Friday, 19 January 2024

Hari ke-18 di tahun 2024

 Seawal pukul 5pagi, CikYong telah kejutkan anak teruna sulung CikYong. Hari ini, CikYong, suami dan anak teruna sulung berniat untuk berpuasa sunat. Kami bangun awal untuk bersahur. Sahur yang ringkas, nasi, gulai lemak cili padi iaitu lauk semalam dan telur dadar. 

Sementara untuk bekal ke sekolah anak teruna kedua, CikYong sediakan roti jala. Kuah karinya CikYong panaskan sahaja baki kari ayam semalam.

Oleh kerana anak teruna sulung juga berpuasa, maka CikYong tidak perlu menyediakan bekal untuknya. Walau bagaimanapun, setelah pulang dari sekolah di petangnya, anak teruna sulung bercerita perihal ada kawannya yang bertanyakan kenapa tidak ada bekal untuk hari ini. Kebiasaannya, memang anak CikYong akan berkongsi bekalnya dengan kawan-kawannya.

Makanya di ruang masa yang ada, CikYong luangkan untuk memulakan catatan blog perihal kisah Cuti-cuti Malaysia di Perlis. Dapatlah CikYong menyiapkan dalam dua puluh peratus penceritaannya sebelum CikYong tangguh untuk disambung di masa yang lain, insyaAllah. 

Setelah itu, CikYong hadiri Kelas Bahasa Arab mingguan secara dalam talian bersama ustazah, CikYong belajar berkaitan bentuk perkataan masdar.

Usai kelas selesai, CikYong sambung semula catan lukisan CikYong. Hari ini CikYong tidak memasak untuk tengahari. Suami CikYong belikan nasi ayam untuk makan tengahari anak teruna kedua CikYong. 

Sebelah petang, anak teruna CikYong masih ada pepeperiksaan yang perlu dihadapi iaitu untuk matapelajaran Jawi dan Khat. Selepas Zohor, CikYong sambung semula catan CikYong. Hari ini CikYong telah mula bahagian detailing, yang memerlukan dokus yang lebih dan teliti. Komen anak teruna CikYong setelah balik dari peperiksaannya, apabila melihat lukisan CikYong, “Dah nampak dah bentuknya.” CikYong anggap lukisan CikYong sudah boleh dikira sebagai ok. Anak teruna kedua CikYong merupakan pengkritik lukisan utama CikYong.

Selepas Asar, CikYong masuk ke dapur untuk menyediakan juadah berbuka puasa. Juadah yang ringkas sahaja kerana suami CikYong akan belikan tomyam sebagai juadah tambahan. CikYong masak nasi, goreng ikan kerisi dan ikan merah. Kemudian CikYong goreng karipap frozen.

Balik daripada mengambil anak teruna kedua dari sekolah, suami CikYong telah belikan tomyam campur, ayam goreng kunyit dan kailan ikan masin. Begitulah juadah berpuasa kami. Selepas anak2 balik dari mengaji AlQuran di masjid, mereka bawa balik sebungkus nasi tomato. Ada orang bersedekah di masjid. Anak teruna sulung CikYong memakannya di lewat malam.

Selepas berbuka puasa dan solat Maghrib, anak teruna sulung baru maklumkan bahawa dia perlu memakai baju berwarna biru untuk ke jamuan pengawas yang akan diadakan esok. Terpaksalah CikYong menyelongkar almari dan laci baju. Dicubanya kemeja arwah atuk, beberapa helai baju abahnya dan termasuklah t-shirt harian CikYong. Akhirnya, anak CikYong memilih t-shirt CikYong disebabkan ianya tidak terlalu besar untuknya. Salah satu lengan t-shirt tersebut, telah terbuka lipatannya, maka CikYong jahitkan dengan jahitan tangan sahaja.

Perang di Palestine memasuki hari ke-105. CikYong berdoa agar Allah kurniakan kekuatan kepada setiap yang menghadapi ujian di saat getir ini termasuklah rakyat dan pejuang Palestine, Yaman dan Iran. Begitu juga untuk semua umat Islam agar ujian ini mendekatkan umatnya kepada Allah dan agamanya. Dan juga semoga ianya membuka hati-hati bukan Islam untuk memahami dan mempelajari agama yang sebenar agama dari Tuhan yang Esa. Amin amin ya rabbal alamin.

No comments:

Post a Comment

Psikologi mendidik anak2

Mendidik anak2 penuh dengan seribu harapan dan tidak terkecuali diiringi bersama seribu kerisauan. Rasa tenangnya sedikit, rasa kekecewaanny...