Anak-anak telah pergi ke sekolah. CikYong ada sedikit waktu terluang sebelum masuk semula ke dapur. Bagi menyediakan makan tengahari. Waktu senggang yang singkat ini, CikYong cuba mengisinya sebaik mungkin.
Penutup komputer riba dikuakkan menegak. Bebutang “Power” di papan kekunci ditekan. CikYong menunggu sebentar sehingga komputer memproses program pemula selesai. Tangan CikYong memegang tetikus di sebelah komputer riba. Setelah beberapa kali butang tetikus ditekan dan digerakkan, aplikasi Powerpoint terpapar di skrin.
Mata CikYong terus tertumpu di skrin paparan. Jari jemari CikYong mula menaip sesuatu di papan kekunci. Sekali sekala CikYong berhenti, memikirkan sesuatu. Kemudian, disambung semula menaip. Diselang seli dengan menggerakkan tetikus. Begitu fokus CikYong menyiapkan nota untuk kelasnya malam nanti.
Baru sebulan CikYong memulakan kelas bahasa AlQuran (BAQ) Setakat hari ini, CikYong hanya mempunyai tiga orang pelajar sahaja. Dua pelajar di dalam satu kelas bersemuka. Pelajar CikYong tidak lain tak bukan, dua orang anak teruna CikYong sendiri. Sementara seorang lagi pelajar, adalah kawan lama CikYong. Oleh kerana kawan CikYong tinggal jauh di bandar K, maka kelasnya hanya secara maya.
Ilmu yang ditimba perlu disampaikan kepada orang lain. Begitulah pesanan dari ustaz bahasa AlQuran CikYong. Itulah juga yang menjadi pencetus ke atas usaha CikYong ini. Walaupun ilmu yang dapat digarap, hanya sekelumit. CikYong akan usahakan juga untuk menyampaikannya. Asalkan ilmu itu jelas benar dan tidak menyesatkan.
Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama CikYong mengajar. Sebelum ini, CikYong pernah juga mengajar rakan-rakan CikYong. Ketika itu, kelab rekreasi tempat kerja CikYong telah mengajurkan kelas berenang. CikYong ambil kesempatan untuk menyertainya. Seusai lengkap sepuluh kelas dihadiri, alhmadulillah, CikYong sudah boleh berenang.
CikYong mula menjadikan berenang sebagai aktiviti riadah mingguan. CikYong telah menemui dua kolam renang yang bersesuaian. Yang menepati kriteria penting. Kolam tersebut ada menyediakan sesi khas buat wanita. Satu di bandar SA, tidak jauh dari tempat kerja CikYong. Dan satu lagi yang berdekatan dengan tempat tinggal CikYong.
Cumanya, untuk beriadah bersorangan, kurang menarik. CikYong mula mengajak rakan-rakan untuk turut serta. Kelihatan rakan-rakan begitu teruja. Malangnya, terdapat halangan besar. Rakan-rakan CikYong tidak tahu berenang. Bagi memujuk mereka, maka CikYong menawarkan diri sebagai jurulatih tak bertauliah. Walaupun apa yang CikYong tahu hanya terlampau asas, tetapi CikYong yakin CikYong boleh kongsikannya dengan sebaik mungkin.
Dari pengalaman ketika menghadiri kelas, bagi CikYong tekniknya tidaklah sesusah mana. CikYong tekad untuk mengajar rakan-rakan CikYong. CikYong suntik semangat yang berkobar-kobar. Dari kelas pertama, kedua, ketiga dan seterusnya… akhirnya lengkaplah pembelajaran. Rakan-rakan begitu teruja di atas pencapaian masing-masing. Aktiviti renang mingguan menjadi rutin.
Lumrah kehidupan, ada pasang surutnya. Masa berlalu, seorang demi seorang rakan CikYong mula mengundurkan diri. Masing-masing mempunyai sebab-sebab tersendiri. Kekangan yang mendatang. CikYong terima dengan hati terbuka. Tetapi CikYong tidak berhenti begitu sahaja. CikYong cuba pula mengajak rakan-rakan yang lain. CikYong adakan lagi kelas renang tak rasmi CikYong. Keadaan begini berulang beberapa kali. Sehingga mengajar rakan-rakan berenang seperti telah sebati dengan diri CikYong.
Pernah juga CikYong ditawarkan untuk mengikuti kelas menjadi pengajar berenang. Mungkin disebabkan kekerapan CikYong mengajar rakan-rakan, maka pada suatu hari, staf kolam renang bertanyakan kepada CikYong. Samada CikYong berminat untuk mengikut kelas untuk menjadi pengajar berenang. Terkejut juga CikYong ketika itu. Macam menarik juga. Tetapi setelah dipertimbangkan, CikYong menolak pelawaan itu. Diatas sebab-sebab yang tertentu.
Dengan semangat yang sama, CikYong sematkan dalam diri, agar terus istiqamah menyampaikan ilmu BAQ ini. Menyampaikan apa yang ada. Walaupun hanya sepatah perkataan. Selagi diizinkan.
CikYong juga telah mula memikir-mikir. CikYong ingin mengajak lebih ramai rakan-rakan dan saudara mara untuk turut serta dalam kelas BAQ ini. Mungkin CikYong boleh mula bertanya-tanya pada kenalan yang ada kelapangan masa. InsyaAllah, semoga dipermudahkan.
Pada masa yang sama, CikYong juga sedar akan pentingnya keberkatan ilmu. Walaupun hanya seorang pelajar sahaja yang CikYong ada, jika ilmu yang disampaikan dapat membawa kebaikan, itu sudah cukup buat CikYong.
Harapan CikYong semoga nanti akan tergolong dalam sebaik-baik umat. Amin..
“ Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”. [Riwayat al-Bukhari (5027)]
No comments:
Post a Comment