Wednesday, 21 December 2022

Ilmu II : Belajar

 "Carilah ilmu daripada buaian hingga ke liang lahat."

Ada orang yang menyandarkan kata-kata tersebut kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw, tapi sebenarnya ianya hanyalah kata mutiara indah daripada ahli hikmah.1

Walau bagaimanapun, maksud kata-kata tersebut ada kewajarannya.

Di pagi hari Khamis itu, seperti kebiasaan, CikYong akan menyediakan bekal makanan anak lebih awal. Begitu juga juadah makan tengahari. CikYong masak lebih awal dari hari-hari yang lain. Keadaan CikYong di dapur agak sedikit sibuk, kerana ingin mengejar masa.

CikYong menjeling jam di dinding.

"Oh! ada lima belas minit lagi" bisik hati CikYong.

Bersegera CikYong memasukkan spagethi olio yang telah siap ke dalam bekas bekal makanan. CikYong kemas serba sedikit alatan memasak dan bahan masakan yang telah digunakan.

"Yang lain-lain ni, kemas lepas kelas nantilah"

CikYong segera mencapai telefon bimbit CikYong. Ruang meja makan yang telah dilapangkan tadi bertukar menjadi ruang kelas atas talian CikYong. Helaian nota Bahasa Arab dan pen telah tersedia di atas meja makan. CikYong ambil botol kicap dan diletakkan di hadapan CikYong. Telefon disandarkan ke botol kicap. Paparan telefon dihalakan mengadap CikYong. 

Jam di telefon CikYong menunjukkan tepat pukul sepuluh setengah. CikYong buka aplikasi google meet. CikYong pastikan butang video dan audio di'off'kan, sebelum butang 'join' disentuh. CikYong mahu pastikan keadaan dapur yang tidak habis dikemas itu, tidak akan terpapar di dalam kelas atas talian itu nanti. Bukannya CikYong segan. Cuma mahu menghormati ustazah dan rakan-rakan sekelas. Dan juga tidak mahu menimbulkan rasa tidak selesa di antara CikYong dengan yang lain-lain di dalam kelas.

Jika boleh, mahu saja CikYong menukar permandangan latar belakang ke gambar ruang tamu mewah atau permandangan di tepi sungai. Tetapi, disebabkan kekangan aplikasi google meet itu sendiri. Ciri tersebut tidak disertakan di dalam google meet versi telefon bimbit. Ianya hanya terdapat pada google meet untuk versi komputer. Jadinya, untuk tidak memeningkan kepala, CikYong tutup saja fungsi kamera telefon.

Beberapa saat kemudian, kedengaran suara ustazah di corong suara telefon bimbit CikYong. Begitu juga suara rakan-rakan yang lain. Kelihatan wajah berseri ustazah terpapar di skrin telefon. Bagi rakan yang membuka kamera, kelihatan juga wajah mereka. Ada juga seperti CikYong, yang menutup kamera. CikYong menyentuh ikon mikrofon untuk membolehkan suara CikYong didengari.

“Assalamualaikum ustazah, assalamualaikum akhwati”

CikYong menyapa semua yang hadir. 

Usai bertanya khabar dan berkongsi serba sedikit perkembangan terkini, ustazah pun memulakan pembelajaran. Ustazah mulakan dengan meminta seorang demi seorang memberikan jawapan kepada kerja rumah dari kelas minggu lepas. Mujurlah CikYong sempat menjenguk kerja rumah pada malam semalam. Jika tidak, pasti CikYong akan terkial-kial menjawab. Sekali-sekala ustazah akan membetulkan jawapan pelajar-pelajar yang salah atau kurang tepat. 

Ustazah amat memahami pelajar-pelajarnya. Pelajar-pelajar yang sudah tidak berapa muda lagi. Sebahagiannya merupakan pesara. Ada juga suri rumah seperti CikYong. Walaupun begitu, semangat menuntut ilmu mereka teramatlah tinggi. Itulah yang ingin CikYong ikut rapat-rapat. Dengan harapan, semangat mereka melimpah juga kepada CikYong.

Pernah CikYong terbaca dalam satu aktikel. Salah satu cara untuk mengelakkan penyakit dementia ketika usia tua, adalah dengan belajar sesuatu yang baru. Belajar bahasa adalah salah satu cara terbaik untuk menjadikan otak kekal aktif berfikir.

Belajar sehingga ke liang lahad. Itulah yang CikYong sedang usahakan. Kelas Bahasa Arab ini menjadi madah perjuangan CikYong dalam memenuhi impian tersebut. Memang mencabar minda CikYong untuk memahami hukum-hakam di dalam bahasa arab apatah lagi mengingati perkataan dan maksudnya. Ditambah pula dengan otak yang telah berfungsi lebih dari separuh abad. 

Tiba-tiba CikYong terdengar nama CikYong disebut oleh ustazah. Rupa-rupanya, tiba giliran CikYong pula untuk membaca dialog di dalam nota. CikYong sentuh ikon mikrofon. CikYong menutur sepatah demi sepatah perkataan yand tertera di dalam helaian nota. Begitu berhati-hati CikYong agar dapat membacanya dengan sebutan yang betul.

Dalam sedar tidak sedar, sudah hampir dua tahun CikYong mengikuti kelas bahasa arab. Minat CikYong terhadap bahasa arab bertambah dari hari ke hari. CikYong mula memahami akan betapa hebatnya bahasa arab. Memang sepatutnyalah bahasa arab menjadi bahasa Al Quran. 

Bahasa arab umpama suatu kod rahsia. Hukum-hakam dan peraturan di dalam bahasa arab adalah umpama kunci-kunci kepada kod rahsia. Apabila kunci yang betul digunakan, maka satu per satu kod rahsia akan terungkai. Pemahaman akan maksud sebenar kod rahsia itu merupakan satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan.

Setelah sejam berlalu, kelas pun telah hampir selesai. CikYong ucapkan terima kasih kepada ustazah. Kelas ditangguh sementara sehingga ke minggu hadapan. CikYong memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi. Pada hari itu, CikYong masih lagi diberi peluang untuk mempelajari sesuatu yang bermanfaat.


1 https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/1508-irsyad-al-hadith-siri-ke-23-status-hadis-menuntut-ilmu-dari-buaian-ke-liang-lahad

No comments:

Post a Comment

36 hari menuju kemabruran haji

Assalamualaikum warahmatullahiwabakotuh... Semakin mendekati ke kemabruran haji.. اللهم  kurniakanlah haji mabrur buat semua duyuffurahman 1...