke sekolah, CikYong bersarapan sedikit dengan bihun goreng yang dibeli. Setelah itu, kami pula keluar berbasikal. Pagi ini, CikYong berkayuh di dalam suasana berkabus, penglihatan jelas hanya sekitar seratus meter sahaja. Sambil berkayuh terasa kedinginan hawa udara yang diselubungi kabus dan sementara cahaya matahari pagi masih lagi terlindung oleh  awan. Masih lagi berkayuh di laluan yang sama.

Setelah selesai berkayuh, CikYong berehat sebentar sebelum membuat persediaan untuk makan tengahari pula. CikYong juga buatkan mufin untuk anak2 bawa ke sekolah. Anak teruna sulung mempunyai majlis jamuan pengawas sekolah hari ini.

Sebelah petang CikYong isi masa untuk menyambung catan CikYong. Hari ini merupakan kali pertama CikYong post lukisan CikYong di medsos public. Sebelum2 ini, CikYong ada juga post di medsos tetapi hanya kepada keluarga dan rakan taulan di akaun peribadi CikYong. Alhamdulillah lukisan CikYong mendapat maklumbalas yang positif dari viewer. Ianya sedikit sebanyak dapat menaikkan semangat CikYong untuk terus melukis. Dan sudah pasti. CikYong panjatkan kesyukuran di atas nikmat yang Allah limpahkan.

Hari ini telah 106 hari berlakunya perang di Gaza. Indonesia keluarkan kenyataan bahawa ia akan mendakwa Israel di ICJ, mengikut langkah Afrika Selatan. CikYong yakin bahawa setiap usaha walau sekecil zarah akan pasti akan dikira di akhirat nanti. Makanya CikYong teruskan soladariti menyokong Palestine membebaskan AlQuds. InsyaAllah.


Hari ke-20 

Pukul 4 pagi, CikYong kejutkan anak teruna sulung CikYong. Hari ini anak CikYong akan berkelana ke Melaka. Beliau mengikuti lawatan sambil belajar anjuran PKS (Pembantu Rakan Sebaya) sekolahnya. Anak CikYong mandi dan menyiapkan diri. Beg pakaian telah disediakannya sejak semalam. CikYong beri sedikit duit belanja. Dalam pukul 5pagi, suami hantarkan anak CikYong ke sekolah. Oleh kerana anak CikYong merupakan AJK rombongan, beliau perlu datang awal. Selepas solat subuh di surau sekolah, rombongan yang terdiri dalam 70 orang akan bertolak ke Melaka. Rombongan akan pulang pada malam esok, insyaAllah.

Anak teruna kedua CikYong pula perlu menghadiri dua kali kelas tambahan secara dalam talian, satu kelas di sebelah pagi dan satu lagi di waktu malam. Oleh kerana hanya tinggal seorang sahaja di rumah, tidak ditemani oleh abangnya seperti kebiasaan, anak teruna kedua CikYong asyik mengadu bosan. Sepanjang hari, dia asyik berulang kali bertanyakan bila Si Abang akan balik. Bosan kerana tidak ada geng untuk bermain game.

Hari ini CikYong banyak meluangkan masa mencatan. CikYong seboleh-bolehnya ingin mencuba untuk menyiapkan lukisan CikYong dalam minggu hadapan. Masih banyak yang perlu disiapkan.

 Selepas solat Zuhur, CikYong, suami dan anak teruna kedua, kami keluar makan tengahari di kedai. Usai makan tengahari, kami singgah di perpustakaan untuk memulang dan meminjam buku. CikYong pulangkan lima buah buku, sementara tujuh buah buku lagi CikYong sambung sahaja tempoh peminjamannya. Banyak lagi buku yang belum sempat CikYong habiskan. Dan CikYong pinjam lagi lima buah yang lain.

Kemudian kami pergi di pasaraya untuk membeli keperluan rumah. Dalam perjalanan pulang, kami singgah di rumah Bonda. Adik ipar telah berpesan agar kami datang untuk mengambil lontong yang telah dimasak oleh adik ipar.

Hari ke-107 perang di Palestine. CikYong tonton video perihal tahanan Palestine yang dibebaskan. Mereka menceritakan penderaan yang dilakukan oleh pihak Israel terhadap rakyat Palestine yang ditangkap. Terasa begitu berat hati CikYong mendengar cerita penderitaan mereka. Semoga Allah kurniakan kekuatan dan kemenangan buat rakyat Palestine dan umat Islam keseluruhannya. Amin amin ya rabbal alamin…

Friday, 19 January 2024

Hari ke-18 di tahun 2024

 Seawal pukul 5pagi, CikYong telah kejutkan anak teruna sulung CikYong. Hari ini, CikYong, suami dan anak teruna sulung berniat untuk berpuasa sunat. Kami bangun awal untuk bersahur. Sahur yang ringkas, nasi, gulai lemak cili padi iaitu lauk semalam dan telur dadar. 

Sementara untuk bekal ke sekolah anak teruna kedua, CikYong sediakan roti jala. Kuah karinya CikYong panaskan sahaja baki kari ayam semalam.

Oleh kerana anak teruna sulung juga berpuasa, maka CikYong tidak perlu menyediakan bekal untuknya. Walau bagaimanapun, setelah pulang dari sekolah di petangnya, anak teruna sulung bercerita perihal ada kawannya yang bertanyakan kenapa tidak ada bekal untuk hari ini. Kebiasaannya, memang anak CikYong akan berkongsi bekalnya dengan kawan-kawannya.

Makanya di ruang masa yang ada, CikYong luangkan untuk memulakan catatan blog perihal kisah Cuti-cuti Malaysia di Perlis. Dapatlah CikYong menyiapkan dalam dua puluh peratus penceritaannya sebelum CikYong tangguh untuk disambung di masa yang lain, insyaAllah. 

Setelah itu, CikYong hadiri Kelas Bahasa Arab mingguan secara dalam talian bersama ustazah, CikYong belajar berkaitan bentuk perkataan masdar.

Usai kelas selesai, CikYong sambung semula catan lukisan CikYong. Hari ini CikYong tidak memasak untuk tengahari. Suami CikYong belikan nasi ayam untuk makan tengahari anak teruna kedua CikYong. 

Sebelah petang, anak teruna CikYong masih ada pepeperiksaan yang perlu dihadapi iaitu untuk matapelajaran Jawi dan Khat. Selepas Zohor, CikYong sambung semula catan CikYong. Hari ini CikYong telah mula bahagian detailing, yang memerlukan dokus yang lebih dan teliti. Komen anak teruna CikYong setelah balik dari peperiksaannya, apabila melihat lukisan CikYong, “Dah nampak dah bentuknya.” CikYong anggap lukisan CikYong sudah boleh dikira sebagai ok. Anak teruna kedua CikYong merupakan pengkritik lukisan utama CikYong.

Selepas Asar, CikYong masuk ke dapur untuk menyediakan juadah berbuka puasa. Juadah yang ringkas sahaja kerana suami CikYong akan belikan tomyam sebagai juadah tambahan. CikYong masak nasi, goreng ikan kerisi dan ikan merah. Kemudian CikYong goreng karipap frozen.

Balik daripada mengambil anak teruna kedua dari sekolah, suami CikYong telah belikan tomyam campur, ayam goreng kunyit dan kailan ikan masin. Begitulah juadah berpuasa kami. Selepas anak2 balik dari mengaji AlQuran di masjid, mereka bawa balik sebungkus nasi tomato. Ada orang bersedekah di masjid. Anak teruna sulung CikYong memakannya di lewat malam.

Selepas berbuka puasa dan solat Maghrib, anak teruna sulung baru maklumkan bahawa dia perlu memakai baju berwarna biru untuk ke jamuan pengawas yang akan diadakan esok. Terpaksalah CikYong menyelongkar almari dan laci baju. Dicubanya kemeja arwah atuk, beberapa helai baju abahnya dan termasuklah t-shirt harian CikYong. Akhirnya, anak CikYong memilih t-shirt CikYong disebabkan ianya tidak terlalu besar untuknya. Salah satu lengan t-shirt tersebut, telah terbuka lipatannya, maka CikYong jahitkan dengan jahitan tangan sahaja.

Perang di Palestine memasuki hari ke-105. CikYong berdoa agar Allah kurniakan kekuatan kepada setiap yang menghadapi ujian di saat getir ini termasuklah rakyat dan pejuang Palestine, Yaman dan Iran. Begitu juga untuk semua umat Islam agar ujian ini mendekatkan umatnya kepada Allah dan agamanya. Dan juga semoga ianya membuka hati-hati bukan Islam untuk memahami dan mempelajari agama yang sebenar agama dari Tuhan yang Esa. Amin amin ya rabbal alamin.

Thursday, 18 January 2024

Hari ke-17 di tahun 2024

 Alhamdulillah masih ada lagi saki baki nyawa yang dipinjamkan Allah.

Hari ini, CikYong tidak sediakan bekal untuk anak teruna kedua CikYong. Anak hanya berbekalkan nasi lemak bungkus yang dibeli di gerai hadapan sekolah.

Pagi ini CikYong ambil kesempatan untuk mendengar dan menonton rakaman kelas bahasa arab yang telah diadakan pada dua minggu yang lepas. Alhamdulillah dapat CikYong menyelesaikan kelas tertunggak. Selepas ini CikYong masih ade dua pengajian tertunggak yang perlu CikYong selesaikan iaitu kelas tadabbur Al Quran dan kelas hadis Arbain An Nawawi. Semoga Allah kurniakan kesempatan dan kekuatan buat CikYong.

Selepas sarapan pagi, CikYong luangkan sedikit masa untuk menyambung kerja menerangkan parit di hadapan rumah. Setelah hampir sejam mengaut akar2 dan sampah sarap dari parit tersebut, CikYong tangguhkan dahulu ke hari yang lain pula. Hanya tinggal dalam dua puluh peratus semak di dalam parit yang perlu diselesaikan.

Suami CikYong pula bawakan anak teruna sulung ke kedai. Anak CikYong perlu beli t-shirt Kelas Remaja Sekolah (KRS) untuk dipakai ke sekolah hari ini. Baju KRS yang lama, kawannya pinjam tetapi belum dipulangkan. Anak CikYong yang mencadangkan untuk beli sahaja yang baru untuk menggantikannya. Baju lama itu di kira halal sahaja. CikYong setuju saja dengan cadangannya.

Kemudian CikYong sediakan pula bekal untuk anak teruna sulung. Bekal yang dibawanya hari ini adalah nasi goreng, sandwich telur dan muffin.

Selepas itu CikYong sambung pula menyediakan makanan untuk tengahari. CikYong hanya masak masak lemak cili padi ikan merah dan ayam goreng tepung. Ketika CikYong sedang memasak, CikYong terpandang mesej di wassap grp sekolah agama. Ustaz memaklumkan perihal peperiksaan kertas Sirah yang di jadual pada sebelah telah ditangguh. Hari ini merupakan hari ke dua peperiksaan UPKK dan juga hari terakhir peperiksaan sekolah kebangsaan iaitu kertas Jawi dan Bahasa Arab.

Oleh kerana hanya diketahui pada waktu tengahari, anak CikYong tetap dibenarkan untuk pulang awal dari sekolah kebangsaan. Peperiksaan ditangguh dan tidak perlu hadir ke sekolah agama. Begitulah yang telah dimaklumkan kepada ibu bapa.

Sebelah petang, CikYong sambung semula calitan warna di kanvas. Selepas solat Asar, CikYong menyiapkan kerja rumah Bahasa Arab untuk kelas hari Khamis dan Jumaat nanti. Usai kerja rumah, CikYong sambung semula melukis, harapnya dapatlah CikYong siapkan dalam minggu hadapan.

Sebelum Maghrib, anak2 CikYong makan mee segera sebagai makan malam mereka. Sebulan hanya dua kali sahaja mereka dibenarkan untuk makan mee segera. Setiap awal dan pertengahan bulan. Kali ini lewat dua hari dari jadual kebiasaannya. Biasanya anak2 sentiasa ingat tarikh makan mee segera, tetapi kali ini mereka terlewat. Mungkin juga disebabkan anak2 sibuk dengan hari2 peperiksaan. Bagi CikYong, CikYong ok saja jika anak2 terlupa, mee segera pun bukannya makanan sihat.

Sebelah malam, anak teruna kedua CikYong mempunyai kelas live di fb untuk mata pelajaran jawi dan khat. Persediaan untuk peperiksaan esok hari. Semoga dipermudahkan segala urusan peperiksaannya untuk keesokan hari dan seterusnya.

Perang di Palestine masih lagi berlarutan untuk hari ke 104. Israel masih lagi melakukan serangan bom di Khan Yunis. Penentangan pejuang Palestine semakin kuat di Tebing Barat. Hamas dan Israel mencapai persetujuan untuk penghantaran bantuan ubat-ubat ke Gaza untuk rakyat Gaza dan tebusan Israel yang berada di Gaza.

Wednesday, 17 January 2024

Hari ke-16 di tahun 2024

 Hari ini merupakan antara hari yang terpenting. Hari ini anak teruna kedua CikYong pertama kalinya menghadapi peperiksaan besar buat dirinya iaitu peperiksaan UPKK. Dalam sedar tidak sedar, telah besar anak CikYong. Telah layak untuk dia mengharungi pengalaman diuji di dalam peperiksaan akademik. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah diatas ujian yang dikurniakan. Semoga segala pengalaman ini akan membantu anak2 CikYong membina jati diri menjadi seorang yang bertanggung jawab kepada agamanya, diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Diawal pagi, CikYong sediakan pulut, telur rebus dan kari ayam untuk bekal anak2 ke sekolah hari ini. Usai suami menghantar anak teruna kedua ke sekolah, CikYong mengajak suami berbasikal. Kami keluar lewat sedikit menunggu sehingga cuaca di luar cerah sedikit. Sementara itu, suami terlebih dahulu belikan sarapan untuk anak teruna sulung.

Sebelum keluar, CikYong kejutkan anak teruna sulung untuk memaklumkan bahawa kami hendak pergi berbasikal. Sebenarnya amat jarang anak CikYong ini tidur balik selepas subuh. Rupa-rupanya internet tiada, itulah sebab sebenarnya mengapa anak CikYong tidur balik. Di rumah CikYong, selain data di telefon bimbit CikYong dan suami, kami menumpang wifi internet jiran. Wifi internet ini digunakan oleh anak2 pada laptop dan tablet. Setiap bulan kami akan beri sejumlah kecil bayaran kepada jiran diatas kesudian jiran berkongsi rangkaian internetnya. Hari ini terdapat masalah pada talian Wifi internet tersebut.

Kami pulang ke rumah setelah berkayuh di sekitar laluan kebiasaan kami. Jarak yang dilalui hanya sekitar sepuluh kilometer. CikYong lalu kejutkan anak CikYong masih lagi tidur dan kami terus bersarapan pagi roti canai dan nasi lemak yang dibeli.

Hari ini anak CikYong tidak bersenam seperti rutin hariannya disebabkan tangannya sakit. Katanya pergelangan tangannya terkena bola yang baling ketika Pendidikan Jasmani semalam.

Anak teruna kedua CikYong balik sedikit awal dari sekolah kebangsaan. Sekolah memberi perlepasan kepada murid2 yang akan menjalani peperiksaan UPKK pada sebelah petang. Alhamdulillah, CikYong lihat anak CikYong dalam keadaan baik walaupun menurutnya kertas sejarah dan pendidikan jasmani agak susah. Usai mandi, makan tengahari dan solat Zuhur, anak CikYong pergi pula ke sekolah agama untuk menjalani peperiksaan Upkk kertas Ibadah dan Akidah.

Sebelah petang, CikYong menyambung semula lukisan CikYong untuk kesekian kalinya. Hari ini, dua kali CikYong mendapat soalan yang sama daripada kedua2 anak CikYong. “Bila lukisan ni nak siap?” CikYong nyatakan akan siap apabila anak CikYong habis peperiksaannya. Nampaknya CikYong sudah ada dateline yang tanpa dirancang.

Lewat petang, internet telah kembali pulih. Yang gembira, pastinya anak2 CikYong.

Malam, CikYong bantu anak teruna kedua mengulangkaji mata pelajaran Bahasa Arab untuk peperiksaan esoknya. Sebelum tidur, CikYong dapat menghabiskan pembacaan buku Siput yang mengubah sejarah.

Hari ke-103 Perang di Palestine. CikYong tonton video sidang media Abu Ubaidah untuk hari ke-100. Terdapat juga video2 memaparkan pertelingkahan di antara pihak Israel dengan pro Palestine. CikYong masih cuba memahami bagaimana cara berfikir golongan pro Israel yang teguh mempertahankan kewajaran tindakan membunuh beribu-ribu nyawa dan menghancurkan kehidupan manusia lain.

(Catatan harian CikYong ini dinukilkan dengan harapan ianya dapat merakam perjalanan kehidupan. Satu hari nanti, apabila CikYong sudah tiada di alam kehidupan, CikYong berharap ianya akan menjadi lembaran yang boleh ditatapi oleh anak cucu. Ianya sebagai kenangan dan mungkin juga jika ada iktibar yang boleh diambil daripadanya, boleh juga ia menjadi saham akhirat buat CikYong. Amin amin ya rabbal alamin.)

Tuesday, 16 January 2024

Hari ke-15 di tahun 2024

 Hari ini CikYong dan suami berpuasa sunat Rejab. Hari ini merupakan hari ke-3 di bulan Rejab. Kurang 2 bulan bakal tibanya Ramadhan.

Untuk Ramadhan kali ini, CikYong telah mula membuat persediaan bagi projek Ramadhan. CikYong telah kongsikan plan projek dengan penasihat projek lantikan CikYong sendiri, iaitu sahabat baik CikYong, F. CikYong masih menunggu maklum balas dari perantara untuk mengetahui langkah seterusnya yang perlu diambil.

CikYong dan suami bersahur dengan nasi goreng. Oleh kerana telah lama CikYong tidak berpuasa, perut CikYong kurang selesa disebabkan perut terkejut bila makanan tiba di perut lebih awal dari kebiasaan.

Untuk bekal anak teruna kedua, suami belikan nasi lemak bungkus. Minggu2 sebelum ini, CikYong masakkan nasi lemak untuk bekalnya, tetapi sejak kebelakangan ini, anak teruna kedua CikYong sudah jemu dengan masakan nasi lemak CikYong. Itulah sebabnya, sekarang ini, hanya belikan sahaja.

Hanya anak teruna kedua sahaja yang masih menjalani peperiksaan pada minggu ini dan minggu hadapan. Bagi anak teruna sulung, dia telah selesai peperiksaan. Anak teruna kedua pula menjalani peperiksaan Sejarah dan Bahasa Inggeris.

Sebelah petang, dapat juga CikYong menyambung calitan warna ke kanvas. Bila akan siapnya lukisan ini, CikYong pun tidak pasti. Begitulah juga jawapan CikYong apabila anak CikYong bertanyakan soalan yang sama. CikYong nyatakan kepada anak CikYong bahawa, CikYong melukis di suasana yang tenang dan santai dan bergantung pada kelapangan masa yang ada.

CikYong dan suami berbuka puasa dengan nasi dan gulai kurma ayam dan sayur kobis goreng. Masakan yang telah CikYong sediakan seawal tengahari disebabkan makanan yang sama juga yang CikYong bekalkan untuk anak teruna sulung.

Selepas Maghrib, anak teruna kedua CikYong mengadu rasa berat kepala. CikYong biarkan saja dia tidur, mungkin dia kepenatan seharian bersekolah tambahan pula cuaca di siang hari agak panas. Dalam pukul sepuluh lebih, suami kejutkan dia untuk solat Isyak. Apabila anak CikYong terjaga, terus sahaja dia berasa stress kerana teringatkan dia belum lagi mengulangkaji untuk peperiksaan esok. CikYong suruh anak mengulangkaji sedikit selepas bersolat Isya’.

CikYong faham akan tekanan yang dirasakan oleh anak CikYong. Esok dan lusa merupakan hari yang agak berat untuk dia kerana dia bakal menghadapi peperiksaan untuk sekolah kebangsaan di sebelah pagi dan UPKK pada sebelah petang. Semoga Allah kurniakan ketabahan dan ketenangan di hati anak CikYong dalam mengharungi ujian kehidupan dan berjaya di dunia dan akhirat. Doa ibu adalah yang doa yang tidak dihijab, CikYong yakin dengan janji Allah. Amon amin ya rabbal alamin.

Sebelum tidur, masih sempat CikYong menjalankan tanggungjawab terhadap saudara Islam di Palestine yang masih mengharungi perang buat ke sekian harinya.iaitu hari ke-102.

Monday, 15 January 2024

Kisah kereta di dalam rumah

Cuti sekolah yang lalu, dimulai dengan satu peristiwa yang bukan biasa-biasa.

Sabtu pertama bermulanya cuti sekolah, selepas Maghrib, suami CikYong terima panggilan dari adiknya. Suara adik ipar kedengaran begitu cemas. Rupa-rupanya ketika itu, suami adik ipar baru sahaja kemalangan. Di dalam keadaan terkejut dan menangis, adik ipar menceritakan perihal kejadian.

Beginilah kisah kejadiannya..

 Selepas Maghrib, adik ipar, suaminya dan anak dara keduanya bercadang untuk keluar makan. Si anak daranya pun tolong bukakan pintu pagar. Si ayah (suami adik ipar) pula masuk ke dalam kereta yang terletak di porch, kereta menghadap ke arah pintu pagar dan di belakangnya merupakan pintu sliding. Sementara Si ibu (adik ipar) berada di tepi belakang kereta, sedang menutup dan mengunci pintu rumah.

Menurut cerita Si anak dara, yg ketika itu berada di hadapan kereta, dilihatnya kereta bergerak ke hadapan dengan laju, seolah-olah ingin melanggarnya. Lalu Si anak dara dengan pantas mengelak ke tepi. Oleh kerana lajunya kereta itu, lalu ia terus menghentam tembok batu pagar. Menurut Si anak dara, terdetik di hatinya, mengapa Si ayah memandu sebegitu. Ketika itu Si anak dara melihat ke arah Si ayah yang sedang memandu itu, dilihatnya riak mula ayahnya kelihatan pelik, tidak seperti biasa. 

Setelah kereta menghentam ke tembok pagar, Si ayah kemudiannya menukar ke gear mengundur. Dan sekali lagi, pedal minyak ditekan kuat sehingga kereta mengundur dengan laju dan menghentam pula ke grill besi dan terhenti di situ. Nyaris juga tidak melanggar Si Ibu. Alhamdulillah Si Ibu berada di belakang sebuah lagi kereta yg diparking bersebelahan kereta yg dipandu.

Namun apa yang lebih mencemaskan, tidak berhenti disitu sahaja, Si ayah kemudiannya, menukar gear ke hadapan. Dan buat kali keduanya, kereta dipandu dengan laju dan menghentam sekali lagi tembok pagar hadapan. Di ketika itu Si ibu dan Si anak dara sudah berantakan, dalam keadaan terkejut, menjerit sekuat memanggil Si ayah untuk berhenti.

Namun Si ayah seperti di dalam keadaan bawah sedar, kemudiannya menukar lagi gear ke mengundur. Kali ini, mungkin pedal minyak ditekan sepenuhnya menyebabkan kereta mengundur dengan laju, lalu melanggar gril besi sehingga tercabut, pintu sliding pecah dan tertanggal, kereta terus meluncur masuk ke dalam rumah. Kereta terperosok ke dalam ruang tamu, diseretnya sofa satu seater, dan dilanggarnya meja makan dan kereta terberhenti di situ.

Sebenarnya, di ketika Si Ibu menjerit dan di iringi dengan bunyi hentaman yang kuat, keadaan tersebut turut disedari oleh kejiranan. Jiran-jiran mula keluar dari rumah untuk mengetahui apa yang sedang berlaku. Terdapat beberapa jiran yang prihatin datang menjenguk ke tempat kejadian.

Setelah kereta terberhenti disebabkan enjin kereta itu mati, Si ayah yang masih lagi di dalam keadaan bawah sedar, telah cuba untuk menghidupkan semula enjin. Mujurlah terdapat salah seorang jiran telah menjerit dan menyuruh Si ayah untuk tidak berbuat demikian. Salah seorang telah membantu membuat panggilan kecemasan. Tidak lama kemudian bomba pun tiba. Pintu kereta terhalang oleh perabot2 yang dilanggar menyebabkan bantuan anggota diperlukan untuk membantu mengeluarkan Si ayah daripada dalam kereta. Polis bantuan dan ambulan juga tiba tidak lama kemudian. Alhamdulillah tidak kelihatan apa2 kecederaan luaran, namun atas nasihat pegawai paramedik, Si ayah masih perlu untuk di bawa ke hospital untuk pemeriksaan selanjutnya. Si ibu menemani Si ayah ke hospital. Menurut anggota bomba, kereta tersebut tidak akan ditarik keluar oleh bamba. Untuk urusan insuran, perlu maklumkan kepada pihak insuran terlebih dahulu, barulah kereta tarik dari panel insuran yang akan mengambil kereta tersebut.

Alhamdulillah adanya jiran2 yang prihatin membantu kedua2 anak daranya untuk menjaga rumah yang telah terlopong tanpa pintu sliding. Di waktu kejadian, sebenarnya seorang lagi Si anak dara sulung berada di tingkat atas didalam rumah. Si anak dara sulung terdengar beberapa kali hentaman kuat dari tingkat bawah. Apabila dia menuruni tangga ke bawah, kelihatan kereta telah berada hampir di kaki tangga rumah.

Sementara menunggu bomba tiba, Si ibu yang masih di dalam keadaan trauma, menelefon suami CikYong. Si ibu telah menghantar video memaparkan keadaan kereta dan rumah selepas kejadian. Setelah menerima perkhabaran perihal kemalangan tersebut, CikYong dan keluarga segera berkemas menyediakan beg pakaian seadanya. Selepas Isya’, kami bertolak ke rumah adik ipar yang mengambil masa dalam sejam suku perjalanan. Walaupun suami CikYong tidak biasa memandu jauh di waktu malam, namun di waktu kecemsan seperti itu, digagahkan juga memandu dengan penuh berhati-hati.

Ketika kami tiba di rumah adik ipar, kelihatan langsir telah disangkutkan di bahagian pintu yang telah pecah tersebut. Anak2 saudara yang di ketika itu menumpang sementara di rumah jiran yang selang beberapa rumah dari rumah mereka. Setelah kami tiba, anak2 saudara balik semula ke rumah, dan sempat juga suami CikYong mendapat cerita daripada jiran perihal kejadian. 

Apabila langsir di selak, kelihatan kereta yang terperosok di sudut kiri ruang tamu dan perabot2 yang tunggang langgang akibat dilanggar, kepingan pintu sliding dan pintu grill yang tercabut dan terdampar di lantai, serpihan kaca bertaburan di serata tempat. Dan bau petrol yang amat kuat memenuhi ruang rumah.

Antara perkara pertama yang terlintas di pemikiran CikYong ialah beginikah keadaannya rumah2 yang dibom di Gaza. Walaupun hakikatnya, kemusnahan rumah di Gaza adalah lebih teruk lagi, keadaan rumah adik ipar ketika itu mungkin boleh dikategorikan sebagai sepuluh peratus dari keadaan di Gaza. Ianya hanya sekadar pemerhatian peribadi CikYong sahaja.

Tiada apa yang dapat kami lakukan pada malam tersebut. Kami semua tidur di bilik tingkat atas. CikYong berpesan pada anak2 saudara, agar pastikan bilik dikunci sebelum masuk tidur. Maklumlah, bahagian tingkat bawah di ketika itu, terbuka dan terdedah kepada sebarang kemungkinan. Malam itu kami lelapkan mata bersama-sama dengan bau petrol menyelubungi seluruh ruang rumah. Hampir tengah malam adik ipar tiba di rumah dari hospital, dihantar oleh anak tirinya. Suami adik ipar dimasukkan ke wad untuk pemantauan selanjutnya.

Keesokan paginya, suatu perasaan di luar kebiasaan di rasakan apabila menuruni tangga ke tingkat bawah, terpampang di hadapan mata, kereta di kelilingi kerosakan perabot2 dan barang2 yang berantakan.

Pagi itu, suami dan CikYong keluar membeli sarapan. Pulang ke rumah, sambil menjamah sarapan di celah-celah barang2 yang tunggang langgang, kami memikirkan hari yang pangjang yang perlu ditempuhi. Kami semua memakai kasut di dalam rumah di sebabkan serpihan kaca di berada di mana-mana sahaja.

Pagi itu, adik ipar berurusan dengan pihak insuran. Sementara menunggu kereta tarik tiba, kami mula membersihkan serba sedikit ruang tamu dan bahagian pintu sliding. Barang2 yang menghalang laluan di ketepikan agar mudah untuk mengeluarkan kereta itu nanti. 

Tidak lama kemudian, kereta tarik pun tiba untuk mengambil kereta untuk dibawa ke pejabat polis bahagian trafik. Suami, CikYong dan adik ipar pun menyusul ke ibu pejabat polis bahagian trafik untuk membuat laporan polis. Alhamdulillah dipermudahkan segala urusan di balai polis. 

Satu perkara yang menarik di balai polis, pegawai polis yang mengesahkan laporan telah menawarkan kepada adir ipar samada mahu berita kejadian kemalangan tersebut di maklumkan kepada media. Adik ipar menolak tawaran tersebut disebabkan jika disiarkan di dalam berita media, adik ipar tidak boleh membuat tuntutan insuran. Memang tidak boleh disangkal, kisah kejadian seperti ini sesuatu yang jarang terjadi, jika dikongsikan kepada media, memang mudah sahaja menjadi viral.

 CikYong dan keluarga berada selama lima hari di rumah adik ipar untuk membantu apa yang patut. Dari segi keselamatan rumah, memasang pintu gril sementara dengan mengikat pintu2 gril yang telah terkepak dan memasang plastik kanvas untuk menutup ruang bekas pintu sliding yang telah terlopong. Lantai rumah dibersihkan daripada serpihan kaca, barang2 yang rosak dibuang, karpet yang masih boleh digunakan, dibersihkan dan dihantar ke dobi. 

Sokongan moral juga diperlukan oleh adik ipar dan anak2nya untuk mengatasi trauma. Urusan membaik pulih rumah juga perlu diuruskan. Oleh kerana rumah tersebut merupakan rumah sewa, maka tuan rumah telah di maklumkan. Tuan rumah bersama agennya datang melihatkan keadaan rumah. Setelah berbincang dengan tuan rumah, kos untuk pulih rumah akan menggunakan klaim dari insuran.

Suami adik ipar berada di wad selama dua hari. Pada hari ke tiga selepas kejadian, suami adik ipar di discaj dan pulang ke rumah. Keadaannya masih kelihatan lemah dan kurang sihat. Menurut laporan doktor, terdapat salur jantung tersumbat dan buah pinggang telah berada pada tahap 4. 

Seminggu selepas kejadian, suami adik ipar dibawa untuk membuat laporan polis seperti yang telah diarahkan oleh pihak polis. Keadaannya kelihatan lebih baik daripada sebelumnya. Walau bagaimanapun, beliau masih tidak dapat mengimbau apa sebenarnya yang terjadi terhadapnya di ketika kejadian. Mungkin disebabkan masalah kesihatan di waktu itu, menyebabkan beliau berada di dalam keadaan bawah sedar. Maka ianya masih menjadi tanda tanya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. 



Hari ke-13 & 14 di tahun 2024

 Hari ke-13

Hujung minggu kali ini, dimulai dengan seawal pagi, suami dan anak teruna sulung solat subuh di masjid. Anak teruna kedua, telah dikejutkan untuk turut ke masjid, tetapi disebabkan rasa mengantuk, tidak mahu pula dia pergi ke masjid. Mungkin juga disebabkan telah seminggu persekolahan, dia tidak pergi subuh ke masjid, makanya rasa berat bila hendak pergi di hari cuti ini. Nampaknya, CikYong perlu suruh semula dia pergi subuh ke masjid di hari2 persekolahan, supaya ada momentum untuk istiqamah.

Usai balik dari masjid, suami mengajak semua untuk keluar bersarapan. Kami ke medan selera di pekan. Semasa duduk menunggu pesanan makanan, tiba-tiba seseorang datang menegur CikYong.

“Assalamulaikum, kenal lagi ke?”

Oh! Rupa-rupanya teman lama, A yang telah hampir setahun tidak berjumpa. Teman di tempat kerja lama CikYong. Semenjak CikYong berhenti kerja hampir sepuluh tahun lalu, memang tidak pernah perjumpa lagi. Sempatlah kami bersembang serba sedikit, bertanya khabar dan perihal perkembangan semasa. Rupa-rupanya A baru sahaja berhenti kerja, dia ambil VSS yang ditawarkan syarikat. A memang berasal dari pekan ini. Dia balik untuk menjenguk kakaknya yang tinggal di sini. Alhamdulillah direzekikan bertemu dengan teman lama.

Selepas sarapan, anak teruna kedua perlu menghadiri kelas tambahan untuk persediaan peperiksaan yang akan bermula pada minggu hadapan.

Sementara menunggu anak selesai kelas tambahan, CikYong dan suami menyambung menerangkan parit di hadapan rumah. Alhamdulillah sudah separuh daripada parit sempat diterangkan. Batang dan akar2 pokok renek di dalam parit di tarik keluar dan dibiarkan kering  dahulu buat beberapa hari sebelum akan dibakar.

Selepas anak pulang dari kela tambahan, kami bersiap2 untuk ke bandar M untuk menghantar baju terpakai. Melalui media sosial, seminggu yang lalu, suami CikYong ada terjumpa iklan sebuah NGO yang mengadakan kenpen pengumpulan pakaian terpakai. CikYong telah mengasingkan pakaian lama ke dalam 3-4 beg plastik. Kami singgah di rumah bonda untuk mengambil tiga lagi plastik pakaian terpakai.

Bonda juga ikut sama ke bandar M. Setelah sekitar sejam perjalanan, kami tiba di bandar M. Kami mencari lokasi pengumpulan berpandukan applikasi GoogleMap. Alhamdulillah, kami tiba di lokasi, bungkusan2 diturunkan secara pandu lalu, amat teratur dan pantas pengurusannya. Terbaik kepada NGO yang terlibat!

Sebaik sahaja kereta kami keluar daripada kawasan pusat pengumpulan tersebut, tiba-tiba indicator suhu di paparan kereta menunjukkan suhu enjin kereta menjadi tinggi. Suami berhenti di bawah pokok di tepi jalan. Suami buka boot hadapan kereta. Air di dalam bekas coolant kering. Selepas kira-kira setengah jam, suami buka penutup kaburator, airnya juga kering. Semasa menunggu suhu enjin turun, suami CikYong cuba mencari di google akan bengkel yang terdekat. Suami dapat menghubungi beberapa bengkel. Atas panduan dari staf bengkel, suami mengisi air ke dalam kaburator. Suami on kan enjin. Alhamdulillah, suhu tidak mencanak naik, terus suami memandu kereta ke bengkel yang terletak dalam 500meter. 

Sementara menunggu kereta diperiksa oleh mekanik, kami menunggu di ruang menunggu bengkel yang selesa. Risau juga CikYong menyebabkan Bonda tidak selesa. Maklumlah hal diluar jangkaan seperti ini, pastinya menyukarkan keadaan.

Kemungkinan masa yang lama untuk membaiki kereta, CikYong dan suami mengambil keputusan untuk mengambil Grab untuk ke kompleks membeli belah yang terletak di seberang jalan daripada bengkel tersebut. Walaupun sebenarnya, CikYong, suami dan anak-anak boleh sahaja berjalan ke sana, tetapi Bonda pasti tidak berdaya untuk berjalan sejauh itu. Itulah sebabnya, GrabCar adalah pilihan terbaik.

Setibanya kami di kompleks membeli belah, kami terus mencari surau untuk solat Zuhur. Usai solat, kami ke medan selera untuk makan tengahari. Suami dan anak teruna sulung memesan nasi goreng dan nasi goreng ayam. Sementara nasi ayam buat Bonda dan anak teruna kedua. CikYong tidak mengambil sebarang makanan disebabkan perut CikYong yang kurang selesa. Tidak lama selepas selesai makan tengahari, kami ke surau semula untuk mengerjakan solat Asar yang sudah hampir masuk waktu Asar. Sebenarnya sebelum itu, kami bersolat zuhur agak lewat disebabkan  urusan kereta rosak. 

Selesai sahaja solat, suami CikYong memberitahu bahawa kereta telah siap dibaiki. Suami dan anak teruna CikYong pergi semula ke bengkel untuk mengambil kereta dengan berjalan kaki sahaja. Sementara CikYong, Bonda dan anak teruna kedua menunggu di kompleks. Setelah selesai urusan di bengkel, dan mengambil kami di kompleks, kami terus bergerak balik. Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah sebelum Maghrib.

Di waktu malam hari, anak2 makan nasi dengan kari ikan pemberian adik ipar dan telur dadar. Anak teruna kedua masih ada kelas tambahan dalam talian yang diadakan oleh ustaz sekolah agamanya.

Alhamdulillah, hari ini berjaya juga melunaskan tanggungjawab kemasyarakatan. Ujian yang mendatang tanpa diduga adalah merupakan dugaan yang perlu dihargai dan disyukuri.

Hari ke-100 Taufan AlAqsa.. Isreal, Amerika dan sekutunya masih lagi angkuh dengan kerosakkan yang mereka lakukan terhadap dunia. Undang-undang Antarabangsa dicabar dengan pendakwaan Afrika Selatan terhadap Israel.

Hari ke-14

Hari ini CikYong dan keluarga bersarapan awal. Suami belikan sahaja sarapan. Pagi ini CikYong menghadiri program ceramah yang dianjurkan oleh masjid di kampung CikYong. Bonda turut serta untuk mendengar ceramah Tadabbur AlQuran Surah ArRahman. Panel jemputan adalah Pentadabbur dan Qari dari program Qurantime iaitu Ustaz Fazrul Ismail dan Ustaz Tarmizi Abdul Rahman. Alhamdulillah diberikan kesempatan untuk mendengar secara langsung di tempat sendiri. Program berakhir ditengahari. Sempat juga menyantuni hasrat Bonda untuk bertemu dan menyampaikan sedikit sumbangan peribadi kepada panel jemputan. Bonda juga berkesempatan bergambar beramai-ramai bersama-sama panel jemputan dan ahli kariah surau berdekatan rumah Bonda yang merupakan teman-teman sepengajian Bonda.

Tengahari, cuma beli lauk tenghari, tidak sempat untuk CikYong untuk memasak. Disebabkan cuaca hari agak panas, CikYong tangguhkan hasrat awal CikYong untuk menyambung lukisan. CikYong isikan masa petang untuk menyambung membaca buku ‘Siput mengubah Sejarah’. CikYong sambung membaca pada sebelah malam. 

Anak teruna kedua masih ada kelas tambahan dalam talian pada sebelah pagi dan malam.

Perang di Gaza telah memasuki hari ke-100/101..

CikYong teruskan usaha kecil CikYong untuk menyokong post2 pro Palestine di media sosial. Ianya bagi memastikan keperihatinan CikYong masih lagi utuh, tidak mahu hati CikYong terleka dan hilang rasa kemanusiaan apabila melihat berita2 penindasan dan kekejaman Zionis.

Friday, 12 January 2024

Hari ke-12 di tahun 2024

 Alhamdulillah masih lagi dikurniakan nyawa untuk meneruskan tanggungjawab kepada diri, keluarga dan agama.

Seperti kebiasaan pada pagi Jumaat, CikYong perlu membuat persediaan lebih awal untuk bekal dan makan tengahari. CikYong mempunyai dua sesi kelas bahasa arab pada sebelah pagi. Namun pada hari ini CikYong hanya menghadiri kelas pertama sahaja memandangkan ustazah yang mengajar kelas kedua terpaksa membatalkan kelas pada pagi ini. Anak ustazah kurang sihat dan berada di wad. Semoga Allah permudahkan segala urusan ustazah. 

Di dalam kelas pertama pula, usai pembelajaran, ustazah memaklumkan kepada semua pelajar bahawa kelas hari ini merupakan kelas terakhir. Ustazah akan membubarkan kelas ini kerana pelajar asal di dalam kelas ini akan diserapkan ke kelas yang lain. CikYong dan beberapa pelajar lain hanyalah merupakan pelajar yang mengulangkaji di dalam kelas ini. Walau bagaimana pun ustazah menjemput CikYong dan pelajar2 lain untuk menyertai kelas pada slot pukul 10:30pg setiap l Jumaat atau mana-mana kelas lain sebagai kelas mengulangkaji.

Oleh kerana kelas sesi kedua dibatalkan, CikYong gunakan masa tersebut untuk menyambung posting blog CikYong. Sudah hampir selesai post berkaitan kemalangan di waktu cuti sekolah yang lepas. 

Hari ini hanya anak teruna sulung CikYong yang mempunyai peperiksaan iaitu kertas Bahasa Arab. Hari ini merupakan hari terakhir peperiksaan buat anak teruna sulung. Anak teruna kedua CikYong tiada peperiksaan, peperiksaannya akan disambung ke minggu hadapan. Sekolahnya hari ini mengadakan majlis perpisahan untuk guru2 yang bertukar sekolah.

Sebelah petang, sempat juga CikYong mencalitkan warna2 di kanvas. Progress yang perlahan tetapi masih lagi bergerak.

Malam ini, anak teruna kedua CikYong menghadiri kelas tambahan secara dalam talian. Sebagai persediaan untuk peperiksaan UPKK yang akan bermula Selasa hadapan.

Hari ini merupakan hari ke-99 perang di Palestine. Ia merupakan hari ke-dua perbicaraan Isreal melakukan genocide terhadap penduduk Palestine di Gaza. Hari ini juga merupakan hari pertama Amerika dan sekutunya menyerang Yaman. Ianya mungkin dilakukan untuk mengubah tumpuan dunia dari perbicaraan yang sedang berlangsung di Mahkamah Antarabangsa.

Melihatkan sikap kuasa2 besar mengubah naratif di antara yang hak dengan yang batil, ianya begitu membimbangkan hati CikYong. Adakah dunia semakin hampir ke hari kemusnahannya? Agama Islam pasti akan menang, itu janji Allah. Allah Maha Mengatur dengan penuh kebijaksaanNya. Apa yang mengasak di pemikiran CikYong, adakah diri ini, keturunan dan umat Islam akan terselamat dari segala kerosakan pemikiran yang sedang melanda dunia di ketika ini.

Adakah kita akan terselamat, adakah kita akan tergolong di kalangan mereka yang beriman dan berjaya di akhirat nanti?

Thursday, 11 January 2024

Hari ke-11 di tahun 2024

CikYong menyiapkan roti jala untuk belal sekolah anak2 seawal pagi selepas solat Subuh. Oleh kerana pagi ini, suami CikYong perlu ke klinik untuk mengambil bekalan ubatnya, lalu CikYong mencadangkan agar kami berbasikal saja ke sana. Usai ubat diambil, CikYong dan suami ambil kesempatan untuk bersarapan saja di pekan. CikYong bersarapan  capati sementara suami pula memilih roti canai. Sarapan untuk anak teruna CikYong, telah suami belikan terlebih dahulu sebelum kami keluar mengayuh.

Kelas bahasa arab CikYong secara dalam talian berjalan seperti biasa. Hari ini kami memasuki bab baru di bawah tajuk Kesihatan (الصحة). Sementara itu. beberapa program Qurantime dapat juga CikYong tonton, namun masih berbaki satu lagi siaran sebelum CikYong dapat kembali on track.

Harry ini anak teruna sulong menghadapi peperiksaan kertas Sains dan ASK. Menurut anak CikYong, ASK agak susah kerana adanya keluar soalan yang tidak belajar. Sementara anak teruna kedua CikYong pula, ada peperiksaan kertas Bahasa Melayu dan pendidikan muzik.

Hari ini merupakan hari ke-98 perang di Palestine. Perbicaraan Israel di ICJ Mahkamah Antarabangsa bermula hari ini. Pengeboman Israel keatas Gaza masih berterusan. CikYong tidak pernah putus berdoa untuk pembebasan Palestine dari cengkaman Israel dan Zionis dan sekutunya. Semoga Allah kurniakan ketabahan buat rakyat Palestine dan seluruh umat Islam semuanya. Hanya kepada Mu ya Allah yang maha Mengatur dan Maha Bijaksana.

Hafalan CikYong masih lagi terlalu perlahan. Masih di surah Jumuah, ayat 3-4. Masih lagi tidak lancar.

Dua hari lepas, CikYong telah mendaftar TH Khariat di dalam applikasi THijari. CikYong cuba dalam selamg dua hari, mengakses THijari untuk memeriksa status samada rayuan Haji telah dibuka. CikYong berhasrat untuk membuat rayuan mengerjakan haji pada tahun ini. Semoga CikYong direzekikan dijemput ke tanah suci, insyaAllah.

Lukisan CikYong hanya dapat dicalitkan sedikit warna sahaja hari ini. Tidak berkesempatan untuk progres yg banyak.

Hari ke-10 di tahun 2024

Cuaca hari ini panas hingga ke petang.

Hari ini CikYong mulakan pagi dengan menerangkan parit di hadapan rumah. Dua hari lepas, suami CikYong telah mengupah saudara pemesin rumput untuk memotong pokok renek yang tumbuh meliar di dalam parit. Makanya, hari ini, CikYong dan suami perlu menarik keluar saki baki batang dan akar pokok tersebut yang telah berakar umbi ke dalam tanah lumpur di dasar parit itu. Sempatlah juga CikYong menerangkan sekitar suku bahagian daripada parit tersebut. Di lain hari, akan disambung lagi usaha ini, insyaAllah. 

Sambil menerangkan parit, pakcik jiran tanah sebelah datang menyapa suami CikYong. Sempat lagi pakcik memberi suami pokok ajinomoto. Kali pertama CikYong kenal pokok ini, menurut pakcik jiran, boleh direbus dan dimakan sebagai ulam. 

Makanya, sayur ajinomoto rebus menjadi sajian makan tengahari bersama masak lemak ikan cencaru dan ayam goreng tepung.

Anak sulong CikYong menghadapi peperiksaan untuk hari ke-tiga, mata pelajarannya Matematik, Pendidikan Islam dan Pendidikan Jasmani. Sementara anak teruna ke dua CikYong pula menghadapi peperiksaan Matematik dan Pendidikan Seni. Semoga anak2 dapat menjawab peperiksaan dengan baik. Melihatkan kurangnya fokus anak2 dalam mengulangkaji, CikYong tidak dapat hendak menjangkakan bagaimana keadaan anak2 ketika menjawab soalan peperiksaan tersebut. Semoga Allah kurniakan hidayah dan taufiq buat semua anak2 yang menjalani peperiksaan.

Lukisan CikYong ada sedikit perkembangan. Masih banyak lagi untuk disiapkan. CikYong baru mewarnakan salah satu daripada kubah masjid.

Hari ini adalah hari ke-97 perang Gaza. CikYong buat petisyen untuk sokongan kepada Afrika Selatan untuk prosiding terhadap Israel melakukan genoside terhadap Palestine. Semoga Allah kurniakan kekuatan buat rakyat Palestine khususnya, dan umat Islam seluruh dunia amnya. 

CikYong terbaca juga perihal akhbar tempatan berbahasa Cina yang menyiarkan gambar Cik Siti Kassim bersama teddy bear. CikYong juga ada ternampak komen2 berbaur islamikphobia kalangan bukan Islam terhadap topik berkaitan agama Islam di negara ini. Isu premis perniagaan orang Islam diarah oleh pihak kerajaan negeri untuk di tutup selama dua jam di waktu solat Jumaat di negeri Terengganu juga dijadikan topik hangat di media sosial. Pada pandangan CikYong, mereka ini adalah terdiri dari golongan yang takut kepada Islam. Tiada siapa yang cuba untuk memprovokasi golongan ini, tetapi mereka sendiri yang takut dengan bayang2 sendiri. Waallahu a’lam.

Wednesday, 10 January 2024

Hari ke-9 di tahun 2024

 Alhamdulillah masih dikurniakan Ilahi akan usia dan rezeki.

Hari ini CikYong berjaya mendengar rakaman Qurantime. Namun masih berbaki 4-5 siaran sebelum CikYong dapat kembali on track.

Anak-anak CikYong telah mula menjalani peperiksaan akhir tahun. Si Abang menjalani hari ke-dua peperiksaan, mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Inggeris. Manakala Si Adik pula menghadapi peperiksaan mata pelajaran RBT dan Sains. Alhamdulillah, berjalan lancar kata mereka. Bagaimana pencapaian, nanti kita tunggu..

Di awal pagi, CikYong berkesempatan mengayuh basikal bersama suami. Lokasi biasa yang dilalui merentasi jalan di kawasan sawah padi yang berdekatan dengan kampung CikYong. Kelihatan traktor membajak tanah. Persediaan dron di tepi sawah, mungkin untuk menabur benih atau membaja. Bangau terbang rendah melintasi di hadapan basikal CikYong, namun CikYong tidak berkesempatan untuk merakamkan aski pernebangan santai Si Bangau. Maklumlah, bila saja CikYong berhenti, belum sempat CikYong mencapai telefon bimbit dan mengakses kamera telefon, Si Bangau telah terbang jauh. Mungkin Si Bangau dapat merasakan adanya paparazi yang menyibuk di pagi yang damai ini, mengganggu ketenangannya.

Buat lukisan CikYong, hari ini tiada peningkatan. InsyaAllah esok ada sedikit kemajuan.

Perang di Gaza telah memasuki hari ke-96. Antara peristiwa menyayat hati adalah kematian dua orang lagi wartawan Palestine.



Tuesday, 9 January 2024

Hari ke-8 di tahun 2024

 Hari ini CikYong berjaya menelusuri program ulangan Qurantime yang telah lebih dua minggu CikYong ketinggalan mengikutinya. Sehingga petang CikYong telah selesai untuk seminggu program ulangan, ada lagi seminggu yang perlu CikYong sambung di hari seterusnya. Setelah itu barulah CikYong dapat mengikuti siaran harian seperti sebelum2 ini.

Kelas tadabbur pula, CikYong masih ada lagi empat kelas yang perlu diikuti rakamannya. CikYong bercadang setelah selesai Qurantime, barulah CikYong ikuti dengan kelas tadabbur surah AlQasas ini.

Kelas Bahasa Arab Ustaz Muein pun CikYong perlu dengar rakamannya. Kalau tidak silap CikYong, cuma satu kelas saja yg tertinggal. Nanti CikYong kena check.

Kelas hadith Arbain An Nawawi pun kena dengar rakaman, mungkin dua kelas yang tertinggal.

Alhamdulillah CikYong sudah mula semula melukis. Hari ini sudah mula mewarna. Anak CikYong yang lebih teruja bila CikYong kembali ke kanvas dan warna.


Psikologi mendidik anak2

Mendidik anak2 penuh dengan seribu harapan dan tidak terkecuali diiringi bersama seribu kerisauan. Rasa tenangnya sedikit, rasa kekecewaanny...