Assalamualaikum pagi yang diberkati. Semoga hari ini lebih baik dari semalam.
Alhamdulillah matahari masih lagi terbit di timur.
23 Syawal bersamaan 2 Mei hari Khamis.
Pagi ini CikYong masakkan nasi lemak sebagai bekal anak2 ke sekolah. Sandwich telur juga CikYong sediakan untuk anak teruna sulong sebagai bekal tambahan.
Pengajian tafsir surah Yusuf ayat ke-92&93 diteruskan di ikim.fm. Terdapat tiga belas sifat2 terpuji Nabi Yusuf a.s. yang ditonjolkan di dalam surah Yusof. Di dalam pengajian hari ini dikongsikan tiga daripada tiga belas sifat2 tersebut iaitu tenang (ayat 77), kuat melawan syahwat (ayat 24) dan bersifat keras dan lembut (ayat 59). Sementara di dalam mudarasah syarah hadith 40, masih lagi membincangkan perihal hati yang sejahtera. Terdapat ungkapan dari Ibnu Ata’illah
لا تصحب من لا ينهضك حاله ولا يدلك على الله مقاله
Janganlah kalian bersahabat dengan orang yang tidak membangkitkan semangat ibadah, serta ucapan yang tidak membawa kalian mendekati Allah swt.
Usai mudarasah, CikYong dan suami keluar berbasikal. Hari ini masih di laluan yang sama dan ditambah jaraknya mencapai lima belas kilometer.
Selesai berbasikal, kami menikmati pula sarapan pagi nasi lemak di rumah.
Kemudiannya, CikYong mengikuti kelas bahasa arab bersama ustazah secara dalam talian.
Di tengahari, CikYong menyediakan makan tengahari. Sup ayam, sayur sawi tumis dan ayam goreng tepung merupakan juadah ringkas makan tengahari buat kami sekeluarga.
Selepas anak2 pulang dari sekolah, CikYong dimaklumkan bahawa sekolah anak2 akan mengadakan jamuan hari raya pada esok hari. Pada mulanya, CikYong bercadang untuk membuat kek congo bar untuk dibawa ke jamuan tersebut. Namun anak teruna kedua memberitahu CikYong bahawa kawan2nya ada permintaan khas iaitu mereka mahukan creampuff. Oleh kerana itu, CikYong tukar perancangan kepada creampuff.
Anak teruna sulong pula memaklumkan bahawa untuk jamuan raya esok, beliau perlu memakai baju melayu. Pada hari raya yang lepas, anak2 hanya memakai baju kurta sahaja. Sebenarnya telah lama juga CikYong dan suami tidak membeli baju melayu untuk anak2. Oleh kerana itu, sebelah petang, selepas suami menghantar anak teruna kedua ke sekolah petang, kami bertiga pergi ke kedai untuk membeli sepasang baju melayu.
Begitu juga, bagi anak teruna kedua CikYong. Beliau juga perlu memakai baju melayu untuk jamuan hari raya di sekolahnya esok. Namun, beliau masih boleh lagi memakai baju melayu yang diberikan oleh makciknya. Baju melayu tersebut merupakan baju melayu sepupunya yang telah tidak lagi muat untuk dipakai namun bajunya masih di dalam keadaan baik.
Untuk samping yang perlu dipadankan dengan baju melayu, suami meminjam samping songket dari rumah bonda. Maka selesailah urusan baju untuk ke majlis jamuan esok.
Selepas asar, CikYong masuk ke dapur untuk memasak creampuff. Sebelum azan Isya’ berkumandang, CikYong selesai menyiapkan puff dan kastard untuk creampuff untuk dibawa oleh anak2 ke jamuan esok.
Hari ke-208 perang di Palestine 🇵🇸.
Suatu entiti yang memainkan peranan yang besar yang mengakibatkan kekejaman terhadap manusia dan alam sejagat di zaman ini adalah kuasa besar yang memegang tampuk pemerintahan Amerika. Secara hakikatnya, Amerika dan Isreal adalah satu entiti yang sama iaitu Zionis. Dunia tidak boleh tertipu dengan lagak baik yang cuba ditonjolkan oleh Amerika seolah2 merekalah pendamai. Perlu dihadam bahawa Amerika dan Isreal adalah satu. Setiap apa tindakan yang di lakukan oleh Amerika adalah bertujuan untuk menyelamatkan Isreal. Rakyat Amerika sendiri membantah di atas tindakan yang telah dilakukannya sepanjang perang di Palestine. Malangnya, kerajaan Amerika sanggup menangkap dan mengenakan hukuman terhadap rakyatnya yang menyokong Palestine dan membantah tindakan Isreal.
Semoga Allah memberi kemenangan kepada Palestine dan semua umat Islam yang menyokong perjuangan Palestine. Semoga Allah kurniakan hidayah kepada penyokong2 Palestine. Amin amin ya rabbal alamin.





No comments:
Post a Comment