Monday, 15 January 2024

Hari ke-13 & 14 di tahun 2024

 Hari ke-13

Hujung minggu kali ini, dimulai dengan seawal pagi, suami dan anak teruna sulung solat subuh di masjid. Anak teruna kedua, telah dikejutkan untuk turut ke masjid, tetapi disebabkan rasa mengantuk, tidak mahu pula dia pergi ke masjid. Mungkin juga disebabkan telah seminggu persekolahan, dia tidak pergi subuh ke masjid, makanya rasa berat bila hendak pergi di hari cuti ini. Nampaknya, CikYong perlu suruh semula dia pergi subuh ke masjid di hari2 persekolahan, supaya ada momentum untuk istiqamah.

Usai balik dari masjid, suami mengajak semua untuk keluar bersarapan. Kami ke medan selera di pekan. Semasa duduk menunggu pesanan makanan, tiba-tiba seseorang datang menegur CikYong.

“Assalamulaikum, kenal lagi ke?”

Oh! Rupa-rupanya teman lama, A yang telah hampir setahun tidak berjumpa. Teman di tempat kerja lama CikYong. Semenjak CikYong berhenti kerja hampir sepuluh tahun lalu, memang tidak pernah perjumpa lagi. Sempatlah kami bersembang serba sedikit, bertanya khabar dan perihal perkembangan semasa. Rupa-rupanya A baru sahaja berhenti kerja, dia ambil VSS yang ditawarkan syarikat. A memang berasal dari pekan ini. Dia balik untuk menjenguk kakaknya yang tinggal di sini. Alhamdulillah direzekikan bertemu dengan teman lama.

Selepas sarapan, anak teruna kedua perlu menghadiri kelas tambahan untuk persediaan peperiksaan yang akan bermula pada minggu hadapan.

Sementara menunggu anak selesai kelas tambahan, CikYong dan suami menyambung menerangkan parit di hadapan rumah. Alhamdulillah sudah separuh daripada parit sempat diterangkan. Batang dan akar2 pokok renek di dalam parit di tarik keluar dan dibiarkan kering  dahulu buat beberapa hari sebelum akan dibakar.

Selepas anak pulang dari kela tambahan, kami bersiap2 untuk ke bandar M untuk menghantar baju terpakai. Melalui media sosial, seminggu yang lalu, suami CikYong ada terjumpa iklan sebuah NGO yang mengadakan kenpen pengumpulan pakaian terpakai. CikYong telah mengasingkan pakaian lama ke dalam 3-4 beg plastik. Kami singgah di rumah bonda untuk mengambil tiga lagi plastik pakaian terpakai.

Bonda juga ikut sama ke bandar M. Setelah sekitar sejam perjalanan, kami tiba di bandar M. Kami mencari lokasi pengumpulan berpandukan applikasi GoogleMap. Alhamdulillah, kami tiba di lokasi, bungkusan2 diturunkan secara pandu lalu, amat teratur dan pantas pengurusannya. Terbaik kepada NGO yang terlibat!

Sebaik sahaja kereta kami keluar daripada kawasan pusat pengumpulan tersebut, tiba-tiba indicator suhu di paparan kereta menunjukkan suhu enjin kereta menjadi tinggi. Suami berhenti di bawah pokok di tepi jalan. Suami buka boot hadapan kereta. Air di dalam bekas coolant kering. Selepas kira-kira setengah jam, suami buka penutup kaburator, airnya juga kering. Semasa menunggu suhu enjin turun, suami CikYong cuba mencari di google akan bengkel yang terdekat. Suami dapat menghubungi beberapa bengkel. Atas panduan dari staf bengkel, suami mengisi air ke dalam kaburator. Suami on kan enjin. Alhamdulillah, suhu tidak mencanak naik, terus suami memandu kereta ke bengkel yang terletak dalam 500meter. 

Sementara menunggu kereta diperiksa oleh mekanik, kami menunggu di ruang menunggu bengkel yang selesa. Risau juga CikYong menyebabkan Bonda tidak selesa. Maklumlah hal diluar jangkaan seperti ini, pastinya menyukarkan keadaan.

Kemungkinan masa yang lama untuk membaiki kereta, CikYong dan suami mengambil keputusan untuk mengambil Grab untuk ke kompleks membeli belah yang terletak di seberang jalan daripada bengkel tersebut. Walaupun sebenarnya, CikYong, suami dan anak-anak boleh sahaja berjalan ke sana, tetapi Bonda pasti tidak berdaya untuk berjalan sejauh itu. Itulah sebabnya, GrabCar adalah pilihan terbaik.

Setibanya kami di kompleks membeli belah, kami terus mencari surau untuk solat Zuhur. Usai solat, kami ke medan selera untuk makan tengahari. Suami dan anak teruna sulung memesan nasi goreng dan nasi goreng ayam. Sementara nasi ayam buat Bonda dan anak teruna kedua. CikYong tidak mengambil sebarang makanan disebabkan perut CikYong yang kurang selesa. Tidak lama selepas selesai makan tengahari, kami ke surau semula untuk mengerjakan solat Asar yang sudah hampir masuk waktu Asar. Sebenarnya sebelum itu, kami bersolat zuhur agak lewat disebabkan  urusan kereta rosak. 

Selesai sahaja solat, suami CikYong memberitahu bahawa kereta telah siap dibaiki. Suami dan anak teruna CikYong pergi semula ke bengkel untuk mengambil kereta dengan berjalan kaki sahaja. Sementara CikYong, Bonda dan anak teruna kedua menunggu di kompleks. Setelah selesai urusan di bengkel, dan mengambil kami di kompleks, kami terus bergerak balik. Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah sebelum Maghrib.

Di waktu malam hari, anak2 makan nasi dengan kari ikan pemberian adik ipar dan telur dadar. Anak teruna kedua masih ada kelas tambahan dalam talian yang diadakan oleh ustaz sekolah agamanya.

Alhamdulillah, hari ini berjaya juga melunaskan tanggungjawab kemasyarakatan. Ujian yang mendatang tanpa diduga adalah merupakan dugaan yang perlu dihargai dan disyukuri.

Hari ke-100 Taufan AlAqsa.. Isreal, Amerika dan sekutunya masih lagi angkuh dengan kerosakkan yang mereka lakukan terhadap dunia. Undang-undang Antarabangsa dicabar dengan pendakwaan Afrika Selatan terhadap Israel.

Hari ke-14

Hari ini CikYong dan keluarga bersarapan awal. Suami belikan sahaja sarapan. Pagi ini CikYong menghadiri program ceramah yang dianjurkan oleh masjid di kampung CikYong. Bonda turut serta untuk mendengar ceramah Tadabbur AlQuran Surah ArRahman. Panel jemputan adalah Pentadabbur dan Qari dari program Qurantime iaitu Ustaz Fazrul Ismail dan Ustaz Tarmizi Abdul Rahman. Alhamdulillah diberikan kesempatan untuk mendengar secara langsung di tempat sendiri. Program berakhir ditengahari. Sempat juga menyantuni hasrat Bonda untuk bertemu dan menyampaikan sedikit sumbangan peribadi kepada panel jemputan. Bonda juga berkesempatan bergambar beramai-ramai bersama-sama panel jemputan dan ahli kariah surau berdekatan rumah Bonda yang merupakan teman-teman sepengajian Bonda.

Tengahari, cuma beli lauk tenghari, tidak sempat untuk CikYong untuk memasak. Disebabkan cuaca hari agak panas, CikYong tangguhkan hasrat awal CikYong untuk menyambung lukisan. CikYong isikan masa petang untuk menyambung membaca buku ‘Siput mengubah Sejarah’. CikYong sambung membaca pada sebelah malam. 

Anak teruna kedua masih ada kelas tambahan dalam talian pada sebelah pagi dan malam.

Perang di Gaza telah memasuki hari ke-100/101..

CikYong teruskan usaha kecil CikYong untuk menyokong post2 pro Palestine di media sosial. Ianya bagi memastikan keperihatinan CikYong masih lagi utuh, tidak mahu hati CikYong terleka dan hilang rasa kemanusiaan apabila melihat berita2 penindasan dan kekejaman Zionis.

No comments:

Post a Comment

Psikologi mendidik anak2

Mendidik anak2 penuh dengan seribu harapan dan tidak terkecuali diiringi bersama seribu kerisauan. Rasa tenangnya sedikit, rasa kekecewaanny...