CikYong ingin merakamkan di sini akan kisah buli yang berlaku terhadap anak saudara CikYong sendiri.
Anak saudara CikYong baru sahaja memasuki sekolah menengah berasrama. Bermulanya sesi persekolahan hampir dua bulan yang lalu, anak saudara telah mendaftar masuk ke tingkatan satu di sebuah sekolah berasrama. Anak saudara CikYong merupakan seorang pelajar cemerlang semasa di sekolah rendah.
Beliau merupakan seorang anak yang baik. Ibu kandungnya telah meninggal dunia tujuh tahun yang lalu. Kini beliau dan empat orang adik beradiknya yang lain mempunyai ibu baru. Beliau dan adik beradiknya begitu dekat di hati CikYong seperti anak2 CikYong sendiri. Ada ketikanya, di masa cuti sekolah, beliau dan abangnya (no.3) akan tidur di rumah CikYong. Mereka rapat dengan anak2 CikYong.
Seminggu sebelum cuti sekolah bersempena hari raya yang lalu, iaitu baru tiga minggu beliau tinggal di asrama, CikYong mendapat tahu beliau telah diberikan cuti sakit dan pulang ke rumah. CikYong mendapat tahu bahawa beliau diberikan cuti kerana kakinya sakit.
Di hari raya yang lalu, CikYong berkesempatan bertemu dengan anak saudara CikYong ini. CikYong bertanyakan akan keadaan kakinya yang sakit. Setelah CikYong bertanyakan dengan lebih lanjut, barulah CikYong tahu cerita yang sebenarnya.
Kaki beliau sakit kerana ditendang oleh seorang senior tingkatan lima di sekolahnya. Menurut ceritanya, beliau terjatuh di sekolah menyebabkan kakinya sakit. Pada suatu malam, sebelum tidur, beliau di panggil oleh senior dan ditanya perihal kakinya. Setelah itu tanpa ada sebab, senior tersebut menendang kakinya yang sakit itu.
Semasa CikYong bertanya dan minta beliau bercerita, CikYong dapat melihat riak mukanya. CikYong dapat merasakan rasa takutnya apabila CikYong bertanya samada beliau ingin kembali bersekolah tersebut atau tidak. Apabila melihatkan keadaan kedua belah kakinya yang sakit itu, CikYong berasa sungguh simpati akan keadaannya. Semasa hari raya yang lepas, ketika beliau berjalan, beliau perlu berpaut kepada orang untuk melangkah. Ketika kakinya tergantung, kelihatan kakinya bergerak2 seperti menggeletar di luar kawalan.
CikYong secara peribadi, memang berasa sangsi dengan keselamatan anak2 yang tinggal di asrama di zaman sekarang ini. Walaupun kes buli yang terjadi di asrama sekolah sentiasa wujud sejak zaman persekolahan CikYong lagi, namun pada pandangan CikYong, keadaannya sekarang semakin meruncing.
Alhamdulillah, CikYong mendapat tahu, ketika sekolah dibuka semula selepas cuti hari raya, ayahnya telah memindahkan beliau ke sekolah menengah biasa berdekatan dengan rumahnya.
Semoga beliau dapat belajar dengan aman di sekolah barunya.
Semoga pengalaman pahit yang dialaminya itu dapat dilupakan.
Semoga beliau dapat meneruskan menimba ilmu yang berguna dan suatu hari nanti akan menjadi pemimpin yang membawa kebaikan buat agama, keluarga dan dunia.
MAmin amin ya rabbal alamin.
No comments:
Post a Comment