Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah di atas kurniaan kasih sayang Nya terhadap hambaNya.
Hari Rabu 24 Julai bersamaan 18 Muharram.
Terlebih dahulu CikYong memohon keampunan dari Allah yang Maha Pengampun dan Penyayang. CikYong memohon keampunan diatas kelemahan dan kekhilafan diri di di dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Memohon keampunan di dalam serba kekurangan di dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ibu kepada anak2 dan generasi yang akan datang. CikYong memohon agar CikYong, keluarga dan generasi anak cucu dan yang seterusnya dijauhkan dari ujian2 hawa nafsu yang memusnahkan diri dan masyarakat.
Hari ini CikYong berkongsikan kisah dari berita yang CikYong telah baca semalam di hampir semua media di negara ini. Keputusan Mahkamah Rayuan telah dikeluarkan semalam perihal kes dera sehingga mengorbankan seorang pelajar UPNM yang berlaku tujuh tahun yang lalu.
Hakim Mahkamah Rayuan telah sebulat suara bersetuju mengubah hukuman yang telah dijatuhkan sebelumnya dari penjara 18 tahun kepada hukuman mati di tali gantung terhadap enam orang bekas pelajar UPNM. Pada masa yang sama, hukuman penjara 3 tahun ditukar kepada 4 tahun terhadap 12 orang bekas pelajar UPNM.
Perkara pertama yang berlaku setelah keputusan rayuan tersebut dikeluarkan, rata2 semua yang mendengar berita ini, terus mengimbau semula kejadian yang berlaku tujuh tahun yang lalu. Jika ada yang telah terlupa akan kejadian tersebut, mereka mula mencari semula berita2 lama. Bagi yang mungkin ketika itu masih lagi tidak memahami akan apa yang terjadi, telah mula bertanya2 akan peristiwa tersebut. Jika sebelum ini, pesalah2 dan keluarga mereka mungkin sedang cuba menjalani kehidupan seperti biasa tanpa tekanan akibat dari kejadian tersebut, kini ianya berulang semula seolah2 kembali semula ke tujuh tahun yang lalu. Ianya bukanlah sesuatu yang boleh dikawal oleh mereka. Rentetan ujian dari kejadian tersebut tetap menghantui pesalah dan keluarga sehingga ke hari ini. Sesuatu yang boelh difikirkan bagaimana perancangan Allah tiada siapa yang boleh menghalangnya.
CikYong cuba menyelami detik2 perlakuan penderaan tersebut. Bagaimana kejadian itu terjadi? CikYong juga memikirkan mengapa anak2 muda ini boleh melakukan perbuatan yang tidak boleh diterima oleh hati yang mempunyai sekelumit rasa kemanusiaan. Dimana hilangnya rasa hati mereka ketika melakukannya. Melihat rakan sendiri yang di dalam kesakitan akibat dari perbuatan tangan2 mereka sendiri. Mengapa mereka tidak mempunyai perasaan kasih sayang sesama sahabat?
CikYong mengikuti dengan dekat perbicaraan kes ini untuk memahami setiap tindak tanduk yang dilakukan oleh pesalah2 muda ini. CikYong cuba merungkai sebab musabab akan boleh terjadinya perlakuan yang begitu kejam yang dilakukan secara berkelompok. Pelbagai pertanyaan yang timbul di benak hati CikYong. Dari pemerhatian CikYong, budaya buli ini telah meresap masuk ke dalam jiwa anak2 muda ini secara sedar atau pun tidak. Mungkin tidak keterlaluan untuk CikYong nyatakan bahawa budaya buli ini bukan sahaja telah dinormalisasikan oleh hanya pesalah2 tersebut malah oleh ke semua penuntut UPNM di ketika itu. Adakah sesuatu yang normal apabila melihat sekumpulan pembuli sedang mendera seorang mangsa buli, seseorang itu boleh sahaja melihat dan beredar begitu sahaja? Tidak ada rasa untuk menghalang dan membantu mangsa?
Boleh pula seorang pelaku tersebut masuk ke bilik kejadian, disuruh menekap seterika panas kepada mangsa, beliau mencapai seterika yang dihulurkan, dan terus melakukannya sebelum beliau beredar untuk mengerjakan solat subuh? Di mana hati dan akalnya diketika itu? Mengapa tiada perkaitan diantara tindakannya itu dengan mematuhi perintah Allah selain daripada solat adalah dilarang untuk menyeksa sesama manusia? Dimana hubungkait diantara keduanya? Perintah mengerjakan kebaikan seperti solat dan juga melarang melakukan kejahatan seperti membuli. Mengapa solat tidak dapat menghidarinya daripada kejahatan. Dimanakah roh solatnya? Adakah solat hanyalah ritual semata?
Tindakan mengambil undang2 sendiri dan mengenepikan undang2 yang sedia ada merupakan corak pemikiran yang perlu diperbetulkan. Sebagai bakal tentera yang akan menjaga keamanan negara, semestinya mereka tidak boleh mengenepikan undang2 negara. Tindakan para pesalah yang mengambil cara sendiri menyelesaikan sesuatu permasalahan adalah salah. Para penuntut perlu dipantau dan dibimbing oleh para pendidik agar mereka memahami bahawa tiada siapa patut yang berada di atas undang2 dunia ini.
Mengapa kurang pemantauan dan campur tangan pihak pentadbiran UPNM di dalam memastikan anak2 pewaris teraju negara ini memahami hakikat yang betul untuk menjadi insan yang berhati naluri yang suci dan bersih. Setelah tujuh tahun berlalu, diharapkan pihak pentadbiran UPNM telah melakukan penambahbaikan dari segi pendidikan agama dan pengisian hati yang seiring dengan agama. Normalisasi buli di dalam pemikiran anak2 muda ini perlu diperbetulkan jika kita betul2 ikhlas melahirkan para parajurit yang bukan sahaja mempunyai daya mental dan fizikal yang kuat. Asas kepada mental dan fizikal mestilah bertunjangkan pegangan agama yang kukuh. Kesungguhan menepati segala perintah Allah merupakan jalan yang harus diikuti untuk menjamin kesejahteraan diri, keluarga masyarakat dan negara. Sebagai muslim, kepercayaan dan keimanan terhadap hari akhirat akan mengikat seseorang untuk bertindak secara seorang yang berakal waras dan tidak mengikut hawa nafsu.
CikYong berharap setiap kita mengambil iktibar yang besar di atas kejadian tersebut. Jangan sekali2 kita mengambil mudah atau menganggap kejadian tersebut berlaku terhadap orang lain dan tidak akan berlaku kepada kita. Sepatutnya setiap kita haruslah memohon keampunan Allah dan juga memohon agar kita tidak diuji dengan ujian sebesar ini.













No comments:
Post a Comment