Thursday, 25 April 2024

Hari ke-112 di tahun 2024

 Assalamualaikum hari yang indah di bulan Syawal.

Hari ini 12 Syawal bersamaan 21 April, hari Ahad.

Hari cuti hujung minggu buat anak2.

Seawal pagi CikYong ke dapur menyediakan nasi goreng dan roti jala. Hari ini hanya CikYong dan anak2 berpuasa sunat Syawal.

Hari ini suami akan mengikuti adik ipar lelaki CikYong (no.3) dan keluarganya pergi ke rumah adik ipar perempuan CikYong (no.2) di ibukota. Hari ini rumah adik ipar perempuan akan dikunjungi oleh rombongan merisik untuk anak perempuan sulongnya. Adik ipar perempuan mempelawa suami dan adik ipar lelaki untuk hadir bagi menemani suaminya ketika majlis tersebut. 

Oleh kerana itu mereka bertolak awal selepas subuh agar berkesempatan tiba sebelum majlis dimulakan. Alhamdulillah majlis merisik anak saudara berjalan dengan lancar. Adik ipar lelaki (no.7) dan keluarga juga dapat turut hadir meraikan tetamu istimewa.

Pagi ini CikYong dapat menyelesaikan dua perkara yang tertangguh semenjak akhir Ramadhan. Pengiraan zakat dan pembayaran zakat bagi haul 1444-1445H telah CikYong langsaikan. Walaupun CikYong telah tetapkan haul zakat CikYong adalah bulan Ramadhan, namun hampir setiap tahun, CikYong akan terlajak melunaskannya membawa ke bulan Syawal. Walau bagaimanapun, CikYong bersyukur kerana CikYong dapat juga melunaskan tuntutan rukun Islam ke-4 bagi tahun ini. Alhamdulillah. CikYong juga telah menutup secara rasmi projek Ramadhan 1445H. Bersempena penutupan secara rasmi, CikYong telah mengemaskini laporan projek (untuk rujukan peribadi di masa akan datang) dan CikYong telah kongsikan reel pendek mengandungi ringkasan laporan projek kepada penyumbang2 dana bagi projek ini. Alhamdullilah ke atas kesempatan dan pengalaman mengendalikan projek kecil ini. Semoga ianya memberi semangat kepada CikYong untuk projek2 yang lebih besar di masa akan datang.

Usai melengkapkan dua perkara tersebut, CikYong masuk pula ke dapur. CikYong membuat puding roti marble seperti yang diminta oleh anak2. CikYong juga merebus sedikit ketupat segera. 

Selepa siap memasak ketupat, CikYong mengemas pula kotak2 dibawah katil yang dipenuhi habuk. CikYong melakukannya bersama2 dengan anak teruna kedua. Sebenarnya, mengemas ini adalah di atas permintaan anak teruna kedua CikYong. Beliau meminta CikYong membantunya mengemas di bawah katil kerana beliau ingin mencari kotak2 set legonya yang terkumpul di bawah katil.

Selepas Asar, CikYong menyediakan juadah berbuka yang merupakan sup soto, ayam goreng tepung dan bergedil.

CikYong dan anak2 berbuka puasa dengan soto + bergedil, nasi dan ayam goreng. Inilah kali pertama CikYong memasak soto nasi impit. CikYong dapatkan tips memasaknya daripada kakak CikYong semasa hari raya yg lepas. Ianya juga merupakan kali pertama anak teruna sulong CikYong makan soto nasi impit. Alhamdulillah kena dengan seleranya. Manakala, anak teruna kedua tidak mahu mencubanya. Dia memilih untuk makan nasi berkuahkan sup soto dan ayam goreng. Alhamdulillah di atas rezeki berbuka puasa hari ini.

Tidak lama selepas kami berbuka puasa, suami CikYong sampai di rumah. Suami bawakan makanan dari majlis di rumah adik ipar iaitu sate dan buah2an. Alhamdulillah.

Hari ini anak teruna kedua CikYong begitu teruja apabila set lego yang dibelinya secara dalam talian telah pun tiba. Anak teruna kedua CikYong merupakan seorang peminat tegar lego. Setahun sekali, beliau akan membeli set lego yang baru. Beliau akan menggunakan wang simpanannya sendiri termasuklah duit raya yang diterimanya. Namun oleh kerana set tersebut tiba pada malam hari, beliau menangguhkan pemasangannya memandangkan hari esok adalah hari persekolahan. Beliau masih ada kerja sekolah yang perlu disiapkan dan juga perlu masik tidur awal.

Hari ke-197 perang di Palestine. Aktivis2 pro-Palestine telah mengumumkan persediaan sedang dilakukan untuk menghantar Flotilla ke Gaza seperti yang pernah dilakukan sebelumnya pada tahun 2010. CikYong memang mengagumi semangat aktivis2 ‘hardcore’ ini yang begitu berani termasuklah Dr Fauziah dari Malaysia yang akan turut menyertainya. Dr Fauziah pernah di tahan oleh tentera Isreal pada tahun 2016 di di dalam misi Womens’ boat to Gaza. Semoga misi kali ini berjaya dan di permudahkan segala urusan. Amin amin ya rabbal alamin.









No comments:

Post a Comment

36 hari menuju kemabruran haji

Assalamualaikum warahmatullahiwabakotuh... Semakin mendekati ke kemabruran haji.. اللهم  kurniakanlah haji mabrur buat semua duyuffurahman 1...