Monday, 5 December 2022

Tukang kuih

 Tangan CikYong ligat memutar spatula. Mengadun mentega dan gula di dalam mangkuk. Kemudian, telur ditambah. CikYong sambung memutar lagi. Sehingga sebati. Ketika yang sama, kamera telefon sedang merakam. Setiap gerak geri CikYong diabadikan ke dalam memori telefon. Anak teruna CikYong menggalas tugas jururakam. Itupun diatas permintaan CikYong.

Ia adalah projek baru CikYong.  Hasrat CikYong untuk membuat video masakan. Video ini akan CikYong muatnaik ke youtube. Bukan CikYong nak mencari nama. Bukan nak cari  duit melalui video ini. Bukan nak mencari populariti. CikYong tahu, CikYong kena betulkan niat. Betulkan  dari mula. Ilmu perlu disebarkan. Semoga ianya boleh dimanfaatkan oleh orang lain. Itulah juga yang CikYong temui dalam trend sekarang. Semua orang ingin berkongsi di dalam media sosial. Suatu yang positif, pada pendapat CikYong.

Ya betul. Resepi-resepi yang CikYong ada kini pun, memang CikYong ambil dari internet. CikYong tak pernah pergi mana-mana kelas memasak pun. Dulunya, dari internet CikYong ambil, sekarang ke internet, Cik Yong nak pulangkan.

CikYong tak mahu fikirkan samada ada yang akan menontonnya atau tidak. Itu bukan keutamaanya. Janji CikYong telah kongsikan. Selainnya, CikYong serahkan saja.

Selepas CikYong dah berhenti kerja makan gaji, mencari resepi di internet menjadi hobi CikYong. CikYong rajin mencuba resepi. Ada yang menjadi. Banyak juga yang kecundang. Terus ke tong sampah pun ada. Ahli keluarga menjadi pengkritik dan juri. Ada juga resepi yang CikYong gabungkan dari beberapa resepi. Ubahsuai pun ada. 

Suatu hari, timbul pula idea. Saja nak mencuba pasaran. Test market orang putih kata. CikYong letak kuih di kedai. Rupa-rupanya boleh diterima juga hasil airtangan CikYong ini. Dengan izin Allah, sudah pastinya. Begitulah perjalanannya. Sehingga kini, boleh dikatakan tukang kuih ni dah jadi profesion sepenuh masa CikYong. 

CikYong terima tempahan dari pelbagai latar belakang pelanggan. Ada masa tempahan biasa-biasa. Ada masa tempahan bertindan-tindan. Tak tidur malam pun biasa juga. Pernah juga terpaksa menolak tempahan. Adalah satu dua keadaan. Seboleh-bolehnya, CikYong tak mahu mengecewakan permintaan. Hajat orang, seboleh mungkin ingin CikYong penuhi. Tapi CikYong hanya boleh buat mana yang termampu. Semoga usaha kecil CikYong ini, dapat membantu memberatkan timbangan.

Walaupun ada yang memuji hasil airtangan CikYong, CikYong perlu menjaga hati. CikYong latih diri untuk mengucap Alhamdullillah. Semuanya dari Allah. Kepada yang memuji, CikYong hanya ucapkan,

"Alhandulillah...  kena selera dia la tu"

Memang betul pun. Lain orang lain lidahnya. Ada yang suka lebih manis, Ada yang suka kurang manis. Ada yand suka rasa sedang-sedang saje. Ada yang suka garing. Ada yang suka lebih lemak. Memang Allah jadikan manusia ini pelbagai.

Ada juga rakan dan keluarga yang mencadangkan CikYong war-warkan di medsoc. Perihal kuih-kuih CikYong. Cumanya... CikYong mempunyai keutamaan yang lain. CikYong bukan ingin menjadi kaya wang dan harta. Kerana itu, pelanggan CikYong kebanyakkannya datang dari promosi mulut ke mulut. Bak kata anak CikYong, close community. Itupun sudah cukup untuk CikYong bersyukur. Ramai sahaja yang boleh memasak. Tetapi mungkin mereka tiada kelapangan masa untuk memasak. Sibuk dengan kommitment kerjaya. CikYong gembira dapat meringankan beban mereka. CikYong rasa seronok dapat membantu dengan cara begini.

Semoga usaha CikYong melahirkan video masakan ini akan menjadi kenyataan. Dengan bantuan dari anak-anak CikYong dari segi teknikalnya. InsyaAllah... semoga dipermudahkan oleh Allah..

p.s: Menulis blog ni pun merupakan sebhgn dari projek baru ni. CikYong namakan projek ini Projek Jariah..




No comments:

Post a Comment

36 hari menuju kemabruran haji

Assalamualaikum warahmatullahiwabakotuh... Semakin mendekati ke kemabruran haji.. اللهم  kurniakanlah haji mabrur buat semua duyuffurahman 1...