Eid Mubarak! Selamat Hari Raya Aidil Fitri!
1 Syawal bersamaan 10 April hari Rabu.
Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar..
Seawal pagi CikYong telah masuk ke dapur. CikYong membantu kakak CikYong yang menjadi ketua chef. Telah menjadi kebiasaan bagi kakak CikYong menyandang tugas sebagai ketua chef apabila beliau balik ke kampung menyambut hari raya. Kakak CikYong memang pandai memasak pelbagai juadah hari raya. Pagi raya ini kami memasak kuah lontong dan memanaskn daging dendeng. Adik CikYong yang berhari raya ke kampung mertua telah mengirim daging dendeng sejuk beku melalui adik bongsu CikYong.
Adik bongsu CikYong dan keluarganya telah pun tiba pada malam semalam. Adik CikYong turut membawa bahan2 mentah iaitu ayam, daging dan tulang lembu dan bahan2 untuk memasak rendang. Melihatkan banyaknya daging dan ayam yang dibawa, mungkin perlu merendang 4-5 kali untuk menghabiskan kesemuanya!
CikYong bersama kakak dan anak saudara memilih untuk berjalan kaki sahaja untuk ke masjid bersolat sunat hari raya. Sementara kaum adam memilih untuk berkereta. Seperti tahun2 sebelumnya, masjid di kampung CikYong penuh dipenuhi jemaah di bahagian muslimin dan muslimat. Alhamdulillah diatas rezeki di pagi hari raya ini.
Usai pulang dari bersolat raya, kami tiga keluarga menjamu selera bersama-sama. Juadah pagi raya kami merupakan lemang dan rendang ayam, nasi impit dan kuah lontong, daging dendeng, kek dan biskut raya. Telah lama kami tidak berkumpul bersama. Di hari raya yang mulia ini, CikYong bersyukur masih lagi diberi kesempatan untuk berhari raya bersama adik beradik walaupun mak dan abah telah meniggalkan kami.
CikYong dan keluarga kemudiannya pergi berkunjung ke rumah adik ipar (no. 3) yang tinggal berdekatan dengan rumah bonda. Kesemua adik beradik suami dan keluarga masing2 turut berkunjung di sana. Pada tahun ini, semua adik beradik suami pulang berhari raya ke rumah bonda kecuali adik yang bongsu. Adik bongsu dan keluarganya memang tinggal bersama2 dengan bonda. Oleh kerana itu, pada hari raya beliau dan keluarga akan pulang berhari raya di kampung mertuanya.
Kemeriahan begitu terasa apabila berkumpul bersama ahli keluarga yang besar ini. Juadah yang dihidangkan oleh tuan rumah juga begitu pelbagai dan menyelerakan. Sebelum kami bergerak meninggalkan rumah adik ipar, kami semua mengambil kesempatan untuk bermaaf2an dan disusuli dengan sesi pemberian duit raya kepada anak2 saudara.
Kesemua keluarga adik beradik suami kemudiannya berkunjung pula ke rumah CikYong. Alhamdulillah ipar duai dan anak2 saudara CikYong membantu menghidangkan juadah hari raya kepada tetamu. Keluarga kedua2 belah pihak CikYong dan suami bertemu dan bersama2 meraikan perayaan hari kemenangan buat umat Islam.
Pada sebelah petangnya, keluarga sebelah CikYong pula berkunjung ke rumah bonda. Kami semua diraikan pula oleh keluarga sebelah suami.
Usai beraya di rumah bonda, kakak CikYong mengajak pula ke rumah Pak Su di kampung yang berdekatan. Pak Su merupakan adik bongsu arwah abah CikYong (sama ayah lain ibu). Kami dijamu dengan lemang yang dimasak sendiri. Alhamdulillah.
Kami pulang ke rumah ketika hampir waktu Maghrib. Selepas isya’, anak2 CikYong dan sepupu2 mereka mengambil kesempatan untuk bermain bunga api dan mercun di halaman rumah. Kesemua mereka begitu teruja bermain kecuali seorang daripada anak adik CikYong yang takutkan bunga api dan mercun.
Begitulah sambutan hari raya kali ini. Di dalam kemeriahan tersebut, CikYong masih terkenangkan keadaan saudara seIslam di Palestine yang terus berjuang mengharungi keperitan hidup akibat dari kerakusan manusia2 yang tamakkan habuan dunia. Telah memasuki hari ke-187 perang di Palestine. Tiada sambutan Eid Mubarak di Palestine. Ya Allah kami memohon keampunan di atas kesalahan kami yang tidak berdaya melawan musuh2 Islam. Amin amin ya rabbal alamin.


No comments:
Post a Comment