Syukur Alhamdulillah Ya Allah diatas nafas yang masih berbaki ini. Semoga nafas ini dikurniakan keberkatan agar ianya dimanfaatkan untuk mendapat keredhaan Allah.
24 Mei bersamaan 15 Dzulkaedah hari Jumaat mubarokah.
Hari ini merupakan hari terakhir persekolahan untuk penggal satu bagi anak2 CikYong.
Seawal pagi, CikYong membuat roti jala untuk dijadikan bekal anak2 ke sekolah. CikYong juga membakar tart telur sebagai bekal tambahan dan sarapan awal buat anak teruna sulong.
Pagi ini CikYong masih berkesempatan mengikuti tafsir surah Yusof ayat 102. Perbincangan berkaitan bagaimana nabi Muhammad saw mendapat tahu perihal kisah2 lama termasuk kisah nabi Yusof a.s. yang diterangkan di dalam ayat ini melalui perkataan ‘انباء الغيب'.
Seterusnya CikYong ikuti pula mudarasah hadith ke-8 dari hadith 40 An Nawawi. Hari ini dikongsikan perihal pertembungan pendapat di antara Saidina Abu Bakr dan Saidina Umar berkaitan keperluan memerangi kumpulan yang ingkar membayar zakat di zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakr.
Usai mengikuti pengajian, CikYong dan suami keluar bersarapan di kedai makan yang berhampiran dengan rumah CikYong. CikYong bersarapan bihun goreng sementara suami mengambil roti canai bawang.
Usai bersarapan, kami ke rumah bonda untuk mengambil bonda dan membawa bonda ke pejabat pendaftaran. Di pejabat pendaftaran, bonda mengambil kad pengenalan baru dan surat pengesahan dari pejabat pendaftaran bagi mengesahkan cap jari bonda yang sukar dikesan.
Usai urusan di pejabat, kami singgah sebentar di kedai makan di pekan. Bonda membeli lauk untuk makan tengahari.
Usai segala urusan bonda, kami menghantar bonda pulang ke rumah bonda.
Di dalam perjalanan pulang ke rumah, kami singgah sebentar di hipermarket untuk membeli sedikit barangan dapur.
Setiba di rumah, CikYong terus masuk ke dapur untuk menyediakan juadah makan tengahari. CikYong cuma memasak sup ayam dan menggoreng ayam. CikYong juga sempat memasak brownies untuk dijadikan bekal anak teruna kedua ke sekolah petangnya. CikYong memasak sambil mendengar program MyQurantime di fb live. Tadabbur hari ini menyentuh perihal ayat 21&22 dari Surah Al A’raf. Kisah Nabi Adam a.s. dan Hawa yang digoda oleh syaitan agar memakan buah yang terlarang menyebabkan nabi Adam terus bertaubat kepada Allah.
Di ketika anak CikYong hendak pergi ke sekolah, anak teringat untuk membawa sesuatu untuk diberikan kepada guru2 sekolahnya. Hari ini, sekolah petangnya mengadakan sambutan hari guru. Lalu anak membawa brownies untuk dihadiahkan kepada guru2 sekolahnya.
Di sebelah petang, CikYong menyambung bacaan buku ‘93 hari di Mesir’.
Hari ke-230 perang di Palestine 🇵🇸
Satu demi satu video memaparkan mayat2 yang terdampar di atas jalanan setelah ditembak. Runtuhan demi runtuhan berlaku saban hari. Selagi tiada genjatan senjata, begitulah perilaku Isreal yang ditunjukkan kepada mata dunia. Dunia Islam masih menyepi tanpa ada tindakan untuk menghalang genocide yang di lakukan. Ya Allah kami memohon kepadaMu agar kami diberi kekuatan untuk kami menentang kuasa yang menindas dan melakukan kekejaman. Amin amin ya rabbal alamin.
Hari ini juga, khutbah Jumaat di sebuah negeri melarang perbuatan memboikot.












No comments:
Post a Comment