Wednesday, 28 December 2022

Cuti sekolah

 Cuti sekolah tiba lagi.

Anak-anak CikYong mula membuat perancangan. Hendak ke mana cuti kali ini?

“Ibu, cuti kali ni, kita nak pergi mana?”

Tanya si adik.

“Tak pergi mana-mana, kita duduk di rumah jer”

Ujar CikYong kepada anak bongsunya.

“Kita pergi KL? Pergi rumah Mak Su lah..”

Si adik mencuba lagi, memujuk CikYong dengan harapan agar cadangannya diterima.

“Cuti kali ni, tak boleh nak pergi rumah Mak Su. Rumah Mak Su tengah baiki. Nanti susah Mak Su nak uruskan rumah, kita pulak datang.”

CikYong menjelaskan sebab kenapa cadangannya tidak dapat dipenuhi.


Kebiasaannya, di waktu cuti sekolah, CikYong dan keluarga akan ke rumah adiknya di ibukota. CikYong akan mencari aktiviti-aktiviti cuti sekolah di ibukota untuk mengisi masa anak-anaknya.

Tetapi cuti sekolah pada kali ini, CikYong masih belum ada lagi apa-apa perancangan. Mungkin disebabkan CikYong mempunyai sedikit kekangan dari segi kewangan. Ditambah lagi dengan keadaaan kereta CikYong yang juga mendesak untuk dibaiki.


CikYong mengharap agar anak-anak akan dapat menerima hakikat ini. Cuti sekolah kali ini, mereka tidak akan ke mana-mana. Namun, mungkin anak-anak CikYong perlukan masa untuk menerimanya. Selang sehari, anak CikYong akan menyuarakan soalan yang sama. Rupa-rupanya, anak-anak CikYong masih lagi mengharap. Mungkin sehingga ke hari terakhir cuti sekolah nanti. Jawapan yang sama juga yang CikYong akan utarakan kepada anak-anaknya.


Suatu hari, CikYong menerima pesanan dari sahabat baik CikYong di Whatsapp. Ita, sahabat CikYong mengajak untuk berjumpa. Ita telah lama tinggal di sebuah negara di Timur Tengah. Dia bertugas di sana. Walau bagaimanapun, keluarganya berada di Malaysia. Dia balik bercuti bagi menghadiri majlis konvokesyen anak sulongnya. Sebenarnya, telah begitu lama mereka tidak berjumpa. Sudah hampir sepuluh tahun. Hanya melalui media atas talian, dapat mereka memastikan mereka tetap saling berhubungan.


CikYong mula mencari-cari ruang hari yang ada kelapangan. Setelah CikYong ketepikan hari-hari yang CikYong ada tempahan kuih dan kelas-kelas atas talian, maka CikYong mencadangkan hujung minggu itu untuk berjumpa. Ita bersetuju. Mereka akan berhubung semula untuk menetapkan masa dan lokasi.


Pada tengahari itu, dua hari sebelum hujung minggu, ketika CikYong sedang menikmati juadah tengahari bersama-sama keluarga. CikYong terima pesanan Whatsapp dari Ita. Ita maklumkan akan datang ke bandaraya P bersama keluarganya pada hujung minggu itu. Ita mengajak CikYong ke taman tema yg berada di bandaraya P, kira-kira satu setengah jam perjalanan dari kampung CikYong.


“Menarik juga ni..” Bisik hati CikYong. 

CikYong masih berkira-kira samada ingin memenuhi pelawaan Ita. Pelawaan sahabatnya itu memang mengujakan. Terutamanya, untuk memenuhi hajat cuti sekolah anak-anak CikYong. Cuma, apabila mengenangkan kekangan semasa CikYong, ianya membuatkan perlu CikYong berfikir panjang. Sedang CikYong masih belum lagi dapat membuat sebarang keputusan, kedengaran bunyi pesanan baru diterima di telefon CikYong.

Pesanan baru dari Ita.

“Jom pergi. Ita belanja. Datang dengan anak-anak. Bagi anak-anak hilang tension.”


Terkedu sebentar CikYong membaca pesanan dari Ita. Tanpa sedar, senyum CikYong melebar. Pucuk dicita, ulam mendatang. Pelawaan yang pastinya begitu mengujakan bagi CikYong. Kekangan kewangan boleh diketepikan. Hajat anak-anak dapat disantuni. Diberikan pula bonus, dapat bertemu dengan sahabat baik yang telah lama tidak berjumpa. Kesyukuran tidak terhingga CikYong panjatkan pada yang Maha Pengasih dan Penyayang. Yang maha mengetahui isi hati hambaNya.

Pelawaan sahabat baik CikYong diterima dengan tangan terbuka. Kecil tapak tangan, nyiru hamba tadahkan.

CikYong mula berbincang dengan suaminya perihal perancangan hujung minggu itu. Rupanya, ada hal berbangkit yang juga perlu disantuni. Hal berkait dengan ibu mertua CikYong. Ibu mertua tinggal bersama dengan adik ipar CikYong. Adik ipar CikYong telah berkeluarga. Dia dan suaminya merupakan guru sekolah. Kebiasaannya, di waktu cuti sekolah, mereka akan pulang ke kampung halaman suaminya. Oleh kerana itu, CikYong dan suami akan menjenguk ibu mertua lebih kerap dari hari-hari biasa.


Ketika suami CikYong memberitahu ibunya mengenai perancangan ke taman tema, rupa-rupanya ibu juga berminat untuk pergi bersama. Kini, suami CikYong di dalam dilema. Keupayaan ibu berjalan agak terhad. Ibu akan cepat letih apabila banyak berjalan. Atas faktor usia, tenaga semakin berkurangan. 

Bagaimana keadaan ibu di taman tema itu nanti?

Laratkah ibu berjalan?

Kerisauan timbul di benak pemikiran suami CikYong. Jika tidak disantuni kehendak ibu, takut nanti akan membuatkan ibu pula berkecil hati.


CikYong memahami situasi suaminya. Melihatkan suaminya yang kebuntuan, CikYong cuba menyarankan agar ibu dibawa bersama. Walaupun pada awalnya, suami agak keberatan, akhirnya dia bersetuju juga dengan saranan CikYong. Maka, persetujuan dicapai bersama.


Tiba di hari yang dijanjikan, CikYong dan keluarga terlewat sedikit bertolak dari kampung. Walau bagaimanapun, mereka selamat juga tiba di taman tema. Kelihatan pengunjung-pengunjung telah mula tiba. Ita dan keluarga telah menunggu berhampiran tempat masuk. Ita terus mengajak CikYong dan keluarga ke arah gate masuk.


“Ramai betul orang! Mungkin sebab bertembung cuti sekolah dengan cuti umum.”

Ujar Ita sambil mereka melintasi gate masuk ke taman tema. Anak-anak CikYong paling teruja melihat pelbagai permainan yang tersedia, kolam permainan, luncur air, pantai buatan, pelbagai haiwan di zoo dan banyak lagi.


Suatu yang tidak CikYong jangkakan apabila ibu mertua CikYong ingin turut serta menaiki roller coaster. CikYong sendiri tidak berani untuk menaikinya. Pada mulanya, semua berasa sangsi untuk membawa ibu bersama menaikinya. Masing-masing berasa risau akan keselamatan dan keupayaan ibu. Tetapi, apabila melihatkan kesungguhan ibu untuk mencuba, akhirnya tiada siapa yang sanggup menghampakan hasrat ibu. Lebih mengagumkan, ibu dapat menaikinya dengan selamat tanpa apa-apa kesukaran. CikYong menyakini semangat ibu memang lebih kuat dari CikYong sendiri.


CikYong teringat akan nasihat yang pernah diberikan oleh seseorang kepada CikYong.

Kita perlu hormati orang yang lebih tua daripada kita, kerana mereka telah hidup lebih lama daripada kita. Pelbagai ujian dan dugaan kehidupan telah mereka dilalui. Pengalaman hidup mereka menjadikan mereka lebih matang dan mempunyai semangat lebih tinggi daripada kita.”

CikYong juga mendapat suatu lagi pengalaman menarik pada hari itu. Dalam perjalanan menuju ke tempat haiwan yang ingin dilawati, CikYong dan rombongannya melewati kawasan perkhemahan yang juga merupakan sebahagian daripada tarikan di taman teman tersebut. Ketika tiba di situ, waktu solat Zohor baharu sahaja masuk. Mereka berhenti sebentar di ruang arena yang terdapat di situ. Setelah agak kepenatan berjalan, mereka ingin berehat sebentar. 

CikYong terlihat Ita membawa sekeping plastik sampah yang baru dan telekung ke arah pokok-pokok berhampiran dengan khemah glamping. Rupa-rupanya Ita hendak mendirikan solat. Plastik sampah itu, rupanya Ita telah minta daripada petugas di arena. Bilik solat hanya terdapat berhampiran pintu masuk utama. Lokasinya agak jauh dari lokasi tapak perkhemahan tersebut.

"Di tempat Ita, di luar negara, memang begitulah kebiasaannya. Kami akan solat dimana-mana saja tempat yang sesuai. Ianya telah menjadi kebiasaan di sana, Tapi, di sini, mungkin orang akan merasa pelik."

Ujar suami Ita, seakan memahami apa yang CikYong sedang fikirkan.

"Kalau macam tu, CikYong pun nak solat di situ saja."

Itulah pengalaman pertama CikYong, bersolat di tempat terbuka. Terasa begitu dekat dengan alam semulajadi kejadian Allah. Terasa penghayatan yang lebih tenang. Di atas rumput dan tanah, dikelilingi pokok-pokok menghijau, di belakangi oleh bukit batu kapur yang sungguh indah dan menyegarkan mata memandang. CikYong panjatkan kesyukuran kehadrat Ilahi di atas pengalaman yang dikurniakan. Kejadian alam juga merupakan tanda-tanda kekuasaan Allah yang perlu diperhati dan diambil peringatan oleh hamba-hambaNya.

Setelah puas menerokai hampir kesemua tempat-tempat menarik di taman tema itu, maka tibalah masa untuk pulang. CikYong dapat merasakan disebalik wajah-wajah kepenatan, pastinya kepuasan dapat dirasai oleh setiap diri. Sebelum berpisah, gambar bersama diabadikan. Agar ianya dapat ditatapi di suatu hari nanti. Dan kenangan manis ini akan dapat dikenang dari semasa ke semasa.

Buat sahabat baik CikYong, CikYong berharap persahabatan yang telah terjalin hampir setengah abad itu akan terus diwarnai dan agar ianya sampai hingga ke sana nanti. Buat keluarga CikYong, semoga kenangan indah yang tercipta akan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Semua nikmat yang dikurniakan perlu disyukuri dan bersamanya ujian dan dugaan yang perlu dihadapi dengan keredhaan hati. Kerana semuanya didatangkan dari Ilahi, yang Maha Menguasai sekalian alam.



Friday, 23 December 2022

Bersara awal

"Kenapa nak berhenti kerja?"

"Nak balik kampung, jaga orang tua."

 

Itulah dialog yang kerapkali berulang ketika CikYong menyuarakan keinginan dan perancangan CikYong untuk bersara awal. Bersara dari makan gaji.

 

Memang begitulah hasrat CikYong yang begitu mendesak hati CikYong. Perasaan itu telah mula timbul semenjak beberapa tahun sebelum CikYong membulatkan hati untuk bersara. Ketika CikYong selalu tertekan dengan kehidupan sesak di ibukota. Setiap hari mengharungi kesesakan jalanraya dan pengangkutan awam diwaktu pergi dan balik berkerja. Ditambah dengan tekanan di tempat kerja. Sudah ada rasa penat menggalas beban kerja. Semangat bekerja semakin menurun. CikYong tidak tahu sebab punca sebenarnya. Cuma apa yang CikYong fikirkan ketika itu, CikYong perlu berubah angin.

 

Sebenar-benarnya, ketika itu, CikYong tidak tahu bagaimana hasrat CikYong itu akan menjadi kenyataan. Apa yang CikYong tahu lakukan hanyalah berdoa agar Allah tunjukkan jalannya. Begitulah lumrah manusia, apabila kebuntuan, barulah memohon kepada Pencipta. Tetapi apabila telah dikeluarkan kesusahan, diberikan kesenangan, manusia lupa semula kepada Pencipta. CikYong pohon agar dipermudahkan jalannya, jika ianya adalah terbaik buat CikYong dan keluarga.

 

Masa terus berlalu, CikYong jalani kehidupan seperti biasa disamping doa yang tidak pernah CikYong tinggalkan. Pada suatu ketika, desas desus mula kedengaran di tempat kerja. Terdengar ura-ura bahawa syarikat tempat CikYong berkerja ingin mengurangkan pekerja. Desas desus tersebut berlegaran diantara pekerja-perkerja buat beberapa bulan lamanya. Akhirnya, ia menjadi kenyataan. Beberapa orang kawan sekerja CikYong telah diberi surat tawaran. Mereka ditawarkan berhenti kerja dengan dibayar duit pampasan. Di sana sini, pekerja-pekerja sibuk bercerita perihal nilai pampasan yang ditawarkan, yang dikatakan begitu menarik sekali. Seorang demi seorang rakan kerja yang telah menerima tawaran, mula mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan yang lain.

 

Tidak lama setelah selesai proses pemberhentian tersebut, timbul pula desas desus yang baru. Kali ini, dikatakan pula, akan ada tawaran pemberhentian fasa kedua. Cuma, dengarnya, pampasan yang akan ditawarkan bagi fasa kedua itu nanti adalah kurang daripada yang sebelumnya.

 

CikYong mula berkira-kira. Jika nama CikYong termasuk di dalam fasa yang kedua itu, alangkah baiknya. Dapatlah CikYong penuhi impian CikYong selama ini. Otak CikYong ligat berfikir, apa yang patut CikYong lakukan. Setelah CikYong fikir semasak-masaknya, CikYong nekad. CikYong kongsikan hasrat CikYong dengan bos CikYong. Bos CikYong yang sememangnya baik dan prihatin terhadap pekerja-pekerja di bawah seliaannya, memberikan sokongan penuh terhadap hasrat CikYong. CikYong berasa lega. Laluan pertama dilepasi dengan mudah.

 

Setelah itu, CikYong teruskan usaha, CikYong pergi pula berjumpa dengan Ketua Jabatan. CikYong maklumkan perkara yang sama. Jawapan dari Ketua Jabatan agak kurang memberangsangkan. Beliau tidak setuju dengan permintaan CikYong. Menurut beliau, jikalau ada tawaran fasa kedua, Jabatan Sumber Manusia yang akan menentukan nama-nama yang dipilih. Ianya akan sama seperti apa yang berlaku dalam fasa pertama. Pekerja tidak boleh memohon agar nama mereka dipilih. CikYong akur sahaja. Sekurang-kurangnya CikYong telah berusaha di dalam ruang lingkup kemampuan CikYong. Selebihnya CikYong serahkan kepada yang Maha Perancang.

 

Di pagi itu, dada CikYong berdebar-debar sejak tiba di tempat kerja. Sehari sebelumnya, hal berkaitan fasa kedua hangat diperkatakan. Dikhabarkan pada hari itu, nama-nama yang termasuk di dalam fasa kedua akan dikeluarkan. Rata-ratanya, semua pekerja tertanya-tanya siapakah yang akan dipanggil oleh pegawai sumber manusia. Walaupun begitu, CikYong tetap meneruskan tugas harian seperti biasa, walaupun tidak dapat fokus sepenuhnya.

 

Telefon bimbit CikYong berbunyi. CikYong angkat panggilan. Kedengaran suara Pegawai Sumber Manusia meminta CikYong masuk ke pejabatnya. CikYong cuba tenangkan hati. Rasa berdebar semakin kuat. Otak CikYong mula tertanya-tanya. Betulkah seperti apa yang CikYong fikirkan.

 

CikYong cuba menahan langkah-langkah kaki CikYong yang menuju ke jabatan sumber manusia, agar ianya tidak berlari. Pintu bilik pegawai sumber manusia, diketuk. CikYong masuk sambil menyapa selamat pagi kepada pegawai yang sedang duduk di dalam. CikYong dipelawa duduk di kerusi berhadapan dengan meja pegawai. Degup jantung CikYong semakin kuat. Seolah-olah satu bilik boleh terdengar bunyi degupannya. CikYong cuba tenangkan hati.

 

Pegawai itu menyapa santai CikYong. Setiap kata-kata yang dituturkannya, CikYong dengar dengan teliti. Beliau meletakkan helaian kertas di atas meja. Kertas itu diletakkan menghala CikYong agar CikYong dapat membacanya. Ianya adalah surat tawaran! Dengan tertib, pegawai itu menerangkan satu persatu apa yang tertera di dalam surat tawaran tersebut.

CikYong menggangguk-angguk kecil tanda memahami apa yang disampaikan. CikYong kelihatan tenang sahaja. Tetapi sebenarnya, apa yang ada di dalam hati dan fikiran CikYong di ketika itu, adalah sebaliknya. Usai segala penjelasan yang perlu disampaikan, CikYong meminta izin memohon diri. CikYong melangkah keluar. Pintu bilik pegawai, CikYong tutup dengan perlahan. CikYong terus mengangkat tangan mengucap syukur pada yang Maha Perancang.

 

CikYong kembali ke meja kerja. CikYong duduk. Terdiam. CikYong masih lagi cuba memahami apa yang sedang berlaku. Perlahan-lahan minda CikYong mula memproses maklumat yang baru diterima. Kenyataan mula menyerlah sedikit demi sedikit. CikYong mula menyedari, doa CikYong yang sekian lama, telah dimakbulkan akhirnya. Apa yang CikYong inginkan, akhirnya menjadi kenyataan. Di satu ketika dahulu, CikYong tidak menemui jalannya, kini ia telah terbentang di hadapan CikYong. Sesuatu yang CikYong rasa sukar untuk menjadi kenyataan, rupa-rupanya perancangan Allah begitu teratur dan terperinci. Segala puji bagi Allah. Tiada sebaik perancang selain dari yang Maha Halus perancangannya.

 

Mengikut garis panduan yang telah ditetapkan, CikYong diberi tempoh sebulan sebelum secara rasminya ditamatkan perkhidmatan. Minggu yang pertama, CikYong mula sibuk menyelesaikan tugas-tugas yang sedia ada. CikYong juga perlu melaksanakan serah tugas kepada rakan sekerja yang perlu mengambil alih tugas CikYong. CikYong pastikan tiada ruang tugas yang tertinggal dan terlepas pandang.

 

Di hujung minggu kedua, CikYong bertemu dengan semua rakan sekerja, mengucapkan selamat tinggal. Telah sekian lama CikYong bersama-sama dengan rakan sekerja, pelbagai suka duka dikongsi bersama. CikYong hargai setiap jasa dan sokongan yang dicurahkan, tanpa mengira masa dan tempat. Pengalaman yang amat berharga yang akan CikYong bawa bersama bagi mengharungi cabang jalan kehidupan yang seterusnya.

 

Sebenarnya, terdapat dua lagi faktor yang amat kuat mendorong CikYong ingin mengubah hala kehidupan. Semenjak CikYong mengandung anak yang pertama lagi, CikYong mempunyai suatu impian yang sangat peribadi bagi CikYong. Mungkin disebabkan pemerhatian disekeliling CikYong. Rakan-rakan CikYong ramai yang telah berkeluarga dan mempunyai anak. CikYong perhatikan rakan-rakan yang berkerjaya ini, terpaksa membahagi masa diantara kerjaya dengan keluarga dan anak-anak.

 

Masa begitu terhad untuk menjaga dan mendidik anak-anak. Di hari-hari bekerja, kebiasaannya hanya dapat melihat anak tidur sahaja. Di awal-awal pagi, perlu keluar pergi bekerja, Ketika anak masih lagi tidur. Balik berkerja, tiba di rumah ketika lewat malam, anak pula telah pun tidur. Kekurangan masa berinteraksi dengan anak. Hanya ada hujung minggu, yang perlu digunakan sepenuhnya untuk bersama dengan anak-anak.

 

CikYong mempunyai azam untuk tidak melalui pengalaman yang sama. Jauh di sudut hati, CikYong ingin melihat anak-anak membesar di hadapan mata. CikYong tidak mahu terlepas peluang mendidik anak-anak. Dari langkah kaki pertamanya hingga dia berjaya berlari pantas dan melompat ke sana sini. Dari terdengar bunyi suara yang pertama keluar dari mulutnya, hingga riuh dengan kepetahan kata-katanya, mengutarakan soalan yang bertubi-tubi. Dari mula mencapai mainan hingga dapat membina robot dari kepingan-kepingan lego. Dari mula menghisap susu, sehingga menyuap sendiri nasi ke mulut, taburan nasi di lantai lebih banyak dari yang masuk ke mulut.

 

Banyak perkara yang CikYong tidak mahu terlepas. Terutamanya, tanggungjawab dalam mendidik anak-anak. Tidak dinafikan, ramai sahaja ibubapa hebat di luar sana yang dapat menggalas pelbagai tanggungjawab secara seimbang diantara kerjaya dan keluarga. Namun, CikYong sedar kemampuan diri. CikYong perlu fokus. Maka inilah jalan pilihan CikYong.

 

Faktor kedua yang tidak kurang pentingnya, adalah menjaga ayah CikYong. Semenjak ibu CikYong meninggal dunia beberapa tahun sebelumnya, tiada sesiapa yang boleh menemankan ayah CikYong di kampung. CikYong dan adik beradik mengajak ayahnya tinggal dengan anak-anak. Ayah CikYong ada mencuba, tetapi hanya dapat bertahan dalam seminggu dua sahaja. Ayahnya tetap merasa selesa tinggal di rumah sendiri. Tambahan lagi, oleh kerana usia ayah CikYong yang telah lanjut, perlu ada seseorang menemaninya tinggal di kampung.

 

Dengan persetujuan keluarga, CikYong teruskan niat untuk berhenti kerja dan pulang ke kampung. Selepas dua bulan CikYong berhenti, akhirnya CikYong dan keluarga berhijrah pulang ke kampung. Dengan niat suci untuk berbakti kepada orang tua. Tanpa CikYong mengetahui ujian dan dugaan yang bakal ditempuhi di masa mendatang. Namun, CikYong bersedia mengharunginya. Walaupun hala perjalanan yang diingini telah diberikan, tidak bermakna ianya akan dilalui tanpa ranjau dan duri. CikYong tetap teruskan perjuangan kehidupan sehingga ke akhirnya. Dengan izin Allah.

Wednesday, 21 December 2022

Ilmu II : Belajar

 "Carilah ilmu daripada buaian hingga ke liang lahat."

Ada orang yang menyandarkan kata-kata tersebut kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw, tapi sebenarnya ianya hanyalah kata mutiara indah daripada ahli hikmah.1

Walau bagaimanapun, maksud kata-kata tersebut ada kewajarannya.

Di pagi hari Khamis itu, seperti kebiasaan, CikYong akan menyediakan bekal makanan anak lebih awal. Begitu juga juadah makan tengahari. CikYong masak lebih awal dari hari-hari yang lain. Keadaan CikYong di dapur agak sedikit sibuk, kerana ingin mengejar masa.

CikYong menjeling jam di dinding.

"Oh! ada lima belas minit lagi" bisik hati CikYong.

Bersegera CikYong memasukkan spagethi olio yang telah siap ke dalam bekas bekal makanan. CikYong kemas serba sedikit alatan memasak dan bahan masakan yang telah digunakan.

"Yang lain-lain ni, kemas lepas kelas nantilah"

CikYong segera mencapai telefon bimbit CikYong. Ruang meja makan yang telah dilapangkan tadi bertukar menjadi ruang kelas atas talian CikYong. Helaian nota Bahasa Arab dan pen telah tersedia di atas meja makan. CikYong ambil botol kicap dan diletakkan di hadapan CikYong. Telefon disandarkan ke botol kicap. Paparan telefon dihalakan mengadap CikYong. 

Jam di telefon CikYong menunjukkan tepat pukul sepuluh setengah. CikYong buka aplikasi google meet. CikYong pastikan butang video dan audio di'off'kan, sebelum butang 'join' disentuh. CikYong mahu pastikan keadaan dapur yang tidak habis dikemas itu, tidak akan terpapar di dalam kelas atas talian itu nanti. Bukannya CikYong segan. Cuma mahu menghormati ustazah dan rakan-rakan sekelas. Dan juga tidak mahu menimbulkan rasa tidak selesa di antara CikYong dengan yang lain-lain di dalam kelas.

Jika boleh, mahu saja CikYong menukar permandangan latar belakang ke gambar ruang tamu mewah atau permandangan di tepi sungai. Tetapi, disebabkan kekangan aplikasi google meet itu sendiri. Ciri tersebut tidak disertakan di dalam google meet versi telefon bimbit. Ianya hanya terdapat pada google meet untuk versi komputer. Jadinya, untuk tidak memeningkan kepala, CikYong tutup saja fungsi kamera telefon.

Beberapa saat kemudian, kedengaran suara ustazah di corong suara telefon bimbit CikYong. Begitu juga suara rakan-rakan yang lain. Kelihatan wajah berseri ustazah terpapar di skrin telefon. Bagi rakan yang membuka kamera, kelihatan juga wajah mereka. Ada juga seperti CikYong, yang menutup kamera. CikYong menyentuh ikon mikrofon untuk membolehkan suara CikYong didengari.

“Assalamualaikum ustazah, assalamualaikum akhwati”

CikYong menyapa semua yang hadir. 

Usai bertanya khabar dan berkongsi serba sedikit perkembangan terkini, ustazah pun memulakan pembelajaran. Ustazah mulakan dengan meminta seorang demi seorang memberikan jawapan kepada kerja rumah dari kelas minggu lepas. Mujurlah CikYong sempat menjenguk kerja rumah pada malam semalam. Jika tidak, pasti CikYong akan terkial-kial menjawab. Sekali-sekala ustazah akan membetulkan jawapan pelajar-pelajar yang salah atau kurang tepat. 

Ustazah amat memahami pelajar-pelajarnya. Pelajar-pelajar yang sudah tidak berapa muda lagi. Sebahagiannya merupakan pesara. Ada juga suri rumah seperti CikYong. Walaupun begitu, semangat menuntut ilmu mereka teramatlah tinggi. Itulah yang ingin CikYong ikut rapat-rapat. Dengan harapan, semangat mereka melimpah juga kepada CikYong.

Pernah CikYong terbaca dalam satu aktikel. Salah satu cara untuk mengelakkan penyakit dementia ketika usia tua, adalah dengan belajar sesuatu yang baru. Belajar bahasa adalah salah satu cara terbaik untuk menjadikan otak kekal aktif berfikir.

Belajar sehingga ke liang lahad. Itulah yang CikYong sedang usahakan. Kelas Bahasa Arab ini menjadi madah perjuangan CikYong dalam memenuhi impian tersebut. Memang mencabar minda CikYong untuk memahami hukum-hakam di dalam bahasa arab apatah lagi mengingati perkataan dan maksudnya. Ditambah pula dengan otak yang telah berfungsi lebih dari separuh abad. 

Tiba-tiba CikYong terdengar nama CikYong disebut oleh ustazah. Rupa-rupanya, tiba giliran CikYong pula untuk membaca dialog di dalam nota. CikYong sentuh ikon mikrofon. CikYong menutur sepatah demi sepatah perkataan yand tertera di dalam helaian nota. Begitu berhati-hati CikYong agar dapat membacanya dengan sebutan yang betul.

Dalam sedar tidak sedar, sudah hampir dua tahun CikYong mengikuti kelas bahasa arab. Minat CikYong terhadap bahasa arab bertambah dari hari ke hari. CikYong mula memahami akan betapa hebatnya bahasa arab. Memang sepatutnyalah bahasa arab menjadi bahasa Al Quran. 

Bahasa arab umpama suatu kod rahsia. Hukum-hakam dan peraturan di dalam bahasa arab adalah umpama kunci-kunci kepada kod rahsia. Apabila kunci yang betul digunakan, maka satu per satu kod rahsia akan terungkai. Pemahaman akan maksud sebenar kod rahsia itu merupakan satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan.

Setelah sejam berlalu, kelas pun telah hampir selesai. CikYong ucapkan terima kasih kepada ustazah. Kelas ditangguh sementara sehingga ke minggu hadapan. CikYong memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi. Pada hari itu, CikYong masih lagi diberi peluang untuk mempelajari sesuatu yang bermanfaat.


1 https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/1508-irsyad-al-hadith-siri-ke-23-status-hadis-menuntut-ilmu-dari-buaian-ke-liang-lahad

Monday, 19 December 2022

Hobi II: Setem

 Di ketika zaman kanak-kanak CikYong, hobi ini merupakan hobi yang trending. Apabila ditanya kepada mana-mana kanak-kanak pada zaman itu, akan apakah hobi mereka, hampir semua  akan memberi jawapan yang klise ini. Mengumpul setem. CikYong juga tidak terkecuali. Setiap surat yang diterima, pasti setemnya akan dikoyakkan berhati-hati dari sampul surat. Setem-setem akan disusun rapi di dalam album setem. Dengan bangganya CikYong menayangkan album setemnya kepada kawan-kawan. Kawan-kawan pun teruja menyelak satu persatu helaian album. Mengagumi keunikan setiap setem. Bertukar-tukar setem juga kerap dilakukan bagi mewarnai koleksi masing-masing.

CikYong tidak pasti kanak-kanak zaman sekarang memahami keseronokan mengumpul setem. Setem begitu asing bagi mereka. Mungkin ada yang tidak pernah pun melihat setem. Tidak tahu bagaimana rupanya setem. Dan ada juga yang musykil akan apakah kegunaan setem di zaman internet tanpa sempadan ini. Begitulah peredaran zaman. Media perhubungan telah berubah. 

Namun, pengumpul-pengumpul tegar masih ada lagi di zaman ini. Di sekolah masih ada lagi kelab setem. Walaupun mungkin bukan menjadi pilihan utama murid untuk menyertainya. Tetapi ia masih lagi wujud. Tidak terkubur lagi. CikYong juga telah memulakan semula hobi ini. Cumanya, kali ini CikYong hanya mengumpul setem-setem keluaran khas. 

Sepanjang tahun Pos Malaysia akan mengeluarkan setem khas berdasarkan kalendar yang telah ditetapkan. Apa yang CikYong akan lakukan ialah memastikan CikYong tidak terlepas tarikh keluaran khas tersebut. Pada hari tersebut, CikYong akan ke pejabat pos terdekat. Seboleh-bolehnya di awal pagi. Ini kerana, adakalanya jika setem khas itu bersempena sesuatu peristiwa yang penting, ramai yang ingin membelinya. Stok terhad, tidak mencukupi. Ada juga setem yang tidak diedarkan ke bandar kecil, hanya di edarkan di pejabat pos besar di bandar-bandar utama sahaja. Maka terpaksa pula CikYong meminta bantuan kenalan yang tinggal di bandar, untuk membelinya.

Aktiviti berulang ke pejabat pos ini berlarutan sehingga beberapa tahun. Pegawai pos di kaunter pun sudah mengenali CikYong. Maklumlah, setiap tarikh keluaran, akan terpacul CikYong di hadapan kaunter yang masih belum lagi dibuka. Begitu awalnya CikYong tiba, bersemangat sungguh. Tapi sekarang, CikYong sudah tidak lagi melayani hobi ini. Disebabkan sedikit kekangan ekonomi.

Namun, koleksi yang terkumpul, tetap CikYong simpan dengan rapi. Bukan mengharap pada suatu hari nanti, mungkin ianya akan menjadi barang berharga. Ianya hanya merupakan koleksi peribadi CikYong. Mungkin suatu hari nanti, CikYong akan berikan juga kepada orang lain. Minat CikYong untuk meneliti dan menghargai setiap gambar dan lukisan yang diabadikan pada setiap keping setem. Ianya umpama mini lukisan bagi CikYong. Untuk mempunyai lukisan-lukisan besar dan mahal, di luar kemampuan CikYong. Cukuplah hasil seni mini ini menjadi halwa mata CikYong. Bagi CikYong, nilai seninya amat tinggi walaupun hanya sekadar di atas sekeping kertas empatsegi dua sentimeter panjang satu sentimeter lebar.

Terkadang nikmat-nikmat Allah yang besar yang sibuk diburui. Terlepas pandang nikmat-nikmat yang kecil untuk dihargai. Semoga setiap insan dapat menghargai apa jua nikmat yang dikurniakan, tanpa melihat besar atau kecilnya ia. Pasti setiap nikmat itu membawa kebahagiaan pada setiap jiwa.

p.s.:

Simpan di sini…





























 

Sunday, 18 December 2022

Anak II : Nasihat

 "Eeei gerammya, dengan perangai Ali ni. Kita tegur, dibalasnya balik!" 

Tijah (bukan nama sebenar), kawan baik CikYong mengadu. 

CikYong bersedia menadah telinga. Menjadi pendengar yang prihatin. Ini bukan kali pertama. Sudah hampir rutin. CikYong membiarkan Tijah meluahkan rasa tidak puas hatinya. Rasa geram Tijah terhadap anaknya, Ali. 

"Dah besar panjang ni, dah susah nak mendengar kata"

Bebelan Tijah bersambung lagi.

Ali telah menjangkau usia remaja. Sikapnya mudah marah, tidak membantu keadaan. Hubungannya dengan ibunya kurang mesra. Banyak tegang dari tenang.

"Mungkin kena berlembut dengan dia"

CikYong cuba menjentik fikiran Tijah. Setelah dilihatnya Tijah sedikit reda.

Tiada respon dari Tijah. CikYong ambil kesempatan untuk menjelaskannya.

"Dengan anak-anak ni, kita kena tunjuk sayang kita pada dia. Tunjuk yang kita ni ambil berat tentang dia.”

“Tak kan la dia tak tau, kita mak ayah mestilah sayang anak-anak.”

Tijah memotong kata CikYong.

CikYong diam seketika. Bukan kerana tiada idea untuk meneruskan kata-kata. Tetapi CikYong sedang memikir samada untuk meneruskan perbincangan itu atau pun menangguhkannya ke suatu masa yang lain. Melihatkan emosi Tijah yang agak terganggu, pada perkiraan CikYong, lebih baik ditangguh dulu nasihat yang ingin disampaikan. Pada keadaan begini, lebih baik CikYong memainkan peranan sebagai pendengar prihatin sahaja.

Adakalanya, apabila seseorang mengadu masalah atau rasa tidak puas hatinya, dia hanya ingin meluahkan apa yang terbuku di hati. Dia menginginkan seseorang yang boleh mendengar tanpa membuat sebarang pemerhatian. Jauh dari menerima sebarang nasihat yang tidak dipinta. 

Kadang-kala orang terlupa akan wujudnya situasi sebegini. Begitu galak ingin membuat kesimpulan tanpa menunggu semua fakta dibentangkan. Sibuk memintas kata-kata orang, dan seterusnya menyumbat nasihat demi nasihat ke corong telinga pengadu.

“Tapi, Tijah tengok, elok aje Ali bila bercakap dengan CikYong, tak pernah pun meninggi suara.”

Tijah bersuara semula setelah merasakan dirinya sedikit tenang.

“Tijah nak tau ke, kenapa?”

CikYong cuba memancing minat Tijah untuk melanjutkan perbincangan berkaitan sikap anaknya.

“Iye… kenapa ye?”

“Sebenarnya CikYong pun kurang setuju dengan cara Ali bercakap dengan orangtua.”

CikYong memulakan bicara. Sepatah demi sepatah CikYong tuturkan perlahan-lahan. Sambil mata CikYong memerhati riak muka Tijah. CikYong ingin memastikan Tijah berminat untuk mendengar. Dan seterusnya sedia mengambil intipati apa yang akan diperkatakan oleh CikYong.

“Cumanya, CikYong belum pernah lagi menegur sikap

Ali”

Kelihatan riak muka Tijah sedikit berkerut.

“Cuba bayangkan kalau Tijah di tempat Ali. Tiap-tiap hari asyik kena tegur, kena marah. Agak-agak mood Tijah masa tu, macam mana?”

CikYong melontar soalan yang tidak mengharapkan jawapan. Hanya mahu, ia dapat mengerjah ke dalam fikiran. Memikirkan kesan yang timbul hasil dari tindakan.

“Biasanya, CikYong hanya menyapa Ali, bertanyakan perihal sekolah, menyantuni dia di meja makan, masakkan makanan yang dipintanya.”

“Sekali-sekala CikYong puji Ali, bila dia ada buat sesuatu yang baik. Walaupun perkara yang dibuatnya mungkin nampak kecil jer.”

“Apa yang CikYong ni ialah untuk mengambil hati dia. ‘Beli jiwa’ bak kata orang-orang sekarang. Ianya umpama CikYong tengah menabung syiling-syiling kepercayaan, kasih sayang dan keperihatinan.”

Tijah masih lagi tekun mendengar.

“Tabung ini ialah deposit perhubungan kita dengan dia.”

Tanpa Tijah disedari, CikYong mula membawa masuk diri Tijah ke dalam senario perbincangan.

“Bila deposit dah ada. Kita tambah dari hari ke hari sehingga penuh. Bila ada ketika, kita hendak menegur dia, ianya akan lebih mudah. InsyaAllah, dia pun akan mudah menerima teguran kita. Disebabkan tabung kepercayaannya yang penuh terhadap kita.”

Kelihatan Tijah menggangguk-angguk kecil. Memahami apa yang didengari.

“Tapi ingat, ianya akan mengambil masa yang panjang. Perlukan kesabaran. Ingatkan diri selalu, anak-anak adalah tanggungjawab yang akan ditanya di sana nanti.”

“Dan satu lagi yang amat penting, berdoalah semoga Allah kurniakan hidayah kepada kita dalam mendidik anak-anak. Dan doakan juga buat anak-anak kita agar dikurniakan hidayah untuk mudah menerima tunjuk ajar. Agar anak-anak kita menjadi insan yang diredhai Allah.”

CikYong akhiri perbualannya. Dengan harapan, agar Tijah mendapat serba sedikit buah fikiran yang boleh dimanfaatkan.

Saturday, 17 December 2022

Hobi I: Berkebun

 CikYong memang gemar mencuba sesuatu yang baru. Terkadang, jika kena pada gayanya, perkara tersebut CikYong jadikan hobi.

Ketika di sekolah dahulu, inilah yang biasa ditanya. 

"Apa hobi awak?"

Dan juga terdapat dicelah-celah soalan yang perlu dijawab apabila mengisi borang maklumat diri.

Hobi: ______________

Sesuatu yang menarik juga bila CikYong cuba senaraikan hobi-hobi yang pernah CikYong lakukan. Ada yang bersifat sementara ada juga yang bersifat istiqamah hingga ke hari ini.

Berkebun

Berkebun atau dalam bahasa orang putih gardening. Selepas CikYong berhijrah ke kampung, dapatlah CikYong menjadikan bertanam-tanaman di halaman rumah sebagai hobi. Walaupun ruang tanahnya hanya sejengkal kera sahaja (Ikut pengiraan keluasan, tidak sampai pun sekangkang kera). Itu sudah cukup membuatkan CikYong sibuk sehingga rumput lebih banyak daripada pokok.

Sekali sekala melihat halaman rumah orang lain, teringin juga CikYong menirunya. Niatnya ada, cuma perlaksanaanya tidak begitu kesampaian. Pokok-pokok bunga tetap ada. Cuma lebih daun dari bunganya. Kemana pergi bunga-bunganya? Seakan-akan segan untuk menyerlahkan diri. Maklumlah ianya tidak dibajai selalu. Mungkin merajuklah tu.. Orang kata, kita kena belai dan bercakap-cakap dengan pokok-pokok kita. Mungkin ada benarnya. Namun, biarlah orang berkata, tetapi untuk melakukannya, ia memerlukan displin masa yang kental. Begitulah, pada pandangan CikYong.

Hendak tahu rajin atau tidaknya tuan rumah, lihatlah pokok-pokok bunga di halamannya. Kalau cantik tersusun pokok-pokoknya, rimbun bunga-bungaannya, maka tinggilah tahap kerajinan tuan rumah. Dan sebaliknya, jika pada pasu pokok bunga, kena selak rumput baru nampak pokok bunganya, maka faham-fahamlah akan tahap kerajinannya.

Di ketika semangat bercucuk tanam berkobar-kobar, ada juga CikYong mencuba tanaman yang baru. CikYong beli anak pokok bunga dari nurseri dan pasar tani. Pernah CikYong beli anak pokok bunga kesidang. CikYong dapat tahu, bunganya adalah antara yang terwangi. Dari hari ke minggu, minggu ke bulan, perkembangan pokok kesidang nampak memberangsangkan. Suatu hari, perkara yang tidak diduga terjadi. CikYong ada mengupah orang untuk memesin rumput di sekitar halaman rumah. Telah ditakdirkan, orang memesin itu mungkin keliru samada pokok itu rumput ataupun bukan. Maka begitulah pengakhirannya sepohon pokok kesidang. Hanya tinggal tunggul kecilnya sahaja. Innalilillahi wainna ilaihi rojiun...

Pernah juga CikYong membeli benih di media atas talian. Bersemangat sungguh CikYong di ketika itu. CikYong ingin menanam pokok teratai di parit kecil. Parit itu terletak di halaman rumah, di antara pokok rambutan dengan jalanraya. Anak benih teratai di rendam berhari-hari. Apabila telah cukup umurnya CikYong pindahkan anak pokok teratai ke dalam parit. CikYong ikuti perkembangan anak pokok dari hari ke hari. Seronok CikYong melihat daun-daun teratai semakin melebar. 

Ada juga cabaran kecil mendatang. Oleh kerana kedudukan parit di tepi jalan, maka menjadi kebiasaan kanak-kanak datang mencari ikan di situ. Pernah anak pokok teratai termasuk ke dalam alat pengaut. Malangnya ia tidak dimasukkan semula ke dalam parit. Ia hanya dibiarkan terdampar di tepi parit. 

Cabaran terbesar tiba apabila suatu hari, jengkaut datang untuk mengorek parit sepanjang tepi jalanraya. Maka habis semua isi perut parit itu di korek dan di tambak ke tepi parit. Maka begitulah pengakhirannya pokok teratai CikYong. Sebenarnya, pernah juga suami CikYong mengingatkan CikYong sebelum itu. Dari semasa ke semasa, akan ada jengkaut yang akan mengorek parit tersebut. Bertujuan untuk menjaga pengaliran parit. CikYong faham, cuma ketika itu CikYong mengharap agar sempat juga pokok teratai berbunga, walaupun untuk sekali. Namun tiada rezeki CikYong rupanya.

Semangat bercucuk tanam CikYong diteruskan lagi. Menggunakan anak benih yang telah dibeli dari atas talian,  CikYong cuba pula menanam pokok jagung, bendi dan bunga matahari. CikYong tidak pasti dimana silapnya. Anak benih bercambah dengan baik. Dari anak pokok, ia membesar sedikit demi sedikit. Dari sehari ke sehari, CikYong mula menyedari sesuatu. Anak pokok membesar, tetapi pada kadar yang begitu perlahan. Rupa-rupanya pokok jagung, bendi dan bunga matahari CikYong bantut. Pokok bendi tetap berbunga dan berbuah, tetapi buahnya keras. Pokok jagung berbuah, tetapi buahnya terlampau kecil. Batang pokok bunga matahari tumbuh membengkok, bunga tiada. CikYong boleh simpulkan begini sahaja. Jika di dalam FB, ada group "Masak apa tak jadi hari ini", maka CikYong ingin mencadangkan, patut juga ada FB group "Tanam apa tak jadi kali ini".

Ya, walaupun pelbagai cabaran yang dilalui, CikYong menganggapnya sebahagian dari pengalaman. Mungkin pengalamannya tidak seberapa, tetapi pasti sesuatu boleh dipelajari. Kesungguhan tanpa ilmu tidak memadai. Ilmu tanpa kesungguhan tidak membawa kemana-mana.


p.s.:

Letak disini catatan projek teratai


Projek teratai I


Day 1 - rendam 12 biji bijibenih

Day 2 - so far, nothing happened 

Day 3 - tukar air  dan pucuk baru nk keluar

Day 4 - pucuk dh panjang, sebiji mcm x ok.




Day 5 - tukar air, sebiji lg x ok. Tinggal 10biji. Pucuk kedua dh mula tumbuh

Day 6 - pucuk dh semakin panjang, akar blm lg kelihatan

Day 7 - tukar air, pucuk dh semakin panjang, akar dh mula tumbuh

Day 8 - daun pertama dh mula nk kembang, akar semakin panjang


Day 9 - Dah mula membesar, perlu berhijrah, pindah ke bekas lebih besar bersama dengan tanah lumpur. Semoga sesuai di persekitaran baru

Day 10 - daun pertama dah mula membesar, daun ke2 belum lagi mengembang, akar semakin panjang.

Day 11 - tukar air. Akhirnya, dua anak pokok dah dihijrahkan ke parit. Mudah2an selamat ditempat baru dan cubalah sesuaikan diri di tempat baru. InsyaAllah 

Day 12 - so far so good kat tempat baru

Day 13 - still survive di parit, dah ada 3 helai daun. Begitu juga yg masih di dlm bekas, menunggu utk berhijrah.

Day 14 - tukar air bekas. Daun kat dlm bekas dh bertambah. Dlm parit, masih sama, x pasti blh survive ke tak.

Day 15 - dlm bekas, daun semakin meriah. Dlm parit, tiada perubahan

Day 16 - pokok dlm bekas, menunggu masa utk dipindahkan, daun2 padat. Dlm parit, satu pokok dah bertambah daun ke-4. Satu pokok lg, masih survive.

Day 17 - perancangan nk pindahkan anak pokok ke parit, tp x jadi. Setakat hari ini, beginilah keadaan di kedua2 habitat





Day 18 - akhirnya tibalah masa yg ditunggu2. 8 anak pokok telah dihijrahkan ke habitat sebenar. Semoga tumbuh dan membesar dengan jayanya, insyaAllah. Semoga berbahagia di tempat baru.

Day 19 - nampak ok semua cuma, bila dikira2 semuanya, ade 9 anak pokok jer… mana lg satu?🤔

Day 20 - ade 10total, bila tengok betul2, masih ade 10

Day 21 - hujan lebat, pokok macam ade yg terkesan, daun semakin kurang 🙁

Day 22 - daun semakin kurang, dh ade yg mati daunnya

Day 23 - x pasti anak pokok boleh survive ke tak, nampak mcm x memberansangkan perkembangan pokok

Day 24 - tiada perkembangan baru

Day 25 - yg survive, ade 2 pokok tumbuh daun baru. Sus bila ade jenkaut korek parit. Alhamdulillah xkena pokok

Day 26 - masih sama jer

Day 27 - x sempat nk jengok

Day 28 - ade yg dh semakin lebar daunnya, ade yg semakin kurang daunnya.

Day 29 - kisah sedih, ptg semlm ade orang kaut parit utk mencari ikan kut, jadinye, dia terkaut sekali anak pokok teratai (yg paling sihat lak tu), lps tu dia buang kat tepi parit. 😱. Maka begitulah berakhirnya kisah teratai… yg tinggal ade 2-3 anak pokok x brape sihat… 

Day 30 - the remainings still survive 💪🌱





Thursday, 15 December 2022

Ilmu I : Mengajar

 Anak-anak telah pergi ke sekolah. CikYong ada sedikit waktu terluang sebelum masuk semula ke dapur. Bagi menyediakan makan tengahari. Waktu senggang yang singkat ini, CikYong cuba mengisinya sebaik mungkin. 

Penutup komputer riba dikuakkan menegak. Bebutang “Power” di papan kekunci ditekan. CikYong menunggu sebentar sehingga komputer memproses program pemula selesai. Tangan CikYong memegang tetikus di sebelah komputer riba. Setelah beberapa kali butang tetikus ditekan dan digerakkan, aplikasi Powerpoint terpapar di skrin. 

Mata CikYong terus tertumpu di skrin paparan. Jari jemari CikYong mula menaip sesuatu di papan kekunci. Sekali sekala CikYong berhenti, memikirkan sesuatu. Kemudian, disambung semula menaip. Diselang seli dengan menggerakkan tetikus. Begitu fokus CikYong menyiapkan nota untuk kelasnya malam nanti.

Baru sebulan CikYong memulakan kelas bahasa AlQuran (BAQ) Setakat hari ini, CikYong hanya mempunyai tiga orang pelajar sahaja. Dua pelajar di dalam satu kelas bersemuka. Pelajar CikYong tidak lain tak bukan, dua orang anak teruna CikYong sendiri. Sementara seorang lagi pelajar, adalah kawan lama CikYong. Oleh kerana kawan CikYong tinggal jauh di bandar K, maka kelasnya hanya secara maya.

Ilmu yang ditimba perlu disampaikan kepada orang lain. Begitulah pesanan dari ustaz bahasa AlQuran CikYong. Itulah juga yang menjadi pencetus ke atas usaha CikYong ini. Walaupun ilmu yang dapat digarap, hanya sekelumit. CikYong akan usahakan juga untuk menyampaikannya. Asalkan ilmu itu jelas benar dan tidak menyesatkan.

Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama CikYong mengajar. Sebelum ini, CikYong pernah juga mengajar rakan-rakan CikYong. Ketika itu, kelab rekreasi tempat kerja CikYong telah mengajurkan kelas berenang. CikYong ambil kesempatan untuk menyertainya. Seusai lengkap sepuluh kelas dihadiri, alhmadulillah, CikYong sudah boleh berenang. 

CikYong mula menjadikan berenang sebagai aktiviti riadah mingguan. CikYong telah menemui dua kolam renang yang bersesuaian. Yang menepati kriteria penting. Kolam tersebut ada menyediakan sesi khas buat wanita.  Satu di bandar SA, tidak jauh dari tempat kerja CikYong. Dan satu lagi yang berdekatan dengan tempat tinggal CikYong.

 Cumanya, untuk beriadah bersorangan, kurang menarik. CikYong mula mengajak rakan-rakan untuk turut serta. Kelihatan rakan-rakan begitu teruja. Malangnya, terdapat halangan besar. Rakan-rakan CikYong tidak tahu berenang. Bagi memujuk mereka, maka CikYong menawarkan diri sebagai jurulatih tak bertauliah. Walaupun apa yang CikYong tahu hanya terlampau asas, tetapi CikYong yakin CikYong boleh kongsikannya dengan sebaik mungkin.

Dari pengalaman ketika menghadiri kelas, bagi CikYong tekniknya tidaklah sesusah mana. CikYong tekad untuk mengajar rakan-rakan CikYong. CikYong suntik semangat yang berkobar-kobar. Dari kelas pertama, kedua, ketiga dan seterusnya… akhirnya lengkaplah pembelajaran. Rakan-rakan begitu teruja di atas pencapaian masing-masing. Aktiviti renang mingguan menjadi rutin.

Lumrah kehidupan, ada pasang surutnya. Masa berlalu, seorang demi seorang rakan CikYong mula mengundurkan diri. Masing-masing mempunyai sebab-sebab tersendiri. Kekangan yang mendatang. CikYong terima dengan hati terbuka. Tetapi CikYong tidak berhenti begitu sahaja. CikYong cuba pula mengajak rakan-rakan yang lain. CikYong adakan lagi kelas renang tak rasmi CikYong. Keadaan begini berulang beberapa kali. Sehingga mengajar rakan-rakan berenang seperti telah sebati dengan diri CikYong.

Pernah juga CikYong ditawarkan untuk mengikuti kelas menjadi pengajar berenang. Mungkin disebabkan kekerapan CikYong mengajar rakan-rakan, maka pada suatu hari, staf kolam renang bertanyakan kepada CikYong. Samada CikYong berminat untuk mengikut kelas untuk menjadi pengajar berenang. Terkejut juga CikYong ketika itu. Macam menarik juga. Tetapi setelah dipertimbangkan, CikYong menolak pelawaan itu. Diatas sebab-sebab yang tertentu.

Dengan semangat yang sama, CikYong sematkan dalam diri, agar terus istiqamah menyampaikan ilmu BAQ ini. Menyampaikan apa yang ada. Walaupun hanya sepatah perkataan. Selagi diizinkan. 

CikYong juga telah mula memikir-mikir. CikYong ingin mengajak lebih ramai rakan-rakan dan saudara mara untuk turut serta dalam kelas BAQ ini. Mungkin CikYong boleh mula bertanya-tanya pada kenalan yang ada kelapangan masa. InsyaAllah, semoga dipermudahkan.

Pada masa yang sama, CikYong juga sedar akan pentingnya keberkatan ilmu. Walaupun hanya seorang pelajar sahaja yang CikYong ada, jika ilmu yang disampaikan dapat membawa kebaikan, itu sudah cukup buat CikYong.

Harapan CikYong semoga nanti akan tergolong dalam sebaik-baik umat. Amin..

“ Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”. [Riwayat al-Bukhari (5027)]

Monday, 12 December 2022

Menjaga ibubapa I : Abah Keluar rumah

 "Dua minggu lagi, genaplah dua tahun abah meninggal.."

CikYong memulakan bicara. Sambil melabuhkan punggung di kerusi. Tangannya mencapai cawan di atas meja makan. Air teh panas dihirup perlahan-lahan Segar rasanya. Baru sekarang, CikYong dapat berehat sebentar. Setelah berpagi-pagian menyiapkan tempahan kuih.

"Oh! tak sedar, dah dua tahun ye.."

Balas suami CikYong. Suami CikYong duduk di hadapan Cik Yong. Menemani CikYong bersarapan.  Dibukanya bungkusan nasi lemak. Pagi itu, hanya ada sarapan yang dibeli saja. Tidak sempat CikYong menyediakan sarapan.

"Ha ah.. Dapat jugak kita jaga abah. Dalam tujuh tahun tu, macam-macam yang kita dah lalui"

"Pernah kan, sekali tu, abah merajuk dengan kita. Abah keluar rumah. Abah bawak kereta. Abah kata abah nak pergi ke rumah adik abah. Nak tinggal dengan adik abah katanya."

Pada ketika itu, CikYong dan suami teramat-amat risau. Dalam keadaan abah, sudah mula lupa-lupa. Pastinya abah tidak ingat jalan ke sana. Rumah adik abah, pakcik Salleh bukanlah dekat. Hampir satu jam setengah perjalanan dengan kereta. Kawasan perumahaannya sesak. Pastinya, abah akan sesat nanti. Itu yang terlintas di pemikiran oleh CikYong.

CilYong cuba juga menelefon abah. Tidak berjawab. Tidak tahu keberadaan abah ketika itu. Masa terus berlalu. Satu jam. Dua jam. Tiada khabar berita. Setelah puas memikirkan apa yang perlu dibuat. Tiba-tiba suami CikYong mendapat satu idea.

"Cuba telefon abang long, mintak abang long cuba telefon abah"

CikYong pun segera menelefon abang long CikYong. Dia tinggal di ibukota. CikYong terangkan kepada abang long, akan perihal kejadian. Abang long yang sentiasa memahami, sedia membantu. Abang long ambil alih untuk tindakan seterusnya. Lega sedikit perasaan CikYong. Walaupun masalah belum lagi selesai. 

Alhamdulliah. Terbuka hati abah untuk menjawab panggilan abang long. Abah telah kepenatan memandu, Abah berhenti di tepi jalan. Destinasi masih jauh lagi. Abah terangkan serba sedikit tentang lokasi abah. Tanpa berlengah, abang long pun segera bergerak dari ibukota. Untuk menuruti abah. Berdasarkan panduan ringkas yang diberikan, akhirnya abang long berjaya menemui abah. Ketika itu haripun  sudah lewat petang.

Malam baru abang long dan abah tiba di rumah. Malam itu, CikYong dan suami hanya berdiam diri. Tidak berani hendak menegur abah. Takut abah masih marah lagi.

"Sebab apa ye abah merajuk masa tu?"

Soalan Suami CikYong, memintas lamunan CikYong.

"Hah... sebab apa ye?"

CikYong menjawab soalan dengan soalan. Tiada jawapan. CikYong dan suami terdiam. Masing-masing cuba mengimbau. Tapi tiada apa yang terlintas di pemikiran.

Ada masa, apa yang dilakukan mungkin mengguris hati orang lain, tanpa kita sedari. Mungkin pada empunya diri, ianya hanya sekadar perkara biasa. Tetapi tidak kepada orang yang dia berinteraksi.

 CikYong kini memahami sesuatu. Setiap perlakuan yang dilakukan. Setiap pertuturan yang dituturkan. Ianya perlu disaluti dengan keperihatinan. Terutama ketika menjaga orang tua. 

Apabila usia semakin meningkat, keupayaan fizikal pula semakin menurun. Perasaan akan mudah terusik. Hati akan boleh terguris. Ia sebenarnya, adalah lumrah kehidupan. Dalam ketentuan Ilahi, bagi sesiapa yang ditakdirkan mengharungi usia emas.



Psikologi mendidik anak2

Mendidik anak2 penuh dengan seribu harapan dan tidak terkecuali diiringi bersama seribu kerisauan. Rasa tenangnya sedikit, rasa kekecewaanny...