Assalamualaikum hari terakhir Ramadhan. 29 Ramadhan bersamaan 9 April hari Selasa.
Ramadhan akan meninggalkan kita. Namun ia tidak bermakna segala usaha ke arah menjadi hamba Allah dihentikan, bahkan ianya harus dilipatgandakan semaksimum yang boleh. Ya Allah, hambaMu ini memohon agar dikurniakan taufiq san hidayah untuk istiqamah di jalanMu yang lurus. Amin amin ya rabbal alamin.
Hari ini juga merupakan hari terakhir projek Ramadhan. Menu di hari terakhir adalah sama seperti semalam iaitu puding roti marble. CikYong ingin juga merakamkan jutaan terima kasih diatas sokongan rakan2 dan keluarga yang turut menyumbang dana untuk projek Ramadhan kali ini. Boleh dikatakan lebih separuh daripada kos projek ini datang daripada sumbangan mereka yang berhati murni. Jazakallahu khairan. Semoga Allah membalasnya dengan sebaik2 balasan.
Hari terakhir CikYong menghantar pek2 kuih ke hospital. Selepas Asar, hujan turun dengan lebatnya, namun misi terakhir CikYong perlu juga disempurnakan. Hari ini, hanya CikYong bersendirian menghantarnya. Setiba di hadapan bilik on call staff nurse, pintu bilik berkunci, tiada staff nurse. Alhmadulillah, attendan yang sama dari wad 1C melewati di hadapan bilik on call. Untuk kali keduanya, antendan membenarkan pek2 kuih ditumpangkan sementara di pantry wad 1C. CikYong ucapkan berbanyak2 terima kasih kepada attenden yang sudi membantu. CikYong maklumkan juga melalui wassap kepada matron, akan lokasi pek2 kuih yang diletakkan.
Semenjak dua hari yang lepas sehingga ke hari ini, CikYong sekeluarga sibuk mengemas rumah. Hari Raya tahun ini, semua adik beradik CikYong dan keluarga masing2 pulang berhari raya di rumah CikYong. Rumah yang CikYong tinggal ini merupakan rumah tinggalan arwah abah dan mak CikYong. Walaupun abah dan mak telah tiada, rumah ini tetap menjadi tempat CikYong dan adik beradik berkumpul terutamanya di waktu hari raya.
CikYong dan keluarga berusah menyediakan keadaan rumah seselesa yang boleh untuk adik beradik dan keluarga masing2 berkumpul di hari raya ini. Terdapat juga hal2 yang dilakukan di saat2 akhir termasuklah membeli dua biji kerusi untuk meja makan di ruang tamu dan tiga biji kerusi plastik untuk meja makan di dapur. Ianya untuk menggantikan kerusi yang telah patah dan tidak lagi selamat untuk diduduki. Tilam untuk katil hujang di bilik belakang juga perlu di beli. Langsir yang digantung di tukarkan dengan set langsir lama yang masih boleh lagi digunakan. Buku2 dan kitab2 lama pula perlu disusun agar dapat melapangkan ruang di bilik.
Suami CikYong yang paling sibuk mengemas dan dibantu oleh anak2. CikYong hanya dapat membantu serba sedikit sebelum CikYong masuk ke dapur.
Kakak CikYong dan keluarganya tiba di rumah di waktu lewat petang. Ketibaan kakak dan keluarga disambut dengan hujan lebat dan petir sehinggakan tiada letrik di rumah CikYong (electric tripped). Setelah hujan dan petir reda sedikit, barulah suami ON kan semula letrik.
CikYong mengajak kakak dan keluarganya berbuka puasa di masjid. Alhamdulillah, rezeki kami dua keluarga dapat berbuka puasa bersama2 di masjid. Menu hari terakhir merupakan nasi minyak, gulai kurma daging, ikan siakap masak merah, jelatah, ayam goreng berempah. Hari ini juga semakin kurang jemaah yang berbuka di masjid. Di bahagian muslimat, terdapat dua meja yang kosong. Oleh kerana itu, terdapat banyak makanan yang berlebihan.
Memandangkan tidak mahu berlaku pembaziran, setelah selesai berbuka puasa, CikYong, kakak dan anak saudara CikYong mula membungkus makanan. Oleh kerana kekurangan bekas makanan, kami mula menggunakan pula gelas plastik untuk mengisi lauk pauk dan nasi. Alhamdulillah, salah seorang pekerja katering telah menghulurkan kepada kami bekas kosong untuk kami boleh membawa balik semangkuk besar nasi minyak.
Usai bersolat Maghrib berjemaah, kami mula bergerak pulang ke rumah. Pengumuman hari raya telah dimaklumkan iaitu hari raya akan di sambut pada hari esok iaitu 1 Syawal bersamaaan 10 April Hari Rabu.
Selepas solat Isya’, CikYong, kakak dan anak saudara mula merendang dan memasak ketupat segera. Lemang yang telah ditempah oleh suami telah pun dihantar ke rumah. Urusan memasak akhirnya selesai apabila malam telah menjejak ke awal pagi.
Hari ke-186 perang di Palestine. Walaupun CikYong sibuk dengan persiapan menyambut hari raya, namun ingatan dan doa CikYong untuk Palestine sentiasa bersama CikYong. CikYong menyambut hari raya kali ini dengan penuh sederhana. Pada masa yang sama, terkenangkan perihal saudara seagama di Palestine yang masih berjuang walaupun di ambang hari raya. Ya Allah hanya kepadaMu kami bergantung. Amin amin ya rabbal alamin.


No comments:
Post a Comment