Di ketika zaman kanak-kanak CikYong, hobi ini merupakan hobi yang trending. Apabila ditanya kepada mana-mana kanak-kanak pada zaman itu, akan apakah hobi mereka, hampir semua akan memberi jawapan yang klise ini. Mengumpul setem. CikYong juga tidak terkecuali. Setiap surat yang diterima, pasti setemnya akan dikoyakkan berhati-hati dari sampul surat. Setem-setem akan disusun rapi di dalam album setem. Dengan bangganya CikYong menayangkan album setemnya kepada kawan-kawan. Kawan-kawan pun teruja menyelak satu persatu helaian album. Mengagumi keunikan setiap setem. Bertukar-tukar setem juga kerap dilakukan bagi mewarnai koleksi masing-masing.
CikYong tidak pasti kanak-kanak zaman sekarang memahami keseronokan mengumpul setem. Setem begitu asing bagi mereka. Mungkin ada yang tidak pernah pun melihat setem. Tidak tahu bagaimana rupanya setem. Dan ada juga yang musykil akan apakah kegunaan setem di zaman internet tanpa sempadan ini. Begitulah peredaran zaman. Media perhubungan telah berubah.
Namun, pengumpul-pengumpul tegar masih ada lagi di zaman ini. Di sekolah masih ada lagi kelab setem. Walaupun mungkin bukan menjadi pilihan utama murid untuk menyertainya. Tetapi ia masih lagi wujud. Tidak terkubur lagi. CikYong juga telah memulakan semula hobi ini. Cumanya, kali ini CikYong hanya mengumpul setem-setem keluaran khas.
Sepanjang tahun Pos Malaysia akan mengeluarkan setem khas berdasarkan kalendar yang telah ditetapkan. Apa yang CikYong akan lakukan ialah memastikan CikYong tidak terlepas tarikh keluaran khas tersebut. Pada hari tersebut, CikYong akan ke pejabat pos terdekat. Seboleh-bolehnya di awal pagi. Ini kerana, adakalanya jika setem khas itu bersempena sesuatu peristiwa yang penting, ramai yang ingin membelinya. Stok terhad, tidak mencukupi. Ada juga setem yang tidak diedarkan ke bandar kecil, hanya di edarkan di pejabat pos besar di bandar-bandar utama sahaja. Maka terpaksa pula CikYong meminta bantuan kenalan yang tinggal di bandar, untuk membelinya.
Aktiviti berulang ke pejabat pos ini berlarutan sehingga beberapa tahun. Pegawai pos di kaunter pun sudah mengenali CikYong. Maklumlah, setiap tarikh keluaran, akan terpacul CikYong di hadapan kaunter yang masih belum lagi dibuka. Begitu awalnya CikYong tiba, bersemangat sungguh. Tapi sekarang, CikYong sudah tidak lagi melayani hobi ini. Disebabkan sedikit kekangan ekonomi.
Namun, koleksi yang terkumpul, tetap CikYong simpan dengan rapi. Bukan mengharap pada suatu hari nanti, mungkin ianya akan menjadi barang berharga. Ianya hanya merupakan koleksi peribadi CikYong. Mungkin suatu hari nanti, CikYong akan berikan juga kepada orang lain. Minat CikYong untuk meneliti dan menghargai setiap gambar dan lukisan yang diabadikan pada setiap keping setem. Ianya umpama mini lukisan bagi CikYong. Untuk mempunyai lukisan-lukisan besar dan mahal, di luar kemampuan CikYong. Cukuplah hasil seni mini ini menjadi halwa mata CikYong. Bagi CikYong, nilai seninya amat tinggi walaupun hanya sekadar di atas sekeping kertas empatsegi dua sentimeter panjang satu sentimeter lebar.
Terkadang nikmat-nikmat Allah yang besar yang sibuk diburui. Terlepas pandang nikmat-nikmat yang kecil untuk dihargai. Semoga setiap insan dapat menghargai apa jua nikmat yang dikurniakan, tanpa melihat besar atau kecilnya ia. Pasti setiap nikmat itu membawa kebahagiaan pada setiap jiwa.
p.s.:
Simpan di sini…



























No comments:
Post a Comment