CikYong memang gemar mencuba sesuatu yang baru. Terkadang, jika kena pada gayanya, perkara tersebut CikYong jadikan hobi.
Ketika di sekolah dahulu, inilah yang biasa ditanya.
"Apa hobi awak?"
Dan juga terdapat dicelah-celah soalan yang perlu dijawab apabila mengisi borang maklumat diri.
Hobi: ______________
Sesuatu yang menarik juga bila CikYong cuba senaraikan hobi-hobi yang pernah CikYong lakukan. Ada yang bersifat sementara ada juga yang bersifat istiqamah hingga ke hari ini.
Berkebun
Berkebun atau dalam bahasa orang putih gardening. Selepas CikYong berhijrah ke kampung, dapatlah CikYong menjadikan bertanam-tanaman di halaman rumah sebagai hobi. Walaupun ruang tanahnya hanya sejengkal kera sahaja (Ikut pengiraan keluasan, tidak sampai pun sekangkang kera). Itu sudah cukup membuatkan CikYong sibuk sehingga rumput lebih banyak daripada pokok.
Sekali sekala melihat halaman rumah orang lain, teringin juga CikYong menirunya. Niatnya ada, cuma perlaksanaanya tidak begitu kesampaian. Pokok-pokok bunga tetap ada. Cuma lebih daun dari bunganya. Kemana pergi bunga-bunganya? Seakan-akan segan untuk menyerlahkan diri. Maklumlah ianya tidak dibajai selalu. Mungkin merajuklah tu.. Orang kata, kita kena belai dan bercakap-cakap dengan pokok-pokok kita. Mungkin ada benarnya. Namun, biarlah orang berkata, tetapi untuk melakukannya, ia memerlukan displin masa yang kental. Begitulah, pada pandangan CikYong.
Hendak tahu rajin atau tidaknya tuan rumah, lihatlah pokok-pokok bunga di halamannya. Kalau cantik tersusun pokok-pokoknya, rimbun bunga-bungaannya, maka tinggilah tahap kerajinan tuan rumah. Dan sebaliknya, jika pada pasu pokok bunga, kena selak rumput baru nampak pokok bunganya, maka faham-fahamlah akan tahap kerajinannya.
Di ketika semangat bercucuk tanam berkobar-kobar, ada juga CikYong mencuba tanaman yang baru. CikYong beli anak pokok bunga dari nurseri dan pasar tani. Pernah CikYong beli anak pokok bunga kesidang. CikYong dapat tahu, bunganya adalah antara yang terwangi. Dari hari ke minggu, minggu ke bulan, perkembangan pokok kesidang nampak memberangsangkan. Suatu hari, perkara yang tidak diduga terjadi. CikYong ada mengupah orang untuk memesin rumput di sekitar halaman rumah. Telah ditakdirkan, orang memesin itu mungkin keliru samada pokok itu rumput ataupun bukan. Maka begitulah pengakhirannya sepohon pokok kesidang. Hanya tinggal tunggul kecilnya sahaja. Innalilillahi wainna ilaihi rojiun...
Pernah juga CikYong membeli benih di media atas talian. Bersemangat sungguh CikYong di ketika itu. CikYong ingin menanam pokok teratai di parit kecil. Parit itu terletak di halaman rumah, di antara pokok rambutan dengan jalanraya. Anak benih teratai di rendam berhari-hari. Apabila telah cukup umurnya CikYong pindahkan anak pokok teratai ke dalam parit. CikYong ikuti perkembangan anak pokok dari hari ke hari. Seronok CikYong melihat daun-daun teratai semakin melebar.
Ada juga cabaran kecil mendatang. Oleh kerana kedudukan parit di tepi jalan, maka menjadi kebiasaan kanak-kanak datang mencari ikan di situ. Pernah anak pokok teratai termasuk ke dalam alat pengaut. Malangnya ia tidak dimasukkan semula ke dalam parit. Ia hanya dibiarkan terdampar di tepi parit.
Cabaran terbesar tiba apabila suatu hari, jengkaut datang untuk mengorek parit sepanjang tepi jalanraya. Maka habis semua isi perut parit itu di korek dan di tambak ke tepi parit. Maka begitulah pengakhirannya pokok teratai CikYong. Sebenarnya, pernah juga suami CikYong mengingatkan CikYong sebelum itu. Dari semasa ke semasa, akan ada jengkaut yang akan mengorek parit tersebut. Bertujuan untuk menjaga pengaliran parit. CikYong faham, cuma ketika itu CikYong mengharap agar sempat juga pokok teratai berbunga, walaupun untuk sekali. Namun tiada rezeki CikYong rupanya.
Semangat bercucuk tanam CikYong diteruskan lagi. Menggunakan anak benih yang telah dibeli dari atas talian, CikYong cuba pula menanam pokok jagung, bendi dan bunga matahari. CikYong tidak pasti dimana silapnya. Anak benih bercambah dengan baik. Dari anak pokok, ia membesar sedikit demi sedikit. Dari sehari ke sehari, CikYong mula menyedari sesuatu. Anak pokok membesar, tetapi pada kadar yang begitu perlahan. Rupa-rupanya pokok jagung, bendi dan bunga matahari CikYong bantut. Pokok bendi tetap berbunga dan berbuah, tetapi buahnya keras. Pokok jagung berbuah, tetapi buahnya terlampau kecil. Batang pokok bunga matahari tumbuh membengkok, bunga tiada. CikYong boleh simpulkan begini sahaja. Jika di dalam FB, ada group "Masak apa tak jadi hari ini", maka CikYong ingin mencadangkan, patut juga ada FB group "Tanam apa tak jadi kali ini".
Ya, walaupun pelbagai cabaran yang dilalui, CikYong menganggapnya sebahagian dari pengalaman. Mungkin pengalamannya tidak seberapa, tetapi pasti sesuatu boleh dipelajari. Kesungguhan tanpa ilmu tidak memadai. Ilmu tanpa kesungguhan tidak membawa kemana-mana.
p.s.:
Letak disini catatan projek teratai
Projek teratai I
Day 1 - rendam 12 biji bijibenih
Day 2 - so far, nothing happened
Day 3 - tukar air dan pucuk baru nk keluar
Day 4 - pucuk dh panjang, sebiji mcm x ok.

Day 5 - tukar air, sebiji lg x ok. Tinggal 10biji. Pucuk kedua dh mula tumbuh
Day 6 - pucuk dh semakin panjang, akar blm lg kelihatan
Day 7 - tukar air, pucuk dh semakin panjang, akar dh mula tumbuh
Day 8 - daun pertama dh mula nk kembang, akar semakin panjang
Day 9 - Dah mula membesar, perlu berhijrah, pindah ke bekas lebih besar bersama dengan tanah lumpur. Semoga sesuai di persekitaran baru
Day 10 - daun pertama dah mula membesar, daun ke2 belum lagi mengembang, akar semakin panjang.
Day 11 - tukar air. Akhirnya, dua anak pokok dah dihijrahkan ke parit. Mudah2an selamat ditempat baru dan cubalah sesuaikan diri di tempat baru. InsyaAllah
Day 12 - so far so good kat tempat baru
Day 13 - still survive di parit, dah ada 3 helai daun. Begitu juga yg masih di dlm bekas, menunggu utk berhijrah.
Day 14 - tukar air bekas. Daun kat dlm bekas dh bertambah. Dlm parit, masih sama, x pasti blh survive ke tak.
Day 15 - dlm bekas, daun semakin meriah. Dlm parit, tiada perubahan
Day 16 - pokok dlm bekas, menunggu masa utk dipindahkan, daun2 padat. Dlm parit, satu pokok dah bertambah daun ke-4. Satu pokok lg, masih survive.
Day 17 - perancangan nk pindahkan anak pokok ke parit, tp x jadi. Setakat hari ini, beginilah keadaan di kedua2 habitat
Day 18 - akhirnya tibalah masa yg ditunggu2. 8 anak pokok telah dihijrahkan ke habitat sebenar. Semoga tumbuh dan membesar dengan jayanya, insyaAllah. Semoga berbahagia di tempat baru.
Day 19 - nampak ok semua cuma, bila dikira2 semuanya, ade 9 anak pokok jer… mana lg satu?🤔
Day 20 - ade 10total, bila tengok betul2, masih ade 10
Day 21 - hujan lebat, pokok macam ade yg terkesan, daun semakin kurang 🙁
Day 22 - daun semakin kurang, dh ade yg mati daunnya
Day 23 - x pasti anak pokok boleh survive ke tak, nampak mcm x memberansangkan perkembangan pokok
Day 24 - tiada perkembangan baru
Day 25 - yg survive, ade 2 pokok tumbuh daun baru. Sus bila ade jenkaut korek parit. Alhamdulillah xkena pokok
Day 26 - masih sama jer
Day 27 - x sempat nk jengok
Day 28 - ade yg dh semakin lebar daunnya, ade yg semakin kurang daunnya.
Day 29 - kisah sedih, ptg semlm ade orang kaut parit utk mencari ikan kut, jadinye, dia terkaut sekali anak pokok teratai (yg paling sihat lak tu), lps tu dia buang kat tepi parit. 😱. Maka begitulah berakhirnya kisah teratai… yg tinggal ade 2-3 anak pokok x brape sihat…
Day 30 - the remainings still survive 💪🌱




No comments:
Post a Comment