Hari ini CikYong dan suami berpuasa sunat Rejab. Hari ini merupakan hari ke-3 di bulan Rejab. Kurang 2 bulan bakal tibanya Ramadhan.
Untuk Ramadhan kali ini, CikYong telah mula membuat persediaan bagi projek Ramadhan. CikYong telah kongsikan plan projek dengan penasihat projek lantikan CikYong sendiri, iaitu sahabat baik CikYong, F. CikYong masih menunggu maklum balas dari perantara untuk mengetahui langkah seterusnya yang perlu diambil.
CikYong dan suami bersahur dengan nasi goreng. Oleh kerana telah lama CikYong tidak berpuasa, perut CikYong kurang selesa disebabkan perut terkejut bila makanan tiba di perut lebih awal dari kebiasaan.
Untuk bekal anak teruna kedua, suami belikan nasi lemak bungkus. Minggu2 sebelum ini, CikYong masakkan nasi lemak untuk bekalnya, tetapi sejak kebelakangan ini, anak teruna kedua CikYong sudah jemu dengan masakan nasi lemak CikYong. Itulah sebabnya, sekarang ini, hanya belikan sahaja.
Hanya anak teruna kedua sahaja yang masih menjalani peperiksaan pada minggu ini dan minggu hadapan. Bagi anak teruna sulung, dia telah selesai peperiksaan. Anak teruna kedua pula menjalani peperiksaan Sejarah dan Bahasa Inggeris.
Sebelah petang, dapat juga CikYong menyambung calitan warna ke kanvas. Bila akan siapnya lukisan ini, CikYong pun tidak pasti. Begitulah juga jawapan CikYong apabila anak CikYong bertanyakan soalan yang sama. CikYong nyatakan kepada anak CikYong bahawa, CikYong melukis di suasana yang tenang dan santai dan bergantung pada kelapangan masa yang ada.
CikYong dan suami berbuka puasa dengan nasi dan gulai kurma ayam dan sayur kobis goreng. Masakan yang telah CikYong sediakan seawal tengahari disebabkan makanan yang sama juga yang CikYong bekalkan untuk anak teruna sulung.
Selepas Maghrib, anak teruna kedua CikYong mengadu rasa berat kepala. CikYong biarkan saja dia tidur, mungkin dia kepenatan seharian bersekolah tambahan pula cuaca di siang hari agak panas. Dalam pukul sepuluh lebih, suami kejutkan dia untuk solat Isyak. Apabila anak CikYong terjaga, terus sahaja dia berasa stress kerana teringatkan dia belum lagi mengulangkaji untuk peperiksaan esok. CikYong suruh anak mengulangkaji sedikit selepas bersolat Isya’.
CikYong faham akan tekanan yang dirasakan oleh anak CikYong. Esok dan lusa merupakan hari yang agak berat untuk dia kerana dia bakal menghadapi peperiksaan untuk sekolah kebangsaan di sebelah pagi dan UPKK pada sebelah petang. Semoga Allah kurniakan ketabahan dan ketenangan di hati anak CikYong dalam mengharungi ujian kehidupan dan berjaya di dunia dan akhirat. Doa ibu adalah yang doa yang tidak dihijab, CikYong yakin dengan janji Allah. Amon amin ya rabbal alamin.
Sebelum tidur, masih sempat CikYong menjalankan tanggungjawab terhadap saudara Islam di Palestine yang masih mengharungi perang buat ke sekian harinya.iaitu hari ke-102.
No comments:
Post a Comment