Saturday, 3 February 2024

Hari ke-33 di tahun 2024

 Alhamdulillah, Allah masih lagi pinjamkan nyawa dan kudrat ini untuk terus beribadah kepadaMu. Ya Allah.

Di berpagian, CikYong membuat lempeng gulung telur sebagai bekal sekolah anak. Kemudian, CikYong pergi berbasikal bersama suami di laluan yang sama sejauh sepuluh kilometer atau lebih. Di sepanjang laluan berbasikal, kelihatan beberapa kawasan sawah yang baru ditumbuhi dengan pokok padi yang masih lagi kecil. Permandangan yang mendamaikan, kelihatan seperti hamparan permaidani hijau yang nipis. Di awan, dipenuhi dengan awan yang putih kekelabuan, kelihatan sedikit mendung. Mentari pagi terlindung di balik awan yang tebal.

Setelah kembali dari beriadah dan bersarapan, CikYong sediakan bancuhan creamcheese sebagai persediaan untuk cheesetart. Sempat juga membantu anak untuk membalut hadiah yang akan diberikan sebagai pertukaran hadiah  di kelasnya nanti. Oleh kerana jamuan kelas anak mempunyai tema pakaian, tercari-carilah juga baju mana yang sesuai untuk dipakai olehnya. Akhirnya, anak bersetuju dengan baju kemeja coklat bertangan pendek kepunyaan arwah atuknya.

CikYong terus menyambung kerja dapur, menyiang ikan kerisi.

Kelas bahasa arab komunikasi secara dalam talian diadakan seperti biasa. Namun hari ini hanya terdapat empat orang murid ternasuk CikYong. Mungkin murid yang lain mempunyai hal yang perlu diuruskan. Hari ini kami masih lagi belajar berkaitan perkataan2 suruhan.

CikYong memasak tengahari sebaik sahaja selesai kelas. CikYong cuma memasak nasi dan menggoreng ikan dan ayam. Gulai lemak kuning dan kuah sup semalam masih kagi ada. CikYong cuma panaskan sahaja.

Setelah makan tengahari bersama keluarga, CikYong masak pula Cheesetart untuk dibawa jamuan kelas anak teruna sulong nanti.

Setelah anak2 pergi ke sekolah, CikYong sambung semula mencoret warna2 di lukisan.

Setelah anak teruna sulong pulang dari sekolah, dia berkongsi cerita perihal jamuan di kelasnya. Anak CikYong menunjukkan hadiah tang diterimanya. Dia mendapat tali pinggang dan pistol mainan sebagai hadiah yang dimenanginya kerana menyandang gelaran ‘Yang paling bapak2’ di dlm kelasnya. Sementara pertukaran hadiah dia mendapat kipas USB mini.

Anak teruna kedua CikYong menyatakan bahawa dia ingin ‘off gadget’ pada hari ini disebabkan matanya kembali merah. Oleh kerana itu, dia mula merasa bosan. Pada mulanya, dia berhasrat untuk tidur awal pada malam ini, tetapi dia berubah fikiran apabila teringatkan mainan legonya yang telah lama tersimpan. Maka sibuklah dia memasang legonya di malam ini.

Perang masih berterusan di Palestine untuk hari ke-119.

Kisah tawanan yang dibebaskan oleh Israel sungguh menyayat hati. Seorang doktor pakar bedah di hospital As-Shifa’ telah di tahan kira-kira 2 bulan yang lalu. Melihat gambar beliau sebelum perang dan selepas dibebaskan sungguh meruntun jiwa. Kelihatan susut badannya, keadaan yang kusut masai, keletihan, kesan penderaan yang dilaluinya jelas terlihat di wajahnya. Begitu juga beberapa tawanan yang lain, sehingga ada yang tidak dapat hendak berkata2. Kesan penderaan yang ditunjukkan oleh mereka menggambarkan penderaan yang tidak sanggup dibayangkan.

Melihat kekejaman manusia terhadap manusia lain, menyebabkan CikYong bertambah yakin terhadap hari pembalasan, di mana Allah yang maha adil akan memghakimi seadil2nya. Tiada seorang pun yang akan terlepas dihukum dan tiada siapa yang akan dianiaya. SubhanAllah Ya Allah sesungguhnya kepada Engkau tempat kami kembali.



No comments:

Post a Comment

36 hari menuju kemabruran haji

Assalamualaikum warahmatullahiwabakotuh... Semakin mendekati ke kemabruran haji.. اللهم  kurniakanlah haji mabrur buat semua duyuffurahman 1...