Perancangan untuk bercuti di Perlis sebenarnya dicetuskan oleh adik ipar CikYong. Adik ipar (adik ipar ke-2) bercadang untuk bercuti ke Perlis bersama keluarganya. Adik ipar juga berhasrat untuk mengajak Bonda untuk turut serta. Namun disebabkan kereta adik ipar hanya dapat menampung keluarganya sahaja, maka adik ipar mengajak kami sekeluarga agar Bonda boleh menaiki kenderaan kami. Hasrat adik ipar itu telah diajukan kepada suami CikYong dalam beberapa minggu sebelum percutian tersebut. Di ketika itu, suami dan CikYong telah bersetuju dengan pelawaan tersebut.
Seminggu sebelum tarikh yang telah dirancang, berlaku pula kemalangan kereta masuk rumah (seperti yang CikYong rakamkan di post yang lain). Di ketika itu, kami berasa berbelah bagi untuk menyertai percutian tersebut disebabkan kemalangan yang terjadi. Kami memikirkan akan banyak perkara yang perlu diuruskan dan juga agak kepenatan membersihkan rumah adik ipar (adik ipar yang ke-4).
Namun akhirnya kami tidak jadi membatalkannya setelah adik ipar memujuk agar kami turut serta untuk meraikan bonda. Pada hari perjalanan, adik ipar dan keluarga telah bertolak awal pagi dari rumahnya di ibukota terus ke Perlis. Sementara CikYong dan keluarga bertolak lewat sedikit disebabkan CikYong ada temujanji di hospital di sebelah pagi. Usai urusan di hospital, kami pun bersiap-siap lalu bergerak ke rumah Bonda. Di rumah Bonda, adik ipar (adik ipar yang ke-5) dan keluarga sudah sedia menunggu. Mereka sekeluarga juga turut serta di dalam percutian ini. Bonda menaiki kenderaan kami.
Maka dua kenderaan kami mula bertolak ke Perlis. Kami berhenti di R&R untuk makan tengahari dan solat Zuhur. Kami tiba di Perlis pada lewat petang. Kami terus menuju ke Homestay yang telah disewa. Keluarga adik ipar (ke-2) telahpun tiba pada waktu tengahari.
Homestay yang disewa merupakan rumah teres dua tingkat. Keadaan rumah sunggu selesa. Terdapat empat bilik tidur, sebuah di tingkat bawah dan tiga di tingkat atas. Ruang tamu dan dapur yang luas dan selesa. CikYong dan keluarga duduk di salah sebuah bilik di tingkat atas. Biliknya juga selesa, terdapat katil saiz queen dan toto disediakan. Adir ipar (ke-2) yang mengurus dan menaja penginapan homestay ini. Jazakallahu khairan.
Usai solat Maghrib, semua bersiap-siap untuk keluar makan malam di sekitar bandar Kangar. CikYong tidak ikut serta disebabkan anak teruna kedua CikYong mengadu sakit kepala. Anak teruna sulung CikYong juga turut tinggal ditinggal di homestay untuk menemani CikYong dan adiknya. Sementara menunggu yang lain balik dari makan malam, anak teruna kedua CikYong tidur di bilik. CikYong dan anak teruna sulung pula menonton tv sambil bersembang.
Setelah semua pulang, merek bawakan makanan bungkus untuk CikYong anak beranak. Rupa-rupanya ada juga yang turut serta beli makanan bungkus disebabkan pesanan makanan lewat tiba. Makanya, kami pun makan bersama-sama termasuklah suami CikYong. Menurut suami CikYong, diapun rasa tidak seronok dan risau perihal anak yang sakit kepala, lalu diapun meng’order’ bungkus juga.
Keesokan paginya, kami keluar awal untuk bersarapan awal di salah satu tempat makan yang viral. Kebiasaannya tempat tersebut seawal pagi telah dipenuhi pelanggan Kedai makan terletak di tepi sawah. Permandangan sekeliling memang sungguh menarik dan mendamaikan, melihat kehijauan sawah yang terbentang luas. Bangunan kedai makannya terdapat tiga tingkat dan terdapat banyak meja makan dan ruang yang selesa.
Namun seperti yang telah dimaklumkan, seawal pagi, pelanggan telah tiba, beratur panjang untuk membeli makanan. Kami mengambil tempat di meja makan di tingkat tiga. Ketika kami tiba, ruang tersebut masih lagi kosong. Tidak lama selepas kami mula bersarapan, semua meja ruang tersebut telah dipenuhi. Kami bersarapan dengan pelbagai jenis makanan yang semuanya sedap-sedap belaka. Menu yang kami ambil termasuklah roti canai, soto, bakso, nasi impit, nasi lemak, dan lain-lain.
Usai sarapan, sesi bergambar adalah kemestian. Dalam masa yang sama, kelihatan pelanggan yang datang semakin ramai. Setelah selesai sesi bergambar, kami mula bergerak ke destinasi pertama untuk hari pertama percutian di Perlis. Kami menuju ke Wang Kelian.
(akan disambung di post yang seterusnya, insyaAllah..)


No comments:
Post a Comment