Thursday, 25 April 2024

Hari ke-107 di tahun 2024

 Alhamdulillah diatas hari yang dipinjamkan. Dalam meniti hari2 sebelum ajal kunjung tiba.

Hari ini 16 April bersamaan 7 Syawal hari Selasa.

Hari ini merupakan hari pertama CikYong berpuasa sunat Syawal. Pada mulanya, anak2 CikYong ingin turut serta berpuasa, tetapi mereka terpaksa batalkan hasrat untuk berpuasa. Ianya disebabkan jadual persekolahan anak teruna sulong mempunyai pendidikan jasmani dan anak teruna kedua pula perlu menyertai raptai merentas desa di sekolahnya hari ini.

CikYong hanya bersahur dengan sekeping roti telur, buah tamar dan air. CikYong sediakan sandwich telur untuk bekal anak teruna sulong. Suami CikYong pula tolong belikan nasi lemak untuk bekal sekolah kedua2 anak CikYong. CikYong gorengkan telur mata dan telur dadar untuk nasi lemak tersebut.

Selepas subuh, CikYong ikuti tafsir Al Quran di ikim.fm surah Yusuf. Usai program tafsir, CikYong teruskan pula pengajian mudarasah kitab Al Wafi syarah hadith 40 An Nawawi. Masih lagi pada perbincangan hadith ke-5 berkenaan bida’ah.

Setelah selesai urusan kerja2 rumah, sempat juga CikYong merumput di sekitar pokok2 bunga di tepi rumah. Semasa mencantas pokok2 bunga, CikYong terperasan pula kebocoran paip di tepi rumah semakin banyak. CikYong minta suami untuk melihatnya dan membaikinya.

Di dalam rumah pula, CikYong telah mengeluarkan kembali peralatan melukis CikYong dan CikYong letakkannya di bilik belakang, yang akan CikYong jadikan bilik tempat CikYong melukis. Walau bagaimanapun, hari ini CikYong masih belum mula melukis lagi. Semasa keluarga pulang beraya tempoh hari, CikYong perlu mengemaskan peralatan melukis dan menyimpannya untuk memberi ruang yang selesa buat keluarga yang pulang beraya.

Untuk makan tengahari anak2 dan suami, pada mulanya suami ingin membeli nasi ayam sahaja, tetapi tiada gerai nasi ayam yang berniaga pada hari ini. Makanya, suami belikan ayam masak merah dan ayam goreng ala KFC. CikYong pula memasak nasi. Selepas Zohor, CikYong masakkan mufin untuk bekal anak teruna kedua CikYong. Anak CikYong ini gemarkan mufin yang baru dimasak, sempat juga dia memakan 2-3 biji mufin sebelum ke sekolah petang.

Selepas Asar, CikYong bancuh adunan biskut choc chips kegemaran anak2. Biskut yang CikYong buatkan untuk raya telah pun habis, CikYong telah berjanji dengan anak2 untuk membuat lagi biskut choc chips ini.

CikYong berbuka puasa dengan bihun sup bersama suami. CikYong mencelur bihun sementara sup soto yang ada di dalam peti sejuk, CikYong panaskan sahaja.

Hari ke-193 perang di Palestine. Rata2 media memperkatakan perihal serangan tindak balas Iran terhadap Isreal. Pelbagai komentar yang positif dan negatif diutarakan oleh pelbagai pihak. Namun, CikYong berharap fokus terhadap nasib Palestine tidak terganggu disebabkan konflik antara Iran-Isreal.




No comments:

Post a Comment

Psikologi mendidik anak2

Mendidik anak2 penuh dengan seribu harapan dan tidak terkecuali diiringi bersama seribu kerisauan. Rasa tenangnya sedikit, rasa kekecewaanny...