Hari ini merupakan antara hari yang terpenting. Hari ini anak teruna kedua CikYong pertama kalinya menghadapi peperiksaan besar buat dirinya iaitu peperiksaan UPKK. Dalam sedar tidak sedar, telah besar anak CikYong. Telah layak untuk dia mengharungi pengalaman diuji di dalam peperiksaan akademik. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah diatas ujian yang dikurniakan. Semoga segala pengalaman ini akan membantu anak2 CikYong membina jati diri menjadi seorang yang bertanggung jawab kepada agamanya, diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Diawal pagi, CikYong sediakan pulut, telur rebus dan kari ayam untuk bekal anak2 ke sekolah hari ini. Usai suami menghantar anak teruna kedua ke sekolah, CikYong mengajak suami berbasikal. Kami keluar lewat sedikit menunggu sehingga cuaca di luar cerah sedikit. Sementara itu, suami terlebih dahulu belikan sarapan untuk anak teruna sulung.
Sebelum keluar, CikYong kejutkan anak teruna sulung untuk memaklumkan bahawa kami hendak pergi berbasikal. Sebenarnya amat jarang anak CikYong ini tidur balik selepas subuh. Rupa-rupanya internet tiada, itulah sebab sebenarnya mengapa anak CikYong tidur balik. Di rumah CikYong, selain data di telefon bimbit CikYong dan suami, kami menumpang wifi internet jiran. Wifi internet ini digunakan oleh anak2 pada laptop dan tablet. Setiap bulan kami akan beri sejumlah kecil bayaran kepada jiran diatas kesudian jiran berkongsi rangkaian internetnya. Hari ini terdapat masalah pada talian Wifi internet tersebut.
Kami pulang ke rumah setelah berkayuh di sekitar laluan kebiasaan kami. Jarak yang dilalui hanya sekitar sepuluh kilometer. CikYong lalu kejutkan anak CikYong masih lagi tidur dan kami terus bersarapan pagi roti canai dan nasi lemak yang dibeli.
Hari ini anak CikYong tidak bersenam seperti rutin hariannya disebabkan tangannya sakit. Katanya pergelangan tangannya terkena bola yang baling ketika Pendidikan Jasmani semalam.
Anak teruna kedua CikYong balik sedikit awal dari sekolah kebangsaan. Sekolah memberi perlepasan kepada murid2 yang akan menjalani peperiksaan UPKK pada sebelah petang. Alhamdulillah, CikYong lihat anak CikYong dalam keadaan baik walaupun menurutnya kertas sejarah dan pendidikan jasmani agak susah. Usai mandi, makan tengahari dan solat Zuhur, anak CikYong pergi pula ke sekolah agama untuk menjalani peperiksaan Upkk kertas Ibadah dan Akidah.
Sebelah petang, CikYong menyambung semula lukisan CikYong untuk kesekian kalinya. Hari ini, dua kali CikYong mendapat soalan yang sama daripada kedua2 anak CikYong. “Bila lukisan ni nak siap?” CikYong nyatakan akan siap apabila anak CikYong habis peperiksaannya. Nampaknya CikYong sudah ada dateline yang tanpa dirancang.
Lewat petang, internet telah kembali pulih. Yang gembira, pastinya anak2 CikYong.
Malam, CikYong bantu anak teruna kedua mengulangkaji mata pelajaran Bahasa Arab untuk peperiksaan esoknya. Sebelum tidur, CikYong dapat menghabiskan pembacaan buku Siput yang mengubah sejarah.
Hari ke-103 Perang di Palestine. CikYong tonton video sidang media Abu Ubaidah untuk hari ke-100. Terdapat juga video2 memaparkan pertelingkahan di antara pihak Israel dengan pro Palestine. CikYong masih cuba memahami bagaimana cara berfikir golongan pro Israel yang teguh mempertahankan kewajaran tindakan membunuh beribu-ribu nyawa dan menghancurkan kehidupan manusia lain.
(Catatan harian CikYong ini dinukilkan dengan harapan ianya dapat merakam perjalanan kehidupan. Satu hari nanti, apabila CikYong sudah tiada di alam kehidupan, CikYong berharap ianya akan menjadi lembaran yang boleh ditatapi oleh anak cucu. Ianya sebagai kenangan dan mungkin juga jika ada iktibar yang boleh diambil daripadanya, boleh juga ia menjadi saham akhirat buat CikYong. Amin amin ya rabbal alamin.)
No comments:
Post a Comment