Hari ini kedua-dua anak CikYong bersekolah pagi. Mereka hanya dibekalkan dengan makanan yang dibeli iaitu nasi lemak dan bihun goreng. Namun, selepas pulang dari sekolah di tengaharinya, anak teruna sulung CikYong memberitahu bahawa dia tidak sempat untuk memakan bekalannya.
Menurutnya, sebelum waktu rehat merupakan kelas pendidikan jasmani. Anak CikYong bermain bila di padang sekolah yang becak. Ya, sejak kebelakangan ini, hampir setiap petang hujan. Oleh kerana itu, hampir separuh daripada masa rehatnya digunakan untuk membersihkan baju, seluar dan kasut. Katanya lagi, semasa bermain tersebut, dia siap terjatuh ke dalam becak tersebut.
CikYong dan suami berbasikal selepas anak2 telah pergi ke sekolah. Kali ini, kami lajak sedikit laluan berbasikal, lebih sedikit dari sepuluh kilometer tetapi masih kurang daripada lima belas kilometer. Pagi ini cuaca lebih cerah, sinar matahari pagi berwarna kejinggaan kelihatan di ufuk timur. Kelihatan di langit yang terbentang luas, terletaknya gumpalan-gumpalan awan yang melintang, berwarna putih dan terdapat calitan warna jingga dan merah jambu menghiasi awan seindah-indahnya. Sesungguhnya di setiap ciptaan Allah, terdapat peringatan bagi orang yang berfikir.
Selepas balik dari berbasikal, CikYong segera memasak nasi goreng menggunakan nasi yang tidak habis semalam. Maka kami bersarapan dengan nasi goreng sahaja.
Kelas mingguan bahasa arab komunikasi berjalan seperti biasa. Hari ini juga merupakan tarikh rayuan haji dibuka oleh Tabung Haji. CikYong mengambil kesempatan menghantar rayuan permohonan haji untuk tahun ini. Permohonan dilakukan melalui applikasi THjari. Semoga Allah menjemput CikYong menjadi tetamu Allah tahun ini. Amin amin ya rabbal alamin.
Untuk makan tengahari, anak2 CikYong makan nasi ayam yang dibeli.
Pada sebelah petang, selepas suami CikYong menghantar anak teruna kedua ke sekolah agamanya, kami pergi pula ke pekan. Destinasi pertama, ke kedai membuat bingkai. CikYong menghantar lima keping lukisan termasuk yang lukisan yang CikYong baru sahaja siapkam untuk dibuatkan bingkai. CikYong memilih cara bingkai yang paling murah sahaja. Destinasi ke dua ialah ke Lotus’s untuk membeli kupon Lotus’s. Destinasi ketiga ke kedai kek bersebelahan Lotus’s untuk membeli sebiji kek. Destinasi keempat, le sekolah agama anak CikYong, untuk menyerahkan kek tersebut kepada ustaz dan ustazah sebagai ucapan terims kasih diatas segala usaha murni ustaz dan ustazah membantu anak2 murid menjalani UPKK tempoh hari.
Di sebelah malam, CikYong mula membaca buku berjudul ‘Cikgu, bawalah saya ke syurga’. Kisah pengalaman guru-guru dalam mendidik anak bangsa. Terdapat tujuh orang guru yang menyumbang hasil tulisan mereka di dalam buku ini.
Hari ke-113 perang di Gaza. Keputusan dari Mahkamah Antarabangsa dikeluarkan hari ini. Keputusan yang CikYong anggap sebagai play safe. Dari satu sudut, tidak menyebelahi Israel sepenuhnya kerana tidak mahu masyarakat dunia hilang kepercayaan terhadap undang-undang antarabangsa. Ianya boleh mengakibatkan kewibawaaan mahkamah antarabangsa tersungkur dan dipijak-pijak oleh masyarakat dunia. Dari sudut yang sebaliknya, tidak mahu menghukum Israel dengan hukuman yang berat apabila mahkamah masih memberi ruang kepada Israel untuk meneruskan genocide. Apabila mahkamah tidak menyarankan ceasefire serta merta, ternyata mahkamah tidak mengakui bahawa genocide benar-benar sedang berlaku di Palestine. Sesungguhnya pemikiran pemegang utama undang-undang dunia turut berada di bawah kekuasaan kuasa-besar yang sedang membawa dunia kepada kerosakan yang teramat buruk. Di situasi beginilah yang secara paksa membuatkan manusia memerlukan kuasa yang lebih besar dari perosak2 dunia ini agar manusia kekal siuman dan berpijak di bumi yang penuh rahmat ini. Inilah masanya manusia perlukan kebergantungan seratus peratus kepada tuhan yang mencipta manusia dan segala yang ada di langit dan bumi dan apa yang diantaranya. Ya Allah, ampunilah dosa hamba mu ini yang telah melakukan pelbagai kerosakan di muka bumi ini. Amin amin ya rabbal alamin…
No comments:
Post a Comment