"Eeei gerammya, dengan perangai Ali ni. Kita tegur, dibalasnya balik!"
Tijah (bukan nama sebenar), kawan baik CikYong mengadu.
CikYong bersedia menadah telinga. Menjadi pendengar yang prihatin. Ini bukan kali pertama. Sudah hampir rutin. CikYong membiarkan Tijah meluahkan rasa tidak puas hatinya. Rasa geram Tijah terhadap anaknya, Ali.
"Dah besar panjang ni, dah susah nak mendengar kata"
Bebelan Tijah bersambung lagi.
Ali telah menjangkau usia remaja. Sikapnya mudah marah, tidak membantu keadaan. Hubungannya dengan ibunya kurang mesra. Banyak tegang dari tenang.
"Mungkin kena berlembut dengan dia"
CikYong cuba menjentik fikiran Tijah. Setelah dilihatnya Tijah sedikit reda.
Tiada respon dari Tijah. CikYong ambil kesempatan untuk menjelaskannya.
"Dengan anak-anak ni, kita kena tunjuk sayang kita pada dia. Tunjuk yang kita ni ambil berat tentang dia.”
“Tak kan la dia tak tau, kita mak ayah mestilah sayang anak-anak.”
Tijah memotong kata CikYong.
CikYong diam seketika. Bukan kerana tiada idea untuk meneruskan kata-kata. Tetapi CikYong sedang memikir samada untuk meneruskan perbincangan itu atau pun menangguhkannya ke suatu masa yang lain. Melihatkan emosi Tijah yang agak terganggu, pada perkiraan CikYong, lebih baik ditangguh dulu nasihat yang ingin disampaikan. Pada keadaan begini, lebih baik CikYong memainkan peranan sebagai pendengar prihatin sahaja.
Adakalanya, apabila seseorang mengadu masalah atau rasa tidak puas hatinya, dia hanya ingin meluahkan apa yang terbuku di hati. Dia menginginkan seseorang yang boleh mendengar tanpa membuat sebarang pemerhatian. Jauh dari menerima sebarang nasihat yang tidak dipinta.
Kadang-kala orang terlupa akan wujudnya situasi sebegini. Begitu galak ingin membuat kesimpulan tanpa menunggu semua fakta dibentangkan. Sibuk memintas kata-kata orang, dan seterusnya menyumbat nasihat demi nasihat ke corong telinga pengadu.
“Tapi, Tijah tengok, elok aje Ali bila bercakap dengan CikYong, tak pernah pun meninggi suara.”
Tijah bersuara semula setelah merasakan dirinya sedikit tenang.
“Tijah nak tau ke, kenapa?”
CikYong cuba memancing minat Tijah untuk melanjutkan perbincangan berkaitan sikap anaknya.
“Iye… kenapa ye?”
“Sebenarnya CikYong pun kurang setuju dengan cara Ali bercakap dengan orangtua.”
CikYong memulakan bicara. Sepatah demi sepatah CikYong tuturkan perlahan-lahan. Sambil mata CikYong memerhati riak muka Tijah. CikYong ingin memastikan Tijah berminat untuk mendengar. Dan seterusnya sedia mengambil intipati apa yang akan diperkatakan oleh CikYong.
“Cumanya, CikYong belum pernah lagi menegur sikap
Ali”
Kelihatan riak muka Tijah sedikit berkerut.
“Cuba bayangkan kalau Tijah di tempat Ali. Tiap-tiap hari asyik kena tegur, kena marah. Agak-agak mood Tijah masa tu, macam mana?”
CikYong melontar soalan yang tidak mengharapkan jawapan. Hanya mahu, ia dapat mengerjah ke dalam fikiran. Memikirkan kesan yang timbul hasil dari tindakan.
“Biasanya, CikYong hanya menyapa Ali, bertanyakan perihal sekolah, menyantuni dia di meja makan, masakkan makanan yang dipintanya.”
“Sekali-sekala CikYong puji Ali, bila dia ada buat sesuatu yang baik. Walaupun perkara yang dibuatnya mungkin nampak kecil jer.”
“Apa yang CikYong ni ialah untuk mengambil hati dia. ‘Beli jiwa’ bak kata orang-orang sekarang. Ianya umpama CikYong tengah menabung syiling-syiling kepercayaan, kasih sayang dan keperihatinan.”
Tijah masih lagi tekun mendengar.
“Tabung ini ialah deposit perhubungan kita dengan dia.”
Tanpa Tijah disedari, CikYong mula membawa masuk diri Tijah ke dalam senario perbincangan.
“Bila deposit dah ada. Kita tambah dari hari ke hari sehingga penuh. Bila ada ketika, kita hendak menegur dia, ianya akan lebih mudah. InsyaAllah, dia pun akan mudah menerima teguran kita. Disebabkan tabung kepercayaannya yang penuh terhadap kita.”
Kelihatan Tijah menggangguk-angguk kecil. Memahami apa yang didengari.
“Tapi ingat, ianya akan mengambil masa yang panjang. Perlukan kesabaran. Ingatkan diri selalu, anak-anak adalah tanggungjawab yang akan ditanya di sana nanti.”
“Dan satu lagi yang amat penting, berdoalah semoga Allah kurniakan hidayah kepada kita dalam mendidik anak-anak. Dan doakan juga buat anak-anak kita agar dikurniakan hidayah untuk mudah menerima tunjuk ajar. Agar anak-anak kita menjadi insan yang diredhai Allah.”
CikYong akhiri perbualannya. Dengan harapan, agar Tijah mendapat serba sedikit buah fikiran yang boleh dimanfaatkan.
No comments:
Post a Comment