Friday, 23 December 2022

Bersara awal

"Kenapa nak berhenti kerja?"

"Nak balik kampung, jaga orang tua."

 

Itulah dialog yang kerapkali berulang ketika CikYong menyuarakan keinginan dan perancangan CikYong untuk bersara awal. Bersara dari makan gaji.

 

Memang begitulah hasrat CikYong yang begitu mendesak hati CikYong. Perasaan itu telah mula timbul semenjak beberapa tahun sebelum CikYong membulatkan hati untuk bersara. Ketika CikYong selalu tertekan dengan kehidupan sesak di ibukota. Setiap hari mengharungi kesesakan jalanraya dan pengangkutan awam diwaktu pergi dan balik berkerja. Ditambah dengan tekanan di tempat kerja. Sudah ada rasa penat menggalas beban kerja. Semangat bekerja semakin menurun. CikYong tidak tahu sebab punca sebenarnya. Cuma apa yang CikYong fikirkan ketika itu, CikYong perlu berubah angin.

 

Sebenar-benarnya, ketika itu, CikYong tidak tahu bagaimana hasrat CikYong itu akan menjadi kenyataan. Apa yang CikYong tahu lakukan hanyalah berdoa agar Allah tunjukkan jalannya. Begitulah lumrah manusia, apabila kebuntuan, barulah memohon kepada Pencipta. Tetapi apabila telah dikeluarkan kesusahan, diberikan kesenangan, manusia lupa semula kepada Pencipta. CikYong pohon agar dipermudahkan jalannya, jika ianya adalah terbaik buat CikYong dan keluarga.

 

Masa terus berlalu, CikYong jalani kehidupan seperti biasa disamping doa yang tidak pernah CikYong tinggalkan. Pada suatu ketika, desas desus mula kedengaran di tempat kerja. Terdengar ura-ura bahawa syarikat tempat CikYong berkerja ingin mengurangkan pekerja. Desas desus tersebut berlegaran diantara pekerja-perkerja buat beberapa bulan lamanya. Akhirnya, ia menjadi kenyataan. Beberapa orang kawan sekerja CikYong telah diberi surat tawaran. Mereka ditawarkan berhenti kerja dengan dibayar duit pampasan. Di sana sini, pekerja-pekerja sibuk bercerita perihal nilai pampasan yang ditawarkan, yang dikatakan begitu menarik sekali. Seorang demi seorang rakan kerja yang telah menerima tawaran, mula mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan yang lain.

 

Tidak lama setelah selesai proses pemberhentian tersebut, timbul pula desas desus yang baru. Kali ini, dikatakan pula, akan ada tawaran pemberhentian fasa kedua. Cuma, dengarnya, pampasan yang akan ditawarkan bagi fasa kedua itu nanti adalah kurang daripada yang sebelumnya.

 

CikYong mula berkira-kira. Jika nama CikYong termasuk di dalam fasa yang kedua itu, alangkah baiknya. Dapatlah CikYong penuhi impian CikYong selama ini. Otak CikYong ligat berfikir, apa yang patut CikYong lakukan. Setelah CikYong fikir semasak-masaknya, CikYong nekad. CikYong kongsikan hasrat CikYong dengan bos CikYong. Bos CikYong yang sememangnya baik dan prihatin terhadap pekerja-pekerja di bawah seliaannya, memberikan sokongan penuh terhadap hasrat CikYong. CikYong berasa lega. Laluan pertama dilepasi dengan mudah.

 

Setelah itu, CikYong teruskan usaha, CikYong pergi pula berjumpa dengan Ketua Jabatan. CikYong maklumkan perkara yang sama. Jawapan dari Ketua Jabatan agak kurang memberangsangkan. Beliau tidak setuju dengan permintaan CikYong. Menurut beliau, jikalau ada tawaran fasa kedua, Jabatan Sumber Manusia yang akan menentukan nama-nama yang dipilih. Ianya akan sama seperti apa yang berlaku dalam fasa pertama. Pekerja tidak boleh memohon agar nama mereka dipilih. CikYong akur sahaja. Sekurang-kurangnya CikYong telah berusaha di dalam ruang lingkup kemampuan CikYong. Selebihnya CikYong serahkan kepada yang Maha Perancang.

 

Di pagi itu, dada CikYong berdebar-debar sejak tiba di tempat kerja. Sehari sebelumnya, hal berkaitan fasa kedua hangat diperkatakan. Dikhabarkan pada hari itu, nama-nama yang termasuk di dalam fasa kedua akan dikeluarkan. Rata-ratanya, semua pekerja tertanya-tanya siapakah yang akan dipanggil oleh pegawai sumber manusia. Walaupun begitu, CikYong tetap meneruskan tugas harian seperti biasa, walaupun tidak dapat fokus sepenuhnya.

 

Telefon bimbit CikYong berbunyi. CikYong angkat panggilan. Kedengaran suara Pegawai Sumber Manusia meminta CikYong masuk ke pejabatnya. CikYong cuba tenangkan hati. Rasa berdebar semakin kuat. Otak CikYong mula tertanya-tanya. Betulkah seperti apa yang CikYong fikirkan.

 

CikYong cuba menahan langkah-langkah kaki CikYong yang menuju ke jabatan sumber manusia, agar ianya tidak berlari. Pintu bilik pegawai sumber manusia, diketuk. CikYong masuk sambil menyapa selamat pagi kepada pegawai yang sedang duduk di dalam. CikYong dipelawa duduk di kerusi berhadapan dengan meja pegawai. Degup jantung CikYong semakin kuat. Seolah-olah satu bilik boleh terdengar bunyi degupannya. CikYong cuba tenangkan hati.

 

Pegawai itu menyapa santai CikYong. Setiap kata-kata yang dituturkannya, CikYong dengar dengan teliti. Beliau meletakkan helaian kertas di atas meja. Kertas itu diletakkan menghala CikYong agar CikYong dapat membacanya. Ianya adalah surat tawaran! Dengan tertib, pegawai itu menerangkan satu persatu apa yang tertera di dalam surat tawaran tersebut.

CikYong menggangguk-angguk kecil tanda memahami apa yang disampaikan. CikYong kelihatan tenang sahaja. Tetapi sebenarnya, apa yang ada di dalam hati dan fikiran CikYong di ketika itu, adalah sebaliknya. Usai segala penjelasan yang perlu disampaikan, CikYong meminta izin memohon diri. CikYong melangkah keluar. Pintu bilik pegawai, CikYong tutup dengan perlahan. CikYong terus mengangkat tangan mengucap syukur pada yang Maha Perancang.

 

CikYong kembali ke meja kerja. CikYong duduk. Terdiam. CikYong masih lagi cuba memahami apa yang sedang berlaku. Perlahan-lahan minda CikYong mula memproses maklumat yang baru diterima. Kenyataan mula menyerlah sedikit demi sedikit. CikYong mula menyedari, doa CikYong yang sekian lama, telah dimakbulkan akhirnya. Apa yang CikYong inginkan, akhirnya menjadi kenyataan. Di satu ketika dahulu, CikYong tidak menemui jalannya, kini ia telah terbentang di hadapan CikYong. Sesuatu yang CikYong rasa sukar untuk menjadi kenyataan, rupa-rupanya perancangan Allah begitu teratur dan terperinci. Segala puji bagi Allah. Tiada sebaik perancang selain dari yang Maha Halus perancangannya.

 

Mengikut garis panduan yang telah ditetapkan, CikYong diberi tempoh sebulan sebelum secara rasminya ditamatkan perkhidmatan. Minggu yang pertama, CikYong mula sibuk menyelesaikan tugas-tugas yang sedia ada. CikYong juga perlu melaksanakan serah tugas kepada rakan sekerja yang perlu mengambil alih tugas CikYong. CikYong pastikan tiada ruang tugas yang tertinggal dan terlepas pandang.

 

Di hujung minggu kedua, CikYong bertemu dengan semua rakan sekerja, mengucapkan selamat tinggal. Telah sekian lama CikYong bersama-sama dengan rakan sekerja, pelbagai suka duka dikongsi bersama. CikYong hargai setiap jasa dan sokongan yang dicurahkan, tanpa mengira masa dan tempat. Pengalaman yang amat berharga yang akan CikYong bawa bersama bagi mengharungi cabang jalan kehidupan yang seterusnya.

 

Sebenarnya, terdapat dua lagi faktor yang amat kuat mendorong CikYong ingin mengubah hala kehidupan. Semenjak CikYong mengandung anak yang pertama lagi, CikYong mempunyai suatu impian yang sangat peribadi bagi CikYong. Mungkin disebabkan pemerhatian disekeliling CikYong. Rakan-rakan CikYong ramai yang telah berkeluarga dan mempunyai anak. CikYong perhatikan rakan-rakan yang berkerjaya ini, terpaksa membahagi masa diantara kerjaya dengan keluarga dan anak-anak.

 

Masa begitu terhad untuk menjaga dan mendidik anak-anak. Di hari-hari bekerja, kebiasaannya hanya dapat melihat anak tidur sahaja. Di awal-awal pagi, perlu keluar pergi bekerja, Ketika anak masih lagi tidur. Balik berkerja, tiba di rumah ketika lewat malam, anak pula telah pun tidur. Kekurangan masa berinteraksi dengan anak. Hanya ada hujung minggu, yang perlu digunakan sepenuhnya untuk bersama dengan anak-anak.

 

CikYong mempunyai azam untuk tidak melalui pengalaman yang sama. Jauh di sudut hati, CikYong ingin melihat anak-anak membesar di hadapan mata. CikYong tidak mahu terlepas peluang mendidik anak-anak. Dari langkah kaki pertamanya hingga dia berjaya berlari pantas dan melompat ke sana sini. Dari terdengar bunyi suara yang pertama keluar dari mulutnya, hingga riuh dengan kepetahan kata-katanya, mengutarakan soalan yang bertubi-tubi. Dari mula mencapai mainan hingga dapat membina robot dari kepingan-kepingan lego. Dari mula menghisap susu, sehingga menyuap sendiri nasi ke mulut, taburan nasi di lantai lebih banyak dari yang masuk ke mulut.

 

Banyak perkara yang CikYong tidak mahu terlepas. Terutamanya, tanggungjawab dalam mendidik anak-anak. Tidak dinafikan, ramai sahaja ibubapa hebat di luar sana yang dapat menggalas pelbagai tanggungjawab secara seimbang diantara kerjaya dan keluarga. Namun, CikYong sedar kemampuan diri. CikYong perlu fokus. Maka inilah jalan pilihan CikYong.

 

Faktor kedua yang tidak kurang pentingnya, adalah menjaga ayah CikYong. Semenjak ibu CikYong meninggal dunia beberapa tahun sebelumnya, tiada sesiapa yang boleh menemankan ayah CikYong di kampung. CikYong dan adik beradik mengajak ayahnya tinggal dengan anak-anak. Ayah CikYong ada mencuba, tetapi hanya dapat bertahan dalam seminggu dua sahaja. Ayahnya tetap merasa selesa tinggal di rumah sendiri. Tambahan lagi, oleh kerana usia ayah CikYong yang telah lanjut, perlu ada seseorang menemaninya tinggal di kampung.

 

Dengan persetujuan keluarga, CikYong teruskan niat untuk berhenti kerja dan pulang ke kampung. Selepas dua bulan CikYong berhenti, akhirnya CikYong dan keluarga berhijrah pulang ke kampung. Dengan niat suci untuk berbakti kepada orang tua. Tanpa CikYong mengetahui ujian dan dugaan yang bakal ditempuhi di masa mendatang. Namun, CikYong bersedia mengharunginya. Walaupun hala perjalanan yang diingini telah diberikan, tidak bermakna ianya akan dilalui tanpa ranjau dan duri. CikYong tetap teruskan perjuangan kehidupan sehingga ke akhirnya. Dengan izin Allah.

No comments:

Post a Comment

Psikologi mendidik anak2

Mendidik anak2 penuh dengan seribu harapan dan tidak terkecuali diiringi bersama seribu kerisauan. Rasa tenangnya sedikit, rasa kekecewaanny...