Alhamdulillah hari yang dipinjamkan.
Masih lagi di dalam cuti sekolah.
Anak teruna sulong dan anak saudara tidur semula selepas balik dari solat subuh di masjid. Pastinya mereka lewat tidur malam semalam.
Susah juga untuk mengajak anak2 membuat aktiviti lain selain daripada duduk menghadap gajet seharian.
Pagi ini CikYong bersarapan awal kerana CikYong hendak pergi ke susulan temujanji doktor ENT. Usai bersarapan, suami CikYong tolong hantarkan CikYong ke hospital. Alhamdulillah urusan temujanji hari ini boleh dikatakan agak cepat dari kebiasaannya. Menurut pemeriksaan doktor, jangkitan kuman di telinga CikYong telah baik sepenuhnya dan tidak lagi perlukan pemeriksaan susulan.
Balik dari hospital, CikYong sediakan hidangan tengahari. Menu yang ringkas sahaja, nasi putih, gulai lemak kuning ikan, ikan goreng, tumis kobis dan telur dadar. Sambil memasak, CikYong pasangkan rakaman MyQurantime yang CikYong telah tertinggal sebanyak empat sessi sebelumnya.
Sebelah petang, CikYong sambung semula lukisan lama yang ingin CikYong baiki tona warnanya. Selepas asar, CikYong ajak keluarga CikYong ke padang di pekan. Kami berjalan santai di sekeliling padang sambil memerhati orang ramai yang juga mengambil angin dan ada juga yang beriadah bermain bola sepak, main layang2 dan bersenam. Tidak lama kami di padang, sebelum Maghrib, kami telah tiba di rumah.
Selepas Maghrib, sempat CikYong mengikuti pengajian hadis arbain an nawawi melalui rakaman di dalam talian.
Perang masih berterusan di Palestine yang telah memasuki hari ke-133. Untuk kesekian kalinya, rundingan gencatan senjata di antara Isreal dan Hamas masih lagi gagal. Tiada kata sepakat yang dipersetujui. Melihat kesengsaraan demi kesengsaraan rakyat Palestine yang semakin meningkat membuatkan perasaan terdetik untuk berputus asa. Namun oleh kerana pihak Zionist yang zalim tidak pernah berhenti melakukan pelbagai kekejaman demi kekejaman, umat Islam seharusnyalah kuat mempertahankan rakyat Palestine. Umat Islam ada Allah. Yang lebih Berkuasa dan Maha Pembalas terhadap mereka yang membuat kerosakan di muka bumi ini. CikYong yakin dengan janji Allah. Jihad mesti diteruskan.
Hal di dalam negara, berkaitan 16 akta syariah di Kelantan dibatalkan. CikYong tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah walau apapun sebab yang dinyatakan. Usaha seperti ini bertujuan untuk melemahkan institusi agama di Malaysia. Sesekali CikYong tidak akan bersetuju. Walaupun CikYong hanya seorang rakyat biasa, namun sebagai seorang Islam CikYong tetap menyuarakan bantahan CikYong walaupun hanya di paparan blog ini. CikYong yakin walaupun ianya dianggap tidak memberi apa-apa kesan terhadap kes tersebut, tetapi CikYong tetap berharap agar sekecil mana usaha CikYong iaitu sekadar tulisan di blog ini, semoga ia akan menjadi saksi terhadap CikYong di akhirat nanti. Ya Allah semoga Engkau ampuni m segala kekhilafan dan kesalahan hamba Mu ini. Amin amin ya rabbal alamin.



No comments:
Post a Comment