Sunday, 31 March 2024

Hari ke-90 di tahun 2024

 Alhamdulillah di atas segala rezeki yang masih dikurniakan semoga ianya menambah kebaikan dan menjauhkan keburukan buat diri dan umat keseluruhannya.

Hari Sabtu 19 Ramadhan bersamaan 30 Mac. Hari cuti hujung minggu bagi anak2 CikYong.

Sahur pagi ini CikYong hanya menggoreng ayam dan membuat roti jala. Makanan lainnya, CikYong hanya memanaskannya sahaja. Nasi minyak dan nasi lemak, CikYong kukuskan semula. Kari kentang, pajeri dan sambal ikan bilis dan telur dadar, CikYong panaskan sahaja.

Sebelah pagi CikYong keluar ke pekan bersama suami. CikYong membeli bahan2 membuat kuih. Dalam perjalanan pulang, kami singgah sebentar di rumah bonda untuk mengambil kotak buah tamar yang ditumpangkan sementara di peti sejuk rumah bonda. Semasa awal projek Ramadhan, stok buah tamar mengambil keseluruhan ruang peti sejuk di rumah CikYong sehinggakan terpaksa menumpang sebahagiannya di peti sejuk rumah bonda. Setelah dua minggu berlalu, ruang peti sejuk telah lapang semula, maka CikYong ambil kembali kotak tamar dari rumah bonda.

Setiba di rumah, CikYong masuk ke dapur untuk membuat shell cheesetart. Tempoh hari, anak saudara CikYong meminta untuk dibuatkan untuknya cheesetart. Hari ini CikYong hanya menyediakan shellnya sahaja. Oleh kerana adik ipar (ibu kepada anak saudara yang teringinkan cheese) dan keluarganya akan ke ibukota, maka CikYong tangguhkan ke hari lain untuk membakar cheesetart nya.

Selepas Zohor, adik ipar dan keluarganya membawa bonda ke ibukota. Kakak bonda telah dimasukkan ke hospital disebabkan jangkitan kuman di paru2. Bonda ingin menziarahi kakaknya, iaitu ibu saudara suami CikYong. 

Hari ini CikYong hanya menempah kuih untuk projek Ramadhan. Menu pek kuih hari ini adalah cucur badak, cek nek molek dan koci. Selepas Asar, CikYong menghantar pek2 kuih ke hospital seperti biasa.

Seperti biasa, hari ini CikYong dam keluarga berbuka di masjid. Hari ini CikYong duduk semeja dengan makcik A, iaitu kawan arwah ibu CikYong. Terdapat juga seorang lagi makcik dan dua orang anak dara. Rupa2nya CikYong kenal dengan salah seorang anak dara tersebut. Semasa dia kecil, dia sering juga datang ke rumah jiran CikYong dan pernah berkawan dengan anak teruna sulong. Namun apabila dia telah menjadi remaja sekarang ini, CikYong hampir2 tidak kenal.

Menu berbuka puasa hari ini merupakan nasi putih, kari daging, ikan kembung goreng, sayur kacang panjang tumis, sambal belacan dan timun. Terdapat juga buah tembikai, anggur dan tamar. Minuman yang di sediakan merupakan air anggur ais dan air milo panas. Alhamdulillah di atas rezeki makanan yang Allah kurniakan.

Hari ke-176 perang di Palestine. Memang terang lagi bersuluh, Isreal terus melanggar undang2 antarabangsa. Arahan dari PBB terus tidak dihiraukan oleh Isreal. Israel terus menerus mengebom dan membedil penempatan orang awam di Rafah, Gaza Utara, Khan Yunis. Amerika secara rahsia telah meluluskan berbillion dana kepada Isreal dari segi persenjataan untuk terus mengebom Gaza. Kebangkitan rakyat Jordan, Yaman dan Mesir semakin marak. Perhimpunan pro Palestine semakin besar negara2 tersebut. Semoga Allah membantu kemenangan umat Islam di Palestine dan di seluruh dunia. Amin amin ya rabbal alamin.











Saturday, 30 March 2024

Hari ke-89 di tahun 2024

 Assalamualaikum hari ke-18 Ramadhan bersamaan 29 Mac. Jumaat yang diberkati.

Alhamdulillah di atas nadi yang masih lagi berdenyut, tangan dan anggota badan yang lain masih lagi berfungsi.

Hari ini merupakan hari persekolahan buat anak2 CikYong.

Seawal pagi selepas mengikuti mudarasah hadith 40 syarah kitab Al Wafi dan tadabbur surah Al Jumuah, CikYong telah mula masuk ke dapur. Hari ini Cincin menyediakan puding roti dan puding vico untuk persediaan menu projek Ramadhan.

CikYong selesai menyiapkan masakan puding di ketika menjelang tengahari. Anak2 CikYong juga telah pulang dari sekolah masing2. Selepas Asar, CikYong menghantar pek2 puding ke hospital. Kali ini anak teruna kedua menemani CikYong kerana hari ini CikYong membawa lebih pek2 puding untuk diberikan kepada pengawal keselamatan juga.



Kami sekeluarga berbuka puasa di masjid seperti biasa. Setelah dua minggu berpuasa, anak2 sudah boleh menerima untuk berbuka puasa di masjid. Alhamdulillah. Menu berbuka hari ini merupakan nasi putih, ayam goreng, kari daging, pajeri nenas, sambal belacan dan timun. Terdapat juga agar2, buah tamar dan tembikai. Minuman yang disediakan adalah air sarsi dan teh panas. Alhamdulillah di atas rezeki yang dikurniakan.

Hari ke-175 perang di Palestine berterusan. Rakyat Jordan telah menyambut saranan Hamas untuk bangkit memperjuangkan Palestine. Beribu2 rakyat Jordan mengadakan perhimpunan mega bagi menyokong pejuang2 Palestine. Pada masa yang sama, lebih dari seratus ribu umat Islam telah mengujungi Masjid Al Aqsa untuk menunaikan solat subuh di pagi Jumaat. Alhamdulillah semoga Allah mengganjari mereka yang berjihad di jalan Allah. Amin amin ya rabbal alamin.






Friday, 29 March 2024

Hari ke-88 di tahun 2024

 Hari ini merupakan Nuzul Quran 17 Ramadhan bersamaan hari Khamis 28 Mac.

Hari ini merupakan hari cuti bagi sekolah anak2 CikYong.

Alhamdulillah di atas segala kurnian Allah. Semoga hati ini dapat di didik agar mempunyai sifat2 mahmudah dan disingkirkan sifat2 mazmumah. Amin amin ya rabbal alamin.

CikYong dan keluarga bersahur dengan nasi minyak yang CikYong kukus untuk memanaskannya. CikYong juga memasak kuah kari kentang, nasi goreng dan roti telur. Ayam goreng yang berbaki dari hari sebelumnya, dijadikan lauk untuk nasi minyak.

Selepas solat subuh, CikYong mendengar siri Lembayung Al Quran di radio Ikim.Fm. Setelah  itu, CikYong menyambung mendengar kuliah subuh secara dalam talian, disampaikan oleh Timbalan Mufti berkenaan Nuzul AlQuran. Usai kuliah, CikYong menyambung pula menonton video tadabbur Surah Al Jumuah dan Striking Examples from the Quran oleh NAK.

Pagi ini CikYong mencuba membuat puding roti menggunakan lebihan roti yang tidak digunakan untuk sandwich. Sebelah awal petang, CikYong menyediakan sandwich ayam untuk Projek Ramadhan. Selepas Aaar, CikYong hantarkannya ke hospital.

Hari ini kami sekeluarga berbuka di masjid. Hari ini kurang jemaah yang hadir berbuka puasa di masjid. Di meja makan, hanya terdapat dua orang anak dara dan CikYong sahaja. Kebiasaannya setiap meja, disediakan untuk enam orang. Alhamdulillah anak dara tersebut membungkus makanan yang berlebihan. Menu hari ini merupakan nasi minyak, ayam goreng berempah, kari ikan, sambal udang dan jelatah. Terdapat juga agar2, kuih bingka, buah tamar dan tembikai. Terdapat juga jemaah muslimat yang membawa juadah tambahan yang dikongsi bersama iaitu cekodok dan cempedak goreng.

Hari ke-174 perang di Palestine. Walaupun PBB telah meluluskan resolusi gencatan senjata, namun Israel secara terang2 tidak menghiraukannya. Pengeboman di Gaza masih lagi berterusan. Video tentera IDF menembak rakyat Palestine yang cuba pulang ke utara Gaza telah disiarkan di saluran tv Al Jazeera. Ya Allah lindungilah kami dari kejahatan manusia2 yang zalim ini dan hancurkanlah musuh2 Allah. Amin amin ya rabbal alamin.





Thursday, 28 March 2024

Hari ke-87 di tahun 2024

Hari Rabu 16 Ramadhan bersamaan 27 Mac

Alhamdulillah ya Allah diatas nikmat kehidupan ini. Semoga keimanan bertambah dengan bertambahnya usia.

Hari persekolahan buat anak2 CikYong.

CikYong sediakan juadah untuk sahur dengan memasak nasi lemak, telur mata dan telur dadar untuk anak2. Sementara nasi goreng untuk suami CikYong. CikYong juga memasak roti telur.

Selepas solat subuh, CikYong ikuti mudarasah secara online untuk pengajian syarah hadith 40 An Nawawi menggunakan kitab Al Wafi. CikYong telah pun mempunyai kitab tersebut yang CikYong beli secara dalam talian. Usai pengajian, CikYong sambung pula mengikuti video tadabbur Surah Al Jumuah dan Striking Examples from the Quran.

CikYong rebuskan ayam sebagai persediaan untuk sandwich ayam untuk projek Ramadhan. Selepas Zohor CikYong pun mula menyediakan sandwich ayam dan selesai sebelum Asar. Selepas Asar, CikYong hantar pek2 sandwich ke hospital.

Sebelah petang, hujan turun dengan lebatnya dan reda ketika menghampiri waktu Maghrib. CikYong dan keluarga berbuka puasa di masjid. Menu berbuka hari ini sungguh mewah dengan nasi minyak, kurma ayam, ikan siakap, sambal udang dan kari daging. Minuman yang disediakan pula adalah air teh bunga ais dan air teh panas. Buah tamar dan buah oreb juga disediakan. Oleh kerana hari ini agak kurang jemaah yang hadir maka masih banyak makanan yang berlebihan. Alhamdulillah jemaah muslimat membungkus makanan yang berbaki dan dibawa pulang. Anak CikYong juga turut membungkus masi minyak dibawa pulang.

Hari ke-173 perang di Palestine. Terdapat pelbagai reaksi terhadap tragedi yang berlaku di Hospital As Shifa, di utara Gaza. Pemuda2 di Jordan telah mengadakan perhimpunan di hadapan kedutaan Isreal di Amman, Jordan. Mereka memzahirkan perasaan tidak bersetuju dengan pihak kerajaan yang masih membantu Isreal.







Wednesday, 27 March 2024

Hari ke-86 di tahun 2024

 Alhamdulillah matahari masih menonjolkan dirinya di sebelah timur. Cuaca pagi terasa begitu nyaman.

Hari ini hari Selasa 26 Mac bersamaan 15Ramadhan.

Sahur hari ini kami sekeluarga menikmati nasi putih, tomyam, ikan tongkol goreng, telur dadar dan roti jala. Alhamdulillah.

Sebelah pagi, CikYong dan suami pergi ke pekan untuk membeli bekas kuih dan sudu plastik untuk projek Ramadhan. Kami juga singgah di perpustakaan untuk memulangkan buku yang dipinjam. InsyaAllah selepas raya, CikYong akan meminjam buku semula. CikYong juga turut menghantar buku2 terpakai ke perpustakaan. Alhamdulillah, perpustakaan sudi menerimanya.

Selepas Zohor, CikYong mula menyediakan sandwich ayam sebagai menu projek Ramadhan. Selepas Asar, CikYong hantar pek2 kuih ke hospital. Kali ini, salah seorang staff nurse menyapa CikYong untuk berkenalan dengan orang yang menghantar pek kuih ini.

Hari ini CikYong sekeluarga berbuka puasa di masjid. Oleh kerana ramai jemaah muslimat yang hadir, maka terdapat kekurangan meja dan tempat duduk. CikYong dan beberapa jemaah muslimat yang lain dipelawa untuk di meja santai yang terletak di penjuru laman masjid. Alhamdulillah di atas rezeki yang Allah kurniakan. Menu berbuka hari ini merupakan nasi putih, kurma kambing, pecal, murtabak, agar2 dan air teh panas. 




Perang ke-172 di Palestine. Kekejaman Isreal semakin meningkat. PBB meluluskan gencatan senjata serta merta di Gaza sepanjang Ramadhan setelah 14 negara menyokong dan satu negara berkecuali iaitu Amerika. Sebenarnya CikYong tidak begitu memahami apakah yang akan berlaku hasil daripada keputusan PBB tersebut. Adakah ianya akan melakukan sesuatu atau ianya hanyalah sekadar di atas kertas sahaja. Hanya Allah tempat kami bergantung.


Tuesday, 26 March 2024

Hari ke-85 di tahun 2024

 Hari Isnin 14 Ramadhan bersamaan 25 Mac.

Alhamdulillah ya Allah segala puji bagiMu Tuhan sekalian alam.

Sahur pagi ini CikYong sediakan nasi goreng dan roti jala bersama kari. Nasi lemak lebihan berbuka puasa semalam, CikYong hanya panaskan sahaja. Anak2 semakin sukar untuk dikejutkan sahur. CikYong telah ingatkan anak2 agar tidur awal untuk tidak terlalu mengantuk untuk bangun bersahur.

Hari ini merupakan hari persekolahan. Anak2 CikYong ke sekolah seperti biasa. Di sekolah agama anak teruna kedua, hari ini diadakan perlantikan pengawas. Anak teruna kedua CikYong dilantik menjadi ketua pengawas. Semoga anak CikYong dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik2nya.

Anak sulong CikYong ingin memulakan semula senamannya. Dia cuba bersenam pada sebelah petang kira2 sejam sebelum waktu berbuka puasa. Namun dia hanya dapat melakukan sedikit sahaja.

Pagi2 lagi CikYong telah merebus ayam. Hari ini CikYong menyediakan menu sandwich ayam mayo untuk projek Ramadhan. Oleh kerana terdapat lebih mufin dan congo bar dari semalam, maka pek kuih yang di hantar hari ini mengandungi dua jenis pek iaitu pek mufin+congo bar dan pek sandwich ayam. Alhamdulillah pek2 kuih dapat dihantar seperti biasa.



Petang ini hujan turun agak lebat setelah beberapa hari sebelum ini cuacanya begitu panas. Alhamdulillah di atas nikmat hujan dan hidayah dari Allah yang Maha Penyayang.

Kami sekeluarga berbuka di masjid walaupun kaki suami masih lagi sakit. Suami sempat juga pergi ke klinik untuk mendapatkan ubat sebelum mengambil anak teruna kedua pulang dari sekolah petangnya.

Menu berbuka puasa di masjid hari ini merupakan nasi putih, ikan kembung goreng, kacang buncis tumis, kari daging, timun, sambal belacan, buah tembikai, agar2 dan buah tamar. Minuman yang disediakan adalah air teh panas dan sirap ais. Alhamdulilllah, jemaah yang hadir juga ramai. 

Perang di Palestine telah memasuki hari ke-171. Rata2 banyak paparan di media sosial berkongsi perihal berita yang telah berlaku di Hospital As Shifa. Sesungguhnya kekejaman Isreal semakin buruk dari hari ke hari. Realitinya Isreal semakin hancur dalam segala aspek kehidupan. Masa depan Isreal teramat gelap, Isreal memusnahkan kehidupan mereka dengan tangan mereka sendiri. Ya Allah yang Mah Mengatur dan Membalas. 


Monday, 25 March 2024

Hari ke-84 di tahun 2024

 Hari Ahad, 13 Ramadhan bersamaan 24 Mac

Hari ini CikYong menyambung mendengar ceramah dari NAK berkenaan tadabbur Surah Al Jumuah dan siri video Striking examples from the Quran.

Seawal pagi CikYong berada di dapur untuk memasak mufin dan Congo bar sebagai persediaan untuk juadah projek Ramadhan hari ini.

Suami CikYong kurang sihat hari ini apabila sakit gout nya datang semula. Oleh kerana itu, kami sekeluarga berbuka puasa di rumah sahaja. CikYong sediakan nasi lemak untuk juadah berbuka puasa hari ini.

Di hari ke-170 perang di Palestine, dan di hari ke-6, Hospital As Shifa’ di utara Gaza telah dicerobohi oleh tentera IDF. Pelbagai kekejaman sesuka hati mereka telah dilapurkan berlaku di Hospital tersebut. Perasaan CikYong begitu meruntun jiwa sehingga tidak sanggup untuk CikYong mencoretkan akan peristiwa yang terjadi itu di sini. Hanya kepada Allah tempat CikYong mengharap dan meminta. Ya Allah lindungilah umat Islam dari kejahatan syaitan. Amin amin ya rabbal alamin 







Sunday, 24 March 2024

Hari ke-83 di tahun 2024

 Hari Sabtu 12 Ramadhan bersamaan dengan 23 Mac.

Alhmdulillah ya Allah yang masih mengizinkan diri ini bernyawa dan terus berjuang.

Untuk sahur, CikYong memasak nasi lemak dan menggoreng telur dadar dan telur mata. Sambal nasi lemak yang dibekalkan oleh adik ipar semalam, CikYong panaskan.

Usai solat subuh, CikYong pun mula membuat mufin dan congo bar untuk penyediaan juadah projek Ramadhan. Alhamdulillah untuk Projek Ramadhan kali ini, CikYong menerima sumbangan kewangan dari keluarga dan rakan2 terdekat yang ingin turut serta. Jazakallahu khairan buat semua yang menyokong dan membantu.

Hari ini CikYong sekeluarga berbuka puasa di masjid. Hari ini CikYong diberi kesempatan berbual sekejap dengan Makcik A, kami duduk semeja. Rupa2nya Makcik adalah kawan kepada arwah ibu CikYong. Seronok sungguh rasa hati CikYong dapat berjumpa dan bersembang dengan makcik.

CikYong terbaca suatu berita yang di kongsi oleh sahabat di wassap group perihal saintis angkasa menemui sekumpulan air di angkasa. Dikatakan air tersebut berada di sekitar satu lohong hitam yang diberi nama qausar.



Hari ke-169 perang di Palestine. Di media sosial ada memaparkan ucapan pengasas Al Qassam iaitu Allahyarham Syeikh Yassin bersempena ulangtahun  beliau dibunuh oleh Isreal. Ucapan beliau memberi semangat buat pejuang2 yang masih utuh di jalan jihad.

Terdapat juga beberapa video yang dipaparkan oleh tentera Isreal yang menunjukkan drone Isreal mengebom orang awam seolah2 seperti di dalam e-games. Ya Allah lindungilah kami dari tangan2 syaitan.





Saturday, 23 March 2024

Hari ke-82 di tahun 2024

 Salam Jumaat. 22Mac beraamaan 11 Ramadhan.

Alhamdulillah bertemu kembali Jumaat yang penuh barakah di bulan yang mulia.

Alhamdulillah cuaca masih lagi cerah dan panas.

Sahur kami sekeluarga masih lagi menu yang sama iaitu nasi goreng dan roti telur. Anak teruna kedua hanya makan roti sosej dan roti telur. Beliau tidak gemar akan nasi goreng CikYong.

Rutin pagi CikYong mengikuti mudarasah dan siri tadabbur Surah Al Jumuah dan siri Striking Examples from Al Quran.

Pada tengahari, CikYong menyediakan puding koktail yang dipesan oleh bonda. Bonda ingin memberikannya kepada jiran2.

Hari ini CikYong dan keluarga berbuka puasa di rumah bonda. Adik ipar menyediakan nasi lemak untuk juadah berbuka. Alhamdulillah di atas rezeki yang dikurniakan oleh Allah swt. 

CikYong ada terbaca akan berita seorang pemuda telah dijatuhkan hukuman 6 bulan penjara dan denda RM12K kerana menghina nama Allah. Dia telah membuat post di FB susulan berita perihal kalimah Allah di stokin yang di jual di KK Mart.

McDonald’s Malaysia telah membatalkan samannya terhadap BDS Malaysia.



Hari ke-168 perang masih lagi berlanjutan di Palestine. Hospital Al Shifa di utara Gaza masih lagi dikepung oleh tentera Isreal. Rakyat Palestine yang berteduh di hospital tersebut diarahkan keluar daripadanya. Pembinaan port sementara dipantai Gaza menggunakan runtuhan bangunan dan rumah2 rakyat Palestine. Pada masa yang sama, masih ramai lagi rakyat Palestine yang terbunuh di bawah runtuhan bangunan yang masih belum dapat dikeluarkan.








Friday, 22 March 2024

Hari ke-81 di tahun 2024

 Hari Khamis 21 Mac bersamaan 10 Ramadhan.

Alhamdulillah. Cuaca yang cerah dan panas.

Hari di mulai dengan sahur. Nasi goreng dan roti telur. CikYong panaskan tomyam dan ayam goreng.

Kelas bahasa arab bersama ustazah berjalan seperti biasa. Begitu juga mudarasah pengajian kitab Al Wafi syarah hadith 40 An Nawawi. CikYong ikuti juga siri tadabbur Surah Al Jumuah dan Perumpamaan di dlm Al Quran oleh NAK.

Untuk Projek Ramadhan, CikYong masih lagi menempah kuih dangai dan karipap. 

Kami sekeluarga berbuka di masjid. Namun menurut suami, di bahagian lelaki, terdapat ramai pengunjung yang datang berbuka puasa. Oleh kerana itu, mungkin hari ini merupakan hari terakhir kami berbuka puasa di masjid untuk memberi ruang kepada orang yang lebih memerlukan.

Hari ke-167 perang di Palestine. Kerosakan demi kerosakan di lakukan oleh Isreal dan sekutunya Amerika. Tiada kata2 yang dapat CikYong titipkan. Ya Allah sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengatur dan Merancang. Amin amin ya rabbal alamin.








Wednesday, 20 March 2024

Hari ke-80 di tahun 2024

 Hari Rabu 9 Ramadhan bersamaan 20 Mac.

Alhamdulillah diatas umur yang masih dipinjamkan.

Sahur pagi ini, CikYong hanya panaskan lauk semalam iaitu tomyam dan lempeng telur gulung. Nasi yang berbaki semalam CikYong jadikan nasi goreng. 

Hari ini CikYong tidak menyediakan juadah untuk projek Ramadhan kerana CikYong telah menempah kuih dangai dan karipap.

CikYong sempat mengikuti mudarasah hadith 40 syarah kitab Al Wafi dan juga tadabbur Surah Al Jumuah. CikYong juga dapat ikuti kelas bahasa arab bersama ustazah secara dalam talian.

Usai kelas bahasa arab, suami CikYong mengajak ke rumah bonda. Menjadi rutin suami untuk menemani bonda setiap hari bekerja oleh kerana adik ipar dan suaminya bekerja maka bonda tinggal seorang di rumah. Oleh kerana hari ini CikYong ada kelapangan maka dapatlah CikYong ke sana. Kami berada di rumah bonda sehingga ke tengahari.

Selepas Asar, CikYong menghantar pek2 kuih ke hospital. Hari ini kami sekeluarga berbuka puasa di masjid, Alhamdulillah. Menu berbuka di masjid, nasi minyak, ayam goreng, kurma daging, lemak kuning udang dan nenas, sambal ikan kering dan buah tembikai. Minuman pula terdapat air milo dan air sarsi. 

Terdapat isu berbangkit yang ingin CikYong kongsikan. 

Stokin yang tertulis nama Allah di jual di salah sebuah premis KKMart di ibukota. Syarikat terbabit telah membuat kenyataan media meminta maaf diatas perbuatan tersebut. Namun sebagai orang Islam, CikYong berpendapat, tindakan perlu dikenakan terhadap syarikat tersebut sebagai memberi amaran terhadap sebarang perlakuan menghina agama Islam. Perkara ini tidak boleh dipandang ringan dan sebagai seorang Islam yang ingin menjaga keimanan, CikYong akan memboikot KKMart agar ianya menjadi pengajaran terhadap mana2 pihak yang cuba memperlekehkan agama Islam.

Hari ke-166 perang di Palestine. Tekanan demi tekanan di kenakan terhadap Isreal yang begitu degil tidak mengendahkan masyarakat dunia yang menentang perbuatan genocide yg dilakukannya. Semoga Allah melindungi rakyat Palestine dan Palestine bebas dari cengkaman kejam Isreal.








Hari ke-79 di tahun 2024

 Alhamdulillah di atas diri yang masih boleh bernafas seperti hari2 sebelumnya.

Hari ini merupakan hari ke-8 Ramadhan bersamaan 19hb Mac, hari Rabu.

Sahur kami merupakan nasi putih, ayam goreng tepung, telur dadar dan lempeng telur gulung. Sementara itu, CikYong juga panaskan ayam golek yang ada berbaki sedikit, kuah lemak kuning dan nasi goreng.

Sebelah pagi, CikYong menyambung membaiki beg sekolah anak teruna kedua yang tertangguh malam semalam. Selepas selesai, CikYong meneruskan memasak puding koktail untuk projek Ramadhan.

CikYong sempat mengikuti secara langsung pengajian hadis 40 An nawawi syarah kitab Al Wafi yang di adakan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 6.45pagi. CikYong juga menonton progam tadabur Surah Al Jumuah oleh NAK di platform youtube.

Cuaca panas hari inu membuatkan CikYong terasa begitu berbahang di dalam rumah.

Hari ini CikYong dan keluarga berbuka puasa di rumah sahaja. Anak2 ingin berbuka dengan mee segera. CikYong hanya menggoreng ikan dan menumis kobis panjang sementara suami membeli tomyam seafood dan  ayam goreng. Anak teruna sulong pula memasak nasi. Sambil kami sekeluarga makan berbuka puasa, suami tolong memasakkan mee segera.

Rupa2nya hari ini adalah tarikh hari lahir suami CikYong. CikYong betul2 terlupa xde z zzzz XD Cg suami sendiri yang memberitahu CikYong dan anak2 

Pada hari ke-165 perang di Palestine, Isreal semakin banyak mengebom dan memusnahkan Gaza. Begitu juga keadaan di Tebing Barat, seperti di Jenin, Nablus, Jericho. Isreal juga bercadang membenarkan penduduk haram Isreal menyerbu Masjid Al Aqsa pada sepuluh hari terakhir Ramadhan. Pada masa yang sama, mengadakan pelbagai sekatan untuk menghalang umat Islam dari memasuki Masjid Al Aqsa.

CikYong begitu terkesan apabila menonton video terakhir seorang syuhada Palestine yang merupakan seorang pemain bola terkenal di Palestine. Beliau telah terkorban apabila rumahnya di bom oleh Isreal di Khan Yunis selatan Gaza. Di dalam video tersebut, kelihatan beliau begitu tenang sambil mengucapkan ayat2 Al Quran. 














Psikologi mendidik anak2

Mendidik anak2 penuh dengan seribu harapan dan tidak terkecuali diiringi bersama seribu kerisauan. Rasa tenangnya sedikit, rasa kekecewaanny...