Saturday, 20 April 2024

Hari ke-102 di tahun 2024

 Salam 2 Syawal bersamaan 11 April hari Khamis.

Hari ke-2 cuti umum sempena Hari Raya Aidil Fitri.

Pagi ini kami tiga keluarga bersarapan nasi lemak bungkus dan roti canai, suami CikYong keluar membelikannya.

Pada asalnya perancangan kami hari ini adalah untuk menziarahi bapa saudara (abang arwah mak) di bandar. Adik beradik arwah mak yang masih tinggal hanyalah bapa saudara dan mak saudara bungsu. Namun kami terpaksa dibatalkan apabila dimaklumkan oleh anak bapa saudara (sepupu kami) bahawa bapa saudara dan keluarganya tiada di rumah, telah keluar beraya. Kami menukar perancangan kepada menziarahi sepupu kami yang tinggal di pinggir bandar P. Abang sulong CikYong dan keluarganya yang pulang berhari raya hari ini, kami mengajaknya agar terus ke rumah sepupu kami tersebut.

Kami tiba di rumah sepupu (anak kepada kakak arwah mak) ketika hampir tengahari. Kami empat keluarga di alu2kan dengan penuh keceriaan di hari raya oleh sepupu kami dan keluarganya. Kami berkesempatan berjumpa dengan cucu sulongnya yang baru sahaja lahir sebelum bulan Ramadhan. Kami dijamu dengan pelbagai juadah termasuk nasi dan gulai tempoyak ikan. Laksa juga disajikan.

Usai beraya di rumah sepupu, kami bergerak ke rumah anak saudara (anak arwah sepupu) yang tinggal di bandar yang sama. Arwah sepupu perempuan CikYong mempunyai seorang sahaja anak. Anaknya kini berusia 30an menjaga ayahnya dan ibu tirinya. Ayahnya mengalami slip disk dan telah menjalani pembedahan. Namun selepas pembedahan, ayahnya mengalami kesukaran untuk bergerak dan kini hanya terlantar di atas katil. Sementara ibu tirinya menghidap penyakit tiga sekawan. Keadaan semakin mencabar buat anak saudara CikYong ini apabila beliau sendiri telah mula menjalani dialisis semenjak dua minggu yang lalu. Kedua2 buah pinggangnya mempunyai kebocoran yang menyebabkan beliau perlu menjalani dialisis di usia yang masih muda. Semoga Allah permudahkan segala urusan anak saudara CikYong dan ayahnya.

Bergerak meninggalkan bandar P, kami menuju pula ke pekan T, menzirahi mak saudara (adik kepada arwah abah). Alhamdulillah, walaupun di usia yang lanjut, mak saudara CikYong ini tetap sihat, masih boleh lagi berkebun di sekitar rumah. Walaupun rumah kampung mak saudara tidak sebesar mana, namun keluarga besar mak saudara sentiasa memeriahkannya. Keluarga besar lima generasi ini menjadikan mak saudara CikYong ini seorang insan yang terpilih apabila mempunyai empat orang piut setakat hari ini. Alhamdulillah dikurniakan usia yang panjang dan diberkati. Di sini kami dijamu dengan bihun kari yang lazat dan kuih muih. Kuih goyang aka kuih ros buatan mak saudara menjadi pilihan CikYong.

Usai menziarahi mak saudara, kami semua pulang ke rumah. Kami tiba di rumah selepas masuk waktu Maghrib. Untuk makan malam, kakak menggoreng ayam. Kami panaskan nasi minyak dan lauk pauknya dari dalam peti ais. Makanan tersebut merupakan juadah berbuka puasa yang kami bawa pulang dari masjid tempoh hari.

Perang di Palestine untuk hari ke-188. Hari ini CikYong tisak berkesempatan untuk membaca berita perihal Palestine. Walaupun begitu Palestine sentiasa di dalam doa CikYong. Semoga Allah kurniakan kekuatan buat rakyat Palestine dan umat Islam seluruh dunia. Amin amin ya rabbal alamin.




No comments:

Post a Comment

Psikologi mendidik anak2

Mendidik anak2 penuh dengan seribu harapan dan tidak terkecuali diiringi bersama seribu kerisauan. Rasa tenangnya sedikit, rasa kekecewaanny...